Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Pilihlah Nama Yang Baik Untuk Anak-Anak

Pemilihan nama yang baik untuk anak-anak merupakan satu perkara yang amat penting. Ia adalah antara perkara yang mula-mula diberi perhatian bagi anak yang baru lahir, malahan sejak ia masih dalam kandungan lagi, para ibu bapa sudah mencari dan memilih nama yang akan diberikan kepada anak yang bakal dilahirkan.

Islam mengambil berat tentang nama yang akan dipilih untuk anak yang baru lahir kerana ia mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seseorang.

Nama merupakan simbol khusus yang dapat membezakan seseorang itu dengan orang lain. Dengan nama itu dia akan dikenali, dan dengan nama itu jugalah dia akan dipanggil pada Hari Kiamat kelak.

Selain perkara-perkara yang disebutkan ini, nama juga dapat mempengaruhi keperibadian atau mencerminkan sifat orang yang empunya nama. Ini kerana besar kemungkinan berlaku penyesuaian antara nama dan keperibadiannya apabila seringkali namanya itu disebut ketika memanggilnya.

Mempunyai nama yang baik juga akan menyebabkan seseorang itu timbul rasa malu untuk melakukan sesuatu yang boleh memburukkan namanya yang baik itu. Daripada rasa malu itulah, ia mampu menyedarkan dirinya untuk terus berusaha memperbaiki akhlak dan keperibadiannya kepada yang lebih baik lagi daripada sebelumnya, agar namanya yang baik akan terus terjaga sampai bila-bila. Oleh yang demikian, pilihlah nama yang dianjurkan oleh Islam atau sekurang-kurangnya nama yang membawa maksud atau makna yang baik, agar peribadi anak tersebut bersesuaian dengan nama yang diberikan kepadanya.

Waktu Menamakan Anak

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, sunat menamakan anak pada hari ketujuh selepas kelahirannya ataupun pada hari kelahirannya berdasarkan hadits-hadits shahîh. Sementara harus menamakan anak sebelum dan selepas hari ketujuh daripada hari kelahirannya.

Begitupun Imam al-Bukhari Rahimahullâh berpendapat bahawa waktu memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran sebagaimana yang disebutkan di dalam hadits-hadits shahîh adalah bagi ibu bapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka. Sementara bagi ibu bapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama pada hari ketujuh.

Menamakan Kandungan Yang Gugur

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh adalah sunat memberikan nama kepada as-siqth iaitu kandungan gugur yang telah ditiupkan roh kepadanya.

Jika belum dapat dikenal pasti jantina as-siqth itu sama ada lelaki atau perempuan, maka dinamakan dia dengan nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan, seperti Hindun (هندد), Hunaidah (هنيددة), Kharijah ( خارجد), Thalhah ( طلحد), ‘Umairah (عمرية), Zur‘ah ( زرع) dan yang seumpamanya.

Begitu juga sunat hukumnya memberikan nama kepada anak damit (kecil) yang meninggal sebelum sempat diberikan nama.

Menamakan Dengan Nama Yang Baik

Sunat hukumnya menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu ad-Darda‘ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Islam menggariskan beberapa hukum mengenai pemberian nama untuk dijadikan sebagai panduan dalam memilih nama yang baik dan bertepatan dengan syara‘. Antaranya:

1. Nama Yang Disukai Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ.

Adapun sebaik-baik nama yang disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah ‘Abdullah (عبدد هللا) dan ‘Abdul Rahman (عبدد الدن ن). Ini berdasarkan hadits-hadits, antaranya:

i. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya sebaik-baik nama yang disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman. (Hadits riwayat Muslim)

ii. Sahabat, Jabir Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa terdapat seorang lelaki di kalangan para sahabat yang memberikan nama Abu al-Qasim untuk anak lelakinya. Para sahabat melarangnya daripada menamakan sedemikian lalu dia mengkhabarkan perkara itu kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Maka Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun bersabda:

Maksudnya: Namakanlah anakmu ‘Abdul Rahman. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Termasuk juga sebagaimana kedua-dua nama di atas iaitu ‘Abdullah (عبدد هللا) dan ‘Abdul Rahman (عبدددد الدددن ن) nama-nama yang disandarkan dengan ‘ubudiyyah (penghambaan) kepada nama-nama khas bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, seperti ‘Abdul Rahim (عبدد الدنحيم) ‘Abdul Khaliq ( عبدد اادال) dan ‘Abdul

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, nama-nama sebegini memiliki kelebihan, kerana ia menggabungkan sifat-sifat yang wajib bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan sifat yang wajib bagi manusia iaitu ‘ubudiyyah (penghambaan).

