Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Mandi Wajib Kerana Wilâdah Dan Nifas

Persoalan mandi wajib kerana nifas, wilâdah (beranak), haidh dan janâbah (berjunub) bukan hanya persoalan yang patut diketahui oleh wanita atau isteri sahaja, tetapi ia juga patut diketahui oleh lelaki atau suami, lebih-lebih lagi kalau wanita itu kurang maklumat atau pengetahuannya mengenai hal-hal mandi wajib ini.

Seorang perempuan yang telah selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu, iaitu mandi kerana wilâdah (beranak) dan mandi kerana nifas. Mandi kerana nifas itu wajib dilakukan setelah berhenti darah nifas atau habis tempoh masa yang paling maksima bagi nifas, iaitu selama enam puluh hari enam puluh malam.

Mandi Kerana Nifas

Bagi mengelak kekeliruan, darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak, sekalipun hanya setitik. Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu lima belas hari setelah seorang perempuan melahirkan anak.

Oleh yang demikian, darah yang di bawah ini tidak dianggap sebagai darah nifas, iaitu:

1. Darah yang keluar semasa hamil.

2. Darah yang keluar semasa sakit hendak melahirkan.

3. Darah yang keluar bersama-sama dengan anak semasa lahirnya.

Ketiga-tiga jenis darah yang disebutkan di atas adalah darah fasad atau darah istihâdhah, ataupun dalam keadaan dan syarat tertentu ia dihukumkan sebagai darah haidh.

Hukum seorang perempuan yang mengalami darah fasad atau istihâdhah adalah sama seperti seorang yang berada dalam keadaan berhadas kecil. Tidak diwajibkan ke atasnya mandi, cuma wajib dibersihkan darah tersebut dan memadai dengan berwudhu untuk membolehkannya menunaikan sembahyang.

Mandi Kerana Wilâdah (Beranak)

Menurut syara‘, wilâdah (beranak) itu sendiri merupakan salah satu sebab yang mewajibkan mandi. Termasuk dalam makna wilâdah yang mewajibkan mandi itu ialah:

1. Melahirkan anak secara normal (biasa), sekalipun melahirkan tanpa basah atau tanpa darah.

2. Melahirkan anak bukan secara normal, umpamanya melahirkan anak secara pembedahan.

3. Perempuan yang mengalami keguguran anak, sama ada keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau seketul daging (mudhghah).

Menyentuh mengenai tiga perkara di atas, menurut hukum syara‘ seorang perempuan yang melahirkan anak dalam keadaan kering, tanpa diikuti oleh darah nifas sehingga habis tempoh 15 hari daripada hari melahirkan, dianggap sebagai wilâdah (beranak) tanpa basah dan dia juga dihukumkan sebagai tidak mengalami nifas.

Begitu juga jika seorang perempuan mendapati darah nifasnya itu tertangguh untuk jangka masa tertentu, maka dalam hal ini, diwajibkan ke atasnya mandi kerana wilâdah untuk mendirikan sembahyang apabila telah masuk waktu sembahyang.

Walau bagaimanapun jika sekiranya dia telah menunaikan mandi wilâdah, kemudian dia mendapati:

1. Darah keluar dalam lingkungan tempoh 15 hari dari hari melahirkan, maka itu adalah darah nifas. Dalam hal ini, dia diwajibkan mandi sekali lagi setelah kering darah nifasnya. Ini kerana mandi wilâdah yang dilakukannya terdahulu itu adalah tidak memadai untuk mengangkat hadas nifasnya.

2. Darah keluar setelah berlalu 15 hari dari hari melahirkan, maka darah itu bukan lagi dinamakan darah nifas, akan tetapi ia adalah darah haidh. Dalam hal ini, dia diwajibkan untuk mandi sekali lagi setelah kering darah haidhnya.

Cara Mengangkat Dua Hadas Besar

Persoalan yang timbul di sini ialah jika seorang perempuan itu sedang mengalami dua hadas besar dalam satu masa, iaitu wilâdah kemudian dia juga mengalami nifas. Bilakah sepatutnya dia menunaikan mandi wilâdah? Sekiranya dia menunaikan juga mandi wilâdah sebelum darah nifasnya kering, adakah hadasnya kerana wilâdah itu terangkat?

