Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Inai: Adat Dan Syariat

Pendahuluan

Sebelum kedatangan Islam, berinai atau berpacar sebenarnya sudahpun wujud. Memang sejak dahulu lagi orang sudah tahu berinai sebagai salah satu cara untuk berhias. Tidak terkecuali juga bagi masyarakat kita masyarakat Melayu. Orang-orang kita tidak ketinggalan menggunakan inai sebagai salah satu cara berhias.

Berinai itu umumnya masih lagi merupakan salah satu acara di dalam adat perkahwinan orang Melayu, sama ada pengantin lelaki ataupun pengantin perempuan.

Persoalannya sekarang, bagaimanakah kedudukan perkara ini mengikut perspektif Islam? Adakah adat seperti itu disyariatkan di dalam Islam? Seterusnya, untuk siapakah dibolehkan berinai dan bagaimana pula cara yang dianjurkan? Persoalan ini memerlukan huraian dan jawapan.

Berinai Bagi Perempuan

Untuk menghuraikan mengenai perkara ini sayugialah diketahui bahawa hukum berinai bagi perempuan adakalanya sunat dan adakalanya makruh, bahkan adakalanya haram. Perbezaan hukum ini nampak apabila dirujuk kepada keadaan serta status perempuan itu sama ada bersuami ataupun tidak. Selain itu, dirujuk juga kepada tujuan berinai.

i. Hukum berinai atau berpacar bagi perempuan yang tiada suami:

- Berinai kerana hendak berihram

Para ulama Syafi‘e sepakat mengatakan bahawa berinai itu sunat bagi perempuan yang hendak melakukan ihram, kerana berinai itu memang sunat dengan sebab ingin melakukan ihram.

Sunat bagi perempuan tersebut berinai dengan daun inai pada seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangannya. Disunatkan juga baginya menyapukan sedikit inai ke mukanya, sebab ketika ihram, perempuan disuruh membuka muka dan kadang-kadang kedua telapak tangannya akan terbuka. Maka dengan berinai itu akan menutupi warna kulit tangan dan muka.

Hukum ini tidak ada bezanya sama ada perempuan itu mempunyai suami ataupun tidak. Begitu juga tidak ada bezanya sama ada perempuan itu tua ataupun muda.

Akan tetapi perempuan yang sudah berniat ihram adalah makruh hukumnya memakai inai, kerana berinai itu termasuk dalam perkara berhias.

Walau bagaimanapun tidaklah dikenakan membayar fidyah ke atas perempuan yang memakai inai semasa dalam ihram kerana inai itu bukan termasuk wangi-wangian.

- Berinai bukan kerana hendak berihram

Sebaliknya jika perempuan yang tidak mempunyai suami itu berinai tanpa ada sesuatu sebab keuzuran dan tidak pula dia bermaksud untuk melakukan ihram, maka adalah makruh hukumnya dia berbuat seperti itu, kerana ditakuti akan menimbulkan fitnah.

Oleh yang demikian makruh bagi perempuan berkenaan berinai pada dua tangan dan dua kaki, berbeza halnya dengan perempuan yang bersuami adalah sunat baginya berbuat demikian.

Haram bagi perempuan yang tidak mempunyai suami berinai dengan membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai dengan di hujung jari saja dan memerahkan pipi dengan daun inai atau seumpamanya.

ii. Hukum berinai bagi perempuan yang bersuami:

- Berinai kerana hendak berihram Ulama Syafi‘e telah sepakat mengatakan bahawa sunat bagi perempuan yang bersuami berinai kerana hendak melakukan ihram, seperti halnya juga perempuan yang tiada suami.

Sebaliknya dimakruhkan baginya berinai setelah masuk ihram, kerana berinai itu termasuk dalam perkara berhias sedangkan berhias tidaklah dituntut semasa di dalam ihram. Kalaupun dia memakai inai semasa ihram tidaklah dikenakan membayar fidyah ke atasnya.

