Mampu Untuk Mengerjakan Haji: Maksud Dan Syarat-Syaratnya
Ibadat haji merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syarat wajib haji. Antara syarat-syarat wajib haji itu ialah ada kemampuan (istithâ‘ah). Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya (Baitullah). (Surah Âli ‘Imran: 97)
Maksud “Sesiapa Yang Mampu Sampai Ke Baitullah”
Tafsiran ayat di atas “Sesiapa yang mampu sampai ke Baitullah” bermaksud mempunyai bekalan dan kenderaan untuk pergi ke Makkah al-Mukarramah. Diriwayatkan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah ditanya mengenai firman Allah (sesiapa yang mampu sampai kepadanya). Maka ditanya: “Apa itu as-sabîl?” Baginda menjawab: “Bekalan dan kenderaan.” (Hadits riwayat al-Hakim)
Mampu Untuk Mengerjakan Haji
Mampu untuk mengerjakan haji itu terbahagi kepada dua:
1. Mampu untuk mengerjakan haji dengan diri sendiri. Ini bermaksud seseorang itu mampu mengerjakan haji dengan dirinya sendiri tanpa perantaraan orang lain. Dikatakan juga dia adalah mampu dengan tubuh badan dan harta.
2. Mampu untuk mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain. Ini bermaksud seseorang itu tidak mampu mengerjakan haji dengan dirinya sendiri sama ada disebabkan kematian ataupun lemah kerana sakit, tua atau sebagainya, akan tetapi dia mampu mengerjakannya dengan perantaraan orang lain seperti memberi upah kepada seseorang mengerjakan haji untuk dirinya. Dikatakan juga dia adalah mampu dari segi harta sahaja.
• Mampu Untuk Mengerjakan Haji Dengan Diri Sendiri.
Syarat-syarat bagi orang yang mampu mengerjakan haji dengan dirinya sendiri adalah seperti berikut:
i. Mempunyai bekalan yang mencukupi semasa pergi dan balik haji. Di samping bekalan yang cukup untuk dirinya mengerjakan haji, bekalan itu juga mencukupi untuk orang yang ditinggalkannya semasa pergi dan balik haji iaitu orang yang wajib diberi nafkah. Bekalan untuk orang yang ditinggalkannya itu termasuk nafkah, pakaian, khidmat pembantu, tempat tinggal, bayaran perubatan dan upah doktor.
Begitu juga, ada lebihan untuk membayar hutangnya kepada seseorang sama ada hutang yang perlu dibayar dengan segera ataupun bertangguh. Demikian juga, hutangnya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti nazar dan kaffârah.
Jika seseorang itu tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk dirinya atau orang yang ditinggalkannya semasa pergi dan balik haji dan tidak ada lebihan untuk membayar hutang, maka tidak diwajibkan ke atasnya haji.
Rumah kediaman, pakaian dan apa saja yang dalam makna keperluan yang sangat dihajati (dharûri), tidak wajib dijual demi mencukupi bekalan dan kenderaan untuk mengerjakan haji.
Namun jika harta tersebut dijual sebahagiannya untuk perbelanjaan haji dan sebahagian lagi masih dapat memenuhi keperluannya (dharûri), maka wajib ke atasnya haji. Sebagai contoh, seseorang itu memilik tanah lalu dia dapat menjual sebahagian tanahnya itu untuk perbelanjaan haji dan sebahagiannya lagi mencukupi untuk keperluannya, maka wajib ke atasnya haji.
Jika seseorang itu berhajat untuk kahwin kerana takut berlakunya zina, maka utamakanlah kahwin itu daripada haji. Namun jika kahwinnya itu bukan kerana takut berlakunya zina, maka afdhal didahulukan haji daripada kahwin.
ii. Mempunyai kenderaan sama ada dengan dibeli atau sewa. Syarat ini adalah bagi orang yang jauh tempat tinggalnya dari Makkah sejauh dua marhalah atau lebih iaitu kadar yang diharuskan sembahyang qashar.
Sementara bagi orang yang dekat tempat tinggalnya dengan Makkah iaitu kurang daripada dua marhalah dan dia mampu untuk berjalan kaki, maka wajib ke atasnya mengerjakan haji dan tidak disyaratkan ke atasnya mempunyai kenderaan.
