Sembahyang Jumaat: Jangan Pakai Pakaian Asal Pakai!
Pakaian sering kali dianggap sebagai satu tanda atau lambang keperibadian seseorang. Bukan itu saja, bahkan pakaian juga berperanan menggambarkan identiti sesuatu agama. Umpamanya, berjubah, bertengkolok atau berserban merujuk kepada Islam, malahan banyak lagi pakaian yang merujuk kepada Islam berdasarkan keadaan setempat. Manakala pakaian yang dipakai oleh seorang sami dan paderi pula merujuk kepada agama Buddha dan Kristian, demikian jua pakaian Yahudi dan lain-lain agama ada identitinya tersendiri.
Walaupun kewajipan utama berpakaian dalam Islam itu hanyalah untuk menutup aurat sahaja, namun banyak aspek perlu dititikberatkan kerana perkara berpakaian ini bukanlah suatu perkara yang boleh diringankan dan dianggap remeh. Antaranya dari aspek berhias, kebersihan, kecantikan, cara dan tempat di mana sesuatu pakaian itu hendak dipakai supaya bersesuaian dengan kehendak hukum adat, selain syara‘nya. Umpamanya ketika Hari Raya kita dikehendaki memakai pakaian seindah mungkin. Begitu juga dengan pakaian pasukan keselamatan, ia tidak sama dengan pakaian-pakaian beruniform yang lain. Semuanya merujuk kepada identiti dan mudahnya mengenali mereka untuk sebarang tujuan keselamatan.
Apa yang pasti, ketiadaan pakaian yang layak dan sesuai untuk pergi ke sesuatu majlis atau tempat adalah merupakan faktor utama yang boleh mengurangkan atau menjatuhkan maruah seseorang. Hal ini diperkuatkan dengan perkataan as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh bahawa keuzuran disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak itu boleh menjatuhkan maruah seseorang jika dibandingkan dengan lain-lain keuzuran.
Selaku orang Melayu yang beragama Islam, kita (orang-orang Melayu Brunei) terikat dengan hukum-hakam syara‘ dan adat budaya. Di samping berpakaian menutup aurat, cara berpakaian dengan sopan dan sesuai dengan majlis yang dihadiri juga telah lama disemai dan dipraktikkan. Apa yang pasti, warga Brunei memang mempunyai budaya berpakaian yang selari dengan kehendak hukum syara‘. Pakaian cara Melayu Brunei sebenarnya amat menepati ciri-ciri menutup aurat dalam Islam, di samping mempunyai nilai seni tradisi yang sopan lagi indah. Adalah lebih indah dan baik sekiranya baju cara Melayu Brunei yang lengkap inilah yang dipakai untuk sembahyang Jumaat dan dipilih yang berwarna putih kerana menurut sunnah.
Namun perkembangan mutakhir cukup merisaukan, dengan merujuk kepada jemaah masjid yang hendak menunaikan sembahyang fardhu Jumaat. Ini kerana ada jemaah yang berpakaian mengikut sesuka hati. Penilaian berpakaian itu bukan hanya setakat menutup aurat, akan tetapi kesesuaiannya meliputi keindahan dan perhiasan, sesuai dengan tuntutan syara‘ supaya berhias-hias setiap kali sembahyang termasuk ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat.
Di negara kita Brunei Darussalam - pada suatu masa - khususnya apabila bercakap mengenai pakaian sembahyang fardhu Jumaat, mempunyai identitinya yang tersendiri. Seseorang itu akan kelihatan janggal atau ganjil jika dia tidak memakai pakaian cara Melayu yang lengkap dengan samping atau sinjang, lebih-lebih lagi kalau tidak bersongkok atau berketayap putih bagi menandakan dia telah naik haji seperti juga memakai pakaian gamis. Demikianlah pakaian sewaktu menunaikan sembahyang Jumaat.
