Anak Angkat
Jika dilihat dari urutan sejarah bahawa sistem anak angkat ini sudahpun wujud sejak zaman Arab jahiliah. Tidak terkecuali juga masyarakat Melayu kita, mengamalkan pengambilan anak orang lain sebagai anak angkat.
Mengikut adat kebiasaan orang-orang Arab jahiliah, apabila seseorang itu diambil sebagai anak angkat, maka diperlakukan ke atasnya segala hukum yang berjalan ke atas anak kandung.
Nasab anak angkat ditukar dan dipindah kepada bapa yang mengangkatnya, dengan berbin atau berbintikan kepada ayah angkatnya. Dia boleh bergaul bebas dengan keluarga angkatnya tanpa ada batas-batas yang tertentu.
Dalam hak waris, dia berhak menerima bahagian tertentu seiring dengan ahli keluarga angkat yang lain.
Mengenai dengan perkahwinan, bapa angkat tidak dibenarkan berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya.
Mengikut pandangan Islam, adat seperti ini adalah satu penyelewengan yang besar dalam sistem kekeluargaan. Oleh sebab itu dengan kedatangan Islam, sistem anak angkat jahiliah ini terus dihapuskan sebaik saja turunnya ayat Al-Quran yang menerangkan kedudukan mengenainya.
Hukum mengenai sistem anak angkat ini ada diceritakan melalui firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan Dia (Allah) tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Yang demikian itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maulâ-maulâ kamu. (Surah Al-Ahzâb: 4-5)
Zaid Bin Haritsah
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri sebelum Baginda diutus menjadi rasul, memelihara seorang anak angkat bernama Zaid bin Haritsah, sebagaimana adat kebiasaan orang-orang Arab pada ketika itu.
Zaid adalah seorang anak muda yang ditawan sejak kecil dalam satu penyerbuan jahiliah. Kemudian dibeli oleh Hakim bin Hizam bin Khuwailid untuk diberikan kepada emak saudaranya Khadijah binti Khuwailid.
Apabila Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkahwin dengan Khadijah, Zaid pun diberikan kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Setelah ayah Zaid dan bapa saudaranya mengetahui tempatnya berada, mereka pun memohon supaya Nabi mengembalikannya semula. Tetapi Nabi menyerahkan kepada Zaid untuk membuat pilihan, sama ada memilih untuk terus hidup bersama Nabi ataupun memilih untuk pulang bersama ayahnya.
Namun Zaid lebih senang memilih Nabi daripada ayah dan bapa saudaranya sendiri. Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun memerdekakannya dan mengambilnya sebagai anak angkat dengan disaksikan oleh orang ramai.
Semenjak itu Zaid dikenali dengan nama Zaid bin Muhammad. Sehinggalah turunnya ayat Al-Quran yang memansûkhkan sistem anak angkat jahiliah itu. Lalu dia pun dikenali semula sebagai Zaid bin Haritsah.
Dalam pada itu juga, Islam bukan setakat menghapuskan sistem anak angkat ini bahkan juga menghapuskan sehingga kepada kesan-kesannya.
Umpamanya, Islam membatalkan adat jahiliah yang tidak membenarkan bapa angkat berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya, dengan mengharuskan mereka bernikah sesama mereka.
Ini nampak jelas melalui peristiwa yang berlaku di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan untuk berkahwin dengan Zainab binti Jahsy bekas isteri anak angkatnya Zaid bin Haritsah.
Peristiwa ini ada diceritakan di dalam Al-Quran melalui firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikan), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. (Surah Al-Ahzâb: 37)
Hukum Mengangkat Anak
Untuk mengetahui hukum mengenainya, ada baiknya kita perhatikan dua bentuk cara pengambilan anak angkat:
Pertama: Terdapat di kalangan setengah orang mengambil anak orang lain sebagai anak angkat, lalu dipeliharanya dengan penuh kasih sayang, dididik dan diberikan pelajaran sepertimana dia memelihara dan mengasuh anak kandungnya sendiri. Namun begitu nasab anak berkenaan dikekalkan, tidak ditukar kepada nasab bapa angkatnya, dia tetap berbin atau berbintikan bapa kandungnya. Secara umumnya tidak diperlakukan ke atasnya hukum-hukum yang berjalan ke atas anak kandung.
