Ingat! Jangan Terikut-Ikut Merayakan Kedatangan Awal Tahun Masihi
Tahun Hijrah dan tahun Masihi merupakan dua tarikh yang masyhur dan dikenali secara meluas di kalangan masyarakat. Walaupun mempunyai sejarah berbeza namun kedua-duanya merupakan tarikh yang diguna pakai dan kadangkala digabungkan dalam satu kalendar.
Tahun Hijrah secara khusus hanya terkenal dalam masyarakat dan dunia Islam. Ia dikaitkan secara langsung dengan Islam. Manakala awal tahunnya pula dijadikan antara hari-hari kebesaran Islam. Ini kerana semenjak dari pengisytiharan Sayyidina ‘Umar Ibnu al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu mengenai awal tahun bagi umat Islam, maka awal tahun Hijrah telah dianggap salah satu syi‘ar yang disambut khusus oleh umat Islam.
Tahun Masihi pula memang dikenali oleh masyarakat antarabangsa kerana seluruh dunia menjadikannya tarikh utama di dalam kalendar mereka. Awal tahunnya dijadikan hari besar dan dirayakan.
Di sini timbul satu persoalan tentang sesetengah masyarakat Islam yang turut merayakan awal tahun Masihi dengan sambutan besar-besaran sebagaimana orang bukan Islam merayakannya. Apa yang paling merisaukan ialah orang-orang Islam lebih ‘ghairah’ menyambut tahun Masihi melebihi orang-orang bukan Islam.
Ingatkah kita suatu masa dahulu, kita pernah ber‘JANUARI’ dengan mengadakan berbagai acara suka ria, seperti lumba perahu dan sebagainya? Ber’JANUARI’ dihubungkaitkan dengan awal Januari, iaitu awal tahun Masihi. Sekarang sudah tiada pesta seperti itu, tetapi masih tetap ada pesta-pesta lain, terutamanya pada malam menyambut awal tahun Masihi.
Merayakan Awal Tahun Baru Masihi
Menyambut awal tahun baru Masihi bukanlah budaya orang-orang Islam. Ia juga bukan salah satu daripada hari-hari kebesaran Islam sebagaimana orang-orang Islam menyambut awal tahun Hijrah, hari Maulud Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Isra’ dan Mi‘raj, awal Ramadhan, Nuzul al-Qur’an, ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha.
Awal tahun baru Masihi hanya perayaan yang sering dirayakan oleh orang bukan Islam di negara-negara Barat. Ramai orang yang meniru perayaan ini sehinggakan ia berleluasa hingga ke negara-negara lain seluruh dunia. Perayaan ini turut menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam sama ada mereka sedari atau tidak, dan jika orang Islam kurang pengetahuan agama dan leka dengan penyelinapan ini, maka sudah setentunya ia akan menjadi satu budaya yang diamalkan oleh umat Islam sampai bila-bila. Malahan jika perkara ini dilepas pandang, ia akan semakin berakar umbi dalam masyarakat Islam.
Sambutannya sudah menjadi kebiasaan di mana-mana tempat, secara besar-besaran pula. Bermacam-macam acara diadakan untuk menghidupkan dan memeriahkan kedatangan tahun baru itu. Pada malam 1 Januari, pelbagai pesta dibuat seperti pesta makan dan minum, diiringi dengan nyanyian, tarian dan lain-lain acara, sementara menanti acara kemuncak iaitu pengiraan detik tahun baru melalui saat dan jam menuju ke angka dua belas. Apabila jam sudah menunjukkan angka 12 tengah malam, maka kedengaranlah teriakan dan sorak-sorai orang ramai tanda tahun baru sudah menjelma.
Dalam pesta yang diadakan itu, sudah setentunya banyak perkara negatif berlaku, antaranya percampuran di antara lelaki dan perempuan, terdapat bentuk hiburan yang dilarang oleh Islam dan yang tidak sesuai dengan akhlak Islam. Perkara-perkara yang disebutkan itu sangatlah bertentangan dengan kemuliaan Islam.
Daripada penjelasan ini, nyatalah Islam dan umatnya tidak ada kaitan langsung dengan sambutan dan perayaan seumpama itu, untuk mengalu-alukan dan membesar-besarkan kedatangan awal tahun Masihi tersebut, lebih-lebih lagi jika ia bercorak keagamaan lain daripada Islam.
Oleh itu, orang Islam tidak boleh turut sama membesar-besarkan awal tahun Masihi seperti orang bukan Islam membesar-besarkannya, kerana yang demikian itu dikhuatiri akan membawa tasyabbuh (penyerupaan) dengan mereka yang berlainan agama itu di dalam budaya, tujuan dan aqidah mereka. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang daripada (kalangan) mereka. (Hadis riwayat Abu Daud)
Sehingga ke hari ini, kebanyakan negara termasuk sebahagian daripada negara-negara Islam masih menggunakan kalendar Masihi sebagai kalendar asas. Ia memang tidak akan berubah memandangkan kemasyhuran pemakaiannya secara global.
Walau bagaimanapun sudah sepatutnya umat Islam di selurh dunia memikirkan untuk menjadikan kalendar Hijrah sebagai kalendar asas mereka. Kita telahpun diperkenalkan atau dibekalkan dengan kalendar yang mempunyai sejarah tersendiri lagi indah sejak berabad-abad lagi iaitulah kalendar Islam yang bermula dari tarikh hijrah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dari kota Makkah ke kota Madinah. Mengapakah ia harus diletak di belakang dan kurang dipakai oleh umat Islam, sedangkan kalendar Masihi dipakai secara meluas dan menyeluruh sehingga menenggelamkan kalendar Islam itu?
Marilah kita berfikir sejenak dan bertanya di dalam diri kita sendiri: Apakah tanggapan orang lain terhadap kalendar Hijrah orang-orang Islam jika kita sendiri tidak mahu mengagungkannya? Adakah orang lain mahu memakainya sebagaimana orang Islam memakai kalendar Masihi? Dan yang lebih jauh lagi, pernahkah kita mendengar atau berjumpa orang bukan Islam turut merayakan awal tahun Hijrah kita?
Oleh yang demikian, kita umat Islam sendiri patutlah merasa bangga dan komited serta dengan penuh semangat menggunakan kalendar Hijrah sebagai kalendar utama dalam kehidupan kita seharian. Begitu juga tanggungjawab kita membesarkan kedatangan awal tahun Hijrah, bukan sebaliknya merayakan dan membesar-besarkan awal tahun Masihi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6784
