Sunat-Sunat Hai’at: Jangan Tinggalkan Walaupun Sunat
Peluang untuk memperolehi pahala sembahyang yang sempurna boleh diraih dengan melaksanakan perkara-perkara sunat dalam sembahyang. Selain sunat ab‘adh, terdapat juga sunat yang dinamakan sunat hai’at. Berbeza dengan sunat ab‘adh, sunat hai’at ini tidak perlu diganti dengan sujud sahwi jika ditinggalkan sama ada secara senghaja atau terlupa. Namun jika ditinggalkan, seseorang itu akan mengalami kerugian kerana tidak mendapat pahala sunat dan hikmah yang terkandung di dalamnya.
Sunat Hai’at dalam sembahyang amat banyak, antaranya:
1. Sunat mengangkat kedua tangan separas bahu ketika takbîratul-ihrâm, iaitu sekira-kira hujung jari sejajar dengan atas telinga dan kedua ibu jari pula sejajar dengan bawah telinga, kedua telapak dihadapkan ke kiblat serta jari-jari diceraikan pada jarak yang sederhana.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Malik, daripada Ibnu Syihab, daripada Salim bin ‘Abdullah, daripada bapanya:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan separas bahunya apabila memulakan sembahyang (ketika takbîratul-ihrâm). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Awal permulaan mengangkat tangan adalah pada permulaan takbîr dan berterusan sehinggalah selesai takbîr. Menurut pendapat yang mu‘tamad, sunat menyudahkan kedua-duanya (takbîr dan mengangkat tangan) bersama-sama.
2. Sunat mengangkat kedua-dua tangan ketika hendak ruku‘ dan ketika bangun dari ruku‘.
Sahabat Ibnu Umar Radhiallâhu ‘anhuma meriwayatkan:
Maksudnya: Aku melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila dia bangkit dalam sembahyang, Baginda mengangkat tangannya hingga separas bahu. Baginda melakukan begitu ketika mengangkat takbîr untuk ruku‘, dan melakukan begitu ketika mengangkat kepalanya dari ruku‘ (sesudah ruku‘). (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Sunat mengangkat kedua-dua tangan selepas bangkit dari tasyahhud awwal iaitu selepas rakaat yang kedua. Tempat mula mengangkat tangan ialah apabila sampai had minima ruku‘. Had minima ruku‘ itu pula ialah badan membongkok sehingga dua tapak tangan dapat memegang dua lutut.
Diriwayatkan daripada Nafi‘ Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma mengangkat kedua-dua tangannya apabila bangkit dari rakaat yang kedua. Perbuatan mengangkat tangan itu diikutnya daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, hikmah di sebalik perbuatan mengangkat tangan ketika takbîratul-ihrâm, sebelum dan selepas ruku‘ serta ketika bangkit dari tasyahhud awwal ini adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah Ta‘ala, memohon ganjaran pahalaNya dan mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Menurut al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh, hikmah di sebalik perbuatan tersebut adalah isyarat kepada menyingkirkan apa yang selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menghadirkan tumpuan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan sepenuhnya dalam sembahyang.
4. Sunat meletakkan tapak tangan kanan di atas belakang tangan kiri, serta diletakkan kedua-duanya di tengah antara bawah dada dan atas pusat.
Diriwayatkan daripada Thawus Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian mendakapkan kedua-duanya pada dadanya, ketika itu Baginda sedang mendirikan sembahyang. (Hadits riwayat Abu Daud)
Kedua-dua tangan yang diletakkan pula sunat diletakkan ke kiri sedikit. Hikmah di sebaliknya adalah kerana di kawasan tersebut letaknya semulia-mulia anggota iaitu hati, dan dengan meletakkan tangan di sana seolah-olah seseorang itu menjaga iman yang ada di dalam hatinya. Ini kerana apabila seseorang itu menjaga atau memelihara sesuatu benda, maka kedua-dua tangannya ditemukan pada benda tersebut.