Cara begini sering dilakukan oleh pasangan suami isteri yang sudah beberapa tahun mendirikan rumah tangga tetapi belum dikurniakan anak, atau sememangnya si isteri tidak boleh beranak dengan berbagai-bagai sebab seperti lanjut usia umpamanya. Kebetulan pula ada keluarga lain yang banyak anak, tetapi kurang berkemampuan untuk menyara hidupnya, maka anak itu diserahkan untuk dibela sebagai anak angkat.
Memelihara anak orang lain bagi tujuan yang berkebajikan ataupun atas sebab-sebab yang munasabah yang tidak bertentangan dengan hukum syara‘ adalah diharuskan. Lebih-lebih lagi jika anak yang diambil untuk dipelihara sebagai anak angkat itu terdiri daripada anak-anak yatim, dengan syarat tidak memindahkan nasab anak tersebut kepada bapa angkat selain daripada bapa yang sebenar.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Aku akan bersama orang yang memelihara anak yatim di dalam syurga seperti ini (sambil Baginda menuding jari telunjuk dan jari tengah). (Hadits riwayat Tirmidzi)
Malahan adakalanya hukumnya wajib, jika anak itu adalah kanak-kanak kecil yang terbiar yang dijumpai di jalan atau seumpamanya. Dinamakan kanak-kanak tersebut mengikut istilah fiqh sebagai laqîth atau manbûdz, ertinya: Kanak-kanak kecil yang dibuang di jalan atau seumpamanya, dengan tiada diketahui siapa bapanya yang sebenar atau tiada siapa yang mahu mengakuinya sebagai anaknya.
Memungut kanak-kanak laqîth itu adalah fardhu kifayah ke atas orang-orang Islam.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. (Surah Al-Mâ’idah: 32)
Akan tetapi jika hanya seorang sahaja yang mengetahuinya, maka wajib ke atasnya memungut anak tersebut iaitu sebagai fardhu ‘ain ke atasnya.
Kedua: Selain daripada itu, terdapat satu lagi bentuk pengambilan anak angkat di mana seseorang mengangkat seorang kanak-kanak yang diketahui nasabnya, kemudian anak tersebut dinasabkan kepadanya (bapa yang mengangkat itu).
Dinamakan perbuatan mengangkat anak seperti ini di dalam istilah fiqh sebagai al-tabanni.
Sehinggakan kesan daripada membin atau membintikan kepada bapa angkat itu, diperlakukan ke atas anak angkat segala hukum yang berjalan ke atas anak kandung. Baginya hak-hak serta tanggungjawab terhadap keluarga angkatnya sebagaimana hak-hak dan tanggungjawab anak kandung.
Anak tersebut dibenarkan mewarisi harta pusaka bapa angkatnya selepas dia meninggal dunia. Bapa angkat pula diharamkan bernikah dengan bekas isteri anak angkatnya. Dalam masalah pergaulan di antara keluarga angkat dengan anak angkat itu tidak ada batas-batas tertentu, seumpama pergaulan antara adik beradik kandung. Secara umumnya hubungan kerabat di antara anak angkat dan keluarga angkat itu seperti hubungan di antara ayah dan anak kandung sendiri.
Mengangkat anak seumpama ini adalah dilarang sama sekali oleh Islam dan haram hukumnya menasabkan diri kepada orang yang bukan keturunananya (nasabnya). Nasab itu hanya tsabit dengan adanya hubungan suami isteri yang sah melalui pernikahan atau terjadi wath’ syubhah.
