Puasa Sunat Enam: Jangan Biarkan Ia Berlalu
Pastinya Ramadhan yang baru sahaja berlalu, jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan, akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa setiap individu selain menambahkan lagi ketaqwaan. Apa yang diharapkan ialah segala amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak itu tidak akan ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja apabila Ramadhan berlalu pergi. Antara amalan yang masih terus ditekuni setelah berlalunya bulan Ramadhan ialah puasa sunat. Puasa sunat masih terus dikerjakan oleh para shalihîn di bulan Syawal. Syawal merupakan bulan kemenangan kerana merayakan kejayaan setelah berpuasa di bulan Ramadhan.
Memandangkan kita berada dalam bulan Syawal, maka antara puasa sunat yang khusus dikerjakan di bulan ini ialah puasa enam. Bagi mereka yang mempunyai kebiasaan berpuasa enam, ia bukan suatu perkara baru. Oleh yang demikian, jangan ada yang terlepas tanpa mengerjakan puasa enam pada Syawal kali ini. Rebutlah peluang untuk melaksanakannya kerana ia datang sekali sahaja dalam setahun.
Cara Mengerjakan Puasa Enam
Puasa yang biasa disebut sebagai puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari dalam bulan Syawal. Bagaimanapun para ulama berbeza pendapat mengenai cara mengerjakan puasa enam ini. Secara ringkas dijelaskan pendapat tersebut seperti berikut:
1. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam dikerjakan secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai Hari Raya kedua dan seterusnya.
2. Sebahagian ulama muta’akhirîn pula berpendapat puasa enam itu harus dikerjakan secara berselang-seli atau berasingan sepanjang bulan Syawal. Sama ada pada minggu pertama, kedua, ketiga atau minggu terakhir bulan Syawal.
Bagaimanapun mengerjakannya berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai Hari Raya kedua, adalah lebih afdhal.
Fadhilat Puasa Sunat Enam
Fadhilat puasa enam itu telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abu Ayyub al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, (puasanya di bulan Ramadhan dan enam hari di bulan Syawal itu) seperti puasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)
Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun. (Hadits riwayat ad-Darimi)
Apa yang dimaksudkan dengan persamaan di sini ialah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya daripada puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.
Orang-Orang Yang Dituntut Mengerjakan Puasa Enam
Puasa enam hari di bulan Syawal sunat dikerjakan bagi orang yang telah berpuasa penuh bulan Ramadhan. Begitu juga bagi orang yang tidak berpuasa penuh Ramadhan kerana sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘. Maksud sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘ ialah seperti orang perempuan yang haidh atau nifas, orang sakit atau musafir.
Adapun orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja tanpa keuzuran yang diharuskan oleh syara‘, adalah haram baginya melakukan puasa enam, melainkan setelah dia selesai mengqadha’ puasa Ramadhan, kerana puasa Ramadhan yang ditinggalkan dengan sengaja wajib diqadha’ dengan segera.
Menyatukan Niat Puasa Qadha’ Dan Sunat
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan, sama ada disebabkan oleh keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ ataupun bukan, hukumnya dia tetap wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkan itu. Adapun menyegerakan mengqadha’ puasa adalah satu amalan dan langkah yang terpuji, malahan dituntut oleh agama. Sesiapa yang mahu menyegerakan qadha’ puasa tersebut di bulan Syawal, maka qadha’ itu boleh dilakukan bermula pada Hari Raya kedua (2hb. Syawal).
Bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan oleh keuzuran yang diharuskan oleh syara‘, jika dia hendak melakukan qadha’ puasa Ramadhan itu pada bulan Syawal, ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya, iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha’ dan ganjaran puasa sunat).
Puasa Sunat Dan Jemputan Makan
Sesetengah individu merasakan, untuk mengqadha’ puasa Ramadhan apatah lagi untuk berpuasa sunat enam di bulan Syawal, dia bakal menghadapi beberapa rintangan. Ini kerana, seperti yang kita semua maklumi, khususnya pada musim Hari Raya ‘Idul Fitri, bagi kita orang Brunei, amalan berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai sudah menjadi adat dan kebiasaan. Di samping itu ‘open house’ ataupun rumah terbuka juga termasuk amalan yang biasa dilakukan di Hari Raya ini. Kadang-kadang, sebagai tetamu, sesetengah undangan ‘open house’ ini sukar untuk ditolak sehingga menyebabkan seseorang yang sedang berpuasa itu terpaksa membuat pilihan, lebih-lebih lagi jika kunjungan itu hanya mampu dibuatnya pada siang hari.
Namun perlu juga diingat bahawa berpuasa itu bukanlah sebagai penghalang untuk tidak menghadiri jemputan. Ini kerana Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Begitu juga sebaliknya, jemputan jamuan itu bukan bermakna sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Sebaiknya perkara ini difahami dengan lebih mendalam lagi.
Dalil kepada peringatan ini adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, maka penuhilah (undangan itu). Jika dia sedang berpuasa, maka do‘a kanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa, maka makanlah. (Hadits riwayat Muslim)
Akan tetapi jika puasa yang dilakukan oleh seseorang yang menjadi tetamu itu adalah puasa sunat, maka dalam keadaan tertentu dia diberikan pilihan, sama ada untuk meneruskan puasanya ataupun disunatkan baginya berbuka dan tidak meneruskan puasa sunat tersebut. Keadaannya adalah seperti berikut:
i. Keadaan yang pertama: Sekiranya tuan rumah yang menjemputnya itu merasa tersinggung jika tetamu tersebut tidak memakan makanan yang dihidangkannya, maka dalam keadaan ini adalah dibolehkan, bahkan adalah afdhal bagi tetamu yang berpuasa sunat tadi untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu. Adapun alasan yang diberikan oleh ulama ialah untuk menjaga hati tuan rumah. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk khusus, seperti tuan rumah hanya menjemput tetamu yang tertentu atau dia mempunyai hajat tertentu ketika mengundang tetamu-tetamu tadi.
Adapun dalil yang mentsabitkan perkara ini ialah satu riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh seorang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, sabda Baginda:
Maksudnya: Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
ii. Keadaan yang kedua: Sekiranya tuan rumah itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika tetamunya itu meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama bagi tetamu itu untuk meneruskan sahaja puasa sunat tersebut. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk umum.
Akan tetapi hukumnya adalah berbeza jika puasa yang dikerjakan oleh seseorang itu merupakan puasa fardhu, misalnya puasa qadha’ Ramadhan atau puasa nazar, maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendo‘akan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para hadirin sepertimana yang disebutkan dalam hadits di atas.
Oleh yang demikian, peluang untuk mengerjakan puasa sunat enam hanya akan diperolehi sekali sahaja dalam setahun, iaitu dalam bulan Syawal. Usahakan agar jangan ia terlepas tanpa dikerjakan. Rintangan atau dugaan untuk melaksanakannya, seperti majlis jamuan makan, janganlah dijadikan alasan untuk meninggalkan sama sekali puasa sunat enam. Sebaiknya biarlah bijak mengurus masa kerana syara‘ juga mengharuskan puasa sunat enam itu dikerjakan secara berselang-seli sepanjang bulan Syawal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6896
