Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Beberapa Kesilapan Yang Mengakibatkan Sembahyang Tidak Sah

Ibadat sembahyang mempunyai rukun yang wajib dilaksanakan di samping perkara-perkara sunat yang tidak sepatutnya diabaikan. Kecuaian seseorang dalam melaksanakannya boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah atau sekurang-kurangnya tidak sempurna.

Oleh itu, apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan beberapa kesalahan yang sering dilakukan dalam mengerjakan sembahyang yang boleh mengakibatkan sembahyang itu batal atau tidak sah.

1. Membaca di dalam hati.

Jika seseorang mengerjakan sembahyang dengan hanya membaca di dalam hati rukun-rukun qauli atau bacaan-bacaan yang sunat, adakah perbuatan seumpama ini memadai atau ia boleh menjejaskan sembahyang?

i. Rukun qauli (bacaan-bacaan yang wajib).

Di dalam sembahyang adalah disyaratkan ketika melafazkan setiap rukun qauli iaitu takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah, tasyahhud akhîr dan salam, dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri iaitu jika keadaan pendengarannya baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.

Namun jika keadaan pendengarannya tidak baik seperti tuli ataupun ada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi dia tetap wajib melafazkan bacaannya dengan suara yang sekira-kira boleh didengarnya ketika keadaan pendengarannya baik atau ketika keadaan tidak bising.

Oleh itu adalah tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri seperti hanya dibaca dalam hati. Ini menyebabkan sembahyang yang dikerjakannya tidak sah.

ii. Bacaan-bacaan sunat.

Sementara bacaan-bacaan atau zikir-zikir yang sunat seperti do‘a iftitâh, at-ta‘awwudz, ayat atau surah dari al-Qur’an selepas al-Fâtihah, tasyahhud awwal dan seumpamanya adalah dituntut juga untuk melafazkannya dengan suara yang didengar oleh diri sendiri bagi mendapatkan pahala sunat. Jika tidak dilafazkan dengan suara demikian seperti dibaca dalam hati sahaja tidaklah menjejaskan sahnya sembahyang, tetapi dia tidak mendapat pahala sunat.

2. Mengerjakan sembahyang dengan cepat.

Disebabkan seseorang itu ingin cepat selesai daripada mengerjakan sembahyang, kadangkala terabai tuntutan melakukan thuma’ninah di dalam sembahyang itu. Kecuaian dan kelalaian dalam melakukan thuma’ninah ini boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah.

Thuma’ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma’ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan zikir “هللا سببحن” sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.

Thuma’ninah itu diwajibkan ketika ruku‘, i‘tidâl, kedua-dua sujud dan duduk di antara dua sujud, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa ketika seorang lelaki selesai mengerjakan sembahyang di masjid, kemudian dia memberi salam kepada Baginda dan Baginda menjawab salamnya lalu bersabda:

Maksudnya: Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang. Maka lelaki itu pun kembali dan mengerjakan sembahyang seperti sembahyang yang telah dia kerjakan. Kemudian dia datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu memberi salam kepada Baginda. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Dan ke atasmu salam kesejahteraan”. Kemudian Baginda bersabda: “Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang”. Sehinggalah dia melakukan yang demikian itu sebanyak tiga kali. Lalu berkata lelaki itu: “Demi Yang Mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat mengerjakan sembahyang yang lebih baik daripada ini, ajarkanlah aku”. Baginda bersabda: “Apabila engkau mengerjakan sembahyang maka bertakbîrlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu. Lalu ruku‘lah sehingga engkau thuma’ninah dalam ruku‘mu, kemudian bangkitlah sehingga engkau lurus berdiri dengan berthuma’ninah. Lalu sujudlah sehingga engkau berthuma’ninah dalam sujudmu, kemudian bangkitlah sehingga engkau thuma’ninah dalam dudukmu. Kemudian lakukanlah yang demikian itu di dalam sembahyangmu pada setiap rakaat.” (Hadits riwayat Muslim)

Thuma’ninah ketika ruku‘ ialah tetap anggotanya semasa melakukan ruku‘ sebelum bangkit untuk melakukan i‘tidâl. Sementara thuma’ninah ketika i‘tidâl ialah tetap anggotanya semasa i‘tidâl sebelum bergerak untuk melakukan sujud. Adapun thuma’ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit dari sujud. Thuma’ninah ketika duduk di antara dua sujud pula tetap anggotanya semasa duduk di antara dua sujud sebelum melakukan sujud kedua.

Jika seseorang itu ruku‘ lalu terus berdiri tanpa thuma’ninah, maka wajib dia kembali semula melakukan ruku‘ berserta thuma’ninah, kemudian barulah dia berdiri untuk i‘tidâl.

Sembahyang yang dikerjakan dengan cepat atau tergesa-gesa boleh mengakibatkan tertinggalnya rukun thuma’ninah ini. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa rukun sembahyang jika tidak ditunaikan menyebabkan sembahyang tidak sah.