5. Sunat melihat tempat sujud ketika sembahyang, kerana dengan cara tersebut akan memudahkan dan membantunya untuk khusyuk. Begitu juga halnya dengan orang buta atau orang yang sembahyang dalam gelap, adalah sunat bagi mereka untuk menghalakan pandangan kepada tempat sujud seolah-olah mereka melihat tempat mereka sujud.
6. Sunat membaca do‘a iftitâh selepas takbîratul-ihrâm dan sebelum membaca al-Fâtihah.
Dijelaskan dalam kitab Hasyiah ‘Iânah ath-Thâlibîn bahawa disunatkan do‘a iftitâh dengan lima syarat sebagaimana di bawah:
i. Ia dibaca bukan pada sembahyang jenazah
ii. Yakin tidak akan terluput waktu sembahyang fardhu jika membaca do‘a iftitâh.
iii. Ma’mum yakin sempat membaca al-Fâtihah jika membaca do‘a iftitâh.
iv. Ma’mum yang masbûq mendapati imam masih berdiri ketika dia hendak mengikutnya. Dalam keadaan ini, maka sunat dia membaca do‘a iftitâh, dengan syarat jika dia mendapati imam sedang i‘tidâl atau ruku‘, maka wajib dia mengikut imam.
v. Membaca do‘a iftitâh selepas takbîr, iaitu tidak memulai sembahyang dengan ta‘awwudz (ِه يمر ِ ِمن َِال ه يْنَان ِال أَعُ وذ ُِا) atau selepas bacaan-bacaan lain.
Terdapat beberapa hadits shahih daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai bacaan sesudah takbîratul-ihrâm, antaranya:
Ertinya: Allah Maha Besar dengan segala kebesaranNya. Segala puji bagi Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku pada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan mengakui kebenaran dan menyerahkan diri kepadaNya. Dan aku tidaklah tergolong daripada kalangan orang-orang yang musyrik. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya, dengan demikianlah, aku diperintah dan aku tergolong daripada orang-orang Islam. Ya Allah, Engkaulah Penguasa, tiada tuhan selain Engkau. Engkau Tuhanku dan aku hambaMu. Aku aniaya diriku dan aku akui dosaku, maka ampunilah dosa-dosaku itu kerana tidak ada yang mengampuni dosa-dosa itu kecuali Engkau. Berilah hidayah kepadaku untuk memiliki akhlak yang mulia, kerana tidak ada yang dapat menuntun kepadanya (kepada akhlak yang mulia) kecuali Engkau. Hindarkan daripadaku akhlak yang rosak, kerana tidak ada yang dapat menghindarkannya kecuali Engkau. Aku menyahut panggilanMu dan aku terima perintahMu. Semua kebaikan berada di tanganMu dan kejahatan tidak kembali kepadaMu, aku bersamaMu dan kembali kepadaMu. Engkau Maha Suci dan Engkau Maha Tinggi. Aku memohon keampunanMu dan kembali bertaubat kepadaMu.
Do‘a iftitâh sebagaimana yang disebutkan di dalam hadits-hadits, disunatkan membaca untuk orang yang sembahyang bersendirian. Bagi imam pula, hendaklah ada persetujuan daripada ma’mum jika dia ingin memanjangkan do‘a iftitahnya. Jika tidak mendapat persetujuan ma’mum, maka tidak boleh baginya memanjangkan bacaannya dan memadai baginya membaca sebahagian sahaja. Lebih baik baginya
juga bacaan bagi orang yang sembahyang bersendirian jika dia memilih untuk tidak memanjangkan bacaan do‘aِ iftitâhnya.
7. Sunat membaca ta‘awwudz sebelum membaca Basmalah: (ِهحيمر هنْن ِالر بسْ م ِهللا ِال) walaupun pada sembahyang jenazah.ِLafazِ ta‘awwudz:
Ertinya: Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam.