Oleh kerana itu tiap-tiap anak angkat haram dibin atau dibintikan kepada nama bapa angkatnya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka yang sebenar; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. (Surah Al-Ahzâb: 5)
Tersebut juga di dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang melaknat seseorang yang berbin atau berbintikan kepada orang yang bukan bapa sebenarnya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:
Maksudnya: Barangsiapa mengaku orang lain sebagai bapanya, padahal dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya sebenar, maka syurga diharamkan ke atasnya. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Baginda lagi di dalam hadits yang lain:
Maksudnya: Jangan kamu berpaling atau bencikan bapa- bapa kamu, maka barangsiapa benci atau berpaling daripada bapanya nescaya dia menjadi kafir. (Hadits riwayat Bukhari)
Andaikata seseorang mendapat anak angkat yang tidak diketahui siapa bapanya yang sebenar maka hendaklah disifatkan dan dianggap dia sebagai saudara seagama atau maulâ. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maulâ-maulâ. (Surah Al-Ahzâb: 5)
Maulâ ialah seorang hamba sahaya yang sudah dimerdekakan atau seseorang yang telah dijadikan anak angkat, seperti Salim anak angkat seorang sahabat bernama Huzaifah, selepas turunnya ayat yang menerangkan mengenai kedudukan anak angkat, dia dipanggil sebagai maulâ Huzaifah.
Kedudukan Anak Angkat Dalam Keluarga Angkat
Sebagaimana yang disebutkan terdahulu bahawa Islam tidak sekali-kali mengiktiraf perbuatan memindahkan nasab anak angkat daripada bapa kandungnya kepada bapa yang mengangkat. Hubungan anak angkat dengan keluarga angkat tetap tidak berubah seperti asalnya. Dia tetap dianggap orang lain dalam lingkungan keluarga angkatnya.
Oleh yang demikian, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebagai aturan dan batasan-batasan yang mengatur hubungan kekeluargaan di antara anak angkat dan keluarga yang mengangkatnya, seperti berikut:
(i) Dalam hubungan di antara anak angkat dengan keluarga angkatnya dia tetap sebagai orang asing di kalangan keluarga angkatnya itu walaupun bernaung di bawah satu bumbung. Maka hubungan di antara mereka mestilah berasaskan hubungan dengan orang asing yang bukan mahram.
Di antara sesama mereka tidaklah boleh mendedahkan aurat dengan sesuka hati. Pergaulan di antara mereka tidak boleh lebih dari apa yang dibataskan antara seorang asing yang bukan mahram dengan yang lain, sebagaimana yang dibataskan oleh syara‘. Tidak timbul di sini alasan bahawa mereka sudah seperti adik-beradik.
(ii) Dalam perkara waris, anak angkat tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan oleh bapa yang mengangkatnya. Kecuali ada sebab-sebab lain yang berkaitan dengan hukum waris.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Bagi tiap-tiap harta peninggalan dari harta yang ditinggalkan ibu bapa dan karib kerabat, Kami jadikan pewaris-pewarisnya. (Surah Al-Nisâ’: 33)
Malahan jika anak angkat dibenarkan mendapat bahagian dalam harta waris dan mendinding atau menghalang keluarga dekat sebenar yang berhak menerima, tidak syak lagi akan menimbulkan perasaan yang tidak baik di kalangan keluarga sebenar terhadap orang baru (anak angkat) yang merampas hak milik mereka.
(iii) Dalam masalah perkahwinan, jika anak angkat itu seorang perempuan, tidak ada hak bagi bapa angkatnya untuk menjadi wali kepadanya. Orang yang menjadi wali nikah baginya ialah orang yang ada hubungan keluarga dengan anak angkat yang akan bernikah itu, yang disebut sebagai wali nasab, seperti bapa kandungnya, ataupun jika tidak ada berpindah pula kepada datuk sebelah bapa dan seterusnya, sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘ dalam perkara wali nikah.