Berdasarkan pendapat Imam an-Nawawi Rahimahullâh, jika seorang perempuan itu sedang mengalami haidh, kemudian dia berjunub, atau sebaliknya, ketika dia berjunub dia didatangi haidh, hukumnya adalah tidak sah jika dia mandi mengangkat hadas junub dalam keadaan dia masih haidh. Ini kerana hadas junubnya itu tidak terangkat dalam keadaan dia masih haidh.

Dapat difahami daripada petikan di atas, bahawa seseorang yang melakukan mandi wilâdah dalam keadaan masih mengalami nifas, hadasnya kerana wilâdah itu tetap tidak terangkat memandangkan dia masih mengalami nifas. Apa yang boleh dilakukannya ialah menunggu sehingga darah nifas tersebut telah kering, kemudian barulah dia mandi kerana wilâdah dan nifas. Memadailah dengan sekali mandi sahaja untuk mengangkat kedua-dua hadas tersebut, iaitu wilâdah dan nifas.

Ini kerana menurut ulama, sekiranya seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih, hukumnya adalah sah jika dia mengangkat kesemua hadas tersebut sekaligus dengan satu mandi sahaja.

Caranya pula ialah sama ada dengan:

1. Meniatkan setiap hadas besar yang dimaksudkan. Sebagai contoh, jika dia mengalami dua hadas, iaitu nifas dan junub, maka diniatkan kedua-duanya seperti:

“Sahaja aku mengangkatkan hadas nifas dan janâbah.”

2. Atau memadai juga hanya dengan satu niat sahaja, iaitu dengan meniatkan salah satu hadas sahaja, tanpa perlu meniatkan setiap hadas besar yang dimaksudkan.

Atau dengan satu niat yang umum merangkumi kesemua hadas yang dimaksudkan. Contoh niat yang umum itu ialah:

“Sahaja aku menunaikan fardhu mandi” atau “sahaja aku mengangkat hadas akbar (besar).”

Dengan cara berniat di atas sudah memadai dan merangkumi kesemua mandi yang dimaksudkan dan tidak perlu melakukan dua mandi atau lebih secara berasingan.

Memandangkan mandi nifas itu hanya sah dilakukan apabila darah nifas telah kering atau berhenti, maka mandi wilâdah itu boleh disatukan dengan mandi nifas dalam satu mandi sahaja apabila telah kering darah nifas. Malahan memadai juga dengan hanya satu niat sahaja, sama ada dengan niat mandi kerana beranak ataupun kerana nifas.

Adapun sebab kenapa perkara ini diharuskan ialah kerana kesemua mandi itu (haidh, nifas, junub dan wilâdah) termasuk dalam kumpulan mandi yang diwajibkan oleh syara‘, bagi membolehkan seseorang itu menunaikan sembahyang.

Di samping itu, di bawah ini dibawakan beberapa contoh seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih:

1. Dua hadas besar.

Umpamanya: Seorang yang sedang berjunub kerana bermimpi dan kerana jima‘, atau seorang perempuan sedang berjunub, kemudian dia didatangi darah haidh atau sebaliknya.

2. Lebih daripada dua hadas besar.

Umpamanya: Seorang perempuan yang haidh, nifas dan dalam masa yang sama dia juga berjunub. Perkara ini boleh dibayangkan pada seorang perempuan yang dihukumkan mengalami haidh semasa hamil sehingga melahirkan, kemudian diikuti dengan darah nifas setelah melahirkan dan dia juga berjunub (umpamanya kerana bermimpi).

Sebagai kesimpulan, bagi perempuan yang telah melahirkan anak dan juga yang mengalami keguguran, diwajibkan ke atasnya mandi kerana wilâdah (beranak) dan juga kerana nifas apabila telah kering darah.

Bagi perempuan yang mengalami nifas sepertimana kebiasaannya yang terjadi, maka mandi wilâdah itu boleh disatukan dengan mandi nifas, iaitu setelah kering darah nifas. Malahan memadai juga dengan satu niat sahaja.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7000