Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Bersedekah Kepada Anak Yatim: Tuntutan Agama

Ganjaran yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah amat besar. Sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan kemudian tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji adalah perumpamaan perbelanjaan yang dikeluarkan pada jalan Allah.

Bersedekah adalah salah satu daripada apa yang disebut sebagai membelanjakan harta pada jalan Allah. Ini kerana tujuan seseorang bersedekah itu adalah atas dasar mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Bersedekah sama ada dengan wang ringgit atau lainnya merupakan amalan mulia yang memberi keuntungan kepada orang yang mengeluarkannya dan orang yang menerimanya. Orang yang bersedekah mendapat balasan pahala, sementara bagi orang yang menerimanya pula dapat menggunakan sedekah tersebut bagi memenuhi keperluan hidupnya.

Hukum Bersedekah

Hukum bersedekah itu sunat berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam antaranya:

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas). (Surah al-Baqarah: 245)

Di dalam kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân disebutkan, antara maksud ayat di atas ialah galakan untuk bersedekah, menginfâq harta kepada orang-orang fakir dan orang-orang yang memerlukan.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa di antara kamu berkemampuan untuk berlindung daripada neraka (dengan melakukan sedekah) walaupun hanya dengan separuh buah kurma, maka lakukanlah. (Hadits riwayat Muslim)

Sedekah sunat dilakukan pada bila-bila masa, namun yang lebih afdhal dilakukan adalah pada bulan Ramadhan dan juga sangat digalakkan pada hari-hari mulia yang lain seperti 10 Zulhijjah, Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha. Begitu juga afdhal dilakukan pada perkara-perkara yang diberi perhatian seperti ketika gerhana, sakit dan semasa pelayaran.

Siapa Yang Afdhal Diberi Sedekah?

Sedekah afdhal diberikan kepada saudara terdekat walaupun saudara terdekat itu merupakan orang yang wajib diberikannya nafkah.

Perkara ini ada disebutkan di dalam sebuah hadits sebagaimana perbualan Zainab Radhiallahu ‘anha dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Wahai Nabi Allah, sesungguhnya hari ini engkau memerintahkan untuk bersedekah. Aku mempunyai perhiasan untuk diriku, maka aku ingin menyedekahkannya. Ibnu Mas‘ud berpendapat bahawa sesungguhnya dia (Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu) dan anaknyalah yang lebih berhak menerima sedekahku itu. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ibnu Mas‘ud benar, suamimu dan anakmu adalah lebih berhak untuk engkau beri sedekah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah hadits yang lain pula, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sedekah kepada orang miskin itu mendapat satu pahala sedekah, dan sedekah kepada saudara-mara itu mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim. (Hadits riwayat al-Hakim)

Begitu juga afdhal bersedekah kepada jiran berbanding orang lain. Jika dia mempunyai dua orang jiran, adalah lebih afdhal mendahulukan jiran yang lebih dekat dengan pintu rumahnya. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menceritakan:

Maksudnya: Aku berkata kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya bagiku dua orang jiran. Maka siapa di antara kedua-duanya aku berikan hadiah?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kepada yang lebih dekat pintu rumahnya dari (pintu rumah) mu.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Begitu juga bersedekah kepada orang-orang yang berbuat kebaikan dan orang-orang yang memerlukan adalah lebih diutamakan.

Bersedekah Kepada Anak Yatim

Anak yatim ialah kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa. Mereka termasuk dalam golongan yang memerlukan kerana telah kehilangan ketua keluarga yang sepatutnya menyara kehidupan mereka. Maka bersedekah kepada mereka adalah sangat diutamakan.

Islam sangat mengambil berat tentang hal ehwal anak-anak yatim. Daripada penjagaan mereka sehinggalah pada pengendalian harta mereka jika mereka mempunyai harta, semuanya ada digariskan dalam al-Qur’an. Kita diperintahkan untuk berlemah lembut dan berbuat baik kepada mereka. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin. (Surah al-Baqarah: 83)

Ganjaran yang diberikan terhadap perlakuan baik kepada anak yatim amat besar di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Begitu juga, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan tentang kedudukan mulia di syurga bagi orang yang menjaga anak yatim.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan kerabatnya, saya dan penjaga itu adalah seperti dua jari ini di dalam syurga. Malik (periwayat hadits) mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari hantu. (Hadits riwayat Muslim)

Menghulurkan sedekah kepada mereka adalah salah satu daripada perlakuan baik yang dimaksudkan itu. Sedekah yang dihulurkan berupa wang ringgit atau barang-barang keperluan, bukan sahaja mengurangkan bebanan mereka, bahkan dapat menimbulkan kebahagiaan di hati mereka.

Membantu anak yatim terutama mereka yang hidup susah dan tidak mendapat penjaga yang sewajarnya inilah yang dimaksudkan sebagai اون ع (bantu-membantu atau tolong-menolong) yang dituntut oleh Islam. Oleh yang demikian, usaha berbagai-bagai pihak untuk mengumpulkan dana bagi anak-anak yatim bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.

Hukum bersedekah kepada anak yatim adalah sunat. Namun lebih afdhal jika sedekah itu dihulurkan kepada anak yatim daripada kalangan keluarga atau saudara mara terdekat jika ada. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

(سورةالبلد:12-15)BERSEDEKAH KEPADA ANAK YATIM Tafsirnya: Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Antaranya bagi orang yang mampu) ialah memerdekakan hamba sahaya; atau memberi makan pada hari kelaparan kepada anak yatim daripada kaum kerabat. (Surah al-Balad: 12-15)

Maksud ayat ke-15 dari surah al-Balad di atas adalah afdhal bersedekah kepada anak yatim daripada kalangan kerabat berbanding yang bukan daripada kalangan kerabat. Begitu juga afdhal bersedekah kepada anak yatim yang tidak mempunyai penjaga berbanding anak yatim yang mempunyai penjaga.

Bersedekah sama ada berupa wang atau lain-lain merupakan salah satu wadah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Pahala bagi orang yang bersedekah amat besar walaupun sedekah yang dihulurkan hanya dengan nilai yang sedikit. Ini kerana nilai yang sedikit juga menyumbang pada kegembiraan yang dirasakan oleh si penerima.

Dalam suasana kita menyambut kedatangan Hari Raya ini, mari kita gandakan sedekah kepada yang memerlukan terutama anak yatim, agar kita semua dapat merasakan kegembiraan Hari Raya itu bersama-sama.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6920