Merokok Bukan Hanya Memudharatkan Tetapi Juga Haram!
Islam melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan. Islam juga telah lebih awal membimbing umatnya supaya memastikan kesihatan mereka berada dalam keadaan sentiasa baik, iaitu dengan menghindari daripada melakukan apa-apa jua yang boleh memudharatkan, lebih-lebih lagi kepada nyawa.
Perkara menjaga nyawa adalah antara lima perkara asasi untuk mencapai mashlahat dunia dan akhirat iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga harta, menjaga keturunan dan termasuk juga menjaga nyawa. Semua ini wajib dilindungi. Jangan ada satupun yang diabaikan sehingga memungkinkannya terjejas atau tercedera. Inilah ajaran Islam.
Antara amalan buruk yang boleh memudharatkan tubuh badan hatta nyawa ialah merokok. Tabiat merokok telah melanda masyarakat dunia sekarang. Bahaya dan mudharat yang disebabkan oleh rokok telah diakui oleh pakar-pakar kesihatan. Dari itu pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak yang berkenaan bagi menghindarkan manusia daripada mudharat disebabkan rokok dan merokok.
Di Negara Brunei Darussalam, sekurang-kurangnya 17.5 peratus penduduk Negara ini (kira-kira 40,000 orang) adalah perokok yang berusia 15 tahun ke atas. Kumpulan perokok terbesar pula adalah mereka yang berusia antara 20 dan 34 tahun. Perangkaan ini dibuat berdasarkan Banci Penduduk 2001. (Borneo Bulletin: 18 Mac, 2008 halaman 3 dan Media Permata halaman 1)
Perkara ini sangat membimbangkan kerana yang terlibat itu kebanyakannya adalah belia remaja.
Bahaya Merokok Dari Segi Kesihatan
Kajian para doktor sama ada doktor Islam dan bukan Islam telah mendapati bahawa rokok itu adalah membahayakan kesihatan manusia.
Secara ringkasnya menurut kajian mereka, rokok mengandungi 4000 bahan kimia berbahaya. Yang lebih menakutkan ialah 400 daripadanya berpunca daripada bahan beracun dengan 40 bahan dikesan boleh menyebabkan kanser.
Menurut kajian pakar tersebut, seseorang itu sukar untuk berhenti merokok disebabkan rokok itu mengandungi dadah nikotin yang menjadi punca ketagihan dan nikotin itu pula boleh sampai ke otak dalam masa 10 saat iaitu lebih pantas daripada suntikan intravena. Nikotin merupakan suatu bahan beracun (sejenis dadah yang terdapat dalam daun tembakau) yang lebih bisa (keras) kesannya daripada segala racun. Menurut pakar lagi, satu suntikan yang mengandungi 70 miligram nikotin dapat membunuh manusia dalam beberapa minit sahaja.
Sementara itu menurut perangkaan pihak berotoriti kesihatan, penyebab utama kematian di Negara Brunei Darussalam ialah penyakit jantung, kanser, kencing manis, bronchitis, emfisema krinik dan asma, influenza dan pneumonia serta penyakit darah tinggi; dan risiko penyakit-penyakit tersebut lebih tinggi di kalangan perokok.
Pandangan Ulama Mengenai Pengharaman Rokok
Ramai ulama Islam yang terdahulu dan masa kini telah mengeluarkan fatwa, risalah atau tulisan mengenai haramnya rokok, antaranya:
1. Syeikh al-Qalyubi Rahimahullâh pernah mengatakan dalam kitab Majmû‘ah Sab‘ah Kutub Mufîdah:
Maksudnya: Bahawa Sultan (pada zaman al-Qalyubi) telah memerintahkan naib Sultan membuat perisytiharan kepada orang ramai supaya tidak merokok di pasar-pasar dan di kedai-kedai kopi. Mereka yang melanggar perintah ini, adalah berdosa. Oleh kerana itu, sekarang (pada zaman al-Qalyubi) diharamkan merokok kerana taat kepada perintah raja.
2. Asy-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf Rahimahullâh, bekas Mufti Mesir dalam kitabnya Fatâwâ Syar‘iyyah wa Buhûts Islâmiyyah ketika mengulas hukum merokok, beliau mengatakan bahawa sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu ialah harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal (keharusan itu), melainkan adanya perkara-perkara mendatang (luaran) yang mengubah hukumnya menjadi haram atau makruh. Antara sebab yang mengubah hukum itu ialah kesan bahayanya kepada perokok sendiri sama ada banyak ataupun sedikit, kepada hartanya atau kepada kedua-duanya sekali, atau dengan sebab merokok itu boleh membawa kerosakan dan mensia-siakan hak seperti tidak memberi makanan kepada isteri, anak-anak dan orang-orang yang wajib di bawah tanggungannya.
3. Abdul-Rahman al-Juzairi dalam kitabnya al-Fiqh ‘ala al-Madzâhib al-Arba‘ah (halaman 2-10) antara lain menegaskan bahawa haram menggunakan (makan, minum atau menghisap) setiap bahan yang memudharatkan kepada tubuh dan akal dengan bersangatan haramnya seperti candu, ganja, kokain dan semua jenis bahan yang memabukkan, melesukan fikiran, memudharatkan dan meracuni.