Tetapi sejak akhir-akhir ini, trend hadir ke masjid pada hari Jumaat dengan ‘cara Melayu’ tanpa samping atau sinjang sudah dianggap tidak apa-apa, sudah menjadi perkara biasa, nampaknya seperti boleh diterima, padahal kita tidak boleh biarkan demikian. Kalau ini terus berlaku dan dibiarkan, ia akan menular di kalangan orang Melayu. Tanpa disedari kita ‘membunuh’ suatu budaya yang indah dan sopan ketika pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat.
Ke masjid pada hari Jumaat dengan memakai pakaian ‘asal pakai’ ini, umpamanya seperti memakai pakaian sukan, pakaian seperti hendak ke pasar atau seperti hendak masuk hutan. Semua pakaian tersebut adalah tidak sesuai, tidak layak serta tidak manis dipakai untuk menghadiri sembahyang fardhu Jumaat. Kita tekankan sekali lagi, kita bukan hanya bercakap tentang pakaian yang sekadar menutup aurat, tetapi yang terbaik, sopan dan manis. Malahan agama juga menganjurkan sedemikian.
Tambah menyedihkan lagi, apabila golongan yang dianggap tua juga mula terikut-ikut ingin mencuba gaya pakaian baju Melayu tanpa samping, ‘asal pakai’ saja. Sepatutnya golongan tua menjadikan diri mereka sebagai contoh ikutan yang baik kepada anak-anak mereka atau generasi muda supaya amalan tradisi dan budaya pakaian orang Brunei yang terkenal dengan baju Melayunya yang lengkap itu tidak hilang, kerana ia menggambarkan suatu identiti pakaian Brunei kita.
Sikap Bank Islam di mana kakitangannya memakai baju Melayu lengkap sewaktu menghadiri sembahyang Jumaat, patut dipuji. Pihak swasta yang lain pun patut mengambil inisiatif dan langkah yang sama.
Sekalipun berpakaian lengkap bukan sebagai syarat sah atau tidaknya sesuatu sembahyang termasuk sembahyang Jumaat, namun kita patut berfikir bahawa kita sebenarnya berada dalam suatu majlis keramaian, maka patutlah kita berhias-hias dengan pakaian yang selayaknya, lebih-lebih lagi majlis Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Mengenai dengan pakaian sewaktu menghadiri sembahyang Jumaat ini, para ulama bukan hanya bercakap tentang pakaian yang layak dan sopan, bahkan mereka bercakap tentang pemilihan warna-warna yang sesuai. Atas dasar inilah Irsyad hukum membuka minda kita supaya jangan pakai pakaian ‘asal pakai’ sahaja. Berhias Untuk Sembahyang Fardhu Jumaat
Berhias ialah perkara yang disunatkan untuk dilakukan pada hari Jumaat bagi orang lelaki yang akan hadir ke masjid untuk berjemaah fardhu Jumaat. Berhias itu ialah dengan memakai pakaian yang elok dan terbaik. Inilah yang dianjurkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abu Sa‘id al- Khudri dan Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhuma:
Maksudnya: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, lalu dia memakai yang terbaik daripada pakaian-pakaiannya dan memakai wangian (haruman) -sekiranya dia ada - setelah itu dia pergi ke tempat menunaikan fardhu Jumaat tanpa melangkahi kepala orang lain, lalu mengerjakan mana-mana sembahyang (sunat yang dikehendakinya), kemudian dia berdiam diri sebaik sahaja imam muncul (untuk menyampaikan khutbah) sehinggalah dia selesai daripada sembahyangnya, maka kesemua yang dilakukannya ini menjadi penghapus dosanya (yang berlaku) di antara Jumaat tersebut dan Jumaat yang sebelumnya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun maksud daripada ‘tanpa melangkahi kepala orang lain’ merupakan anjuran untuk dia datang pada awal waktu supaya dia tidak perlu memintas (melangkahi) barisan atau saf jemaah.
