Etika Menziarahi Orang Yang Sakit
Berdasarkan Al-Qur’an bahawa orang-orang mukmin itu adalah bersaudara. Untuk menuju kepada matlamat persaudaraan itu, Islam telah meletakkan garis panduan bagaimana untuk mencapai matlamat itu.
Mencintai saudara Islam adalah di antara ciri-ciri kesempurnaan iman, kerana itu ditekankan bahawa tiada sempurna keislaman seseorang Islam itu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
Digambarkan lagi bahawa perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling cinta mencintai, kasih mengasihi serta sayang menyayangi itu adalah seperti satu jasad (tubuh badan), apabila salah satu anggota merasa sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasa sakit.
Ini jelas sebagaimana hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Maksudnya: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling cinta menyintai, kasih mengasihi dan sayang menyayangi adalah seperti satu jasad (tubuh badan), apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan turut merasa sakit, tidak dapat tidur dan merasa demam. (Hadits riwayat Muslim)
Oleh kerana itu sebarang unsur-unsur yang membawa kepada perpecahan boleh menjadi sebab kemurkaan dan laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Perkara perpaduan dan perpecahan ini jelas di dalam Islam.
Ke arah kesempurnaan iman dalam mengeratkan persaudaraan, Islam meletakkan berbagai-bagai cara, di antaranya menziarahi orang yang sakit.
Hukum Ziarah
Agama Islam sendiri mensyariatkan bahawa menziarah orang yang sakit itu hukumnya adalah sunat muakkadah. Banyak hadits-hadits shahîh yang menegaskan mengenai ketetapan hukum tersebut. Di antaranya ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:
Maksudnya: Daripada Al-Barra’ Radhiallahu ‘anhu katanya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami (melakukan) tujuh perkara dan menegah kami daripada tujuh perkara (iaitu), Baginda menyuruh kami mengiringi jenazah dan menziarahi orang yang sakit..................(Al-Hadits) (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Ditegaskan juga bahawa di antara hak seorang Islam yang perlu dilaksanakan oleh saudara Islamnya sendiri ialah menziarahinya ketika dia sakit, sebagaimana hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hak seorang muslim ke atas seorang muslim (yang lain) ada lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendoakan orang bersin.” (Hadits riwayat Bukhari)
Ketetapan hukum tersebut tidak terbatas kepada menziarahi orang-orang tertentu sahaja dari kalangan ahli keluarga, sahabat, jiran tetangga dan sebagainya. Bahkan sunat menziarahi orang yang sakit walaupun dia bukan daripada orang-orang yang terdekat atau orang yang kita kenali. Umpamanya, kita ikut sama kawan kita yang menziarahi jirannya yang sedang sakit, padahal kita tidak mengenali jirannya itu. Ini adalah berdasarkan hadits di atas tadi yang menegaskan secara umum perihal menziarahi orang yang sakit itu.
Adapun menziarahi orang kafir dzimmi yang sakit adalah harus di sisi syara‘ kerana berharap supaya dia memeluk Islam. lebih- lebih lagi jika dia terdiri daripada keluarga ataupun jiran tetangga, sebagaimana tersebut di dalam hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Anas Radhiallahu ‘anhu dia berkata:
Maksudnya: Adalah seorang budak Yahudi berkhidmat untuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu dia jatuh sakit. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam datang kepadanya untuk menziarahinya lalu Baginda pun duduk dekat kepalanya dan berkata kepadanya: “Masuklah engkau ke dalam agama Islam.” Maka budak itu memandang kepada bapanya yang berada di sisinya dan (bapanya) berkata kepadanya: “Turutilah perintah Abu Al-Qasim (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam).” Lalu dia pun memeluk Islam. Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun keluar dan berkata: “Segala puji-pujian bagi Allah yang menyelamatkannya daripada api neraka.” (Hadits riwayat Bukhari)
Di dalam hadits yang lain juga ada disebutkan mengenai perkara ini sebagaimana kata Sa‘id bin Al-Musayyab daripada bapanya:
Maksudnya: Ketika Abu Thalib hampir hendak mati Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam datang menziarahinya. (Hadits riwayat Bukhari)
Disunatkan menziarahi orang yang sakit itu walaupun hanya sakit mata sebagaimana hadits Zaid bin Arqam dia berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menziarahi aku (Zaid) ketika aku sakit mata. (Hadits riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)
Perlu juga diambil kira dalam hal ini, bahawa kadar sakit yang dialami oleh pesakit yang disunatkan kita menziarahinya ialah pada kadar kira-kira dia diharuskan meninggalkan fardhu Jumu‘ah, maka jika hanya sekadar sakit yang ringan tidaklah dituntut menziarahinya.
