Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menamakan Anak: Panduan Dan Hukumnya

Nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seorang insan. Dengan nama itulah dia akan dikenali dan juga akan dipanggil pada Hari Akhirat. Oleh itu nama bukan perkara kecil. Malahan ia boleh melibatkan hukum larangan jika nama yang diberikan itu tidak menepati ajaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Nama juga merupakan simbol khusus yang dapat membezakan diri seseorang itu daripada orang lain. Bahkan dengan nama juga seseorang itu boleh dikenali agamanya, sama ada Islam ataupun bukan. Nama juga boleh mempengaruhi atau mencerminkan sifat dan keperibadian orang yang empunya nama. Oleh sebab itu, nama merupakan antara perkara yang terawal sekali diberi perhatian untuk anak yang baru lahir. Pada masa ini para ibu bapa sudah mencari dan merancang dengan teliti nama yang akan diberikan kepada anak mereka yang akan lahir sejak anak itu masih dalam kandungan lagi.

Trend menamakan anak dengan nama-nama yang panjang lagi susah disebut eloklah difikirkan. Sebutan yang salah akan menukar makna nama tersebut kepada makna yang lain pula.

Oleh itu, Islam telah menyediakan panduan yang khusus dan hukum-hakam yang berkaitan dengan pemberian nama ini.

Waktu Yang Paling Afdhal Menamakan Anak

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Adzkâr, sunat diberikan nama kepada anak pada hari ketujuh ataupun pada hari kelahirannya berdasarkan hadits-hadits yang shahîh dan harus menamakan anak sebelum atau selepas hari ketujuh.

Imam al-Bukhari Rahimahullâh pula mengkhususkan waktu memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran adalah bagi ibu bapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka. Perkara ini berlaku kepada Ibrahim Radhiallâhu ‘anhu putera Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, ‘Abdullah bin az-Zubair Radhiallâhu ‘anhumâ dan beberapa anak para sahabat yang lainnya. Sementara bagi ibu bapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama hingga ke hari yang ke tujuh. Pendapat ini disokong oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri.

Begitu juga sunat diberikan nama kepada anak damit (kecil) yang meninggal dunia sebelum sempat diberikan nama. Sunat juga diberikan nama kepada as-siqth iaitu kandungan yang gugur yang telah ditiupkan roh kepadanya menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh. Jika belum dapat dikenal pasti jantina as-siqth itu sama ada lelaki atau perempuan, maka dinamakan dia dengan nama yang sesuai untuk kedua-duanya seperti Hindun (هند) dan Thalhah (طلحة).

Memilih Nama Yang Baik

Sunat menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad Rahimahumallâh daripada Abu ad-Darda‘ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Nama Paling Disukai Oleh Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ

Sebaik-baik nama dan yang paling disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah ‘Abdullah (عب د هللا) dan ‘Abdul Rahman (عب د ال محن) sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Nama-nama yang paling disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman. (Hadits riwayat Abu Daud)

Sebaik-baik nama selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman ini pula ialah nama-nama ‘Abd “ د عب ” (hamba) yang disandarkan kepada nama-nama Allah yang sembilan puluh sembilan (al-Asmâ ‘al-Husnâ) seperti ‘Abdul Rahim “عبدال حيم”, ‘Abdul Malik “ د الل عب”, ‘Abdul Salam “ الم د الس عب ”, dan yang seumpamanya. (Fatwa: 24/1984)

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, nama-nama sebegini memiliki kelebihan, kerana ia menggabungkan sifat-sifat yang wajib bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan sifat yang wajib bagi manusia iaitu ‘ubudiyyah (penghambaan). Manakala nama

Muhammad “ حممد ”dan kemudian nama Ahmad “ امحد ”pula adalah nama yang paling afdhal selepas nama-nama tersebut. (Fatwa: 24/1984)

Menggunakan Nama-Nama Para Nabi Dan Malaikat

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa menurut mazhab asy-Syafi‘e dan jumhûr ulama, harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi, begitu juga nama-nama para malaikat.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyarankan untuk menamakan anak dengan nama para nabi. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Bernamalah kamu dengan nama-nama para nabi. (Hadits riwayat Abu Daud)

Bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm. Diceritakan juga dalam kitab al-Adab al-Mufrad bahawa Baginda menamakan seorang sahabat Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Yusuf ‘Alaihissalâm.