Bagaimanapun berpakaian yang elok dan sempurna itu bukan sahaja dituntut pada hari Jumaat, bahkan pada setiap kali kita menghadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sepertimana yang disebutkan dalam firmanNya:
Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang). (Surah al-A‘râf: 31)
Warna Yang Afdhal Dipakai
Adapun daripada pakaian yang terbaik itu, yang afdhal dipakai ialah yang berwarna putih. Maka adalah sangat jelas warna putih itu afdhal dipakai berdasarkan kepada beberapa hadits antaranya ialah riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Pakailah daripada pakaian-pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya pakaian putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu. Dan kafankanlah padanya (kain warna putih) orang-orang yang meninggal dunia di kalangan kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Jika tiada pakaian yang berwarna putih, maka pakailah pakaian yang hampir warnanya kepada putih. Jika tiada juga, maka boleh memakai pakaian yang berwarna. Manakala menurut Syeikh Zakaria al-Anshari Rahimahullâh daripada pakaian yang berwarna itu diutamakan dahulu warna selain warna hitam.
Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, adapun yang akmal (lebih sempurna) hendaklah kesemua bentuk atau jenis pakaian itu berwarna serba putih termasuklah serban (atau alas kepala). Bahkan afdhal serban itu berwarna putih. Ini kerana jika dia tidak mendapati kesemua bentuk atau jenis pakaiannya itu serba putih, maka memadailah dia memakai pakaian warna putih itu pada sebelah atas.
Adakah Mesti Pakaian Itu Baharu?
Sesetengah ulama mengatakan sunat memakai pakaian putih yang baharu. Namun jika tiada pakaian putih yang baharu, maka memadailah pakaian putih yang masih dianggap baharu. Ini kerana apa yang dimaksudkan daripada pakaian yang terbaik, bagus dan elok itu bukanlah semestinya pakaian yang baharu setiap minggu sehingga menyebabkan kesusahan kepada individu tersebut. Apa yang dimaksudkan ialah umpamanya dia mempunyai beberapa helai pakaian putih, maka sunat dia memilih pakaian putih yang baharu di antara kesemuanya.
Namun jika dia ada kemampuan untuk menyediakan pakaian yang khusus untuk digunakan pada hari Jumaat sahaja, maka lakukanlah. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menyarankan perkara ini dalam hadits yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Yahya:
Maksudnya: Tidak ada salahnya jika salah seorang daripada kamu, atau kamu sekaliannya, (jika ada kemampuan) untuk menyediakan dua pakaian (khusus untuk dipakai) pada hari Jumaat, (iaitu sebagai tambahan) selain daripada dua pakaian kerjanya yang sehari-hari. (Hadits riwayat Abu Daud)
Pakaian Bagi Imam
Begitu juga halnya bagi imam, dia juga disunatkan untuk memakai pakaian yang terbaik. Bahkan disunatkan dan digalakkan untuk menjaga penampilannya, iaitu dengan menambah perhiasan pakaian lain seperti serban dan memakai jubah (tambahan pada bahagian luar) kerana ittibâ‘ (mencontohi perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam). Ini kerana imam itu menjadi perhatian dan sebagai contoh ikutan kepada para jemaah.
Adapun warna pakaian bagi imam pula, ash-shahîh menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah sunat memakai pakaian putih, iaitu seperti mana jemaah yang lainnya. Menurut pendapat beberapa ulama, meninggalkan memakai pakaian hitam itu adalah lebih utama (awlâ) daripada memakainya. Melainkan andaikata jika dia tidak memakai pakaian hitam, maka dia takut ataupun kuat sangkaannya akan mendatangkan akibat buruk kerana dia telah menyalahi (perintah) sultan atau selainnya.
Manakala Imam al-Ghazali Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulumuddîn hukumnya adalah makruh bagi khatib (atau imam) memakai pakaian hitam. Diertikan juga makruh itu dengan menyalahi yang utama. Begitu juga bagi para jemaah, hukumnya adalah makruh memakai pakaian hitam.