Namun jika orang yang dekat tempat tinggalnya dengan Makkah itu tidak mampu untuk berjalan kaki, maka mempunyai kenderaan itu menjadi syarat ke atasnya sebagaimana orang yang jauh tempat tinggalnya dari Makkah.
Jika seseorang itu tidak mempunyai kenderaan sama ada dengan dibeli atau sewa, maka tidak diwajibkan ke atasnya haji sebagaimana hadits riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, maka lelaki itu bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah yang mewajibkan haji itu?” Baginda menjawab: “Bekalan dan kenderaan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
iii. Selamat dalam pelayaran daripada bahaya sama ada ke atas diri atau anggotanya ataupun diri atau anggota orang yang bersama-samanya.
Demikian juga, selamat harta dan barangnya daripada bahaya. Sebahagian ulama muta’akhkhirîn mengaitkan harta dan barang itu dengan nafkah dan bekalan, iaitu selamat harta dan barangnya yang diperlukan untuk nafkah dan bekalan daripada bahaya. Akan tetapi jika dia membawa bersamanya harta untuk berniaga dan dia bimbang akan keselamatan harta perniagaannya itu daripada bahaya, maka kebimbangannya itu tidak dikira sebagai satu keuzuran.
Jika tidak selamat dalam pelayarannya itu daripada bahaya seperti takut binatang buas, musuh atau pengintai yang ingin menyamun hartanya walaupun sedikit dan tidak ada laluan lain lagi yang selamat, maka tidak diwajibkan ke atasnya haji kerana ia dikira tidak mampu. Namun jika ada laluan lain yang selamat, maka wajib ke atasnya haji.
Adapun jika tidak ada laluan lain yang selamat melainkan melalui laut, dalam hal ini menurut pendapat yang ashah, sekiranya pada kebiasaannya ia membawa kebinasaan seperti ombak yang bergelora, maka tidak wajib ke atasnya haji bahkan haram melaluinya. Jika pada kebiasaannya ia selamat, maka wajib ke atasnya haji. Namun jika kebiasaan keduanya itu seimbang (kebinasaan dan selamat), maka tidak wajib haji bahkan haram melaluinya.
iv. Tidak menghadapi kesukaran yang keterlaluan ketika dalam kenderaan. Jika seseorang itu menghadapi kesukaran yang keterlaluan seperti kerana sakit, tua atau sebagainya, maka tidak dikira sebagai seorang yang mampu untuk mengerjakan haji dengan dirinya sendiri.
Adapun jika kesukarannya itu tidak keterlaluan dan pada kebiasaannya dia mampu menghadapinya, maka ia tidak dikira sebagai satu kepayahan.
Sementara orang yang buta, tidak wajib ke atasnya mengerjakan haji melainkan ada bersamanya pemandu. Kewajipan ada pemandu bagi orang buta itu sama seperti kewajipan ada mahram bagi perempuan.
v. Ada waktu yang mencukupi untuk sampai ke Makkah bagi mengerjakan haji mengikut kadar perjalanan biasa. Namun jika waktu tidak mencukupi untuk sampai ke Makkah bagi mengerjakan haji, maka tidak wajib ke atasnya haji.
Contohnya ialah seperti orang yang mampu untuk mengerjakan haji sebelum wuquf di hari ‘Arafah, tetapi waktu untuk sampai ke ‘Arafah tidak mencukupi mengikut kadar perjalanan yang biasa, maka tidak diwajibkan haji ke atasnya pada tahun itu.
• Mampu Untuk Mengerjakan Haji Dengan Perantaraan Orang Lain.
Orang yang tidak mampu untuk mengerjakan haji dengan dirinya sendiri, wajib ke atasnya mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain apabila memenuhi syarat-syarat wajibnya. Mereka yang boleh mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain itu adalah seperti berikut:
i. Sesiapa yang meninggal dunia sedang kewajipan haji masih tertanggung ke atasnya (iaitu semasa hidupnya dia mampu untuk mengerjakan haji tetapi tidak dikerjakannya), ini termasuk juga qadha’, nazar atau dia diupah untuk mengerjakan haji, maka wajib dikerjakan haji untuk diri si mati daripada harta peninggalannya. Ini sama seperti kewajipan membayar hutang. Orang yang diwajibkan mengerjakan haji untuk si mati itu sama ada dia melakukannya dengan diri sendiri ataupun dengan perantaraan orang lain adalah seperti berikut:
a. Orang yang diwasiatkan.
