Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Syarat-Syarat Sah Sujud Syukur

Pernyataan syukur seorang hamba kepada Allah Ta‘ala atas limpah ni‘mat yang dikurniakan Allah Ta‘ala kepadanya dapat dizahirkan dengan berbagai cara antaranya dengan melakukan sujud syukur. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Bahawasanya Baginda (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) apabila datang kepada Baginda perkara yang menggembirakan atau dikhabarkan dengannya (berita gembira), Baginda tunduk sujud bersyukur kepada Allah. (Hadits riwayat Abu Daud)

Para ulama menyebut bahawa sujud syukur sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang itu dikurniakan ni‘mat seperti mendapat anak, menerima kemuliaan, memperoleh harta yang halal, didatangi oleh orang yang telah lama menghilang, menang ke atas musuh, sembuh daripada sakit dan yang seumpamanya. Ia juga sunat dilakukan ketika seseorang itu terhindar daripada bahaya seperti terselamat daripada kebakaran atau daripada tenggelam. Sujud syukur juga sunat dilakukan apabila seseorang melihat orang lain ditimpa musibah pada tubuh badan atau sebagainya kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah melakukan sujud syukur ketika melihat orang yang ditimpa penyakit berpanjangan. Sujud syukur itu dilakukan kerana mensyukuri Allah Ta‘ala yang menyelamatkan dirinya dari musibah yang menimpa orang tersebut. Namun sujud syukur itu hendaklah tidak dizahirkan di hadapan orang yang ditimpa musibah agar tidak menyinggung perasaannya.

Selain itu, sujud syukur juga sunat dilakukan apabila melihat orang yang secara terang-terangan melakukan perbuatan maksiat atau fâsiq sebagai tanda syukur kepada Allah Ta‘ala kerana menyelamatkan dirinya daripada melakukan maksiat dan kefâsiqan orang tersebut dan menzahirkan sujud syukur itu di hadapan orang yang membuat maksiat atau fâsiq tersebut dengan harapan dia bertaubat.

Begitu juga sunat dilakukan sujud syukur itu ketika membaca surah Shâd iaitu firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Nabi Daud mengetahui bahawa sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu) lalu dia memohon ampun kepada Tuhannya dan tunduk sujud serta bertaubat. (Surah Shâd: 24)

Melakukan sujud syukur selepas membaca ayat ini adalah kerana mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan sujud syukur itu tidak boleh dilakukan dalam sembahyang dan haram melakukannya dalam sembahyang kerana perkara-perkara yang menyebabkan sujud syukur itu tidak ada kaitan dengan sembahyang. Jika sujud syukur sengaja dilakukan dalam sembahyang oleh orang yang tahu hukum haramnya, maka batal sembahyangnya.

Sujud syukur terluput apabila berlaku jarak yang panjang antara sujud dan sebabnya. Berlaku jarak yang panjang adalah dengan kadar dua rakaat sembahyang yang dilakukan dengan pergerakan yang sederhana.

Selain melakukan sujud syukur, disunatkan juga bersedekah atau melakukan sembahyang sunat dua rakaat tanda bersyukur di samping melakukan sujud syukur.

Mengenai sujud syukur ini, kadang-kadang ada kelihatan seseorang melakukan sujud syukur serta merta sebaik-baik sahaja berlaku atau dikhabarkan berita gembira kepadanya. Sebagai contoh seorang pemain bola yang melakukan sujud serta merta di tengah padang bola sebaik-baik saja dia menjaringkan gol atau seseorang yang menyertai pertandingan serta merta melakukan sujud di atas pentas sebaik-baik namanya diumumkan sebagai pemenang bagi tujuan menzahirkan rasa syukur kepada Allah Ta‘ala kerana kemenangan mereka itu. Perbuatan mereka melakukan sujud syukur dalam keadaan sedemikian menyebabkan timbul kekeliruan di kalangan segelintir penonton tentang kedudukan sah sujud seseorang yang melaksanakan secara demikian. Lebih-lebih lagi jika dilihat sujud tersebut dilakukan dalam keadaan tidak menutup aurat atau tidak menghadap qiblat bahkan ada antara penonton yang menyaksikannya berfikir mungkin saja orang itu melakukan sujud syukur dalam keadaan tidak berwudhu’ kerana sujud syukur dilakukan serta merta. Persoalan yang timbul, adakah sujud syukur yang dilakukan seperti itu sah sekiranya dilakukan dalam keadaan berhadats atau dalam keadaan tidak menutup aurat secara sempurna atau dalam keadaan tidak menghadap qiblat?

Syarat Sah Sujud Syukur

Perlaksanaan sujud syukur adalah sama seperti perlaksanaan sujud tilâwah yang dilakukan di luar sembahyang. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyebut:

Ertinya: (Dan ia) iaitu sujud syukur (kedudukannya) seperti sujud tilâwah luar waktu sembahyang pada kaifiyyah dan syarat-syaratnya.

Syarat-syarat sah sujud tilâwah pula adalah sama seperti syarat-syarat sah sembahyang sunat. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebut:

Ertinya: Dan disyaratkan (pada sujud tilâwah) syarat-syarat (sah) sembahyang yang termesti seperti menghadap (qiblat), menutup aurat, suci (daripada hadats dan najis), meninggalkan perkara-perkara yang merosakkan sembahyang seperti makan dan (disyaratkan juga) masuk waktu melakukan sujud.

Berdasarkan perkataan ulama yang menyandarkan syarat-syarat sujud tilâwah kepada syarat-syarat sah sembahyang sebagaimana di atas, maka syarat-syarat sah sujud syukur itu ialah:

1. Hendaklah melakukan sujud dengan menghadap qiblat.

2. Hendaklah menutup aurat.

3. Hendaklah suci daripada hadats dan najis.

4. Hendaklah sujud dilakukan sesudah masuk waktu melakukan sujud syukur iaitu sebaik-baik sahaja mendapat atau mendengar sesuatu perkara yang menyebabkan sunat melakukan sujud syukur seperti mendapat ni‘mat atau terhindar daripada musibah.

5. Hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang seperti makan, minum atau bercakap-cakap.

Maka adalah jelas bahawa untuk melakukan sujud syukur, seseorang itu hendaklah memenuhi syarat-syarat sah sujud syukur sebagaimana dijelaskan di atas. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu tidak berwudhu’ atau tidak memakai pakaian yang menutup aurat atau sujud dengan tidak menghadap qiblat, maka sujud syukur yang dilakukannya seperti itu adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah sujud syukur.

Demikian penjelasan mengenai syarat-syarat sah sujud syukur.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6550