Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Di Mana Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang?

DI MANA HALA PANDANGAN MATA KETIAK SEMBAHYANG?

Hala pandangan mata ketika sembahyang boleh membantu seseorang itu memperolehi kekhusyukan dalam sembahyang dan adakalanya pula ia boleh menyebabkan kekhusyukan itu hilang, umpamanya jika terpandang sesuatu yang boleh mengganggu fikiran mahupun tumpuan hati terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Maka atas dasar ini, hala pandangan mata ketika sembahyang itu merupakan suatu perkara yang sangat penting untuk diberi perhatian kerana ia sangat berkait rapat dengan kekhusyukan. Kemanisan ibadat sembahyang tidak akan dapat dirasa atau diperolehi tanpa rasa khusyuk ketika mendirikannya.

Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang

Orang yang mendirikan sembahyang, tidak kira sama ada orang yang celik matanya, orang buta mahupun orang yang mendirikan sembahyang di tempat yang gelap, sunat menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud dari permulaan hendak mengangkat takbîratul-ihrâm sehinggalah selesai sembahyang kecuali pada beberapa tempat yang dikecualikan, iaitu:

1. Ketika duduk tasyahhud. Ketika duduk tasyahhud disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah jari telunjuk tangan kanan ketika mengangkatnya dan ini berterusan sehinggalah jari telunjuk kanan tersebut tidak lagi diangkat.

Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk kerana terputus atau sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan matanya ke arah tempat sujud.

Begitu juga sebelum mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud.

2. Ketika sembahyang Khauf iaitu sembahyang dalam keadaan takut kerana orang yang bersembahyang itu berhadapan dengan apa yang ditakutinya, seperti musuh dalam peperangan, binatang buas, orang yang hendak merampas hartanya dan sebagainya. Dalam keadaan ini sunat menghalakan pandangan mata ke hadapan iaitu ke arah apa yang ditakutinya itu kerana menjaga nyawa dan harta bendanya.

3. Apabila tempat sujud itu terdapat lukisan, gambar, ukiran dan sebagainya jika ia boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan ketika sembahyang.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, hikmah disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah untuk dilakukan serta dapat membantu kekhusyukan, di samping tempat sujud itu pula merupakan suatu tempat yang sangat mulia.

Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang Di Hadapan Atau Di Dalam Ka‘bah

Sebahagian ulama berpendapat bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah Ka‘bah ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah. Akan tetapi pendapat ini tidak dipersetujui oleh Imam al-Bulqini Rahimahullâh. Pendapat ini juga turut dianggap sebagai pendapat yang lemah oleh Imam al-Isnawi Rahimahullâh.

Adapun pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e sepertimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj ialah sunat menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud walaupun ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah mahupun di dalamnya.

Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang Jenazah

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, sungguhpun tiada sujud yang disyariatkan dalam sembahyang Jenazah, akan tetapi disunatkan juga untuk menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud dengan menganggarkan kedudukan tempat sujud itu.

Ada pula pendapat yang dinukilkan daripada perkataan Imam al-Mawardi Rahimahullâh yang mengatakan bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah jenazah ketika menyembahyangkannya, akan tetapi pendapat ini didha‘îfkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj.

Hukum Menutup Mata Ketika Sembahyang

Menutup mata ketika sembahyang, sungguhpun ada pendapat yang mengatakan hukumnya adalah makruh kerana menyerupai perbuatan orang-orang Yahudi, akan tetapi pendapat ini bukanlah pendapat yang kuat kerana ia bersandarkan kepada hadits yang dha‘îf.

Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh lebih cenderung untuk mengatakan bahawa menutup mata ketika sembahyang itu tidak makruh, akan tetapi perbuatan tersebut khilâf al-awlâ (menyalahi yang utama). Ini kerana tidak pernah dikhabarkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat Radhiallâhu ‘anhum menutup mata mereka ketika sembahyang.

Bagaimanapun, ia boleh menjadi makruh bahkan adakalanya menjadi haram jika perbuatan menutup mata ketika sembahyang itu boleh mendatangkan kemudharatan kepada dirinya mahupun orang lain.

Imam Ibnu ‘Abdussalam Rahimahullâh pula memfatwakan bahawa jika membuka mata ketika sembahyang itu boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuan seseorang ketika sembahyang, misalnya pada tempat dia mendirikan sembahyang itu penuh dengan ukiran-ukiran pada dinding, tiang, lantai dan sebagainya. Dalam hal ini adalah lebih utama menutup mata daripada membukanya.

