Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Jangan Mencela Makanan!

Islam menganjurkan umatnya menghargai ni‘mat yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan melarang mencelanya. Antara ni‘mat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap makhlukNya ialah makanan.

Makanan itu suatu ni‘mat yang sangat penting bagi manusia, kerana manusia perlukan makanan untuk hidup. Makanan itu pula ada kalanya disukai, sedap dan menyelerakan dan ada kalanya pula sebaliknya. Apabila dihidangkan dengan makanan yang tidak disukai, tidak sedap dan tidak menyelerakan, ada kalanya seseorang itu tidak dapat menahan diri daripada mencela makanan tersebut. Apakah hukum mencela makanan?

Larangan Mencela Makanan

Apabila sesuatu makanan yang dihidangkan itu tidak disukai, tidak sedap atau tidak menyelerakan, maka janganlah makanan itu dicela, cukuplah sekadar diam ataupun tidak memakannya.

Dalam hal ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan contoh terbaik yang patut diteladani. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali mencela makanan. Jika Baginda menyukainya Baginda memakannya, dan jika Baginda tidak menyukainya Baginda akan meninggalkannya (tidak memakannya). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda diam.

Berdasarkan hadits di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh mencela makanan yang halal dimakan. Adapun makanan yang haram pula maka bolehlah dicela dan melarang orang lain memakannya.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berpendapat bahawa antara adab makan yang penting untuk dijaga ialah tidak mencela sesuatu makanan yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa; umpamanya mengatakannya masin, masam, kurang garam, cair, tidak cukup masak dan sebagainya.

Imam al-Ghazali Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn bahawa seharusnya seorang Muslim itu redha dengan rezeki dan makanan yang ada.

Sebahagian ulama mengharuskan mencela makanan jika ia bertujuan untuk mengkritik cara masakannya, bukannya bertujuan untuk mencela makanan tersebut. Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, larangan mencela makanan tersebut adalah umum kerana mencela masakan seseorang boleh melukakan hati orang yang memasaknya. Akan tetapi jika ia bertujuan untuk kebaikan masa hadapan, iaitu supaya masakan tersebut dapat diperbaiki maka tidaklah menjadi kesalahan menurut sebahagian ulama.

Jika dihidangkan sesuatu makanan sedangkan makanan tersebut tidak disukai ataupun tidak pandai memakannya, maka diperbolehkan menolak dengan mengatakan: “Saya tidak menyukai makanan ini” atau “saya tidak biasa atau tidak pandai memakannya” atau dengan apa jua ungkapan yang seumpamanya.

Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah dihidangkan dengan daging dhabb bakar lalu Baginda tidak mahu memakannya. Khalid bin al-Walid Radhiallâhu ‘anhu lalu bertanya kepada Baginda:

Maksudnya: Adakah dhabb itu haram wahai Rasulullah? Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun menjawab:

Maksudnya: Tidak, akan tetapi binatang itu tidak ada di bumi (lingkungan) kaumku, sehingga aku tidak menyukainya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim) Dalam sebuah riwayat yang lain pula diceritakan bahawa Baginda menjawab:

Maksudnya: Makanlah kamu, sesungguhnya ia adalah halal. Akan tetapi ia bukanlah daripada makananku (yang biasa aku makan).

Memuji Makanan Yang Telah Dimakan Di sebalik larangan daripada mencela makanan, Islam menganjurkan pula memuji makanan yang telah dimakan. Bukan sahaja dianjurkan memuji makanan, bahkan Islam turut menganjurkan untuk menyebut-nyebut apa sahaja ni‘mat yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai tanda syukur. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Adapun ni‘mat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. (Surah adh-Dhuhâ: 11)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab al-Adzkâr bahawa memuji makanan yang telah dimakan adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam dan merupakan suatu sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Ini sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah meminta lauk daripada keluarganya, lalu mereka menjawab: “Kami tidak mempunyai apa-apa selain cuka”. Maka Bagindapun memintanya dan memakan (makanannya) dengannya (cuka), lalu Bagindapun bersabda: “Sebaik-baik lauk ialah cuka, sebaik-baik lauk ialah cuka.”

Makanan adalah ni‘mat kurniaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang patut dihargai dan disyukuri dan jangan sekali-kali ia dicela. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan manusia contoh dan ikutan terbaik yang patut diteladani. Apabila makanan yang dihidangkan kepada Baginda itu disukainya, Baginda akan memakannya dan malah akan memuji makanan tersebut walaupun yang dihidangkan itu hanyalah cuka. Manakala jika makanan itu tidak disukainya ataupun Baginda tidak pandai memakannya, Baginda akan diam dan meninggalkannya ataupun menolaknya dengan penuh kesopanan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6800