Puasa Ramadhan: Hukum Dan Beberapa Permasalahan Kanak-Kanak
Kedatangan bulan Ramadhan merupakan rahmat bagi setiap orang yang beriman. Di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit, pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat. Sebagai seorang yang beriman, sudah setentunya tidak ingin terlepas segala peluang yang ada, lebih-lebih lagi di bulan ini banyak keistimewaan dan ganjaran pahala.
Di samping itu, kanak-kanak tidak ketinggalan juga turut berpuasa sama ada didorong oleh ibu bapa ataupun kemahuan mereka sendiri. Pada kebiasaannya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka yang belum bâligh berpuasa walaupun puasa mereka itu tidak sampai sehari penuh. Kadang-kadang ia hanya sebagai satu latihan praktikal kepada anak-anak, di samping mengenal apa itu puasa.
Tindakan ibu bapa melatih anak-anak mereka berpuasa adalah satu tindakan yang terpuji. Ini selaras dengan syara‘ untuk menyuruh anak-anak mereka, jika terdaya untuk berpuasa ketika berumur 7 tahun dan memukulnya (pukulan yang tidak mencederakan) jika meninggalkan puasa ketika berumur 10 tahun. Perkara ini diqiyâskan kepada menyuruh anak mengerjakan kewajipan sembahyang, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka atas (keengganannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hukum Kanak-Kanak Berpuasa
Salah satu syarat wajib puasa itu ialah bâligh. Kanak-kanak yang sudah mencapai umur bâligh adalah diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan.
Sementara kanak-kanak yang belum mencapai umur bâligh, tidak diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan dan tidak diwajibkan qadha’. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan): Orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia mimpi (bâligh) dan orang gila sehingga dia berakal. (Hadits riwayat Abu Daud)
Persoalannya, bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum mumayyiz atau yang sudah mumayyiz berpuasa, adakah puasa mereka itu sah ataupun tidak?
Penjelasan hukum mengenainya adalah seperti berikut:
1. Kanak-kanak yang belum mumayyiz.
Kanak-kanak yang belum mumayyiz ialah kanak-kanak yang tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz. Ini kerana syarat sah bagi orang yang berpuasa itu ialah berakal dan mumayyiz.
2. Kanak-kanak yang mumayyiz.
Kanak-kanak yang mumayyiz ialah kanak-kanak yang sudah tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Sah puasa kanak-kanak yang mumayyiz apabila dia berniat puasa di malam hari, walaupun puasa Ramadhan itu tidak diwajibkan ke atasnya.
Beberapa Permasalahan Kanak-Kanak Mengenai Puasa Ramadhan
Antara permasalahan kanak-kanak dalam puasa Ramadhan adalah seperti berikut:
1. Bâligh sebelum masuk waktu puasa.
Apabila kanak-kanak mencapai umur bâligh sebelum masuk waktu puasa, adalah diwajibkan ke atasnya berpuasa. Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki itu bermimpi (keluar air mani) di malam hari puasa maka wajib dia berniat puasa untuk siang harinya.
2. Bâligh selepas masuk waktu puasa.
Kanak-kanak yang mencapai umur bâligh selepas masuk waktu puasa, penyelesaiannya adalah seperti berikut:
i. Jika di siang hari itu dia berpuasa, lalu mencapai umur bâligh, maka wajib disempurnakan puasanya itu. Ini kerana dia sudah tergolong orang yang diwajibkan berpuasa ketika itu.
Sementara kanak-kanak perempuan yang berpuasa di siang hari, lalu mencapai umur bâligh dengan keluarnya darah haidh, maka tidak wajib dia menyempurnakan puasanya itu. Ini kerana perempuan yang haidh tidak diwajibkan berpuasa.
Persoalannya, adakah wajib ke atas mereka ini qadha’? Dalam hal ini, tidak lagi diwajibkan ke atas mereka qadha’.
ii. Jika di siang hari itu dia tidak berpuasa, lalu mencapai umur bâligh, maka tidak diwajibkan ke atasnya imsâk (menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa) pada baki waktu puasa di hari tersebut. Walau bagaimanapun disunatkan juga ke atasnya imsâk pada baki waktu puasa di hari tersebut bagi menghormati waktu dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan wajib imsâk.
Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha’? Dalam hal ini, tidak diwajibkan ke atasnya qadha’. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut.
Ibu bapa adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang agama Islam sejak di usia awal mereka lagi iaitu mendidik tentang pengetahuan agama, menanamkan akhlak-akhlak mulia dan sebagainya. Ini termasuklah juga menyuruh mereka berpuasa ketika berumur 7 tahun sebagaimana dalam perkara sembahyang.
Semoga penjelasan yang telah dihuraikan mengenai hukum kanak-kanak berpuasa serta beberapa permasalahannya akan menjadi panduan kepada ibu bapa malah kepada anak-anak mereka bagi menjalani ibadat puasa dengan sesempurnanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6888
