Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Kelebihan Dan Tuntutan Membaca Surah Al-Kahfi Pada Hari Jumaat

Surah al-Kahfi adalah salah satu daripada surah-surah Makkiyyah iaitu surah yang diturunkan di Makkah. Surah tersebut mengandungi 110 ayat, berada dalam juz 15 dan surah ke-18 menurut susunan surah-surah dalam al-Qur’an.

Surah ini menceritakan tentang kisah Ashhâb al-Kahf (penghuni-penghuni gua) khususnya dalam ayat 9 hingga ayat 26 daripada surah tersebut. Ayat-ayat berkenaan menceritakan mengenai kisah beberapa orang pemuda yang mengorbankan ni‘mat kesenangan dunia dengan bersembunyi dalam sebuah gua demi menyelamatkan iman dan ‘aqidah mereka daripada seorang raja zalim yang memaksa rakyatnya menyembah berhala. Dalam gua tersebut mereka beroleh keamanan dan keselamatan. Mereka ditidurkan selama 309 tahun qamariyyah dalam gua tersebut dan dibangunkan semula dalam keadaan tubuh badan yang sihat dan sempurna.

Selain itu, ia juga menceritakan kisah Nabi Adam ‘Alaihi as-salâm dengan iblis, kisah Nabi Musa ‘Alaihi as-salâm dengan Nabi Khidhr ‘Alaihi as-salâm yang diberikan kebijaksanaan dan diberi mandat untuk mengajar Nabi Musa ‘Alaihi as-salâm. Selain itu juga terdapat kisah hamba Allah yang beriman, bersifat adil dan taqwa iaitu Zulqarnain yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ilmu, kemudahan dan kekuasaan untuk meluaskan kawasan pemerintahannya dan membina tembok yang menyekat kekejaman Ya’juj dan Ma’juj.

Surah al-Kahfi mempunyai banyak kelebihan sepertimana yang disebut dalam hadits-hadits shahîh. Antaranya, hadits yang diriwayatkan daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang hafaz sepuluh ayat dari awal surah al-Kahfi, dia terpelihara daripada Dajjal. (Hadits riwayat Muslim)

Namun melalui sanad lain, iaitu daripada Syu‘bah Rahimahullâh yang juga daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, perlindungan daripada Dajjal itu adalah bagi orang yang hafaz sepuluh ayat terakhir daripada surah tersebut. Hadits ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullâh.

Imam Ahmad Rahimahullâh juga ada meriwayatkan hadits daripada Abu ad- Darda’ Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang membaca sepuluh ayat dari akhir surah al-Kahfi, dia terpelihara daripada Dajjal. (Hadits riwayat Ahmad)

Kesemua riwayat yang disebut di atas adalah shahîh. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, dikatakan bahawa perkara ini adalah kerana sepuluh ayat terawal serta sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi ini mengandungi bukti-bukti dan keajaiban-keajaiban yang sekiranya seseorang merenung dan menghayati ayat-ayat berkenaan, dia akan selamat dan terhindar daripada fitnah Dajjal.

Al-Bara’ bin ‘Azib Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan bahawa membaca surah al-Kahfi itu mendatangkan ketenangan dan rahmat (sakînah) sebagaimana katanya:

Maksudnya: Seorang lelaki telah membaca surah al-Kahfi dan di sisinya ada seekor kuda yang diikat dengan dua tali. Lalu dia diselubungi oleh awan lalu ia (awan tersebut) berputar-putar dan mendekat, (maka) kudanya mula melarikan diri daripadanya (awan tersebut). Maka apabila tiba waktu pagi, lelaki tersebut datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu menceritakan (kejadian) tersebut kepada Baginda. Lalu Baginda bersabda: “Ketenangan itu turun kerana al-Qur’an.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu pula berkata:

Maksudnya: Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan, lalu dia mendapati Dajjal, dia (Dajjal) tidak akan terdaya menguasainya, atau tidak ada jalan baginya (untuk menyesatkannya). Dan sesiapa yang membaca surah al-Kahfi nescaya baginya cahaya dari tempat dia membacanya hingga ke Makkah. (Hadits riwayat an-Nasa’i dalam as-Sunan al-Kubra)

Selain kelebihan-kelebihan yang disebut di atas, terdapat satu lagi kelebihan yang sangat besar iaitu kelebihan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadits mauqûf riwayat Abu Sa‘id al- Khudri Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, (nescaya) baginya cahaya yang menyinari antara dirinya (tempat dia membacanya) dan al- Bait al-‘Atiq (Ka‘bah). (Hadits riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Îmân)

Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh, maksud cahaya di sini ialah ganjaran pahala dan pengampunan. Hadits di atas merupakan kinâyah tentang besarnya ganjaran yang bakal diperolehi daripada amalan ini. Sekiranya digambarkan dalam bentuk fizikal, ia bermakna ganjaran tersebut memenuhi semua ruang dari tempat dia berada hingga ke Ka‘bah.

