Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Cara Penyerahan Harta Zakat

Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan. Terdapat banyak firman Allah Ta‘ala yang menggandingkan perintah menunaikan zakat dengan sembahyang. Ini menunjukkan kepentingan dan keutamaan zakat itu seiringan dengan sembahyang. Zakat wajib dikeluarkan daripada harta-harta yang tertentu apabila mencukupi syarat-syarat yang telah ditentukan. Para ulama telah menjelaskan dengan terperinci dan panjang lebar mengenai waktu dan cara mengeluarkan zakat dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya.

Mengenai cara mengeluarkannya pula, pemilik harta zakat, iaitu individu, syarikat atau institusi kewangan yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat, diharuskan baginya untuk melaksanakan zakat hartanya sama ada dengan:

1. Menyerahkan zakatnya itu sendiri atau melalui wakilnya kepada pemerintah atau naibnya, iaitu pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memungut, mengumpul dan membahagi zakat seperti Baitul-Mal dan ‘âmil-‘âmil yang dilantik.

2. Mengagihkan sendiri zakat tersebut terus kepada mustahiqq (penerima) zakat, iaitu mereka yang berhak menerima zakat yang terdiri daripada golongan (ashnâf) yang lapan.

Adapun pemilik (individu) yang disebutkan di sini ialah pemilik yang rasyîd dalam urusan agama dan hartanya. Dalam makna lain, dia seorang yang bâligh, iaitu yang sudah cukup umur, berakal, cerdik dan boleh (tidak tertegah) menguruskan atau mengendalikan sendiri hartanya.

Termasuklah dalam perkara ini, wali kepada pemilik yang mempunyai harta yang diwajibkan zakat, akan tetapi pemilik tersebut tertegah untuk membelanjakan hartanya kerana tidak sempurna akalnya dalam urusan pengendalian harta seperti kanak-kanak, orang gila, pemboros dan seumpamanya. Maka wali berkenaan adalah orang yang diamanahkan mengurus dan mentadbir harta pemilik yang belum rasyid dan orang yang bertanggungjawab mengeluarkan zakat hartanya.

Pemilik Harta Mengagihkan Sendiri Zakat

Dalam konteks zakat, harta dikategorikan kepada dua jenis; harta bâthin dan harta zhâhir. Adapun harta bâthin itu termasuk di bawahnya emas, perak, rikâz, harta perniagaan dan zakat fitrah. Manakala harta zhâhir pula termasuk di bawahnya tanam-tanaman, biji-bijian, binatang ternakan dan ma‘din.

Menurut Imam asy-Syafi‘e dan para ulama mazhab Syafi‘e Rahimâhumullah, pemilik harta bâthin harus menyerahkan atau mengagihkan sendiri zakat hartanya terus kepada mustahiqqq (penerima) zakat yang terdiri daripada lapan golongan yang berhak menerima zakat. Tiada perselisihan pendapat dalam hal ini di kalangan para ulama.

Begitu juga harta zhâhir, hukumnya adalah harus bagi pemiliknya menyerahkan dan mengagihkan sendiri zakat hartanya kepada mustahiqq (penerima) zakat. Inilah pendapat yang ashah dan pendapat ini adalah qaul jadîd Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh.

Namun apa yang dimaksudkan dengan harus menyerahkan dan mengagihkan sendiri zakat harta zhâhir kepada mustahiqq zakat di sini ialah jika zakat tersebut tidak dipungut (dikutip) atau dipinta oleh pemerintah atau naibnya, sama ada Baitul-Mal atau ‘âmil-‘âmil lain yang dilantik. Akan tetapi jika pemerintah atau naibnya umpamanya ‘âmil, datang meminta atau mengutip, maka wajib bagi pemilik harta zhâhir untuk menyerahkan zakat tersebut kepada mereka.

Bolehkah Pemilik Harta Melantik Wakil?

Dalam keadaan tertentu, pemilik harta zakat itu tidak dapat melaksanakan sendiri penyerahan atau pengagihan zakat apabila tiba waktunya kerana perkara yang tidak dapat dielakkan. Sebagai misal, sesuatu harta yang wajib dikeluarkan zakatnya itu berada jauh dari tempat pemilik itu berada. Dalam keadaan seperti ini, timbul keperluan untuk melantik wakil.