Sunat membaca ta‘awwudz pada setiap rakaat, namun membacanya pada rakaat pertama amat ditekankan.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah di dalam kitab al-Adzkâr: “Disunatkan ta‘awwudz pada rakaat yang pertama. Jika tidak dibaca pada rakaat pertama, maka dibaca pada rakaat kedua. Jika tidak dibaca pada rakaat kedua, dibaca pada rakaat seterusnya. Sekiranya pada rakaat pertama sudah mengucapkan ta‘awwudz, maka membacanya pada rakaat yang selanjutnya pada pendapat yang lebih shahîh adalah sunat. Namun membaca pada rakaat yang pertama lebih mu’akkad (lebih diberatkan).
8. Sunat orang yang sembahyang membaca “ِ ُْ رَم ِ ِا ْفر ” selesai membaca al- Fâtihah dan sebelum menyebutِ “âmîn”.
Menurut Imam Syabramallisi Rahimahullâh ditambah: “ َِْي وَلوَالد َُه ِو َِل َميع ِالْمُسْلم”
9. Sunat membaca “amin” (ْي آم) selesai membaca al-Fâtihah.
Sunat mengucapkan bacaan “âmîn” bagi imam, ma’mum dan orang yang sembahyang sendirian. Di dalam sembahyang yang disunatkan menjahr (menyaringkan) bacaan, imam dan orang yang sembahyang sendirian disunatkan menyaringkan bacaan “âmîn”. Menurut pendapat yang shahih sunat bagi ma’mum, sama ada sedikit atau ramai jemaahnya menyaringkan bacaan “âmîn” bersama-sama dengan imam, iaitu tidak mendahului atau mengakhirkan bacaan “âmîn” daripada “amin” imam.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila imam telah membaca: َِ katakanlahِ “âmîn”, kerana sesungguhnya barang siapa bersamaan bacaan (âmîn)nya dengan bacaan (âmîn) malaikat, diampunkan segala dosa-dosa (kecil)nya yang lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
10. Sunat diam sebentar pada kadar bacaan “ ِِ سُبْحَان َِهللا ”pada tempat-tempat berikutغ
i. Antara takbîratul-ihrâm dan do‘a iftitâh. ii. Antara do‘a iftitâh dan ta‘awwudz. iii. Antara ta‘awwudz dan Basmalah.
iv. Antara akhir al-Fâtihah dan lafaz “âmîn”. v. Antara lafaz “âmîn” dan permulaan surah. vi. Antara akhir surah dan takbîr untuk ruku‘.
11. Sunat dibaca ayat-ayat atau surah al-Qur’an selepas bacaan surah al-Fâtihah pada dua rakaat pertama.
Sunat memanjangkan bacaan ayat-ayat atau surah al-Qur‘an pada rakaat pertama sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadits diriwayatkan bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam memanjangkan bacaan surah pada rakaat yang pertama ketika sembahyang fardhu Zuhur dan memendekkannya pada rakaat yang kedua.
12. Apabila ma’mum selesai membaca al-Fâtihah pada rakaat ketiga dan keempat, dan imam belum lagi ruku‘, sunat bagi ma’mum mengisikan waktu tersebut dengan membaca do‘a atau membaca ayat-ayat al-Qur’an. Namun yang lebih awlâ (utama) adalah membaca ayat-ayat al-Qur’an. Manakala jika imam belum lagi berdiri selepas tasyahhud awwal, maka sunat bagi ma’mum menyambung selawat untuk ahli keluarga Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan seterusnya.
13. Sunat dibaca surah-surah tertentu di dalam sembahyang fardhu yang dilakukan pada hari Jumaat sebagaimana berikut:
i. Di dalam sembahyang fardhu Jumaat dan sembahyang fardhu Isya’, sunat dibaca surah al-Jumu‘ah pada rakaat pertama dan surah al- Munâfiqûn pada rakaat kedua, atau surah al-A‘lâ pada rakaat pertama dan surah al-Ghâsyiyah pada rakaat yang kedua.
ii. Di dalam sembahyang fardhu Subuh, sunat dibaca surah as-Sajadah pada rakaat pertama dan surah al-Ghâsyiyah pada rakaat yang kedua.
iii. Di dalam sembahyang fardhu Maghrib, sunat dibaca surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua.