Bagaimanapun, menutup mata ketika sembahyang adakalanya menjadi wajib, iaitu apabila tiada cara lain yang dapat dilakukan selain daripada menutup mata bagi mengelakkan daripada terpandang akan sesuatu yang haram.

Hukum Menghalakan Pandangan Mata Ke Arah Langit Ketika Sembahyang

Makruh menghalakan pandangan mata ke arah langit (ke atas) ketika sembahyang walaupun tanpa mendongakkan kepala. Begitu juga makruh mendongakkan kepala walaupun tanpa menghalakan pandangan mata ke arah langit, tidak kira orang tersebut celik matanya mahupun orang buta.

Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Kenapakah (kebiasaan) sebilangan kaum mengangkatkan pandangan mereka ke langit ketika sembahyang? Kemudian sabda Baginda menjadi semakin tegas sehinggalah Baginda bersabda: “Hendaklah mereka itu berhenti daripada berbuat demikian atau penglihatan mereka itu akan disambar (dibutakan mata mereka).” (Hadits riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Berdasarkan pendapat ini, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh juga hukumnya menghalakan pandangan mata ke arah sesuatu yang boleh menjejaskan kekhusyukan seseorang ketika sembahyang, umpamanya menghalakan pandangan ke arah pakaian ataupun sejadah yang mempunyai lukisan, gambar dan sebagainya.

Hukum Membaca Al-Qur’an Melalui Mushaf Ketika Sembahyang

Membaca al-Qur’an dengan melihat Mushaf ketika sembahyang, tidak membatalkan sembahyang, tidak kira sama ada ayat-ayat yang dibaca itu sudah dihafal ataupun belum. Ini berdasarkan suatu riwayat bahawa Zakwan iaitu hamba milik ‘Aishah Radhiallâhu ‘anha pernah mengimamkan beliau dengan membaca al-Qur’an melalui Mushaf pada bulan Ramadhan.

Begitu juga tidak batal sembahyang kerana membalik kertas mushaf mahupun buku ataupun kertas yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca daripadanya ketika sembahyang, selama orang itu dapat menjaga pergerakannya daripada melakukan tiga pergerakan berturut-turut yang menurut mazhab asy- Syafi‘e perbuatan seumpama ini akan membatalkan sembahyang.

Bagaimanapun menurut mazhab asy-Syafi‘e, membaca al-Qur’an dengan melihat Mushaf ketika sembahyang ini hukumnya adalah makruh kerana ia menyerupai perbuatan ahli-ahli kitab. Maka sebaiknya perbuatan tersebut dielakkan, kerana selain daripada menyerupai perbuatan ahli-ahli kitab, ia juga boleh mengurangkan kekhusyukan serta mengganggu tumpuan ketika sembahyang.

Bagi orang yang tidak hafal surah al-Fâtihah pula, wajib baginya membaca surah al-Fâtihah melalui Mushaf ketika sembahyang.

Adapun di luar sembahyang pula, menurut sebahagian ulama, membaca dengan cara melihat Mushaf itu adalah lebih afdhal kerana ia menggabungkan dua ibadat dalam satu masa iaitu membaca mushaf dan melihatnya, sebab melihat Mushaf itu pun merupakan suatu ibadat. Di samping itu, membaca daripada Mushaf dapat membantu mengelakkan daripada berlakunya kesalahan ketika membacanya.

Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa membaca melalui hafalan itu lebih afdhal kerana ia menjauhkan daripada timbulnya sifat ria‘, di samping itu juga ia lebih menambahkan rasa khusyuk ketika membacanya.

Penutup

Pandangan mata sangat berpengaruh terhadap jiwa, fikiran serta tumpuan seseorang, apatah lagi ketika sedang sembahyang, kerana syaitan itu sering sahaja mencari-cari peluang untuk mencacatkan sembahyang seseorang.

Dari itu, hala pandangan mata ketika sembahyang bukanlah suatu perkara yang remeh. Ia sangat berkait rapat dengan kesempurnaan sembahyang seseorang kerana ia dapat membantu seseorang itu menghadirkan hatinya ketika sembahyang, sekaligus akan mendatangkan rasa khusyuk. Kerana itulah orang yang sedang sembahyang disunatkan untuk menetapkan pandangan matanya ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang kecuali pada tempat-tempat serta keadaan-keadaan tertentu. Ini bagi mengelakkan seseorang itu daripada terpandang segala perkara yang boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuannya ketika sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6723