Dari itu hukum melantik wakil adalah diharuskan dan tidak ada perselisihan pendapat di kalangan ulama mengenainya. Ini kerana sekalipun zakat itu merupakan perkara ibadat, berwakil dalam mengeluarkan zakat juga serupa dengan berwakil ketika membayar hutang. Wakil tersebut boleh bertindak:

1. Mengeluarkan zakat dan menyerahkan zakat tersebut kepada pemerintah atau naibnya, iaitu Baitul-Mal atau ‘âmil.

2. Atau mengeluarkan zakat dan mengagihkan zakat tersebut terus kepada penerima-penerima zakat.

Yang Mana Lebih Afdhal: Menyerahkan Kepada Baitul-Mal, Mengagihkan Sendiri Atau Melalui Wakil?

Perkara kewajipan dan perkara kelebihan (fadhilat) itu adalah dua perkara yang berbeza. Hukum mengeluarkan zakat itu adalah wajib. Cara mengeluarkannya pula adalah sama ada dengan mengagihkannya sendiri terus kepada penerimanya ataupun melantik wakil untuk melakukan pengagihan tersebut atau menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya, iaitu Baitul-Mal atau ‘âmil. Persoalannya cara manakah yang lebih afdhal? Penjelasannya adalah seperti berikut.

1. Mana Lebih Afdhal: Agih Sendiri Atau Serahkan Kepada Baitul-Mal?

Seperti yang telah dijelaskan terdahulu, adalah harus hukumnya bagi pemilik sama ada menyerahkan zakat tersebut kepada pemerintah atau naibnya seperti Baitul-Mal atau ‘âmil-’âmil lain yang dilantik, atau mengagihkannya sendiri terus kepada penerima zakat. Walaupun demikian, yang manakah lebih afdhal di antara kedua-dua cara tersebut?

Menurut pendapat yang ashah, bahawa menyerahkan zakat harta bâthin kepada pemerintah atau naibnya adalah lebih afdhal daripada mengagihkannya sendiri kepada mustahiqq zakat.

Begitu juga dalam perkara zakat harta zhâhir, menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya adalah lebih afdhal.

Malahan ulama berpendapat, menyerahkan zakat kepada pemerintah atau naibnya adalah lebih afdhal daripada mengagihkannya sendiri atau melalui wakil; sama ada zakat itu daripada harta bâthin ataupun harta zhâhir.

Pendapat ini juga bertepatan dengan amalan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum. Antaranya ialah atsar daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ dia berkata:

Maksudnya: Serahkanlah sedekah-sedekah (zakat) harta-harta kamu kepada mereka yang Allah perintahkan kepadanya (untuk mengurus) urusan kamu. Kemudian sesiapa yang berbuat baik, maka (ganjaran kebaikan itu) untuk dirinya. Dan sesiapa yang berbuat dosa (zalim), maka ke atasnya (akibat dosanya itu). (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)

Daripada Suhail bahawa bapanya telah bertanya kepada Sa‘id, Ibnu ‘Umar, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhum tentang zakat hartanya, apakah dia akan mengagihkannya sendiri atau menyerahkannya kepada para pemerintah:

Maksudnya: Berkata (bapa Suhail): “Lalu kesemua mereka sepakat menyuruh supaya aku menyerahkan zakat tersebut kepada mereka (para pemerintah).” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Syaibah)

Adalah mustahak untuk diketahui antara sebab-sebab mengapa zakat itu afdhal diserahkan kepada pemerintah atau wakilnya ialah:

i. Pemerintah atau naibnya yang diamanahkan itu lebih ‘ârif (mengetahui) tentang mereka yang berhak menerima zakat dan ‘ârif tentang mashlahat, kadar hajat (keperluan) dan mengetahui mana-mana individu yang sudah atau belum menerima zakat sebelum itu.

ii. Dengan menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya, maka dengan yakin telah terlaksana kefardhuan zakat, iaitu dengan penerimaan pemerintah atau naibnya akan zakat tersebut.

Berbeza halnya dengan mengagihkannya sendiri, kerana kadangkala apa yang berlaku ialah zakat itu diserahkan kepada yang bukan berhak menerimanya, iaitu bukan kepada mustahiqq zakat. Lalu jika diserahkan kepada mereka yang bukan berhak menerima zakat, maka perbuatan tersebut tidak memadai atau tidak dikira sebagai menunaikan zakat.

iii. Pemerintah itu sememangnya pelantikannya dimaksudkan untuk menerima, mengumpul dan mentadbir zakat.

iv. Pemerintah atau naibnya mampu menjalankan isti‘âb, iaitu mengagihkan zakat secara menyeluruh dan saksama kepada kesemua lapan ashnâf zakat (jika ada).

