Bernazar Dengan Perkara Wajib, Haram, Mubâh Dan Makruh
Nazar merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Melalui nazar seseorang itu mewajibkan ke atas dirinya sesuatu amalan kebajikan dengan kerelaan hati serta niat yang tulus ikhlas lagi bersih semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Pada dasarnya, perkara yang dinazarkan ialah perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘ seperti berpuasa sunat, bersedekah, menunaikan umrah dan sebagainya. Nazar yang seumpama ini wajib ditunaikan. Jika ditunaikan, maka orang yang bernazar itu akan mendapat ganjaran pahala. Manakala jika dia tidak menunaikannya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffârah.
Tetapi timbul persoalan, bagaimana jika perkara yang dinazarkan bukan terdiri daripada perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘? Contohnya bernazar dengan perkara yang sememangnya diwajibkan oleh syara‘ seperti sembahyang lima waktu, bernazar dengan perkara yang dimakruhkan seperti berpuasa sepanjang tahun atau bernazar dengan perkara mubâh (harus) seperti makan dan minum? Maka penjelasan mengenainya akan dikupas di sini.
Perkara Yang Dinazarkan Adalah Rukun Nazar
Selain daripada an-nadzîr iaitu orang yang bernazar dan ash-shighah iaitu lafaz (nazar), al-mandzûr iaitu perkara yang dinazarkan juga merupakan antara rukun nazar.
Al-Mandzûr iaitu perkara yang dinazarkan terbahagi kepada empat:
1. Perkara yang berupa ketaatan.
2. Perkara yang berupa dosa atau maksiat.
3. Perkara yang mubâh iaitu perkara yang diharuskan.
4. Perkara yang makruh.
1. Perkara Yang Berupa Ketaatan
Bernazar pada perkara yang berupa ketaatan terbahagi kepada dua:
i. Perkara yang wajib dikerjakan menurut syara‘, umpamanya sembahyang lima waktu, puasa Ramadhan, mengeluarkan zakat dan sebagainya.
Seseorang yang bernazar pada perkara-perkara tersebut dihukumkan tidak sah nazarnya itu, kerana perkara tersebut sememangnya sudah diwajibkan oleh syara‘ ke atas dirinya. Begitu juga tidak sah bernazar pada meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh syara‘, seperti bernazar meninggalkan meminum khamr (arak) atau bernazar untuk tidak mencuri, dan tidak dikenakan kaffârah jika dia tidak menunaikan nazar tersebut.
ii. Perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘ melakukannya, seperti berpuasa sunat, sembahyang sunat, bersedekah, beri‘tikâf, menziarahi orang sakit, memberi salam sesama Muslim, mendo‘akan orang bersin dan sebagainya.
Bernazar pada perkara-perkara sedemikian dihukumkan sah dan wajib ditunaikan.
Ini berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu), dan barang siapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia menunaikan nazarnya itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Perkara Yang Berupa Dosa Atau Maksiat
Tidak sah bernazar pada perkara yang berupa maksiat atau dosa, seperti bernazar meminum khamr (arak), melakukan zina, membunuh dan apa-apa jua perkara yang dihukumkan haram, malah haram hukumnya jika dilaksanakannya. Dia juga tidak dikenakan kaffârah jika dia tidak menunaikannya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Hushain Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh melaksanakan nazar dalam perkara maksiat, dan tidak juga dalam perkara yang tidak dimiliki oleh seorang hamba). Dan menurut riwayat Ibnu Hujr: “Tidak boleh bernazar dalam perkara maksiat kepada Allah.” (Hadits riwayat Muslim)
Selain daripada itu, bernazar pada perkara maksiat akan menyebabkan berlakunya pelanggaran kepada perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sedangkan maksud atau tujuan nazar adalah untuk menghampirkan diri kepadaNya bukan untuk menjauhiNya dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.
3. Perkara Yang Diharuskan (Mubâh)
Mubâh ialah perkara yang diharuskan dan jika ditinggalkan tidak berdosa, seperti makan, minum, duduk, berdiri, tidur dan sebagainya. Bernazar pada perkara-perkara mubâh sama ada bernazar untuk melakukannya atau tidak melakukannya, hukumnya tidak sah dan tidak dikenakan kaffârah jika mengingkarinya, kerana melakukan atau meninggalkan perkara mubâh tidak dikatakan sebagai taqarrub.
Perkara ini disebutkan di dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Dan tidak sah nazar kecuali bernazar pada perkara yang dapat memperolehi keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Hadits riwayat Abu Daud)
4. Perkara Yang Makruh
Tidak sah hukumnya bernazar pada perkara-perkara yang makruh, umpamanya bernazar untuk berpuasa sepanjang tahun bagi orang yang dikhuatiri akan mendatangkan kemudharatan ke atas dirinya atau boleh menghilangkan hak orang lain seperti hak isterinya yang tertanggung ke atas dirinya.
Kaffârah Nazar
Kaffârah adalah denda yang wajib dibayar kerana melanggar suatu ketentuan syara‘ (yang mengakibatkan dosa), dengan tujuan untuk menghapus atau menutup dosa tersebut sehingga tidak ada lagi pengaruhnya atau kesan dosa itu baik di dunia mahupun di akhirat.
Adapun tujuan kaffârah diwajibkan ke atas seseorang yang melakukan dosa-dosa tertentu adalah sebagai hukuman atau denda kepadanya kerana melanggar ketetapan syara‘ dan menjadi peringatan untuk tidak akan mengulang kesalahan yang sama pada masa akan datang, namun tidak semua dosa dapat dihapuskan dengan kaffârah.
Hukum kaffârah adalah wajib kepada orang yang melakukan kesalahan tertentu sahaja, antaranya tidak melaksanakan nazar.
Kaffârah nazar itu sama dengan kaffârah sumpah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kaffârah (denda) nazar sama dengan kaffârah (denda) sumpah. (Hadits riwayat Muslim)
Kaffârah sumpah dan nazar ialah:
1. Memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan daripada jenis sederhana yang biasa diberikan oleh orang yang membayar kaffârah itu (jenis makanan) kepada keluarganya.
2. Atau memberi pakaian sepuluh orang miskin dengan sesuatu yang dinamakan pakaian, seperti baju, kain sarung, serban atau sebagainya.
3. Atau memerdekakan hamba.
Orang yang dikenakan kaffârah, boleh memilih salah satu di antara tiga perkara yang tersebut.
4. Jika dia tidak berkemampuan untuk melakukan salah satu daripada tiga perkara yang tersebut, maka wajiblah dia berpuasa selama tiga hari.
Yang dimaksudkan dengan tidak berkemampuan itu ialah tidak berdaya untuk mengadakan harta bagi membayar kaffârah tersebut, seperti orang yang mempunyai harta, tetapi hanya mencukupi untuk orang yang di bawah tanggungannya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu adalah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu. (Surah al-Mâ’idah: 89)
Maka jelasnya, tidak boleh dan tidak sah bernazar dengan perkara-perkara yang wajib, haram, mubâh dan makruh. Perkara yang dinazarkan hanya dibolehkan dan sah pada perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘. Manakala jika orang yang bernazar tidak menunaikan nazarnya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffârah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6960
