Qunut Nazilah
Qunut dari segi syara‘ bermaksud zikir khusus yang mengandungi do‘a dan pujian. Qunut disyariatkan ketika sembahyang Shubuh dan sembahyang Witir pada pertengahan akhir Ramadhan. Demikian juga, qunut disyariatkan apabila orang Islam menghadapi musibah dan ia disebut sebagai qunut Nazilah.
Hukum Dan Sebab Membaca Qunut Nazilah
Qunut Nazilah hanya disunatkan apabila kaum Muslimin menghadapi musibah seperti diserang wabak, taun, kemarau, diserang belalang, hujan yang merosakkan bangunan atau tanaman, takut kepada musuh seperti orang alim atau pahlawan yang dipenjara oleh musuh, dizalimi oleh orang-orang kafir dan seumpamanya, agar musibah tersebut dilapangkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Jika tidak ada sebab untuk membacanya iaitu tidak ada musibah, makruh hukumnya membaca qunut Nazilah melainkan pada sembahyang Shubuh. Ini bererti dalam sembahyang Shubuh di samping membaca qunut Shubuh, sunat juga membaca selepasnya qunut Nazilah. Ini kerana sembahyang Shubuh itu lebih mulia daripada sembahyang yang lain dan dikhususkan bagi Shubuh itu azan sebelum waktunya serta disebut dalam azan Shubuh tatswîb (مالالن ال الالوم الال الصالالالة). Sembahyang Shubuh itu juga lebih singkat berbanding dengan sembahyang fardhu yang lain. Oleh yang demikian adalah lebih layak untuk ditambah dengan qunut Nazilah. Membaca qunut Nazilah ini bukan sahaja disunatkan ke atas orang yang ditimpa musibah, bahkan juga ke atas orang yang tidak ditimpa musibah agar mendo‘akan orang yang ditimpa musibah itu.
Waktu Membaca Qunut Nazilah
Qunut Nazilah sunat dibaca pada sembahyang lima waktu ketika i‘tidâl di rakaat yang terakhir. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah membaca qunut selama sebulan berturut-turut pada waktu Zhuhur, ‘Ashar, Maghrib, ‘Isya’ dan Shubuh di akhir setiap sembahyang. Apabila Baginda membaca “ pada rakaat terakhir, Baginda berdo‘a (supaya ditimpakan kecelakaan) ke atas qabilah-qabilah daripada Bani Sulaim, Ri‘l, Dzakwan dan ‘Ushayyah, dan orang di belakang Baginda mengaminkan (do‘a Baginda). (Hadits riwayat Abu Daud)
Ini bererti qunut Nazilah itu dibaca pada rakaat terakhir ketika i‘tidâl. Sebagai contoh sembahyang Zhuhur, dibaca qunut Nazilah itu pada rakaat keempat ketika i‘tidâl. Sementara sembahyang Maghrib, ia dibaca pada rakaat ketiga dan sembahyang Shubuh, ia dibaca pada rakaat kedua ketika i‘tidâl.
Adapun dalam sembahyang jenazah, makruh hukumnya membaca qunut Nazilah walaupun ada sebab untuk membacanya. Ini kerana sembahyang jenazah itu dikerjakan dengan ringan sahaja. Sementara sembahyang disebabkan nazar atau sembahyang sunat, adalah tidak disunatkan membaca qunut Nazilah. Namun jika dibaca juga kerana ada sebabnya (musibah) maka hukumnya tidak makruh. Lain halnya jika ia dibaca pada sembahyang tersebut tanpa sebab, maka hukumnya adalah makruh.
Lafaz Dan Cara Membaca Qunut Nazilah
Lafaz qunut Nazilah itu adalah mengikut kesesuaian musibah yang perlu dihindari. Sebagai contoh, jika kemarau telah melanda sesebuah negara Islam, maka dimuatkan isi kandungan do‘a qunut Nazilah itu memohon agar diturunkan hujan. Contoh yang lain, sesebuah negara Islam telah diperangi oleh musuh, maka dimuatkan isi kandungan do‘a qunut Nazilah itu memohon supaya kemenangan dikurniakan kepada orang Islam dan kekalahan ke atas musuh-musuh Islam.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah membaca qunut Nazilah supaya sahabat-sahabat Baginda dibebaskan daripada tawanan orang kafir, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah membaca qunut pada sembahyang ‘Isya’ selama sebulan. Baginda membaca dalam qunutnya: “Ya Allah, engkau selamatkan (bebaskan) al-Walid bin al-Walid. Ya Allah, engkau selamatkan Salamah bin Hisyam. Ya Allah, engkau selamatkan orang-orang yang lemah di kalangan orang mu’min. Ya Allah, engkau dahsyatkan hukumanMu ke atas (qabilah) Mudhar. Ya Allah, engkau jadikannya (hukumanMu) ke atas mereka bertahun-tahun seperti zaman Nabi Yusuf (tujuh tahun menghadapi kemarau). Abu Hurairah berkata: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak lagi mendo‘akan mereka. Lalu beliau menyebut perkara itu kepada Baginda. Baginda bersabda: “Tidakkah kamu nampak mereka telahpun sampai (bebas daripada tawanan orang kafir)?.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Cara membaca qunut ketika sembahyang Shubuh, terlebih dahulu dimulai dengan do‘a qunut Shubuh kemudian diikuti selepas itu do‘a qunut Nazilah.
Qunut Nazilah sunat dibaca dengan jahr iaitu suara yang nyaring walaupun ketika sembahyang seorang diri. Demikian juga, selain qunut Nazilah itu sunat dibaca dengan jahr pada sembahyang jahriyah (sembayang yang dibaca dengan suara nyaring seperti Shubuh, Maghrib dan ‘Isya’), ia juga sunat dibaca dengan jahr pada sembahyang sirriyyah (sembahyang yang dibaca dengan suara perlahan seperti Zhuhur dan ‘Ashar).
Sunat bagi makmum mengaminkan qunut Nazilah dan menadah kedua tapak tangan ke langit apabila memohon perkara yang diingini dan menterbalikkan kedua tapak tangan apabila memohon perkara yang dihindari. Sementara menyapu muka setelah membaca qunut Nazilah adalah lebih elok tidak dilakukan memandangkan tidak ada wârid daripada hadits.
Merujuk Kepada Imam Besar
Sunat bagi imam masjid râtib (imam yang dilantik) merujuk perkara qunut Nazilah ini kepada imam besar masjid-masjid utama atau penolongnya. Jika qunut Nazilah itu diarahkan oleh imam besar atau penolongnya, maka wajib dibaca qunut Nazilah itu.
Perlukah Sujud Sahwi Apabila Terlupa Membaca Qunut Nazilah?
Jika terlupa membaca qunut Nazilah, tidak disunatkan sujud sahwi. Ini kerana qunut Nazilah itu bukan terdiri daripada sunat-sunat ab‘adh (perkara sunat yang perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan seperti qunut Shubuh, tasyahhud awal dan sebagainya).
Sebagai seorang Muslim kita adalah dituntut untuk tolong-menolong antara satu sama lain. Apatah lagi apabila saudara Islam kita menghadapi kesusahan atau musibah. Tidak kiralah bentuk pertolongan itu sama ada berupa harta benda, makanan, tenaga kita sendiri ataupun dengan berdo‘a.
Oleh itu, adalah wajar di samping kita menghulurkan bantuan atau derma khususnya kepada kaum Muslimin yang menghadapi musibah, supaya kita juga mendo‘akan mereka dengan qunut Nazilah agar musibah itu dilapangkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7008