Dalam satu riwayat lagi, Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, (nescaya) baginya cahaya yang menyinari di antara dua Jumaat. (Hadits riwayat al-Baihaqi dalam ad-Da‘awât al-Kabîr)

Maksud di antara dua Jumaat dalam hadits di atas menurut asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh ialah di antara Jumaat dia membaca surah al-Kahfi itu dengan Jumaat yang berikutnya. Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh, dia tetap akan menerima ganjarannya walaupun dia tidak membaca surah al-Kahfi pada Jumaat berikutnya itu.

Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘i, antara amalan yang disunatkan pada hari Jumaat itu ialah membaca surah al-Kahfi. Bahkan membaca surah al-Kahfi adalah amalan yang afdhal dan paling utama dikerjakan berbanding membaca surah-surah dan zikir-zikir lain yang tidak dikhususkan pada hari Jumaat. Selain amalan membaca surah al-Kahfi, antara amalan yang juga disunatkan secara khusus pada hari Jumaat ialah memperbanyakkan selawat. Di antara kedua-dua amalan membaca surah al-Kahfi dan memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat ini, menurut Imam Ibn Qasim dan Imam al-Qalyubi Rahimahumullâh, membaca surah al-Kahfi adalah afdhal.

Adapun hikmah tuntutan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat ini ialah kerana dalam surah al-Kahfi itu terdapat ayat-ayat yang menceritakan mengenai kedahsyatan yang akan berlaku pada Hari Kiamat kelak. Hari Kiamat itu akan berlaku pada hari Jumaat sepertimana yang tsabit daripada hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan hari Jumaat itu pula menyerupai Hari Kiamat kerana pada hari Jumaat berlaku perhimpunan manusia.

Membaca surah al-Kahfi serta memperbanyakkan selawat juga adalah bacaan yang diutamakan untuk dibaca oleh jemaah sembahyang fardhu Jumaat yang tidak dapat mendengar khutbah, sama ada kerana jauh daripada khathib atau kerana suara imam tidak dapat didengar dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bacaan tersebut hendaklah dibaca secara sirr (perlahan) supaya tidak mengganggu jemaah yang lain.

Maksud hari Jumaat pula ialah merangkumi malam Jumaat serta siangnya sepertimana yang disebut oleh Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh serta para al-ashhâb (ulama asy-Syafi‘iyyah terdahulu yang terkemuka). Adapun mengenai waktu yang afdhal untuk melaksanakan tuntutan ini, iaitu membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, afdhal membacanya pada awal malam dan awal siang hari Jumaat atas dasar bersegera untuk mengerjakan kebajikan supaya tidak lalai dari melaksanakan tuntutannya.

Walaupun terdapat waktu yang afdhal untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat itu, namun amalan ini tidak sewajarnya ditinggalkan sekiranya seseorang itu terlepas mengerjakannya pada waktu afdhal tersebut. Dari segi tuntutan pelaksanaannya, surah al-Kahfi tetap sunat untuk dibaca sepanjang malam dan siang hari Jumaat sebagaimana yang disebut oleh Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh serta para al-ashhâb.

Menurut Imam Zakariyya an-Anshari, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam ar- Ramli Rahimahumullâh, selain disunatkan untuk menghabiskan bacaan surah al- Kahfi ini sekali, adalah dituntut juga untuk memperbanyakkan membaca surah al- Kahfi pada hari Jumaat. Menurut Imam al-Qalyubi dan Imam al-Bujairimi Rahimahumallâh, memperbanyakkan bacaan surah al-Kahfi pada hari Jumaat adalah aulâ (lebih utama) kerana dengan membaca sekali sahaja seseorang itu sudah beroleh ganjaran dan kelebihannya, maka sudah setentunya orang yang memperbanyakkan bacaannya akan memperolehi ganjaran dan kelebihan yang lebih besar. Adapun maksud “memperbanyakkan membaca surah al-Kahfi” itu ialah membacanya lengkap satu surah dengan sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali pada hari Jumaat.

Dari segi pelaksanaannya, membaca keseluruhan surah al-Kahfi sekalipun dengan bacaan secara cepat untuk mencapai tuntutan sunat membacanya pada hari Jumaat adalah afdhal berbanding hanya membaca sebahagian besar surah al-Kahfi dengan bacaan tartîl.

Membaca secara tadabbur pula, iaitu dengan menghayati dan merenung ayat-ayat yang dibaca, menurut Imam Ibn Qasim Rahimahullâh adalah afdhal berbanding membacanya tanpa tadabbur.

Demikian penjelasan mengenai kelebihan dan tuntutan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6566