4. Imam al-Akbar Mahmud Syaltut Rahimahullâh, Syeikh al-Azhar, Mesir dalam fatwanya menyebutkan mengenai bahaya merokok terhadap kesihatan dan harta: “Jikalau sesuatu itu pada lazimnya memudharatkan, maka ia dihukumkan haram. Jikalau ia sudah jelas atau pada lazimnya banyak manfaatnya, maka ia dihukumkan harus. Jika kedudukan manfaat dan mudharatnya sama sahaja, maka dalam hal ini “pengawalan dan pencegahan adalah lebih baik daripada perawatan”. (Al-Fatâwâ Dirâsah li Masyâkalât al- Muslim al-Mu‘âshir fî Hayât al-Yaumiyyah wa al-‘Âmmah: 384)
Dalil-Dalil Syara‘ Tentang Pengharaman Rokok
Terdapat beberapa dalil syara‘ yang dikemukakan untuk menyokong ketetapan hukum pengharaman merokok di atas, antaranya:
1. Diharamkan segala benda yang menjijikkan.
Dari segi kaedah pemakanan, al-Qur’an telah menyediakan dasar sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk). (Surah al-A‘râf, 157) Menurut al-Imam ar-Razi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula, setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat semula jadi dan dianggap kotor oleh jiwa, memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu adalah haram. Oleh yang demikian, asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan. (Tafsîr al-Kabîr: 15/21-22)
Al-Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh dalam kitab al-Umm (1/270) menyatakan bahawa apa-apa jua yang mengandungi racun yang boleh membunuh, adalah juga haram kerana Allah Ta‘ala mengharamkan manusia membunuh diri dan mereka itu membunuh diri sendiri dengan cara yang khas (dengan makan atau minum racun). Begitu juga apa-apa yang jijik, keji dan kotor, maka adalah diharamkan kerana kotornya itu. Ini termasuklah juga segala macam jenis najis. Oleh sebab itu beliau tetap tidak menyukainya dan tidak sekali-kali memberi kelonggaran padanya.
Berdasarkan penjelasan ulama, jika setiap yang memudharatkan kerana memakannya itu haram, maka tidak diragukan lagi merokok juga tentulah haram, kerana ia telah terbukti memudharatkan.
2. Haram memakan atau meminum setiap yang memudharatkan.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang dengan tegas dan sekeras-kerasnya daripada menghampiri apa-apa yang memudharatkan, bahkan menyuruh membanterasnya, apatah lagi yang menjadi pemusnah kepada nyawa. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (Surah an-Nisâ’: 29)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu mencampakkan diri-diri kamu kepada kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga melarang mencipta bahaya. Baginda bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh mencipta bahaya dan membalas dengan bahaya. (Hadits riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadits di atas, selama rokok itu membahayakan, maka menghisapnya adalah terlarang (haram).
3. Larangan membelanjakan harta kepada perkara yang tidak bermanfaat.
Merokok telah diakui mengundang bahaya kesihatan dan pembuangan harta tanpa faedah. Orang yang sudah ketagihan rokok biasanya tidak dapat membendung keinginannya untuk mendapatkan rokok walaupun harga rokok itu mahal dan perbelanjaan membeli rokok itu sama harganya dengan jumlah wang yang diperlukan oleh seisi keluarganya.
Imam Ibnu Hazm Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Muhallâ menjelaskan maksud pemborosan, antaranya:
i. Membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan.
iii. Membuang-buang wang, walaupun kecil jumlahnya, kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
Dalam al-Qur’an, larangan pembaziran itu jelas diperuntukkan sebagaimana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isrâ’: 26-27)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau. (Surah al-An‘âm: 141)
Apabila rokok disifatkan sebagai bahan yang mendatangkan mudharat, maka ia boleh dianggap sebagai bahan yang tidak bermanfaat. Oleh itu, tidak syak lagi membelanjakan harta untuk membeli rokok adalah termasuk sebagai perlakuan membuang-buang harta atau pembaziran yang ditegah oleh syara‘.
Pengharaman Rokok Di Negara Brunei Darussalam
Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam fatwanya mengenai rokok dan merokok menjelaskan: “Jadi cukup jelas, dari segi kemudharatan, tidak ada lagi alasan untuk meringankan hukum rokok dan merokok itu. Kita tidak boleh mengambil ringan dengan terus membiarkan kebinasaan menimpa umat manusia disebabkannya, kerana agama Islam itu sendiri adalah agama selamat serta penyelamat. Maka oleh hal yang demikian, bersandarkan hujjah-hujjah syara‘ serta alasan-alasan saintifik yang kuat, maka dihukumkan rokok dan merokok itu adalah haram”.
Penutup
Akhirnya, marilah kita berfikir, bahawa jika merokok itu bukan hanya setakat mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan tubuh badan dan hukumnya juga adalah jelas haram, maka apakah lagi keperluan rokok itu berada di pasaran?
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6936
