Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Isi Perut Ikan: Adakah Najis?

Amalan atau sikap memilih makanan yang halal lagi baik (bersih, selamat, berkhasiat dan menyelerakan) merupakan suruhan agama. Ia bukanlah tertakluk pada kemahuan atau kehendak individu itu sendiri ataupun sebagai satu pilihan atau kecenderungan sahaja. Perintah ini telah ditegaskan dalam beberapa firman Allah Ta‘ala, antaranya:

Tafsirnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di-bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Surah al-Baqarah: 168)

Apabila menyentuh mengenai aspek makanan yang menyihatkan dan menyelerakan; di samping sayuran dan buah-buahan, pasti ramai yang akan memilih atau menyebut ikan sebagai menu yang berzat dan berkhasiat. Malah tidak dapat dinafikan bahawa ikan juga yang disebut dalam bahasa Brunei sebagai lauk, merupakan antara makanan kegemaran masyarakat Brunei.

Cara untuk menyajikannya juga berbagai-bagai; rebus, kukus, goreng, bakar, diperap seperti dimasinkan atau diasamkan dan seumpamanya. Manakala cara membersihkan ikan dan menyediakannya sebelum dimasak atau dimakan juga diketahui. Memang sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Brunei membersihkan terlebih dahulu ikan tersebut, mengasingkan dan membuang isi perutnya, sekalipun ikan kecil seperti ikan pusu. Perkara ini sudah menjadi amalan biasa kerana cara sedemikian merupakan antara aspek dan langkah penjagaan kebersihan serta kualiti makanan tersebut.

Namun apakah sebenarnya hukum memakan ikan bersama-sama isi perutnya menurut pandangan Islam?

Penjelasan Syara‘ Mengenai Haiwan Laut

Dalam al-Qur’an telah disebutkan bahawa haiwan atau binatang laut itu adalah halal melalui firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan yang didapati dari laut. (Surah al-Mâ’idah: 96)

Perkataan ‘laut’ dalam ayat di atas termasuklah juga sungai dan seumpamanya, manakala maksud ‘buruan laut’ pula ialah haiwan laut yang diburu, ditangkap atau diperolehi dengan menggunakan apa saja cara ketika binatang tersebut dalam keadaan masih hidup. Adapun maksud ‘makanan yang didapati dari laut’ ialah kehidupan laut yang terapung, yang dikeluarkan oleh laut atau yang terdampar ketika air laut (atau sungai) surut atau kering tanpa perlu ada usaha untuk memperolehinya.

Hukum Memakan Bangkai Ikan

Antara dalil daripada hadits yang menjelaskan perkara ini ialah hadits tentang air laut dan bangkainya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Air laut itu suci lagi menyucikan, (manakala) bangkainya (binatang laut) adalah halal. (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadits di atas dapat difahami bahawa bangkai ikan adalah termasuk di antara benda yang dihalalkan oleh syara‘. Inilah hukum yang disepakati oleh para ulama, sebagaimana mereka bersepakat bahawa bangkai ikan adalah suci (bukan najis).

Adapun ikan, ia merupakan salah satu spesis haiwan atau binatang laut. Dari segi syara‘ hukumnya adalah halal bagaimana sekalipun cara matinya (tanpa perlu disembelih); sama ada ia mati tanpa sebab ataupun mati kerana sebab yang nyata, dan sama ada kita mendapatinya mati dalam keadaan tenggelam (atau terdampar) ataupun timbul (terapung) di permukaan air.

Yang dimaksudkan dengan ‘mati kerana sebab yang nyata’ ialah seperti mati kerana diburu atau ditangkap, dipotong kepala, terhempas batu, ditusuk dengan alat memburu ataupun lemas kerana ketiadaan air.

Bangkai Ikan Yang Terapung Atau Terdampar

Berdasarkan kepada ayat 96 surah al-Mâ’idah yang telah disebutkan terdahulu, menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh hukum memakan ikan yang telah timbul (terapung) di permukaan laut atau seumpamanya adalah halal. Tambahan daripada itu, terdapat satu riwayat bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakan daging sejenis ikan besar (‘anbar) yang telah mati dan terdampar di pantai. Riwayat ini menunjukkan hukum yang sama, iaitu halal memakan ikan yang sudah mati sama ada ia terdampar di daratan (pantai atau tebing) atau terapung di permukaan air.

Diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengutus mereka sebagai satu pasukan tentera yang dipimpin oleh Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah Radhiallâhu ‘anhu. Dalam perjalanan tersebut mereka menghadapi masalah kekurangan makanan. Suatu ketika apabila mereka menuju ke tepi laut, mereka telah mendapati seekor ikan besar (‘anbar) terdampar di pantai. Pada awalnya Abu ‘Ubaidah mengatakan bahawa ikan tersebut sudah menjadi bangkai, maka ia tidak halal untuk dimakan. Namun kemudian dia menegaskan bahawa mereka adalah utusan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang berada pada jalan Allah (jihâd fî sabîlillâh) dan mereka benar-benar menghadapi kehabisan bekalan makanan. Oleh kerana terpaksa (dalam keadaan dharurat), maka dia mengarahkan juga tentera seramai 300 orang itu memakan daging ikan tersebut sekadarnya sehinggalah mereka boleh bertahan dan menetap di tempat itu selama sebulan lamanya lagi. Tatkala meninggalkan tempat tersebut, mereka masih boleh membawa beberapa potong dagingnya untuk dibawa pulang. Sesampai mereka di Madinah, mereka menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan menceritakan pengalaman tersebut kepada Baginda. Mendengar kisah tersebut, Baginda lalu bersabda:

Maksudnya: Itu (ikan) adalah rezeki yang diberikan Allah kepada kamu. Apakah kamu masih menyimpan sesuatu daripada dagingnya agar kamu boleh memberinya kepada kami untuk kami memakannya? (Jabir) berkata: “Kami lalu mengirimkan daging ikan tersebut kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Baginda pun memakannya.” (Hadits riwayat Muslim)

Merasa Syak Atau Ragu

Walaupun secara umumnya bangkai ikan adalah suci (tidak najis) dan halal dimakan, namun jika seseorang itu merasa syak atau ragu; seperti mendapati ikan yang timbul atau terapung di permukaan air itu keadaannya sudah kembung dan ditakuti pula akan mendatangkan penyakit atau mudharat, maka dalam keadaan ini menurut pendapat beberapa ulama adalah haram memakannya, sekalipun hukum ikan dalam keadaan sedemikian tetap suci (tidak najis).

Apa yang lebih nyata lagi, jika ikan tersebut adalah daripada jenis yang diketahui mempunyai racun, maka tidak halal memakannya.

Bagaimana Dengan Isi Perut Ikan?

Ikan, sepertimana juga dengan haiwan yang lainnya, memiliki rongga perut dan padanya juga terkandung kotoran dan najis. Menurut ulama, sesuatu yang keluar (berasal) dari rongga perut haiwan, tidak terkecuali ikan, merupakan najis. Maka dalam perkara ini, tahi ikan juga dihukumkan sebagai najis.

Jadi apakah memakan ikan yang telah dimasak atau dibakar sekaligus dengan isi perutnya itu halal atau sebaliknya? Bagaimana pula dengan ikan yang dimasinkan atau diasamkan dan diperam sekaligus dengan isi perutnya? Berikut disebutkan beberapa pendapat ulama mengenainya:

1. Halal memakan ikan kecil yang digoreng atau dibakar (sekaligus dengan isi perutnya), iaitu tanpa dibersihkan atau dibuang terlebih dahulu kandungan isi perutnya. Kandungan (kotoran) dalam isi perut ikan kecil tersebut adalah dimaafkan. Ini merupakan pendapat beberapa orang ulama antaranya Imam an-Nawawi, al-Khathib asy-Syarbini dan Imam ar-Ramli Rahimahumullâh.

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh juga berpendapat bahawa tidak wajib membersihkan atau membuang kandungan (kotoran) dalam perut ikan kecil kerana kesukaran.

Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh pula menjelaskan, ikan besar yang dibakar atau digoreng (sekaligus dengan isi perutnya) hukumnya adalah haram, kerana menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh yang dihalalkan itu hanyalah pada ikan yang kecil sahaja. Ini bermakna haram memakan ikan besar sekaligus dengan isi perutnya, kerana tiada kesukaran untuk membersihkan isi perutnya daripaada najis (kotoran), berbeza dengan ikan kecil. Najis dalam perut ikan besar adalah tidak dimaafkan.

2. Adapun ikan yang diperam seperti ikan masin atau pekasam dan seumpamanya, menurut pendapat al-Imam ar-Rafi‘i dan an-Nawawi Rahimahumallâh bahawa hukumnya adalah harus memakan ikan masin berukuran kecil (yang diperap) sekaligus dengan isi perutnya kerana kesukaran untuk membersihkan kotoran yang ada dalam isi perut ikan kecil.

Adapun ikan masin yang berukuran besar yang diperam dengan isi perutnya, maka ikan masin yang sedemikian adalah najis.

Apakah Ukuran Yang Dikatakan Sebagai Ikan Kecil?

