Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Bolehkah Menyimpan Daging Korban Lebih Daripada Tiga Hari?

Ibadat korban disyariatkan untuk dilakukan pada Hari Raya Adha dan hari-hari tasyrîq (11, 12, dan 13 Zulhijjah). Binatang korban yang disembelih pada hari-hari tersebut akan diagih-agihkan dagingnya kepada saudara mara, jiran, sahabat, yang kaya ataupun miskin yang beragama Islam.

Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, daging korban itu seeloknya tidak melebihi sepertiga untuk dimakan dan disimpan oleh orang yang berkorban dan sepertiga daripada daging korban itu untuk disedekahkan serta sepertiga lagi untuk dihadiahkan.

Perkara yang ingin disentuh di sini, ialah persoalan mengenai hukum orang yang berkorban memakan atau menyimpan daging korbannya selepas tiga hari dia berkorban.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah melarang menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Waqid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang daripada memakan daging-daging korban selepas tiga hari. ‘Abdullah bin Abu Bakar berkata: “Aku memberitahu perkara itu kepada ‘Amrah, lalu dia (‘Amrah) berkata: “Dia (‘Abdullah bin Waqid) benar, aku pernah mendengar ‘Aisyah berkata: “Pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah datang segolongan Arab Badawi (kalangan orang Arab yang miskin) berjalan perlahan-lahan menuju ke tempat penyembelihan binatang korban.” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kamu simpanlah (daging korban) selama tiga hari, setelah itu sedekahkanlah apa yang masih tersisa.

Hadits ini menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang daripada memakan atau menyimpan daging korban (bahagian yang disimpan) selepas tiga hari dan Baginda menyuruh untuk menyedekahkan lebihan daging korban itu.

Walau bagaimanapun setelah berlalu suatu ketika, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak lagi melarang untuk memakan, atau menyimpan daging korban selepas tiga hari. Ini kerana larangan Baginda sebelum itu adalah disebabkan menolong orang Arab Badawi yang miskin tersebut, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Waqid Radhiallâhu ‘anhu iaitu sambungan bagi hadits yang disebutkan di atas:

Maksudnya: Apabila berlalu suatu ketika (iaitu setelah larangan menyimpan daging korban), mereka (para sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang ramai membuat wadah daripada binatang korban mereka dan mengambil lemaknya.” Rasulullah bersabda: “Mengapa kamu bertanyakan hal ini?” Mereka menjawab: “Dahulu Tuan melarang daripada memakan daging korban setelah tiga hari”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya dahulu aku melarang kamu hanyalah kerana (aku mahu kamu menyedekahkannya kepada) orang Arab Badawi yang memerlukan itu. Sekarang kamu makanlah, kamu simpanlah dan kamu sedekahkanlah (daging korban).”

Hukum Menyimpan Daging Korban Lebih Daripada Tiga Hari

Harus memakan atau menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari walaupun pada ketika harga barang-barang naik tinggi.

Ini kerana hadits yang melarang untuk memakan atau menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari itu telahpun dibatalkan (mansûkh) dengan suruhan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk memakan atau menyimpannya tanpa menghadkan batas waktu yang tertentu, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya dahulu aku melarang kamu (memakan atau menyimpan daging korban) hanyalah kerana (aku mahu menyedekahkannya) kepada orang Arab Badawi yang miskin. Sekarang kamu makanlah, kamu simpanlah dan kamu sedekahkanlah.

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu ingin menyimpan daging korban tersebut, maka sunat yang disimpan itu terdiri daripada sepertiga bahagian daging korban untuk dimakan.

Oleh yang demikian, tidaklah dilarang (tidak makruh) apabila menyimpan daging korban walaupun lebih dari tiga hari. Walau bagaimanapun perlulah diingat, jika ingin menyimpan daging korban sunat, seeloknya ia terdiri daripada bahagian daging yang bukan untuk disedekahkan atau dihadiahkan. (Mugnî al-Muhtâj: 4/366)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6932