Fadhilat Ziarah
Sesungguhnya di sebalik kita dituntut mengunjungi atau menziarahi orang yang sakit, terkandung di dalamnya banyak kelebihan dan fadhilat.
Di antaranya ialah sebagaimana yang tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Maksudnya: Daripada Tsauban Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda: “Sesungguhnya seorang muslim apabila dia menziarahi saudara muslimnya yang sakit sentiasalah dia berada di dalam kebun syurga memetik buah-buahannya sehinggalah dia pulang.” (Hadits riwayat Muslim)
Pengertian daripada hadits di atas bahawa kelebihan seseorang yang pergi menziarahi saudaranya yang sakit itu umpama dia berjalan-berjalan di dalam kebun syurga memetik dan menghimpun buah-buahan di dalamnya. Keadaannya itu berlanjutan sehinggalah dia pulang dari berziarah.
Tersebut di dalam satu riwayat daripada Sa‘id bin ‘Ilaqah beliau menceritakan bahawa pada satu masa Sayyidina Ali Karramallahu wajhahu memegang tanganku dengan tangannya supaya pergi bersama-sama ke rumah anaknya Sayyidina Hasan, seraya beliau berkata: “Wahai Sa‘id marilah pergi bersama-samaku menziarahi anakku Hasan yang sedang sakit.”
Maka aku pun pergilah bersama-samanya ke rumah anaknya. Manakala kami masuk ke dalam rumah, kami dapati di sisi Hasan seorang sahabat yang masyhur namanya Abu Musa Al-Asy‘ari. Lalu kami duduk bersama-samanya, maka Sayyidina Ali berkata kepada Abu Musa: “Adakah tuan hamba datang dengan niat ziarah anakku kerana sakitnya atau hanya ziarah semata-mata, bukan kerana sakitnya?” Lalu dijawab oleh Abu Musa: “Wahai tuan hamba, hamba datang bukanlah kerana ziarah semata-mata, bahkan hamba dengar bahawa Hasan ini sedang sakit, maka hamba datanglah menziarahinya.”
Apabila Sayyidina Ali mendengar penjelasan daripada Abu Musa itu dia pun berkata: “Kalau begitu, aku suka hendak memberitahumu satu kesukaan yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda:
Maksudnya: Tiada seorang muslim itu melawat seorang muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu petang dan (tiada) dia melawatnya pada waktu petang melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu pagi dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan di dalam syurga. (Hadits riwayat Tirmidzi)
Begitulah betapa besarnya fadhilat dan kelebihan menziarahi orang yang sakit itu.
Sementara itu doa orang yang sakit itu pula adalah mustajab sehinggakan diumpamakan doanya itu seperti doa para malaikat. Maka dalam hal ini, di samping kita datang berziarah, kita disuruh bahkan disunatkan meminta daripada orang yang sakit itu supaya dia mendoakan bagi kita sesuatu hajat. Hal ini ada disebutkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah:
Maksudnya: Daripada ‘Umar bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku: “Apabila engkau datang mengunjungi orang yang sakit, maka mintalah agar dia mendoakanmu, kerana doanya (makbul) seperti doa para malaikat.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Begitulah di antara fadhilat dan kelebihan menziarahi orang yang sakit itu. Banyak lagi hadits-hadits lain yang menegaskan mengenainya.
Kekerapan Ziarah
Apa yang dimaksudkan di sini ialah kekerapan ziarah yang dituntut oleh syara‘.
Dalam perkara ini bolehlah dibahagikan kepada dua keadaan dengan merujuk kepada hubungan orang yang datang menziarahi dengan orang yang sakit itu.
Menziarahi orang yang sakit yang dianjurkan itu hendaklah dibuat secara berselang dan tidak dilakukan pada tiap-tiap hari. Ketentuan ini adalah bagi orang yang tidak mempunyai hubungan rapat dengan orang yang sakit itu.
Sebaliknya jika orang yang menziarahi itu mempunyai hubungan yang rapat dengan orang yang sakit itu seperti hubungan keluarga atau sahabat karib, ataupun jika tidak datang melawat tiap-tiap hari akan mendatangkan kesusahan dan kepayahan terhadap orang yang sakit itu, maka yang demikian itu bolehlah datang menziarahinya setiap hari selama mana tidak ditegah daripada menziarahinya, ataupun tidak menimbulkan rasa kurang senang oleh orang yang sakit itu.
Ada ulama mengatakan bahawa berziarah pada hari Jumaat itu lebih afdhal daripada hari-hari yang lain.
Sungguhpun begitu, tidaklah menjadi halangan jika ziarah tersebut dibuat pada hari-hari yang lain, kerana ianya juga tertakluk kepada kekosongan atau kelapangan dan kesesuaian masa seseorang, sama ada orang yang menziarahi ataupun orang yang diziarahi.