14. Bagi imam dan orang yang sembahyang bersendirian adalah sunat menyaringkan suara ketika sembahyang Subuh, pada dua rakaat pertama sembahyang Maghrib, sembahyang Isya’, pada dua sembahyang Hari Raya, Tarawih, Witir di bulan Ramadhan dan ketika sembahyang Gerhana Bulan.
Begitu juga disunatkan imam menyaringkan suara ketika sembahyang fardhu Jumaat.
15. Sunat takbîr al-intiqâl (takbîr untuk berpindah dari satu rukun pada satu rukun yang lain) ketika tunduk untuk ruku‘ dan sujud, dan ketika bangkit dari sujud dan tasyahhud awwal.
16. Sunat bagi imam menyaringkan suara pada takbîratul-ihrâm dan takbîr al-intiqal dengan tujuan zikir sahaja atau dengan tujuan zikir serta makluman kepada ma’mum. Manakala bagi ma’mum dan orang yang bersembahyang secara bersendirian, makruh hukumnya mengeraskan suara pada bacaan tersebut.
17. Ketika ruku‘, sunat menyamaratakan kedudukan punggung, leher dan kepala, serta tangan memegang kedua belah lutut.
18. Bagi lelaki sunat merenggangkan kedua belah siku dari rusuk dan merenggangkan perut dari kedua belah paha ketika ruku‘ dan sujud. Manakala bagi perempuan sunat merapatkan anggota-anggota tersebut.
19. Ketika ruku‘, sunat membaca tasbîh sekurang-kurangnya sekali dan lebih afdhal dibaca sebanyak tiga kali. Lafaz tasbîh ketika ruku‘:
Ertinya: Maha suci Tuhanku yang Maha Agung dan segala puji bagiNya.
Kemudian sunat disambung dengan membaca:
Ertinya: Maha suci Engkau ya Allah ya Tuhan kami dan segala puji bagiMu. Ya Allah, ampunilah dosaku.
Kemudian sunat disambung lagi dengan do‘a:
Ertinya: Ya Allah, hanya kepadaMu aku ruku‘, dan hanya kepadaMu aku beriman, dan hanya kepadaMu aku berserah diri. Aku menundukkan kepadaMu pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulang belulangku, urat sarafku, rambut-rambutku, kulitku dan apapun yang dilakukan oleh kakiku, semuanya kerana Allah Tuhan semesta alam.”
Namun begitu, jika tidak mahu menggabungkan bacaan di atas ketika ruku‘, maka membaca tasbîh sebanyak tiga kali adalah lebih awlâ (utama) berbanding bacaan-bacaan yang lain.
20. Ketika bangkit dari ruku‘ sunat dibaca:
Ertinya: Allah mendengar sesiapa yang memujiNya.
Sunat memanjangkan bacaan tersebut bermula dari ketika bangkit dari ruku‘ sehingga berdiri tegak sebelum sujud.
Kemudian sunat dibaca:
Ertinya: Tuhan kami, bagiMu segala puji sepenuh langit, sepenuh bumi, sepenuh apa yang ada di antara keduanya dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki daripada sesuatu selepas itu.
21. Sunat meletakkan kedua-dua lutut ke tempat sujud terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan kedua belah tapak tangan dan dahi. Meletakkan ketiga-tiganya mengikut tertib adalah sunat, tetapi meletakkan ketiga-tiganya di tempat sujud hukumnya adalah wajib. 22. Sunat meletakkan hidung di atas tempat sujud.
23. Sunat membuka kedua kelopak mata ketika sujud agar berterusan memandang tempat sujud bagi mendapatkan kekhusyukan dalam sembahyang.