Periwayatan Pakaian Hitam
Adapun pendapat al-Mawardi Rahimahullâh yang melazimkan pakaian hitam pada hari Jumaat adalah kerana satu kemungkinan atau sebab, iaitu pada zaman tersebut para pemerintah Abbasiyah (‘Abbasiyyîn) menegah pembaca-pembaca khutbah untuk memakai pakaian selain warna hitam.
Di samping itu terdapat juga beberapa riwayat yang dibawakan berkaitan dengan perkara ini, antaranya:
1. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memasuki Makkah pada hari pembukaaan Makkah dengan memakai serban hitam. 2. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memasuki Makkah pada hari pembukaaan Makkah lalu berkhutbah kepada orang ramai dengan memakai serbab hitam.
3. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakai serban hitam pada Hari Raya Adha dan Fitrah.
4. Daripada at-Thabarani menyatakan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakaikan Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah serban hitam, kemudian Baginda mengutus Sayyidina Ali Karramallâhu wajhah ke (peperangan) Khaibar.
5. Telah dinaqalkan (diceritakan) bahawa ramai daripada para sahabat dan para tâbi‘in memakai pakaian hitam.
Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj mengatakan bahawa memang benar apa yang dibawakan dalam hadits yang telah disebutkan di atas. Namun beliau juga menyatakan satu kesimpulan sebagai menjawab persoalan ini bahawa kesemua hadits di atas adalah periwayatan dari segi perbuatan berdasarkan satu-satu keadaan atau kejadian yang tertentu. Sedangkan hadits yang menyuruh memakai pakaian berwarna putih adalah periwayatan dari segi pengucapan (suruhan).
Menurut Ibnu Hajar Rahimahullâh, apabila terdapat perbezaan antara dua hadits, iaitu hadits percakapan dan hadits perbuatan Baginda, maka didahulukan atau diutamakan hadits percakapan atau suruhan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Adapun yang dimaksudkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakai serban hitam itu pada ‘satu-satu keadaan atau kejadian yang tertentu’ ialah pemakaian hitam bukan pada hari Jumaat umpamanya:
1. Pada waktu peperangan, iaitu untuk menakutkan musuh kerana warna hitam itu lebih menggerunkan.
2. Pada hari pembukaan Makkah, iaitu sebagai satu isyarat atau pemberitahuan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu tidak akan berubah-ubah seperti juga warna hitam. Berbeza dengan warna-warna yang lain yang boleh berubah-ubah.
3. Pada dua Hari Raya kerana sunat memakai pakaian yang terbaik dan cantik. Ini kerana pada Hari Raya jika ada pakaian yang lebih cantik, bagus atau mahal harganya, maka pakaian itu adalah afdhal dan diutamakan untuk dipakai daripada yang berwarna putih.
Sebagai kesimpulan, hukum memakai pakaian yang terbaik pada hari Jumaat adalah sunat. Manakala warna yang afdhal dan diutamakan ialah yang berwarna putih. Bahkan disunatkan juga supaya kesemua jenis pakaian yang dipakai itu berwarna putih termasuk serban atau alas kepala. Sekiranya dia tidak memperolehi kesemuanya berwarna putih, maka memadailah memakai warna putih itu pada pakaian di bahagian atas. Kemudian jika tiada juga, memadailah memakai pakaian selain putih, iaitu yang berwarna.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh pakaian berwarna putih merupakan warna yang paling disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Maka tidak hairanlah sesetengah ulama menggalakkan pakaian serba putih itu dipakai pada apa saja bentuk perkumpulan sekalipun bukan pada hari Jumaat.
Sesetengah ulama mengatakan hukum memakai pakaian hitam; sama ada bagi imam atau para jemaah, pada hari Jumaat adalah makruh dan meninggalkannya adalah lebih utama. Seperti yang diketahui bahawa melakukan perkara yang makruh itu tidak berdosa akan tetapi meninggalkannya pula akan diberikan ganjaran pahala. Maka di samping melakukan ibadat fardhu pada hari Jumaat, wajarlah juga direbut peluang untuk meraih ganjaran pahala kerana melakukan perkara yang disunatkan serta meninggalkan perkara yang makruh.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6731
