Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Menahan Haidh Untuk Berpuasa Ramadhan Sebulan Penuh

Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan, antaranya ia merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan, menjadi rebutan dan idaman bagi orang-orang Islam yang menghargainya. Mereka dengan sedaya upaya memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadhan kerana segala amal ibadat yang dikerjakan pada bulan ini telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang berlipat-ganda.

Melihat kepada kelebihan yang tinggi nilainya itu, sepatutnya tiada siapa pun yang mahu melepaskan peluang untuk memperolehi laba dan untung pahala yang dijanjikan, jauh sekali untuk meninggalkan begitu sahaja peluang tersebut.

Menyentuh mengenai puasa fardhu di bulan Ramadhan, antara syarat sah puasa itu hendaklah seseorang itu suci daripada haidh dan nifas pada siang hari Ramadhan. Oleh yang demikian, puasa tidak wajib ke atas perempuan yang haidh dan nifas. Bahkan jika dia berpuasa juga, maka hukum puasanya itu tetap tidak sah, malahan perbuatannya itu adalah haram.

Hukum Mengqadha’ Puasa Yang Tertinggal

Jika seseorang itu mendapati darah haidh atau nifas keluar pada siang hari di bulan Ramadhan, maka puasanya itu menjadi batal.

Berbeza dengan sembahyang fardhu yang ditinggalkan pada hari-hari haidh atau nifas, puasa fardhu yang ditinggalkan kerana haidh atau nifas adalah wajib diqadha’ pada hari lain sebanyak hari yang ditinggalkan itu.

Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ pernah ditanya oleh Mu‘adzah mengenai perempuan haidh yang diwajibkan mengqadha’ puasa tetapi tidak dalam perkara sembahyang. Beliau lalu menegaskan jawapan berikut:

Maksudnya: Maka kami diperintahkan untuk mengqadha’ puasa dan kami tidak diperintahkan untuk mengqadha’ sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)

Persoalan Memakan Ubat Menahan Haidh Di Bulan Ramadhan

Memandangkan kelebihan dan keberkatan yang terdapat pada bulan Ramadhan, ada sesetengah golongan perempuan mahu untuk melaksanakan ibadat puasa sepanjang bulan tersebut tanpa dihalangi oleh uzur syar‘i yang khusus dialami oleh perempuan, iaitu haidh, walaupun disedari perkara haidh merupakan perkara fitrah dan keadaan semula jadi yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada perempuan.

Atas pertimbangan inilah timbul keinginan sesetengah individu untuk mengambil atau memakan ubat seperti yang dilakukan oleh jemaah perempuan yang pergi menunaikan fardhu haji atau umrah. Tujuannya ialah untuk menahan kedatangan darah haidh atau melambatkannya supaya dapat melaksanakan ibadat puasa sebulan penuh.

Persoalannya apakah hukum perempuan menahan haidh ketika di bulan Ramadhan? Adakah boleh disamakan atau diqiyâskan dengan hukum perempuan memakan ubat menahan haidh pada musim haji? Untuk menjawabnya, maka berikut dibawakan pendapat ulama secara ringkas.

Ulama ada menyebut perkara menahan haidh dengan tujuan agar dapat mengerjakan thawaf fardhu bagi haji dan tidak pula para ulama tadi melarang perbuatan menahan haidh kerana tujuan itu. Ini supaya perempuan berkenaan dapat mengerjakan thawaf haji dan dapat balik ke negerinya bersama-sama rombongan haji dan selesai haji perempuan berkenaan pada tahun itu.

Oleh yang demikian, jika diqiyâskan menahan haidh kerana tujuan thawaf haji berserta tiada larangan atau tegahan daripada para ulama terhadap perempuan yang berbuat sedemikian, maka dari itu dibolehkan juga bagi perempuan menahan haidh dengan tujuan supaya dia dapat berpuasa Ramadhan sebulan penuh.

Sebagai kesimpulan, setakat yang diketahui bahawa tiada nash atau dalil yang melarang perempuan mengambil atau memakan ubat menahan haidh dengan tujuan untuk berpuasa sebulan penuh, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat perbuatan tersebut tidak akan memudharatkan perempuan berkenaan. Hukum ini diqiyâskan kepada perempuan yang menahan haidh dengan tujuan untuk menyempurnakan thawaf fardhu ketika haji.

Akan tetapi, jika sebaliknya, iaitu tindakan tersebut boleh menyebabkan kemudharatan, maka tindakan tersebut adalah dilarang. Untuk mengetahui perkara tersebut, maka adalah dinasihatkan kepada perempuan yang berhajat untuk berbuat demikian, terlebih dahulu meminta nasihat daripada pakar perubatan

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6876