2. Nama Para Nabi.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa mazhab asy-Syafi‘e dan jumhûr ulama berpendapat adalah harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyarankan agar menamakan anak dengan nama para nabi. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Bernamalah kamu dengan nama-nama para Nabi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm.

Diceritakan juga dalam kitab al-Adab al-Mufrad bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menamakan seorang sahabat sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Yusuf ‘Alaihissalâm.

Begitu juga menamakan anak dengan nama Nabi besar junjungan kita, Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda dalam sebuah hadits riwayat Abu Hurairah dan Jabir Radhiallâhu ‘anhuma:

Maksudnya: Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku (Abu al-Qasim). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Disebutkan di dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, nama Muhammad (حممددد) kemudian nama Ahmad (أ دد) adalah nama yang paling afdhal selepas nama-nama yang disandarkan dengan ‘ubudiyyah (penghambaan) kepada nama-nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti ‘Abdullah (عبددد هللا) dan ‘Abdul Adapun menamakan anak dengan nama Muhammad mempunyai banyak kelebihan. Kata ulama: “Bahkan nama Muhammad mengandungi beberapa kelebihan yang sangat tinggi, sayugia tiada kosong daripada nama Muhammad itu di dalam sesebuah keluarga.”

Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu ketika menamakan anak beliau dengan nama Muhammad berkata: “Aku menamakannya dengan nama yang paling aku sukai.” Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, maksud kata Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu “nama yang paling aku sukai” itu ialah nama yang paling disukainya selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman.

Oleh kerana nama Muhammad itu nama yang baik lagi mulia, maka jangan dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti “Md.” atau “Mohd.” kerana perbuatan itu tiada berkat dan kurang adab terhadap Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

3. Nama Para Malaikat.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh juga menyebutkan bahawa mazhab asy- Syafi‘e dan jumhûr ulama berpendapat tidak makruh (harus) menamakan anak dengan nama para malaikat, seperti Ridhwan (رضوان) dan lain-lain.

4. Nama Tokoh-Tokoh Islam.

Boleh menamakan anak dengan apa saja nama selama mana ia tidak bertentangan dengan apa yang digariskan syara‘. Oleh yang demikian, menamakan anak dengan nama tokoh-tokoh Islam seperti Abu Bakr (ابدو بكدن), ‘Umar (عمدن), Hamzah (دةة ), Fatimah ( فاطمد) Khadijah ( خدجيد) dan lain-lain lagi adalah dibolehkan.

Menamakan anak dengan nama tokoh-tokoh Islam juga diharap dapat membentuk keperibadian yang empunya nama sesuai dengan nama tokoh Islam yang diberikan kepadanya. Contohnya seorang yang diberi nama Hamzah (دةة ) diharapkan memiliki sikap berani dalam menegakkan kebenaran sebagaimana Sayyidina Hamzah Radhiallâhu ‘anhu iaitu bapa saudara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang berani menentang musuh-musuh Islam demi menegakkan kebenaran dan kesucian agama Islam.

5. Nama Yang Bagus Maknanya.

Boleh dinamakan kanak-kanak dengan nama-nama yang bagus seperti Muhibbuddin (حمدب الددين - pencinta/penyayang agama), Zainul ‘Abidin ( زيدنالعابددين - perhiasan orang-orang yang beribadat) dan lain-lain nama yang baik.

Larangan Terhadap Nama Yang Makruh Dan Haram Di Sisi Syara‘

Para ibu bapa atau penjaga hendaklah berhati-hati ketika memilih nama bagi anak-anak. Pemilihan jangan hanya dilihat pada cantik ejaan dan sebutan sahaja, tetapi hendaklah juga dilihat apakah makna atau erti nama tersebut. Inilah asas penting dalam pemilihan nama yang baik.