- Berinai bukan kerana hendak berihram

Disunatkan bagi perempuan yang bersuami itu berinai pada bila-bila masa walaupun bukan bertujuan untuk melakukan ihram, kerana berinai itu adalah satu perhiasan dan kecantikan dan perempuan berkenaan disunatkan berhias dan bermolek-molek untuk suaminya pada setiap waktu.

Bagaimanakah pula cara berinai yang dianjurkan oleh Islam?

Cara berinai yang disunatkan ialah dengan menginai seluruh telapak tangan termasuk jari-jari sehingga ke pergelangan. Pada kaki pula disunatkan menginai seluruh telapak kaki.

Tidak memadai berinai itu dengan hanya menginaikan hujung-hujung jari sahaja dan membuat ukiran-ukiran tertentu.

Sebahagian orang di kalangan masyarakat kita selalunya berinai dengan membuat ukiran-ukiran tertentu mengikut selera masing-masing. Ada yang membuat ukiran berbentuk bulatan, membujur, berbentuk huruf, bertitik-titik dan sebagainya. Di samping itu juga mereka hanya menginai setakat di hujung-hujung jari sahaja, cara begini sebenarnya bukanlah cara yang dianjurkan, bahkan haram hukumnya berbuat begitu.

Akan tetapi diharuskan bagi perempuan yang bersuami berinai dengan cara berkenaan dengan syarat ada keizinan daripada suami untuk dia berbuat begitu. Ini memandangkan suami mempunyai tujuan supaya isterinya berhias untuknya. Jika tidak ada keizinan suami, hukumnya tetap haram.

Haram ke atas perempuan, sama ada yang bersuami ataupun tidak, berpacar dengan pacar yang berwarna hitam. Begitu juga diharamkan bagi mereka memerahkan pipi dengan daun inai atau seumpamanya. Kecuali jika diizinkan oleh suami untuk isteri berbuat begitu (bagi perempuan yang bersuami) kerana bagi tujuan berhias untuk suaminya.

iii. Hukum berinai bagi perempuan yang berkabung (ihdâd):

Berkabung (ihdâd) itu ialah meninggalkan dari memakai pakaian yang berhias, memakai barang-barang perhiasan dan memakai harum-haruman.

Seorang isteri yang kematian suami wajib ke atasnya melakukan ihdâd selama waktu dia menjalani ‘iddah kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari. Maka wajib ke atasnya meninggalkan dari memakai pakaian dan perhiasan yang bagus-bagus serta meninggalkan daripada memakai wangi-wangian pada tubuh badan.

Hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Maksudnya: Daripada Ummu ‘Athiyyah dia berkata: “Adalah kami dilarang berkabung kerana kematian lebih dari tiga hari kecuali kerana kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari. Semasa waktu berkabung itu kami tidak boleh bercelak, tidak boleh pula berharum-haruman dan tidak boleh memakai pakaian yang berwarna-warni. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Termasuk di dalam perkara meninggalkan berhias semasa berkabung itu ialah berinai.

Haram bagi perempuan berkenaan berinai, sama ada dengan daun inai atau seumpamanya, pada anggota yang zahir daripada tubuh badan, seperti berinai pada muka, dua belah tangan dan pada dua belah kaki.

Sebaliknya tidaklah diharamkan ke atasnya berinai atau berpacar pada anggota yang tertutup oleh pakaian.

Apakah pula hukumnya berpacar kuku dengan menggunakan pacar kuku cutex?

Berpacar kuku dengan menggunakan bahan berkenaan tiadalah disunatkan bagi perempuan yang bersuami. Jika suaminya tidak mengizinkan dia berbuat begitu haram ke atasnya berpacar dengan cutex itu.

Adapun perempuan yang tiada suami haram ke atasnya berpacar dengan cutex.

Andaikata cutex itu diperbuat daripada benda-benda yang najis, diharamkan berpacar dengannya, bahkan diharamkan menggunakannya, kerana menggunakan benda najis itu haram hukumnya.