Penyelesaian
Sungguhpun demikian, untuk mengatasi apa-apa jua masalah dan kerumitan yang timbul mengenai hukum akibat daripada aturan-aturan atau sekatan-sekatan pengambilan anak angkat, terdapat pilihan-pilihan tertentu yang boleh dibuat yang tidak bertentangan dengan syara‘, umpamanya seperti berikut:
i. Pemberian harta
Dalam masalah pemberian harta waris, seorang bapa angkat boleh mengelakkan anak angkatnya daripada menerima harta yang bukan haknya dengan cara memberikan harta itu semasa dia masih hidup lagi melalui hibah ataupun dengan jalan wasiat, dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta pusaka.
Hibah ialah memberikan sesuatu kepada orang lain semasa hidup, sebagai hak miliknya, dengan tidak mengharapkan ganti atau balasan.
ii. Wali nikah Jikalau anak angkat itu perempuan, tidak diketahui siapa walinya yang sebenar, ataupun jika anak angkat itu tidak lagi mempunyai wali nasab, kerana sudah meninggal dunia umpamanya, maka walinya ialah wali hakim.
Sabda Rasulullah Shallaallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sultan (hakim) adalah wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
iii. Anak susuan
Untuk mengatasi masalah supaya tidak berlaku pergaulan haram antara anak angkat dan keluarga angkatnya terdapat satu pilihan yang boleh dibuat dengan mengikut hukum syara‘.
Jika anak angkat yang diambil adalah seorang anak damit yang belum sampai umurnya dua tahun, dan ibu angkat boleh menyusukan anak tersebut sekurang-kurangnya lima kali susuan dalam masa yang berasingan mengikut kebiasaan, serta yakin bahawa susu itu sampai ke perut bayi itu, maka menurut mazhab Syafi‘e, anak itu menjadi anak susuan. Jadilah anak itu sebagai saudara sesusuan kepada anak-anak kandung ibu angkat itu.
Maka dengan itu, batas-batas pergaulan dan aurat menjadi lebih luas dan mudah mengikut sebagaimana batas-batas pergaulan dan aurat antara sesama keluarga kandung, kerana anak susuan seperti anak sendiri.
Dalam masalah perkawinan pula, setiap orang yang haram dikahwini dengan sebab ada pertalian nasab (keturunan), maka haram juga dikahwini dengan sebab ada persaudaraan melalui susuan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Haram dengan sebab susuan itu apa yang haram dengan sebab nasab. (Hadits riwayat Bukhari)
Sebagaimana juga disebutkan di dalam Al-Quran mengenainya melalui firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan berikut); ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan adik beradik kamu, dan adik beradik bapa kamu, dan adik beradik ibu kamu, dan anak-anak kepada adik beradik lelaki kamu, dan anak- anak kepada adik beradik perempuan kamu, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan adik beradik sesusuan kamu. (Surah Al-Nisâ’: 23)
Namun demikian, dari segi nasab anak tersebut tetap tidak berubah, dia tetap dibin atau dibintikan kepada bapa kandungnya, dan seterusnya, bapa angkat itu tetap tidak layak menjadi wali nikah kepada anak angkatnya, walaupun dia sudah menjadi anak susuannya.
Begitu juga dalam masalah harta pusaka, tidak tsabit dengan susuan itu untuk mereka (anak angkat dan keluarga angkat) saling waris mewarisi antara satu sama lain.
Kesimpulan
Nasab atau keturunan adalah di antara maslahat yang sangat- sangat dilindungi oleh syara‘ di mana nasab itu adalah seteguh- teguh tiang, berdiri di atasnya ikatan kekeluargaan. Maka dengan itu diharamkan perbuatan memindahkan nasab seseorang kepada orang lain yang tidak berhak untuk dinasabkan kepadanya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Maksudnya: Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya). (Surah Al-Furqân: 54)
Sememangnya jika berlaku penyelewengan atau kejahilan dalam meletakkan nasab, akan menimbulkan berbagai-bagai kesan, umpamanya dalam harta pusaka, masalah nikah kahwin dan pergaulan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6380