3. Sujud dengan tidak mengendahkan kedudukan jari kaki.

Kecuaian dalam melakukan sujud juga kadang-kadang terjadi, seperti kedudukan jari kaki yang tergantung-gantung atau hanya meletakkan belakang jari kaki ke bumi.

Ketika melakukan sujud diwajibkan meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud di atas tujuh anggota dan tidak mengikat rambutnya (supaya tidak terburai ketika sujud) serta tidak menyingsing pakaian: (Iaitu) dahi, kedua-dua tangan, kedua lutut dan kedua kaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Apa yang dimaksudkan dengan sujud di atas tujuh anggota itu ialah meletakkan sebahagian dahi, sebahagian kedua-dua lutut, sebahagian telapak tangan atau perut jari kedua-dua tangan dan sebahagian perut jari kedua-dua kaki.

Oleh itu, tidak sah sujud itu dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung.

Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk meletakkannya.

4. Dahi tertutup oleh sesuatu.

Sebagaimana yang telah dijelaskan, bahawa dahi adalah salah satu anggota sujud. Jika tidak diletakkan sebahagiannya di tempat sujud, maka ia belum dikira sebagai sujud.

Demikian juga, jika seseorang itu melakukan sujud sedang keseluruhan dahinya tertutup oleh songkok, serban atau tempat sujudnya (tempat ia meletakkan dahinya) dilapiki oleh sesuatu yang bersambung dengannya yang ikut bergerak apabila dia bergerak seperti ekor/hujung serban, tudung atau seumpamanya, maka tidak sah sujudnya itu.

Berbeza halnya, jika sesuatu yang bersambung dengannya itu tidak ikut bergerak apabila dia berdiri, duduk atau seumpamanya. Sebagai contoh, hujung kain serban yang dipakainya itu terlalu panjang dan ia menutupi tempat sujudnya sedang hujung kain itu tidak ikut bergerak apabila dia bergerak, maka dalam hal ini sah sujudnya itu.

Demikian juga, sah sujudnya apabila sesuatu yang menutupi tempat sujudnya itu tidak bersambung dengannya. Sebagai contoh, kain serban yang dipakai oleh orang lain menutupi tempat sujudnya, maka dalam hal ini sah sujudnya itu.

Sekiranya seseorang itu tersujud atas permukaan yang tajam dan menyakiti dahinya, bolehlah dia mengalihkan dahinya itu tanpa mengangkatnya. Jika dia mengalihkan dahinya dengan mengangkatnya, maka batal sembahyangnya kerana menambah perbuatan sujud. Akan tetapi jika dia mengalihkan dahinya itu dengan mengangkatnya sebelum thuma’ninah, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya.

5. Berdaham.

Sembahyang menjadi batal apabila seseorang sengaja atau dipaksa berkata-kata, sekalipun dengan melahirkan dua huruf yang boleh difahami ataupun tidak seperti ‘ahem’, atau berkata-kata dengan melahirkan satu huruf yang boleh difahami seperti ‘k’ yang bermaksud ‘okey’ atau setuju.

Begitu juga berdaham tanpa keuzuran jika ia melahirkan dua huruf sama ada difahami atau tidak adalah membatalkan sembahyang. Namun jika tidak melahirkan dua huruf, maka tidaklah batal sembahyang tersebut.

Adapun jika seseorang itu berdaham sedikit ketika sembahyang kerana tidak dapat ditahan, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya itu.

Demikian juga, jika dia tidak dapat membaca rukun qauli seperti surah al-Fâtihah melainkan dengan terpaksa berdaham, maka ia dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyangnya kerana terpaksa melakukannya untuk kesempurnaan bacaan al-Fâtihahnya.

Namun jika dia berdaham sedang dia boleh membaca rukun qauli itu tanpa berdaham atau dia berdaham bagi membolehkannya membaca dengan suara jahr (nyaring) atau membolehkannya membaca bacaan-bacaan yang sunat, maka yang demikian itu tidaklah dimaafkan kerana bacaan-bacaan sunat atau membaca dengan suara jahr itu adalah perkara sunat sahaja.

6. Salah bacaan.

Rukun-rukun qauliyyah (rukun-rukun yang berupa bacaan) seperti takbîratul-ihrâm, surah al-Fâtihah, tasyahhud akhir dan seumpamanya hendaklah dijaga huruf dan sebutan hurufnya dengan betul dan sempurna. Ini kerana bacaan yang tidak betul itu boleh merosakkan sembahyang.

Sebagai contoh pada bacaan surah al-Fâtihah, jika huruf sin “س” pada kalimah “ ََُِْْي نَسْبا” dibaca dengan huruf tsa’ (ق) atau bacaan yang mengubah makna seperti baris atas pada kalimah “ َْ نَنب ََْمْب ”dibaca dengan baris bawah menjadi “ ِْ نَنب ََْمْب ”maka batal sembahyang jika seseorang itu sengaja berbuat demikian sedang dia tahu perbuatan itu salah.

