Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Beberapa Isu Lupa Sewaktu Berpuasa Ramadhan

Puasa Ramadhan merupakan satu tuntutan fardhu ‘Ain yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang mukallaf. Mengerjakan ibadat puasa itu, sudah setentunya kita berusaha dan mengharap agar ia terlaksana dengan sebaik-baiknya.

Walau bagaimanapun, disebabkan ada kelemahan-kelemahan tertentu sesuai dengan sifat semula jadi manusia, kita mempunyai keterbatasan untuk memastikan apa yang dilakukan itu benar-benar terpelihara daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan ataupun mempengaruhi kesempurnaan ibadat yang dikerjakan.

Umpamanya sifat lupa, ia boleh menyebabkan tertinggal pada melakukan perkara-perkara yang disuruh, dan ia juga boleh mengakibatkan terlanjur pada berbuat perkara-perkara yang dilarang.

Lupa di sisi syariat Islam, walaupun pada dasarnya merupakan suatu keuzuran yang dapat mengecualikan seseorang itu daripada dosa, tetapi ia bukan bererti seseorang itu terlepas daripada taklîf atau tanggungan sama sekali. Ini kerana ada tanggungjawab ataupun gantian lain yang masih perlu dilakukan semasa di dunia.

Khusus dalam ibadat puasa, ada keadaan lupa yang dimaafkan dan ada juga yang menyebabkan puasa itu tidak sah dan perlu diqadha’. Antaranya ialah:

1. Niat puasa.

Niat adalah salah satu rukun puasa. Ia wajib dilakukan pada setiap malam bulan Ramadhan, iaitu setelah terbenam matahari sehingga sebelum terbit fajar shadiq.

Jika sesorang itu terlupa untuk berniat puasa pada waktu tersebut, maka puasanya tidak sah. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Barang siapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shadiq maka tidak ada puasa baginya. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Jika seseorang itu lupa berniat puasa untuk keesokan harinya, maka wajib ke atasnya imsâk iaitu menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa serta wajib ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut.

Dalam hal ini, di samping kita diwajibkan berniat puasa pada tiap-tiap hari, kita digalakkan juga berniat puasa untuk satu bulan penuh di awal bulan Ramadhan. Ini bertujuan untuk berjaga-jaga, kalau-kalau kita terlupa berniat pada malam-malam berikutnya dengan bertaqlîd kepada mazhab Imam Malik. Contoh lafaz niat satu bulan penuh itu ialah:

Ertinya: Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.

Berniat satu bulan penuh hendaklah dilakukan pada malam pertama puasa sahaja. Tidak dikira niat sebulan penuh itu jika ia dilakukan pada malam berikutnya seperti berniat pada hari kedua puasa.

2. Makan atau minum.

Batal puasa apabila seseorang itu makan atau minum dengan sengaja di siang hari puasa. Wajib ke atasnya imsâk di hari tersebut dan mengqadha’nya.

Adapun jika makan atau minum (sama ada banyak atau sedikit) disebabkan lupa adalah tidak membatalkan puasa. Perkara ini disebut oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Sesiapa yang lupa lalu dia makan atau minum sedang dia berpuasa, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah telah memberikannya makan dan minum. (Hadits riwayat Muslim)

3. Bersetubuh.

Orang yang berpuasa jika dia melakukan persetubuhan di siang hari bulan Ramadhan dengan sengaja adalah berdosa. Di samping wajib ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut, wajib juga ke atasnya membayar kaffârah dengan mengikut tertibnya iaitu: Membebaskan hamba yang mukmin, jika tidak diperolehinya maka berpuasa dua bulan berturut-turut, dan jika tidak terdaya olehnya maka memberi makan 60 orang miskin atau fakir.

Menurut pendapat yang ashah, kaffârah itu wajib ke atas suami sahaja dan tidak diwajibkan ke atas isteri.

Adapun jika seseorang yang berpuasa itu bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan disebabkan lupa, maka puasanya tidak batal. Ini sama halnya dengan makan atau minum disebabkan lupa. Demikian juga, tidak wajib ke atasnya membayar kaffârah disebabkan lupa itu.

Oleh itu, kita hendaklah berwaspada dan sentiasa berhati-hati khususnya dalam perkara niat puasa, agar tidak terlupa untuk berniat di malam hari. Ini kerana lupa untuk berniat puasa Ramadhan akan menyebabkan puasa tidak sah dan wajib diqadha’.

Semoga penjelasan yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita agar mencapai kesempurnaan puasa.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6880