Jangan menamakan anak dengan nama yang tidak menepati kehendak syara‘ seperti nama-nama yang makruh digunakan, lebih-lebih lagilah dengan nama-nama yang diharamkan oleh syara‘.

Nama Yang Makruh Digunakan

i. Makruh menamakan anak dengan nama-nama yang tidak baik atau tidak elok (pada maknanya) atau nama yang dianggap buruk pada adat kebiasaan seperti Syihab ( شداا - tahi bintang), Harb ( حدن - perang), Murrah (مدنة - pahit), ‘Ashiah ( عاصي - yang membuat maksiat), Kalb (كلب - anjing) dan sebagainya.

Nama-nama seumpama ini bukan saja tidak elok dari sudut makna, malahan juga memberi kesan negatif kepada anak tersebut kerana nama tersebut akan menyebabkannya rasa malu, terhina dan rasa rendah diri di hadapan masyarakat.

ii. Makruh menamakan anak dengan nama yang menjadi tidak baik dengan penafiannya seperti nama Yasar (يسددار -senang/mewah), Nafi‘ ( انفدد - yang berguna), Barakah ( كبن - keberkatan) dan yang seumpamanya.

Ini kerana apabila nama-nama itu disebut dengan cara penafian, ia memberi makna yang tidak baik (negatif). Contohnya apabila orang yang bernama Barakah dicari di suatu tempat, sedangkan dia tidak ada di tempat tersebut, maka orang yang mengetahui akan ketiadaannya akan mengatakan: “Barakah tiada di sini”. Oleh yang demikian, penafian itu memberikan satu makna yang tidak baik.

Nama Yang Haram Digunakan

Menamakan anak dengan nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti ‘Abdul Nabi ( عبدد الندي - hamba nabi), ‘Abdul Ka‘bah ( عبدد الكعبد - hamba Ka‘bah), ‘Abdu ‘Ali (عبدد علدي - hamba ‘Ali), ‘Abdul Husain (عبد اْلسني - hamba Husain) dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram.

Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang hanya layak dimiliki oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja seperti Malik al-Muluk ( ملدك اللدو) atau Malik al- Amlak ( ملدك األمدال - raja segala raja) atau nama-nama lain yang menyerupai makna nama-nama tersebut.

Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Lelaki yang paling dimurkai di sisi Allah pada Hari Kiamat dan yang paling buruk dan paling Allah murka ke atasnya ialah lelaki yang diberi nama Malikulamlak kerana tiada raja yang maha memiliki kekuasaan melainkan Allah. (Hadits riwayat Muslim)

Larangan daripada menggunakan nama-nama seumpama ini tidak hanya terbatas dalam bahasa Arab sahaja, ini termasuk juga bagi nama-nama dalam bahasa lain yang sama maknanya dengan nama-nama yang diharamkan itu.

Begitu juga haram menggunakan nama-nama yang khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti Allah (هللا) Ar-Rahman (الدن ن) Al-Ilah (اإللده) dan Ar-Rabb ( الدن), kecuali jika ditambah dengan perkataan ‘Abd (عبدد) sebelum nama-nama tersebut seperti ‘Abdullah (عبدد هللا) ‘Abdul Rahman (عبدد الدن ن) ‘Abdul Ilah (عبدد اإللده) dan ‘Abdul

Menukarkan Nama Dengan Nama Yang Lebih Baik

Menurut ulama, sunat menukarkan nama dengan nama yang lebih baik kerana terdapat banyak hadits yang menyebutkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam banyak menukarkan nama-nama para sahabat Baginda dengan nama-nama yang lebih baik.

Antaranya Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menukarkan nama Hazn (حدةن -sedih) kepada Sahl (َ سدا - senang), ‘Ashiah “ عاصدي” (yang membuat maksiat) kepada Jamilah “ مجيلد”(yang cantik), Harb “ حدن”(perang) kepada Silm “سدلم”(aman sejahtera) dan banyak lagi.

Bagaimanapun, wajib diubah nama-nama yang haram digunakan kerana mengubah nama yang haram itu adalah sebahagian daripada perkara menghilangkan mungkar.

Beberapa Permasalahan Berkaitan Dengan Nama

1. Memanggil seseorang dengan nama singkatan.

Diharuskan memanggil seseorang dengan nama singkatan, iaitu dengan hanya menyebutkan sebahagian daripada nama penuhnya jika perbuatan tersebut tidak melukakan hati yang empunya nama.