Adab Ketika Ziarah
(i) Apabila kita datang berziarah, janganlah duduk di sisi orang yang sakit terlalu lama, kerana yang demikian itu kemungkinan menyebabkannya merasa keluh kesah dan menghalang sebahagian pergerakannya. Akan tetapi jika kedatangan orang yang menziarahinya itu boleh mendatangkan kesukaan dan ketenteraman di hati orang yang sakit tersebut, maka tidaklah makruh duduk di sisinya walaupun dalam masa yang lama.
(ii) Adalah elok bagi orang yang datang berziarah itu bertanyakan akan keadaan orang yang sakit sambil meletakkan tangan di atas dahi atau tangan orang yang sakit itu.
Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
Maksudnya: Daripada Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam Baginda bersabda: “Sebahagian dari kesempurnaan cara mengunjungi orang yang sakit, hendaklah seseorang itu meletakkan tangannya di atas dahi atau tangan orang yang sakit itu, lalu bertanya kepadanya tentang keadaannya.” (Hadits riwayat Ahmad)
(iii) Bagi orang yang berziarah disunatkan juga menanyakan bagaimana keadaan orang yang sakit itu kepada ahli keluarganya, terutama sekali bilamana orang tersebut dalam keadaan tenat tidak boleh bercakap-cakap. Telah diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Bahawasanya sejurus Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu keluar dari (bilik) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sedang sakit menjelang kewafatan Baginda, para sahabat bertanya: “Wahai Abu Hasan (Ali) bagaimana dengan kesihatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam?” Ali menjawab: “Alhamdulillah, Baginda dalam keadaan baik-baik saja.” (Hadits riwayat Bukhari)
(iv) Apabila berada di sisi orang yang sakit, disunatkan menyuruhnya supaya sentiasa banyak bersabar serta menyenangkan dan mententeramkan hatinya. Katakan kepadanya bahawa apa yang ditanggungnya sekarang ini merupakan sebahagian daripada ujian Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan segala apa yang dideritainya itu insya Allah akan membersihkannya daripada dosa serta mendapat ganjaran pahala yang besar.
Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam datang melawat seorang Arab Badwi yang sakit. Dia (Ibnu ‘Abbas) berkata: “Adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila datang melawat orang yang sakit Baginda mengucapkan: “(Penyakit ini) tidak apa-apa, malah membersihkan (daripada dosa), insya Allah.” (Hadits riwayat Bukhari)
(v) Selain daripada datang berziarah, disunatkan juga mendoakan orang yang sakit supaya sembuh dari penyakitnya, sama ada ketika menziarahinya ataupun tidak.
Banyak hadits-hadits yang menyebutkan mengenai doa-doa yang boleh dibaca bagi memohon kesembuhan dan keafiatan orang yang sakit, di antara doa-doa tersebut, diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa melawat orang yang sakit yang belum sampai (membawa) ajalnya, lalu dia membaca tujuh kali di sisi orang yang sakit itu: “Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung, semoga Dia menyembuhkanmu”, melainkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyembuhkannya dari penyakitnya itu. (Hadits riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Diriwayatkan daripada Sa‘d bin Abu Waqqash Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengunjungi aku (ketika aku sedang sakit), lalu Baginda membaca: “Ya Allah sembuhkanlah Sa‘d, ya Allah sembuhkanlah Sa‘d, ya Allah sembuhkanlah Sa‘d.”
(Hadits riwayat Muslim)
Daripada Anas Radhiallahu ‘anhu beliau berkata kepada Tsabit Rahimahullah:
Maksudnya: “Mahukah aku bacakan kepadamu jampi penyembuh yang dibaca oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam?” Tsabit berkata: “Ya, sudah tentu.” (Lalu Anas membacakannya dengan) berkata: “Ya Allah, Tuhan (yang Memelihara) manusia, yang menghilangkan kesusahan (sakit), sembuhkanlah dia. Engkaulah yang Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan kecuali Engkau. Sembuh yang tidak meninggalkan penyakit yang lain.” (Hadits riwayat Bukhari)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri bilamana Baginda jatuh sakit, Baginda meminta isterinya Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha membacakan mu‘awwidzât (surah Al-Ikhlâsh, surah Al-Falaq dan surah Al- Nâs) kepadanya. Sebagaimana tersebut di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:
Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila baring di tempat tidurnya Baginda menemukan kedua telapak tangannya, kemudian ditiupnya seraya membaca pada kedua telapak tangan itu: قل هو هللا أحد (surah Al-Ikhlâsh), قل أعوذ برب الفلق (surah Al-Falaq) dan قلأعوذبربالناس (surah Al-Nâs). Kemudian menyapukan kedua telapak tangannya itu ke badannya sedapat mungkin; dimulai dari kepala dan mukanya terus sampai ke bahagian hadapan badannya. Hal ini Baginda lakukan sebanyak tiga kali. ‘Aisyah berkata: “Manakala Baginda mengadu kesakitan disuruhnya aku berbuat seperti yang sedemikian itu.” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Di antara pengajaran yang dapat kita ambil daripada hadits di atas bahawa adalah sunat menjampi atau menawari dengan menggunakan ayat-ayat Al- Qur’an dan segala zikir-zikir yang diketahui akan keshahîhannya. Sudah setentunya jampi-jampi tersebut hendaklah digunakan pada maksud yang baik, seperti mengubati sesuatu penyakit.