24. Ketika sujud sunat membaca tasbîh sekurang-kurangnya sekali dan lebih afdhal dibaca sebanyak tiga kali. Lafaz tasbîh ketika sujud:
Ertinya: Maha suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan segala puji bagiNya.
Kemudian sunat disambung dengan membaca:
Ertinya: Maha suci Engkau ya Allah ya Tuhan kami dan segala puji bagiMu. Ya Allah, ampunilah dosaku.
Sunat disambung dengan membaca:
Ertinya: Ya Allah, hanya kepadaMu aku bersujud, kepadaMu aku beriman dan kepadaMu aku berserah diri. Bersujud wajahku kepada yang menciptakannya dan membentukkannya, dan kepada yang membuka pendengarannya dan penglihatannya dengan kekuasaanNya dan kekuatanNya. Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta.
Disunatkan memperbanyakkan do‘a ketika sujud sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah do‘a. (Hadits riwayat Muslim)
Antara yang sunat dibaca ketika bersujud:
Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan redhaMu daripada kemurkaanMu, dan dengan kemaafanMu daripada seksaanMu. Dan aku berlindung denganMu daripada (azab)Mu. Aku tidak dapat menghitung puji-pujian kepadaMu sebagaimana puji-pujian Engkau terhadap diriMu. Ya Allah, ampunilah aku daripada dosaku keseluruhannya, sedikitnya dan banyaknya, awalnya dan akhirnya, yang nyata dan yang tersembunyi.
25. Sunat duduk al-iftirâsy ketika duduk di antara dua sujud dan juga duduk pada tasyahhud awwal. Duduk al-iftirâsy ialah duduk di atas buku lali kiri yang menghadap ke lantai sambil tapak kaki kanannya ditegakkan dengan anak perut jari-jarinya dihadapkan ke kiblat.
26. Duduk istirahat sebentar dengan kadar duduk di antara dua sujud iaitu ketika selesai sujud kedua sebelum berdiri.
27. Sunat kedua tapak tangan bertelekan pada tempat sembahyang ketika bangun dari sujud dan dari duduk tahiyyat awal atau dari duduk istirahat lepas sujud. Cara ini dapat memudahkan seseorang untuk berdiri dan ia lebih menyerupai dengan maksud tawâdhu‘ (merendahkan diri) kerana yang pasti dengan cara ini seolah-olah seseorang itu berdiri sebagaimana orang yang lemah berdiri iaitu dengan memerlukan bantuan. Cara ini juga yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
28. Sunat duduk at-tawarruk ketika duduk tasyahhud akhir. Duduk at-tawarruk ialah duduk seperti duduk al-iftirâsy, kecuali dalam duduk at-tawarruk sebahagian tapak kaki di sebelah kiri dikeluarkan melalui bawah kaki kanan serta pangkal paha kiri diletakkan ke lantai (tempat sembahyang).
29. Ketika membaca syahadat (َََْد ُِأَن ِْل ِإل ه َِإاله ِهللا أ) dalamِ tasyahhud, sunat menaikkan telunjuk dengan mencondongkannya sedikit ketika membaca “ِ ِإال هللا ” dan mengekalkannya sehingga hendak bangkit dariِ tasyahhud awwalِ dan sebelum memberi salam padaِ tasyahhud akhir. Lebih afdhal, jika digenggam jari-jari yang lainnya ketika telunjuk dinaikkan dan sunat memandang pada telunjuk ketika ia dinaikkan.
30. Ketika memberi salam, sunat diniatkan memberi salam kepada orang yang di sebelah kanan dan kirinya, baik terhadap malaikat serta mukmin yang terdiri daripada kalangan manusia dan jin.
Begitulah antara perkara-perkara sunat dalam sembahyang yang perlu diketahui dan diambil ingatan. Dengan mempelajari dan mengaplikasikannya secara sempurna dalam sembahyang sehari-hari, diharap ibadat yang dilakukan akan memperoleh keredhaan dan keberkatan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6719