Sekiranya cutex itu menghalang air daripada sampai ke kuku, maka wajiblah ditanggalkan cutex itu sebelum mengambil air sembahyang dan mandi hadats besar seperti mandi suci daripada haidh dan nifas, kerana menyampaikan air ke anggota-anggota yang wajib dibasuh semasa berwudhu’ dan mandi hadats besar adalah wajib hukumnya.

Berinai Bagi Lelaki

Adapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

Maksudnya: Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kaum lelaki memakai za‘farân (kuma-kuma). (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Za‘farân (kuma-kuma) adalah sejenis daun tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan warna serta berbau harum.

Dilarang memakai za‘farân (kuma-kuma) bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan baunya, kerana memakai benda yang harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun inai itu sama seperti za‘farân dari segi mengeluarkan warna dan bau.

Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu terdapat di dalamnya unsur-unsur menyerupai atau meniru-niru cara kaum wanita berhias. Haram hukumnya perbuatan meniru-niru atau menyerupai antara lelaki dan perempuan, sebagaimana ditegaskan di dalam sebuah hadits shahîh:

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau meniru- niru kaum wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau meniru-niru kaum lelaki. (Hadits riwayat Bukhari)

Akan tetapi jika sekiranya lelaki itu berinai kerana ada keuzuran iaitu ada keperluan atau hajat untuk berubat, tidaklah diharamkan malahan tidaklah dimakruhkan ke atasnya untuk berinai.

Sebagaimana tersebut di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud:

Maksudnya: Daripada Salma khadam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dia berkata: “Tidak mengadu kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam seseorang tentang sakit di kepala melainkan Baginda menyuruh orang itu supaya berbekam, dan tidak mengadu kepadanya seseorang tentang sakit di kakinya (pecah kulit) melainkan Baginda menyuruhnya supaya berinai. (Hadits riwayat Abu Daud)

Merujuk kepada apa yang berlaku sekarang ini di tengah masyarakat kita, perbuatan berinai bagi lelaki masih wujud walaupun ada di antaranya telah mengetahui tentang hukum halal haramnya, khasnya kepada pengantin lelaki pada majlis malam berpacar. Berinai bagi pengantin lelaki hukumnya tetap haram. Pengecualian daripada hukum tersebut hanya terbatas kepada keadaan jika ada keuzuran sahaja, iaitu bagi tujuan berubat, sebagaimana disebutkan terdahulu.

Secara umumnya berinai bagi pengantin lelaki pada tangan dan kaki hanya merupakan adat semata-mata, tidak ada disyariatkan di dalam Islam.

- Berinai pada uban dan janggut

Sunat berinai dengan daun inai atau sebagainya pada uban dan janggut, dengan warna merah atau kuning bukan warna hitam, kerana berinai dengan warna hitam itu haram hukumnya. Perkara ini telah disepakati oleh ulama Syafi‘e.

Di antara dalil yang menunjukkan sunat berinai pada uban dan janggut, hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mencelup (rambut dan janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Sementara itu dalil yang menunjukkan haram berinai dengan warna hitam ialah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah katanya: “Pada hari penaklukan Makkah dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaghâmah (sejenis tumbuhan bunga dan buahnya berwarna putih seperti putih uban). Maka bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Celuplah (rambut dan janggut) kamu selain dengan warna hitam. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Di samping itu ada hadits lain yang menyebutkan akan amaran terhadap orang yang mewarnakan atau berinai dengan warna hitam sebagaimana sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Akan ada satu kumpulan orang berinai dengan warna hitam pada akhir zaman (seperti sekarang) seperti dada burung merpati yang hitam, mereka tidak dapat mencium bau syurga. (Hadits riwayat Abu Daud, Nasâ’i dan lain-lain)

Terdapat pengecualian daripada hukum haram berinai dengan warna hitam itu di mana dibolehkan bagi lelaki berinai pada uban dan janggut, iaitu pada waktu peperangan supaya kelihatan muda dan perkasa bagi tujuan menggerunkan dan menakutkan musuh.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6372