Kadar atau ukuran ikan yang dikatakan sebagai ikan kecil itu menurut pendapat ulama ialah:

1. Apa yang menurut adat kebiasaannya diakui atau disebut sebagai ukuran ikan kecil.

2. Sekadar dua jari besarnya. Ini adalah pendapat al-‘Allamah ‘Ali asy- Syabramallisi Rahimahullâh.

Lain-Lain Persoalan Yang Berkaitan

Berikut dibawakan beberapa persoalan serta penjelasan ringkas mengenainya:

1. Bangkai Ikan Dalam Perut Ikan Lain

Jika seseorang itu mendapati bangkai ikan dalam perut ikan lain dan bangkai ikan tersebut keadaannya belum terputus-putus (hancur), maka hukum memakan bangkai ikan tersebut adalah halal. Dengan kata lain, halal memakan kedua-dua ikan tersebut. Begitu juga bangkai ikan yang didapati dalam perut binatang lain.

Jika sebaliknya, iaitu jika bangkai ikan dalam perut itu sudah membusuk serta terputus-putus, maka hukumnya tidak halal (haram) kerana ia umpama sudah menjadi muntah dan tahi.

Manakala memakan ikan yang berubah; misalnya bau atau rasa dagingnya, hukumnya adalah makruh (tidak haram) dengan syarat tidak memudharatkan.

2. Memperlakukan Sesuatu Terhadap Ikan Yang Masih Hidup

Kadangkala kerana sebab-sebab tertentu, sesetengah orang memotong, memakan atau memasak ikan ketika ia masih hidup. Maka berikut diterangkan secara ringkas akan hukum perbuatan ini:

i. Memotong.

Makruh memotong, mengerat atau membahagi ikan dalam keadaan ikan tersebut masih hidup. Kemudian memakan bahagian yang dipotong itu adalah halal, namun hukumnya adalah makruh.

ii. Menelan.

Menelan ikan kecil atau besar yang masih hidup (beserta isi perutnya), sama ada dikunyah ataupun tidak, adalah halal namun hukumnya adalah makruh.

Begitu juga halnya menelan bangkai ikan yang kecil, hukumnya adalah harus (halal). Manakala menelan bangkai ikan besar adalah tetap haram, kerana isi perutnya adalah najis.

iii. Menggoreng atau membakar.

Menggoreng ikan yang masih hidup dalam minyak yang panas menggelegak atau membakarnya hidup-hidup hukumnya adalah makruh, kerana ada unsur penyeksaan.

3. Minyak Yang Digunakan Untuk Menggoreng

Oleh kerana (kotoran dalam) isi perut ikan kecil adalah dimaafkan, maka minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan kecil tersebut tidak dikira sebagai najis. Adapun bagi ikan yang besar hukumnya adalah sebaliknya, iaitu minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan besar akan menjadi najis apabila ia digoreng bersama isi perutnya.

Kesimpulan

Hukum memakan ikan adalah halal; sama ada ia mati tanpa sebab atau mati dengan sebab yang nyata, selama mana tidak mendatangkan mudharat. Manakala hukum bangkai ikan itu adalah suci (tidak najis).

Adapun memakan ikan kecil sekaligus dengan isi perutnya, tanpa membuang dan membersihkannya terlebih dahulu, adalah halal dan kotoran dalam kandungan isi perut ikan kecil adalah dimaafkan. Ini kerana adanya kesukaran untuk membersihkan kotoran yang ada pada perut ikan kecil.

Berbeza hukumnya bagi ikan besar, iaitu sekira-kira dua jari lebarnya, maka hukum memakan ikan berukuran besar yang tidak dibuang atau dibersihkan isi perutnya adalah haram dan dianggap najis kerana kotoran dalam isi perutnya adalah najis.

Apabila dilihat dari sudut yang lain pula, ulama juga mengaitkan hukum haram memakan ikan besar sekaligus dengan isi perutnya kerana isi perutnya adalah najis dan tiada kesukaran untuk membuangnya. Manakala halal pada ikan kecil, kerana isi perutnya adalah najis yang dimaafkan dan juga kerana adanya kesukaran untuk membuangnya. Oleh yang demikian dapat difahami, jika isi perut ikan kecil itu mudah dan tiada kesukaran untuk dibuang, maka wajarlah ia dibuang kerana ini bertepatan dengan kehendak syara‘ sebagaimanna yang disebutkan dalam ayat 168 surah al-Baqarah ‘ا الال ييب ح’, iaitu halal lagi baik. Baik yang bermaksud bersih, selamat, berkhasiat dan menyelerakan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6804