Abu Hurairah dan Jabir Radhiallâhu ‘anhumâ pula telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menamakan anak dengan nama Muhammad mempunyai banyak kelebihan. Kata ulama: Bahkan nama Muhammad mengandungi beberapa kelebihan yang sangat tinggi, sayugia tidak kosong daripada nama Muhammad itu di dalam sesuatu keluarga. (Fatwa: 66/91)

Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu ketika menamakan anak beliau dengan nama Muhammad berkata: “Aku menamakannya dengan nama yang paling aku sukai.” Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, maksud kata Imam asy- Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu “nama yang paling aku sukai” itu ialah nama yang paling disukainya selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman.

Perlu diingat, nama Muhammad itu nama yang baik lagi mulia. Oleh itu jangan dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti “Md.” atau “Mohd.”, kerana perbuatan itu tiada berkat dan kurang adab terhadap Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Fatwa: 66/1991)

Nama-Nama Yang Makruh Digunakan

Makruh menamakan anak atau menggunakan nama yang tidak elok maknanya dan nama yang dianggap buruk pada adat kebiasaan seperti Harb (ح ب - perang), Murrah (م ة – pahit), ‘Ashiyah (عاصية - yang membuat maksiat), Kalb (كلب - anjing) dan sebagainya. Menamakan anak dengan nama-nama seperti ini tidak syak lagi akan memberikan impak yang negatif terhadap diri mereka yang mempunyai nama tersebut kerana ia akan membuatkan mereka merasa malu, terhina, rendah diri dan sebagainya. Tidak mustahil juga ia boleh menjejaskan kedudukan orang itu di mata masyarakat.

Nama-Nama Yang Haram Digunakan

Menggunakan nama-nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti ‘Abdul Syams ( م د الم عب - hamba matahari) ‘Abdul Husain ( د اْلس عب - hamba Husain), ‘Abdul Ka‘bah ( ة د الكعب عب - hamba Ka‘bah) dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram.

Begitu juga haram menggunakan nama-nama yang khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti Allah ( هللا ), ar-Rahman (ال محن ) al-Ilâh (ه اإلل) dan ar-Rabb (ال ب) kecuali jika ditambah dengan perkataan ‘Abd (د عب ) sebelum nama-nama tersebut seperti ‘Abdullah (د هللا عب), ‘Abdul Rahman (عبد ال محن) ‘Abdul Ilâh ( د اإلله عب ) dan ‘Abdul Rabb (عبد ال ب). (Fatwa: 96/1982)

Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang hanya layak dimiliki oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja seperti Malik al-Amlâk ( ال األم مل - Raja segala raja), Khâliq al-Khalq ( الل ال خ - Pencipta seluruh makhluk) dan nama-nama lain yang menyerupai makna nama-nama tersebut.

Abu Hurairah Radhiallâu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Lelaki yang paling dimurkai di sisi Allah pada Hari Kiamat dan yang paling buruk dan paling Allah murka ke atasnya ialah lelaki yang diberi nama Malik al-Amlâk. Tiada raja yang maha memiliki kekuasaan melainkan Allah. (Hadits riwayat Muslim)

Larangan daripada menggunakan nama-nama seumpama ini tidak hanya terbatas dalam bahasa Arab sahaja, ini termasuk juga bagi nama-nama dalam bahasa lain yang sama maknanya dengan nama-nama yang diharamkan itu.

Menukarkan Nama Dengan Nama Yang Lebih Baik

Menurut ulama, sunat menukarkan nama dengan nama yang lebih baik kerana terdapat banyak hadits yang menyebutkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam banyak menukarkan nama-nama para sahabat Baginda dengan nama-nama yang lebih baik. Baginda menukarkan nama ‘Ashiyah ( ية عاص - yang membuat maksiat) kepada Jamilah ( ة مجيل - yang cantik), Harb ( ح ب - peperangan) kepada Salim لم س - aman sejahtera), Hazn ( نن ح - sedih) kepada Sahl ( َ ل س - senang) dan banyak lagi.