Perkara ini disepakati oleh para ulama, kerana telah sabit bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah memanggil beberapa orang sahabat dengan nama singkatan, misalnya Baginda pernah memanggil Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu dengan sabda Baginda “اي أاب هدن” (wahai Abu Hirr) dan Baginda pernah memanggil Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ dengan sabda Baginda “اي عائش” (wahai ‘Aisy).

2. Memberikan gelaran kepada seseorang.

Para ulama sepakat mengatakan bahawa tidak ditegah bahkan dianjurkan menggelar seseorang dengan gelaran yang baik dan yang disukainya. Ini kerana para sahabat telah digelar dengan beberapa gelaran, misalnya Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan ‘Atiq ( عتيد - yang dimerdekakan daripada api neraka), Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan al-Faruq (الفداروق - yang membezakan kebenaran daripada kebâthilan), Sayyidina Hamzah Radhiallâhu ‘anhu digelarkan sebagai Asadullah ( أسددهللا - singa Allah), Khalid Radhiallâhu ‘anhu digelarkan dengan Saifullah (سيف هللا - pedang Allah) dan banyak lagi.

Manakala menggelarkan seseorang dengan gelaran yang tidak baik dan tidak disukainya pula, para ulama telah bersepakat mengatakannya haram. Gelaran-gelaran ini tidak kira sama ada ia adalah disebabkan kekurangan orang itu sendiri seperti buta, rabun, bisu, tuli, bongkok dan sebagainya ataupun disebabkan sifat orang-orang yang berkaitan dengan dirinya seperti kedua ibu bapanya. Termasuklah juga apa-apa sahaja gelaran lain yang tidak baik ataupun tidak disukainya.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Surah al-Hujurât: 11)

Akan tetapi jika gelaran tersebut digunakan bagi mengenalkan dirinya kepada orang lain yang tidak mengenalinya kecuali dengan gelaran tersebut maka para ulama bersepakat mengharuskannya.

3. Memanggil orang yang tidak dikenali atau tidak diketahui namanya.

Jika ingin memanggil seseorang yang tidak dikenali ataupun tidak diketahui namanya pula, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh hendaklah dipanggil dia dengan gelaran yang tidak menyakiti atau melukai hatinya seperti “wahai saudaraku”, “wahai tuan”, “wahai kawan”, “wahai yang memakai baju putih”, “wahai hamba Allah” dan lain-lain gelaran seumpamanya yang bersesuaian dengan keadaan orang yang dipanggil itu.

Meletakkan Nama Yang Panjang

Pada asalnya, meletakkan apa saja nama sama ada nama yang panjang atau singkat adalah dibolehkan, selama mana ia tidak bercanggah dengan kehendak syara‘.

Walau bagaimanapun sebagai irsyâd, adalah lebih baik jika nama yang dipilih untuk anak-anak tidak terlalu panjang sehingga menyusahkan orang menyebutnya.

Apa yang ditakuti ialah nama yang panjang itu akan dipanggil dengan singkatan lantaran susah disebut, lantas menimbulkan nama serta makna yang lain pula. Tidaklah mengapa jika nama singkatan itu mempunyai makna yang baik, bagaimana pula jika yang berlaku adalah sebaliknya (mempunyai makna yang tidak elok atau nama yang tidak bertepatan dengan syara‘)?

Begitu juga akan berbangkit soal teknikal seperti kesukaran ketika hendak mengisi borang atau dokumen yang hanya menyediakan petak-petak huruf yang terhad untuk ruangan mengisi nama dan yang seumpamanya.

Penutup

Mendapatkan nama yang baik adalah hak anak-anak. Sementara itu pula ia adalah tanggungjawab kedua ibu bapa. Dalam meletakkan nama itu, sebenarnya terkandung cita-cita dan harapan ibu bapanya agar maksud nama itu ada pada diri anak-anak mereka.

Maka bersungguh-sungguhlah untuk mencari nama yang baik yang dianjurkan Islam. Tidak memadai hanya memberi nama yang cantik pada ejaan dan sebutan sahaja, tetapi tidak membawa makna apa-apa atau membawa makna yang tidak baik dan keji.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6924