Menyedekahkan Daging Korban Wajib Kepada Orang Yang DiBawah Tanggungan
Hukum asal ibadat korban ialah sunat mu’akkadah (sangat dituntut). Namun ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan. Sama ada nazar itu nazar yang sebenar (ْقَة حَقِي) ataupun nazar dari segi hukum (حُكْما). Perkara ini adalah berdasarkan hadits daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatiNya (dengan melaksanakan nazar tersebut). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Nazar yang sebenar itu ialah seperti seseorang berkata: “Kerana Allah, wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, atau seseorang berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.
Manakala nazar dari segi hukum pula ialah seperti seseorang berkata: “Aku jadikan kambing ini binatang korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah binatang korban”. Maka kedua-dua lafaz tersebut dianggap sama seperti bernazar kerana dia telah menentukan (ta‘yîn) binatang tersebut sebagai binatang korban.
Apabila ibadat korban menjadi wajib, maka haram hukumnya atas orang yang berkorban wajib itu memakan daging korbannya dan wajib dia menyedekahkan kesemua bahagian binatang korban wajib tersebut kepada orang fakir atau miskin.
Menyentuh mengenai sedekah kepada orang fakir atau miskin itu, dalam beberapa keadaan, seseorang yang berkorban wajib itu berkemungkinan akan menyedekahkan atau memberi makan daging korban wajibnya kepada ahli keluarganya yang miskin dan berada di bawah tanggungannya.
Namun persoalannya, adakah boleh memberi makan daging korban wajib kepada orang yang di bawah tanggungan?
Siapa Orang yang di Bawah Tanggungan?
Sebelum dijelaskan mengenai hukum seseorang menyedekahkan daging korban wajibnya kepada orang yang berada di bawah tanggungannya, perlu diketahui terlebih dahulu siapa yang dimaksudkan dengan orang yang wajib ditanggungnya itu.
Menurut jumhûr ulama, kewajiban nafkah terhadap orang lain terjadi disebabkan tiga perkara, iaitu pernikahan, kerabat dan milik (tuan terhadap hambanya). Walau bagaimanapun, kita hanya akan memfokuskan perbahasan mengenai kewajiban nafkah disebabkan pernikahan dan kerabat sahaja.
Adapun kewajiban nafkah disebabkan pernikahan, maka suami adalah wajib menanggung nafkah isterinya. Jika isteri menjalani ‘iddah kerana thalaq ar-raj‘i (thalaq satu atau dua), maka wajib baginya nafkah daripada suaminya sepanjang dia menjalani ‘iddah jika dia tidak hamil atau sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya jika dia hamil.
Namun jika isteri menjalani ‘iddah kerana thalaq bâ’in (thalaq tiga atau khulu‘) dan isteri itu tidak hamil, maka suami tidak wajib memberi nafkah kepada bekas isterinya.
Walau bagaimanapun jika isteri yang menjalani ‘iddah thalaq bâ’in itu hamil, menurut ijmâ‘ ulama dia diberikan nafkah sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya dan disyaratkan anak dalam kandungan itu adalah keturunan daripada suami yang menceraikannya.
Manakala kewajiban nafkah disebabkan kerabat pula, mereka yang wajib ditanggung nafkahnya ialah daripada golongan al-ushûl dan al-furû‘.
Golongan al-ushûl itu ialah bapa dan ke atas seperti datuk sama ada dari sebelah bapa dan sebelah ibu dan ke atas, termasuk ibu dan nenek dari sebelah bapa dan sebelah ibu dan ke atas.
Manakala golongan al-furû‘ pula ialah anak, sama ada anak lelaki atau anak perempuan dan ke bawah seperti cucu, sama ada cucu lelaki atau cucu perempuan.
Adapun golongan al-hawâsyi iaitu adik-beradik, bapa saudara dan ibu saudara adalah tidak termasuk dalam kategori orang yang wajib ditanggung nafkahnya disebabkan kerabat.
Berdasarkan keterangan di atas, isteri adalah orang yang di bawah tanggungan suami. Anak, cucu dan ke bawah (al-furû‘) adalah orang yang di bawah tanggungan bapa atau datuk dan ke atas (al-ushûl). Bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas (al-ushûl) adalah orang yang di bawah tanggungan anak atau cucu dan ke bawah (al-furû‘).
Menyedekahkan Daging Korban Wajib Kepada Orang di Bawah Tanggungan
Menurut Imam al-Bajuri Rahimahullâh dalam Hâsyiyah al-Bajuri ‘alâ Ibn Qasim al-Ghazzi, tidak harus bagi orang ditanggung nafkahnya itu memakan daging korban wajib kepunyaan orang yang menanggung nafkah mereka sebagaimana kata-kata beliau ketika mensyarahkan kata-kata Imam Ibn Qasim al-Ghazzi Rahimahullâh:
Ertinya: Katanya (Imam Ibn Qasim al-Ghazzi Rahimahullâh): “Dan dia tidak makan” iaitu tidak harus baginya memakan (daging korban wajib), jika dia memakan sesuatu (daripada daging tersebut), dia (hendaklah) membayar dendanya (dengan menggantinya), dan katanya: “Orang yang berkorban” dan demikian juga (termasuk) orang yang wajib (ditanggungnya) nafkahnya.
Bahkan menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitabnya Bujairimi ‘alâ al-Khathib, haram hukumnya bagi orang yang berkorban wajib dan juga orang-orang di bawah tanggungannya mengambil sesuatu daripada korban wajib itu sebagaimana perkataan beliau:
Ertinya: Dan tidak wajib (korban itu) kecuali dengan nazar iaitu atau apa yang berkait dengannya (nazar) seperti dia membeli kambing lalu dia berkata: “Ini adalah korban” maka ia (kambing tersebut) wajib (menjadi korban) dengan semata-mata (adanya) lafaz ini dan haram ke atasnya (orang yang berkorban) dan ke atas orang yang wajib (ditanggungnya) nafkahnya untuk mengambil sesuatu daripadanya (korban wajib tersebut).
Oleh yang demikian, mana-mana bahagian daripada binatang korban wajib adalah haram diambil atau dimanfaatkan oleh orang yang berkorban wajib termasuk orang-orang yang di bawah tanggungannya. Jika orang berkorban wajib atau orang di bawah tanggungannya memakan daging korban wajib tersebut, maka wajib dia menggantinya dengan nilai mengikut kadar daging yang dimakannya dan menyedekahkannya kepada fakir atau miskin, namun tidak wajib menyembelih binatang lain sebagai ganti.
Ini bererti orang yang berkorban wajib adalah haram baginya menyedekahkan mana-mana bahagian daripada korbannya kepada orang yang di bawah tanggungannya sekalipun mereka adalah tergolong dari ashnâf fakir atau miskin.
Demikian penjelasan mengenai hukum menyedekahkan daging korban wajib kepada orang yang di bawah tanggungan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6554