Adapun jika dia tidak sengaja berbuat demikian, maka hendaklah dia memperbetulkan bacaan yang salah itu sebelum lagi dia ruku‘ tanpa mengulangi dari awal bacaan al-Fâtihah. Itu pun jika waktu dia melakukan kesalahan itu belum lama berlalu. Jika waktu melakukan kesalahan itu sudah lama berlalu, maka hendaklah dibaca dari awal surah al-Fâtihah tersebut.

Jika dia sengaja ruku‘ sedangkan dia tahu hukum yang dia wajib memperbetulkan bacaan al-Fâtihah itu sebelum ruku‘, maka batallah sembahyangnya. Adapun jika dia tidak sengaja ruku‘ misalnya kerana lupa ataupun tidak tahu hukumnya, maka rakaatnya itu tadi tidak dikira.

7. Kembali melakukan perkara sunat yang tertinggal.

Apabila seseorang itu terlupa melakukan perkara-perkara sunat sembahyang seperti tasyahhud awwal, qunut atau seumpamanya daripada perkara-perkara yang melibatkan perbuatan sunat, maka dalam hal ini sama ada ia menjejaskan sahnya sembahyang atau sebaliknya dilihat kepada dua keadaan, iaitu:

Pertama: Teringat belum melakukan perbuatan sunat yang tertinggal itu setelah sampai ke perbuatan seterusnya.

Kedua: Teringat sebelum sampai ke perbuatan seterusnya. Contoh bagi keadaan pertama; imam atau orang yang bersembahyang sendiri terlupa melakukan tasyahhud awwal. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi melakukan tasyahhud awwal setelah dia sampai ke paras sekurang-kurang berdiri tegak. Maka dalam hal ini, dia tidak boleh kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal. Jika dia sengaja kembali duduk sedangkan dia tahu hukumnya, maka batal sembahyangnya itu kerana menambah perbuatan sembahyang dengan sengaja. Adapun jika dia kembali duduk disebabkan terlupa atau tidak tahu hukumnya, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya itu.

Contoh bagi keadaan yang kedua pula; imam atau orang yang bersembahyang sendiri terlupa melakukan tasyahhud awwal. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi melakukan tasyahhud awwal sebelum dia sampai ke paras sekurang-kurang berdiri tegak. Dalam hal ini, jika dia kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal tidaklah membatalkan sembahyang, bahkan disunatkan dia melakukannya.

Demikianlah juga halnya, apabila imam atau orang yang sembahyang sendiri itu terlupa membaca qunut. Jika dia teringat setelah sujud dengan meletakkan semua anggota sujud, maka tidak boleh dia kembali berdiri untuk membaca qunut. Namun jika dia teringat sebelum sampai ke perbuatan sujud, maka sunat dia kembali berdiri untuk membaca qunut.

Berbeza pula halnya dengan makmum yang mana makmum jika terlupa tasyahhud awwal, kemudian dia terus berdiri tegak sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awwal ataupun makmum dan imam terlupa tasyahhud awwal akan tetapi imam teringat sebelum berdiri tegak, lalu imam duduk melakukan tasyahhud awwal sedang makmum telah berdiri tegak, maka dalam kedua keadaan ini, makmum wajib kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal kerana mengikut imam. Jika dia tidak kembali duduk untuk bertasyahhud awwal bersama-sama imam, sembahyangnya menjadi batal jika dia tidak berniat untuk mufâraqah yakni berpisah daripada mengikut imam.

Adapun jika imam dan makmum telah berdiri tegak, lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awwal, maka makmum hendaklah mufâraqah yakni berpisah daripada mengikut imamnya. Jika makmum sengaja mengikut imamnya kembali duduk dan dia tahu akan hukumnya (tidak harus kembali unutk duduk tasyahhud awwal), maka batal sembahyang makmum itu. Adapun jika makmum itu terlupa atau tidak tahu akan hukumnya, maka tidaklah batal sembahyangnya.

Sebagai kesimpulan, laksanakanlah ibadat sembahyang itu dengan bersungguh-sungguh dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya sebagaimana yang dituntut. Sembahyang yang dilakukan sambil lewa dengan tidak melakukan rukun dan syarat yang terkandung di dalamnya dengan sempurna akan mengakibatkan sembahyang seseorang itu tidak sah.

Di samping menjaga rukun-rukun sembahyang, perkara-perkara sunat juga hendaklah dilakukan dengan sebaiknya kerana ia akan menambahkan lagi kualiti sembahyang itu di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Dari itu peliharalah sembahyang dan tunaikanlah dengan sebaik-baiknya dan janganlah mengerjakannya bagai melepaskan batuk di tangga.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7012