Bagaimanapun, wajib diubah nama-nama yang haram digunakan kerana mengubah nama yang haram itu adalah sebahagian daripada perkara menghilangkan mungkar. (Fatwa: 24/1984)

Memanggil Seseorang Dengan Nama Singkatan

Disebutkan dalam kitab al-Majmû‘ dan al-Adzkâr bahawa diharuskan memanggil seseorang dengan nama singkatan, iaitu dengan hanya menyebutkan sebahagian daripada nama penuhnya jika perbuatan tersebut tidak melukakan hati tuannya.

Perkara ini disepakati oleh para ulama, kerana telah tsabit bahwasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah memanggil beberapa orang sahabat dengan nama singkatan, misalnya Baginda pernah memanggil Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu dengan sabda Baginda: “ اي أ َب ه ” (wahai Abu Hirr), dan Baginda pernah memanggil Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha dengan sabda Baginda: “ ائ اي ع ” (wahai ‘Aisy).

Memberikan Gelaran Kepada Seseorang

Para ulama sepakat mengatakan bahawa tidak ditegah bahkan dianjurkan menggelar seseorang dengan gelaran yang baik dan yang disukainya. Ini kerana para sahabat telah digelar dengan beberapa gelaran, misalnya Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan ‘Atîq ( عتي - yang dimerdekakan dari api neraka), Sayyidina Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan al-Faruq ( ارو الف - yang membezakan kebenaran daripada kebâthilan), Sayyidina Hamzah Radhiallâhu ‘anhu digelarkan sebagai Asadullah ( د هللا أس - singa Allah) dan banyak lagi.

Manakala menggelarkan seseorang dengan gelaran yang tidak baik dan tidak disukainya pula, para ulama telah bersepakat mengatakannya haram. Gelaran-gelaran ini tidak kira sama ada ia adalah disebabkan kekurangan orang itu sendiri seperti buta, rabun, bisu, tuli, bongkok dan sebagainya ataupun disebabkan ia merupakan sifat orang-orang yang berkaitan dengan dirinya seperti kedua ibu bapanya. Termasuklah juga apa-apa sahaja gelaran lain yang tidak baik ataupun tidak disukainya.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah pula kamu panggil memanggil di antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Surah al-Hujurât: 11)

Manakala jika digunakan gelaran tersebut bagi mengenalkan dirinya kepada orang lain yang tidak mengenalinya kecuali dengan gelaran tersebut maka para ulama bersepakat mengharuskannya.

Memanggil Orang Yang Tidak Dikenali Atau Tidak Diketahui Namanya

Jika ingin memanggil seseorang yang tidak dikenali ataupun tidak diketahui namanya pula, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh hendaklah dipanggil dia dengan gelaran yang tidak menyakiti atau melukai hatinya seperti “wahai saudaraku”, “wahai tuan”, “wahai kawan”, “wahai yang memakai baju putih”, “wahai hamba Allah” dan lain-lain gelaran seumpamanya yang bersesuaian dengan keadaan orang yang dipanggil itu.

Penutup

Memberi dan menggunakan nama yang baik dan berunsur keislaman itu sememangnya sangat penting untuk diambil perhatian oleh setiap Muslim. Ini kerana nama yang baik dan berunsur keislaman itu akan mendatangkan pengaruh yang baik. Manakala sebaliknya pula nama-nama yang buruk itu boleh mendatangkan pengaruh yang kurang baik sama ada pada diri sendiri atau keluarganya mahupun masyarakat seperti dipersendaguraukan nama berkenaan.

Dari itu, sewajarnyalah para ibu bapa meneliti dengan lebih mendalam nama-nama yang ingin diberikan kepada anak-anak mereka menurut panduan yang telah disediakan oleh para ulama. Manakala orang yang memiliki nama yang tidak baik pula sepatutnya menukarkan nama mereka dengan nama yang lebih baik kerana menukarkan nama yang tidak baik dengan nama yang lebih baik itu merupakan suatu sunnah dan saranan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Bahkan ada kala menukar nama itu wajib.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6775