b. Jika tidak ada orang yang diwasiatkan, maka ahli waris.
c. Jika tidak ada ahli waris, maka hakim. Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallallâhu ‘anhumâ bahawa telah datang seorang perempuan bertanyakan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan haji lalu dia mati sebelum mengerjakan haji, adakah aku mengerjakan haji untuknya? Baginda bersabda: “Ya, kerjakanlah haji untuknya. Apa pandanganmu apabila ibumu memiliki hutang, adakah engkau akan membayarkannya?” Dia menjawab: “Ya”. Baginda bersabda: “Sempurnakanlah hutang kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah lebih berhak ditunaikan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jika si mati itu tidak ada harta peninggalan, maka sunat bagi ahli warisnya dan orang asing (walaupun tanpa izin ahli waris) mengerjakan haji untuk si mati.
Apabila seseorang itu tidak dapat mengerjakan haji selepas dia mampu untuk mengerjakan haji seperti meninggal dunia, gila atau hilang hartanya sebelum para jemaah mengerjakan haji, maka tidak dikerjakan hajinya itu daripada harta peninggalannya. Walau bagaimanapun sunat bagi ahli waris dan orang asing mengerjakan haji untuk diri si mati.
Sementara haji sunat pula, tidak harus dikerjakan haji itu untuk diri si mati melainkan ada wasiat daripadanya.
ii. Orang yang lemah atau terbatas kesempurnaan pergerakannya sama ada disebabkan sangat tua, cacat, sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh atau sebagainya yang mereka tidak mampu untuk mengerjakan haji dengan diri sendiri seperti ada kesukaran yang keterlaluan ketika dalam kenderaan, adalah dibolehkan mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain. Diriwayatkan oleh al-Fadhl Radhiallâhu ‘anhu bahawa seorang perempuan daripada Khats‘am berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya bapaku sangat tua sedang ke atasnya kewajipan haji dan dia tidak mampu untuk tetap berada di atas untanya. Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka engkau kerjakanlah haji untuknya.” (Hadits riwayat Muslim)
Orang yang lemah untuk mengerjakan haji dengan dirinya sendiri adalah diwajibkan mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain apabila mempunyai harta bagi membayar upah yang berpatutan kepada orang yang diupahnya ataupun tanpa upah jika orang yang diupah itu redha.
Adapun jika upah itu melebihi daripada upah yang berpatutan walaupun hanya lebih sedikit, maka tidak diwajibkan ke atasnya haji.
Syarat upah itu hendaklah ada lagi lebihan untuk bekalan orang yang lemah itu pada hari dia mengupah. Iaitu segala keperluannya seperti nafkah, pakaian dan khadam sama ada cukup untuk dirinya atau keluarganya pada hari dia mengupah itu.
Demikian juga, disyaratkan ada lebihan untuk semua keperluan orang yang lemah itu melainkan nafkah untuk diri dan keluarganya selepas hari dia mengupah. Ini kerana orang yang lemah itu berada di dalam negeri (bermuqîm bersama keluarganya) dan dia akan dapat memperolehi nafkah tersebut walaupun dengan meminjam.
Jika orang yang lemah itu tidak memenuhi syarat-syarat upah tersebut, maka tidak wajib ke atasnya haji. Namun jika anaknya atau orang asing yang ingin membayarkan upah tersebut bagi pihak orang yang lemah itu, maka menurut pendapat yang ashah tidaklah wajib ke atas orang yang lemah itu menerimanya.
Adapun jika anaknya atau orang asing yang ingin mengerjakan haji untuk dirinya secara sukarela, maka wajib orang yang lemah itu menerimanya (mengizinkannya).
Adapun jika dia tidak mengizinkan mereka mengerjakan haji untuk dirinya, maka tidaklah perlu hakim mengizinkan bagi pihak dirinya dan janganlah dipaksa orang yang lemah itu supaya mengizinkannya, ini kerana haji tersebut tidak wajib dikerjakan dengan segera.
Tidak sah mengerjakan haji untuk diri orang yang lemah itu apabila dia tidak mengizinkan. Ini kerana ibadat haji itu memerlukan kepada niat.
