Persoalan Sembahyang Berjemaah Bagi Musafir
Bermusafir dikategorikan sebagai situasi yang pada kebiasaannya mengandungi pelbagai kesusahan dan kesulitan. Perihal kesusahan atau kesulitan itu tetap ada, tergantung sejauh mana jarak perjalanan dan tujuan safar seseorang itu. Umpamanya melancong tidak sama dengan menunaikan ibadat haji dari sudut kesusahan dan kesulitan yang ditempuh. Oleh itu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah meringankan bagi orang-orang yang bermusafir dalam banyak perkara yang melibatkan hukum-hukum agamaNya, antaranya ialah sembahyang.
Keringanan Bagi Musafir
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memberikan dua bentuk keringanan dalam sembahyang kepada orang yang bermusafir.
Pertama: Mengurangkan bilangan sembahyang fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Ia dinamakan dengan qashar, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah an-Nisâ’:
Tafsirnya: Dan jika kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasharkan’ (memendekkan) sembahyang. (Surah an-Nisâ’: 101)
Kedua: Menghimpunkan dua sembahyang tunai di antara satu sama lain dan ditunaikan dalam satu waktu, supaya orang yang bermusafir mendapat kekosongan waktu yang seluas-luasnya. Ia dinamakan dengan sembahyang jama‘ iaitu menghimpunkan di antara dua sembahyang. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa dia berkata:
Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menghimpunkan di antara sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar dan juga di antara Maghrib dan ‘Isya’ ketika musafir. (Hadits riwayat al-Bukhari) Sembahyang Berjemaah Bagi Musafir
Orang yang bermusafir adalah diharuskan untuk melakukan sembahyang berjemaah dengan orang yang bermuqîm. Bagi orang yang bermuqîm, adalah harus baginya dan tidak menjadi masalah jika dia menjadi makmum kepada musafir sekalipun musafir itu mengqasharkan sembahyangnya. Walau bagaimanapun orang yang bermuqîm itu hendaklah menyempurnakan sembahyangnya setelah imam yang menunaikan sembahyangnya secara qashar itu selesai memberi salam. Sementara itu, disunatkan ke atas imam yang musafir itu memberitahu jemaahnya yang terdiri daripada orang yang bermuqîm dengan berkata: “Kamu sempurnakanlah sembahyang kamu, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bermusafir.”
Berlainan pula halnya jika orang musafir yang mengqasharkan sembahyangnya menjadi makmum kepada orang yang bermuqîm atau orang musafir yang tidak mengqasharkan sembahyangnya. Para ulama telah menjelaskan, antara syarat mengerjakan sembahyang dengan qashar itu hendaklah orang yang bermusafir itu tidak menjadi makmum kepada orang yang bermuqîm atau orang musafir yang tidak mengqasharkan sembahyangnya iaitu mengerjakannya dengan bilangan rakaat yang sempurna. Jadi, jika hal sebegini berlaku maka wajib ke atas orang musafir yang menjadi makmum itu mengerjakan sembahyangnya dengan bilangan rakaat yang sempurna sebagaimana yang dilakukan oleh imam sembahyang jemaah berkenaan.
Dia tidak diharuskan untuk mengqashar sembahyangnya sekalipun bilangan rakaat sembahyang yang dikerjakan oleh imam itu hanya dua rakaat seperti sembahyang fardhu Subuh, sembahyang Jumaat, dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain kerana sembahyang- sembahyang tersebut merupakan sembahyang-sembahyang yang sempurna bilangan rakaatnya.
Begitulah juga jika orang yang musafir itu menyangka imam itu seorang musafir, tetapi ternyata imam itu seorang yang muqîm dan mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna (tidak mengqashar), maka orang yang musafir itu juga hendaklah menyempurnakan sembahyangnya sepertimana sembahyang imam.
Orang yang musafir itu juga hendaklah mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna jika merasa ragu sama ada imam yang diikutinya itu seorang musafir atau muqîm dan tidak dapat dipastikan akan kedudukannya.
Manakala jika musafir itu menjadi makmum kepada imam yang mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna, kemudian batal sembahyangnya ataupun sembahyang imam maka hendaklah orang yang musafir itu mengulang sembahyangnya dengan bilangan rakaat yang sempurna juga.
Manakah Yang Lebih Afdhal: Sembahyang Qashar Atau Jemaah?
Walaupun orang musafir itu diberi keringanan hukum dengan mengqashar sembahyangnya ketika dalam pelayaran, akan tetapi jika dia ada pilihan untuk bersembahyang di belakang imam yang bermuqîm atau bermusafir yang tidak mengqasharkan sembahyangnya, maka adalah lebih utama dia mengerjakan sembahyang dengan bilangan rakaat yang sempurna secara berjemaah daripada dia mengqasharkan sembahyangnya dan mengerjakan secara bersendirian.
Ini adalah berdasarkan perkataan Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah yang telah membandingkan hukum sembahyang berjemaah dengan sembahyang qashar, dan beliau berkata sembahyang berjemaah itu fardhu kifâyah dan sembahyang qashar itu sunat. Fardhu kifâyah itu lebih utama daripada sunat, apatah lagi sembahyang jemaah itu mempunyai kelebihan daripada sembahyang bersendirian sepertimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Masalah Niat Bagi Musafir Dan Muqîm
Dari segi niat sembahyang orang yang musafir, jika dia berniat qashar dengan mengikut imam yang mengerjakan sembahyang sempurna hukumnya adalah sah, akan tetapi niat qasharnya tidak dikira dan dia mesti menyempurnakan sembahyangnya sebagaimana sembahyang imam.
Permasalahan Sembahyang Jama‘ Dalam Sembahyang Jemaah
Dalam masalah sembahyang jama‘ pula, orang yang musafir harus menjama‘ sembahyangnya walaupun dia telah sembahyang berjemaah dengan menjadi makmum kepada orang yang bermuqîm pada sembahyangnya yang pertama.
Setelah dia selesai mengerjakan sembahyang yang pertama itu, dia hendaklah terus melakukan sembahyang yang kedua (yang dijama‘nya). Orang musafir tersebut boleh mengerjakan sembahyang kedua itu dengan bilangan rakaat yang sempurna ataupun dengan qashar, sebagaimana yang disebutkan oleh asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullâhu Ta‘âlâ bahawa sembahyang jama‘ boleh dikerjakan sama ada dengan mengerjakan kedua-dua sembahyang itu secara sempurna ataupun kedua-duanya diqashar atau salah satunya sempurna dan salah satunya lagi diqashar.
Sebagai kesimpulan, sembahyang secara berjemaah itu boleh dilakukan di antara orang musafir dan orang yang bermuqîm begitulah juga sebaliknya dengan mengikut aturan-aturan yang telah dijelaskan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6844