2. Cara Manakah Lebih Afdhal: Menyerahkan Sendiri Atau Melalui Wakil?

Adalah lebih afdhal atau lebih utama menyerahkan sendiri zakat tersebut terus kepada pemerintah atau naibnya; sama ada Baitul-Mal atau ‘âmil-‘âmil yang dilantik, daripada menyerahkannya melalui wakil pemilik zakat, yang setelah itu wakil tadi akan menyerahkan pula zakat harta tersebut kepada pemerintah atau ‘âmil-‘âmil yang dilantik.

Begitu juga dalam perkara mengagihkannya, maka mengagihkan sendiri terus kepada mustahiqq zakat adalah lebih afdhal daripada mengagihkannya dengan cara berwakil. Perkara ini adalah jelas tanpa sebarang perselisihan pendapat di kalangan ulama.

Antara sebab mengapa penyerahan dan pengagihan zakat itu afdhal dilakukan oleh pemilik sendiri berbanding wakilnya ialah kerana:

i. Cara sedemikian adalah lebih selamat dan lebih diyakini berbanding penyerahan dan pengagihan yang dibuat oleh wakil.

ii. Andaikata terjadi pengkhianatan di pihak wakil, maka tuntutan mengeluarkan zakat yang difardhukan ke atasnya itu masih belum terlaksana. Ini kerana tindak-tanduk atau perbuatan wakil itu serupa dengan tindak-tanduk atau perbuatan pemilik harta zakat yang berwakil kepadanya. Jika harta zakat itu tidak sampai kepada mustahiqq zakat, maka kefardhuan mengeluarkan zakat masih ditanggung oleh pemilik, bahkan masih wajib dilaksanakannya kerana dia masih belum terlepas daripada kewajipan zakat itu. Berbeza dengan keadaan apabila pemilik menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya. Apabila sahaja pemerintah atau naibnya menerimanya, maka kewajipan zakat itu sudah terlaksana di pihak pemilik.

Sebagai kesimpulan, hukum mengeluarkan zakat itu adalah wajib. Apabila cukup tempoh (haul) dan cukup nishâb bagi harta yang diwajibkan zakat, pemiliknya yang rasyîd atau wali kepada pemiliknya yang bukan rasyîd, wajib mengeluarkan zakat, sama ada dia akan menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya melalui ‘âmil-’âmil yang dilantik ataupun mengagihkannya sendiri terus kepada mustahiqq zakat.

Kadangkala timbul keperluan bagi pemilik untuk melantik wakil dalam melaksanakan segala urusan zakat, maka hukum berwakil itu adalah diharuskan. Jika wakil tersebut merupakan seorang yang amanah, malahan lebih cekap dan berkemampuan dalam pengurusan zakat dibandingkan pemilik harta, maka pelantikan wakil tersebut adalah lebih membawa manfaat dalam mencapai maksud berzakat dan terhindar daripada lalai, lupa, jahil dan sebagainya.

Perlu diingat, hanya individu-individu yang ‘ârif dan cekap dalam selok-belok zakat sahaja yang boleh dan mampu melaksanakannya sendiri tanpa merujuk kepada institusi tertentu atau ‘âmil. Ini kerana perkara yang dikhuatiri terjadi ialah zakat yang dikeluarkan tidak memadai, umpamanya ketiadaan niat ketika berzakat atau zakat itu diserahkan kepada orang yang tidak berhak menerimanya, iaitu mereka yang bukan tergolong dalam ashnâf zakat sebagaimana yang telah dihuraikan oleh para ulama dengan panjang lebar dalam kitab-kitab fiqh.

Oleh itu adalah afdhal zakat diserahkan kepada Baitul-Mal, iaitu institusi yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus harta zakat atau ‘âmil-’âmil lain yang dilantik, kerana pihak-pihak ini berperanan selaku naib pemerintah dan atas sebab-sebab yang telah dinyatakan bagi menjamin fungsi dan hikmat pensyariatan zakat itu terlaksana.

Selain itu, penyerahan harta zakat kepada pihak berwajib setentunya mempunyai tujuan yang terbaik, antaranya ia melibatkan perancangan jangka masa pendek dan panjang serta membantu ke arah pengumpulan dan seterusnya pengagihan harta zakat yang lebih efisien dan teratur. Ini juga untuk memastikan bahawa zakat itu nanti akan diserahkan kepada mereka yang memang berhak menerimanya sebagaimana yang telah ditentukan oleh syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6904