Adapun sebab mengapa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam selalu menggunakan mu‘awwidzât sebagai jampi atau doa perlindungan ialah kerana di dalamnya terhimpun segala perlindungan daripada tiap-tiap yang tidak disukai, seperti berlindung daripada kejahatan sihir, was-was syaitan, kejahatan bisikan dan hasutan dari kalangan jin dan manusia, hasad dengki orang lain dan sebagainya.
Diriwayatkan pula daripada Abu Sa‘id Al-Khudri beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ta‘awwudz (doa perlindungan) daripada jin dan mata manusia sehinggalah turun mu‘awwidzatân, maka tatkala turun keduanya (mu‘awwidzatân) Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun sentiasa mengamalkannya dan meninggalkan selain daripada keduanya. (Hadits riwayat Tirmidzi)
Adapun pengertian daripada hadits tersebut ialah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum turunnya dua surah daripada Al-Qur’an iaitu surah Al-Falaq dan surah Al-Nâs yang lebih dikenali sebagai al-mu‘awwidzatân, Baginda memohon perlindungan daripada kejahatan syaitan dan manusia dengan membaca doa perlindungan, seperti doa Baginda:
Maksudnya: Ya Tuhan, aku berlindung denganMu daripada godaan syaitan.
Akan tetapi setelah turunnya dua surah tersebut Baginda sentiasa mengamalkannya sebagai doa perlindungan.
(vi) Andaikata orang yang sakit yang diziarahi itu nampaknya sudah terlalu berat menanggung kesakitan atau harapan untuk sembuh tidak ada lagi dan kematian sudah hampir menjemputnya, maka dalam keadaan seperti ini sunat ditalqînkan atau mengajarkannya dengan ucapan الإله إال هللا supaya kalimah tauhid tersebut menjadi kalimah yang terakhir diucapkannya dan menjadi penutup pertuturannya sebelum dia meninggal dunia.
Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Maksudnya: Daripada Abu Sa‘id Al-Khudri beliau berkata: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ajarkanlah kepada orang-orang kamu yang hampir meninggal membaca kalimah الإله إال هللا.” (Hadits riwayat Muslim)
Perlu diingat bahawa apabila orang yang sakit yang ditalqînkan itu mengucapkan kalimat tauhid tersebut maka jangan lagi diulang-ulang, memadailah sudah dengan apa yang diucapkannya itu. Melainkan jika selepas mengucapkan kalimah tauhid itu dia masih lagi bercakap-cakap atau menuturkan perkara-perkara lain selain daripada kalimah tauhid.
(vii) Sunat dibacakan di sisi orang yang hampir meninggal dunia itu surah Yâsîn sebagaimana juga disunatkan membaca surah Al-Ra‘d.
(viii) Selain daripada itu sunat menghadapkannya ke arah kiblat iaitu membaringkannya pada rusuk sebelah kanannya dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. Jikalau menjadi kesukaran, baringkan dia pada rusuk sebelah kirinya dengan menghadapkan ke arah kiblat.
Jikalau menjadi kesukaran juga, baringkan dia dengan menelentang dan menghadapkan muka serta telapak kakinya ke arah kiblat. Angkat sedikit kepalanya supaya mukanya menghadap ke arah kiblat.
(ix) Di antara perkara yang perlu dijaga, khususnya ketika datang berziarah di tempat awam seperti hospital, hendaklah mengikut arahan-arahan yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu.
Umpamanya, jika arahan itu menegah kanak-kanak di bawah umur masuk melawat, maka hendaklah dipatuhi arahan tersebut, kerana arahan seperti itu atau seumpamanya tidak lain dan tidak bukan tujuannya ialah untuk menjaga kepentingan umum, terutamanya untuk menjaga maslahat orang-orang yang sedang sakit.
Penutup
Sunnah menziarahi orang yang sakit ini janganlah diabai-abaikan. Di samping untuk mewujudkan rasa mahabbah, mengeratkan hubungan persaudaraan atau kekeluargaan, adalah juga untuk memperolehi keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6408