Orang yang lemah itu wajib ke atasnya haji apabila anaknya atau orang asing yang ingin mengerjakan haji untuk dirinya secara sukarela itu memenuhi syarat. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
a. Hendaklah orang yang sukarela itu terdiri daripada orang yang sah mengerjakan haji fardhu iaitu Islam, bâligh, berakal dan merdeka.
b. Hendaklah orang yang sukarela itu sudah mengerjakan haji dan tidak ada tertanggung lagi ke atasnya kewajipan haji, qadha’ atau nazar.
c. Hendaklah orang yang sukarela itu dipercayai untuk mengerjakan haji untuk diri orang yang lemah itu.
d. Hendaklah orang yang sukarela itu tidak lemah atau terputus kesempurnaan pergerakannya.
Syarat Khusus Bagi Perempuan
Disyaratkan bagi perempuan yang ingin mengerjakan haji hendaklah ditemani oleh suaminya, mahramnya atau perempuan-perempuan lain yang dipercayai (amanah, ‘âdil atau ‘adâlah). Jika tidak ditemani oleh salah seorang daripada mereka itu, maka tidak wajib ke atasnya haji bahkan haram dia bermusafir seorang diri kerana takut dilencongkan ke arah perkara keji dan ditipu. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tidak boleh seorang perempuan bermusafir melainkan bersama mahram. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Mahram daripada kalangan kanak-kanak tidak memadai untuk menemani perempuan itu mengerjakan haji. Hendaklah mahramnya itu lelaki bâligh atau hampir bâligh yang boleh menjaga keamanan apabila bersamanya. Demikian juga, jika perempuan itu bermusafir bersama dengan perempuan-perempuan yang dipercayai, mereka itu hendaklah juga bâligh atau hampir bâligh. Bilangan perempuan yang menemaninya itu adalah seramai tiga orang (kesemuanya empat orang termasuk perempuan yang ditemani itu). Ini memandangkan bahaya pelayaran tersebut dan untuk mengambil langkah berhati-hati kerana kadang-kadang terjadi kepada salah seorang mereka itu suatu hajat keperluan seperti membuang air kecil atau sebagainya, maka seorang daripada mereka boleh menemaninya dan dua orang lagi boleh tinggal. Sekiranya mereka itu kesemuanya cuma tiga orang, nescaya dalam keadaan tersebut, dia akan pergi seorang diri dan menimbulkan ketakutan pada dirinya.
Walau bagaimanapun jika dia hanya ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai, maka harus (tidak wajib) bagi perempuan itu bermusafir untuk mengerjakan haji fardhu. Demikian juga, harus baginya bermusafir seorang diri untuk mengerjakan haji fardhu apabila dia yakin selamat pada dirinya daripada ditipu dan dilencongkan ke arah perkara yang keji. Berlainan hukumnya, apabila ditemani dengan tiga orang perempuan yang dipercayai adalah wajib ke atasnya haji.
Adapun jika haji sunat ataupun tujuan musafir lain yang bukan wajib, maka haram ke atas perempuan itu bermusafir sama ada jauh ataupun dekat walaupun ditemani dengan jemaah perempuan yang ramai.
Kesimpulan hukum bagi perempuan bermusafir itu adalah seperti berikut:
1. Haji Fardhu:
i. Wajib apabila ditemani oleh suami atau mahram atau tiga orang perempuan yang dipercayai.
ii. Harus apabila ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai.
iii. Harus bermusafir seorang diri apabila dia yakin selamat.
2. Haji Sunat:
i. Haram jika tidak ditemani oleh suami atau mahram.
ii. Haram walaupun ditemani oleh ramai perempuan.
Menurut pendapat yang ashah, apabila mahram perempuan itu tidak mahu menemaninya bermusafir untuk mengerjakan haji kecuali dengan dibayar upah, maka hendaklah perempuan itu memberinya upah. Demikian juga sama keadaan mahram itu, suami dan perempuan-perempuan yang menemaninya, apabila mereka tidak mahu menemaninya melainkan dengan diberi upah maka hendaklah diberi upah.
Namun jika mereka itu tidak mahu menemaninya bermusafir untuk mengerjakan haji walaupun diberi upah, maka tidaklah boleh dipaksa.
Demikianlah penjelasan mengenai mampu mengerjakan haji sama ada mampu mengerjakannya dengan diri sendiri ataupun melalui perantaraan orang lain. Semoga penjelasan yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita serta tahu bila dikatakan mampu mengerjakan haji dengan diri sendiri dan mampu mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6911
