Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Beberapa Permasalahan Sembahyang Orang Yang Menanggung Najis

Najis ialah segala kotoran yang menghalang kesahan sembahyang ketika tiada kelonggaran yang mengharuskannya. Kerana itu tidak sah sembahyang jika ada bersamanya najis pada waktu tiada kelonggaran. Tetapi jika dalam keadaan ada kelonggaran seperti sembahyang orang yang beristinjâ’ dengan batu, maka hukum sembahyangnya sah kerana ia dimaafkan walaupun kesan istinjâ’ itu dihukumkan najis. Istinjâ’ bermaksud menghilangkan najis yang keluar dari kemaluan.

Sebahagian ulama mentakrifkan bahawa najis itu ialah setiap sesuatu benda yang haram dimakan secara mutlak ketika dalam keadaan ikhtiyâr (ada pilihan) serta senang dibezakan, ia haram bukan kerana ia dimuliakan, bukan kerana ia kotor dan bukan kerana ia mendatangkan kemudharatan pada badan dan akal.

Apa yang dimaksudkan dengan secara mutlak itu ialah tidak termasuk apa yang diharuskan ketika ia sedikit dan apa yang diharamkan ketika ia banyak seperti candu dan ganja kerana ia suci.

Sementara maksud ketika dalam keadaan ikhtiyâr (ada pilihan) pula ialah bukan waktu dharurat memakannya, kerana ia diharuskan ketika dalam keadaan dharurat itu, akan tetapi ia tetap dinamakan najis.

Adapun yang dimaksudkan dengan senang dibezakan itu ialah ia haram dimakan jika dapat dibezakan benda itu, akan tetapi ulat buah-buahan, keju dan seumpamanya adalah najis tetapi ia harus dimakan kerana ia sukar dibezakan.

Maksud ia haram bukan kerana ia dimuliakan pula ialah tidak termasuk daging manusia kerana ia suci, dan ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana kemuliaan dan ketinggiannya.

Adapun maksud bukan kerana ia kotor ialah tidak termasuk hingus kerana ia suci, dan ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana kotornya/jijiknya.

Sementara maksud bukan kerana ia mendatangkan kemudharatan pada badan dan akal ialah tidak termasuk apa yang memudharatkan badan seperti racun dan memudharatkan akal seperti candu, kerana ia suci. Ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana mudharatnya.

Najis terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Najis mukhaffafah (najis ringan) iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umurnya dua tahun, dan belum makan makanan yang mengenyangkan melainkan susu ibu sahaja.

2. Najis mutawassithah (najis sederhana) iaitu seperti tahi, darah, muntah dan sebagainya.

3. Najis mughallazhah (najis berat) iaitu anjing, khinzîr dan kacukan daripada keduanya atau salah satu daripada keduanya.

Orang yang terkena najis atau ada pada dirinya najis sama ada pada badan atau pakaiannya disebut orang yang menanggung najis. Apabila dia hendak mengerjakan sembahyang, maka hendaklah terlebih dahulu dia menghilangkan najis tersebut dan menyucikan

tempat yang terkena najis itu. Ini kerana dengan adanya najis itu menghalang kesahan sembahyang seseorang itu.

Tetapi sekiranya najis yang ditanggung itu najis yang dimaafkan sama ada pada badan atau pakaiannya, maka sah sembahyangnya tanpa terlebih dahulu dia menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu.

Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan Itu?

Najis yang dimaafkan itu ialah seperti darah kutu, darah nyamuk dan seumpamanya yang tidak mengalir, kerana darah yang ada pada kutu atau nyamuk itu adalah darah yang dihisapnya dari tubuh manusia. Demikian juga, darah atau nanah yang datang daripada bisul atau jerawat. Kesemua contoh najis yang tersebut adalah dimaafkan walaupun banyak darahnya, selagi ia bukan berpunca daripada perbuatannya sendiri. Jika ia berpunca daripada perbuatannya sendiri seperti kutu itu dibunuhnya atau bisul itu dipicitnya sehingga mengeluarkan darah yang banyak, maka darah tersebut tidak dimaafkan melainkan jika ia keluar sedikit sahaja. Selain itu, jika darah tersebut bercampur dengan banyak najis yang datang bukan daripada diri sendiri seperti darah kucing atau najis yang asalnya datang daripada diri sendiri kemudian terpisah lalu mengenainya lagi, maka ia termasuk dalam najis yang tidak dimaafkan melainkan jika ia bercampur dengan sedikit.

Contoh najis yang dimaafkan itu lagi, ialah najis yang sedikit sama ada najis yang datang bukan daripada diri sendiri seperti darah kambing yang mengenai pakaiannya atau najis yang asalnya datang daripada diri sendiri kemudian terpisah lalu mengenainya lagi seperti darahnya yang sudah terpisah dari dirinya lalu mengenai pakaiannya. Dalam kedua-dua keadaan ini, najis tersebut adalah dimaafkan jika ia sedikit, akan tetapi jika ia banyak maka tidaklah dimaafkan. Sebagai contoh darah haidh yang sedikit mengenai pakaiannya atau darah yang keluar dari hidungnya dengan hanya sedikit darah itu mengenai dirinya.

Berbeza halnya jika najis itu mughallazhah, ia tidak dimaafkan walaupun hanya terkena sedikit seperti darah anjing.

Adapun kadar banyak dan sedikit yang dimaksudkan bagi najis itu menurut pendapat yang ashah ialah merujuk kepada adat kebiasaannya. Apa yang pada kebiasaannya seseorang itu terkena najis dan sukar untuk menghindarinya adalah dikira sebagai kadar yang sedikit. Adapun apa yang melebihi daripada itu adalah dikira sebagai kadar yang banyak.

Pendapat yang lain pula, kadar banyak najis itu ialah apa yang nampak oleh mata tanpa perlu melihat dan mencarinya dengan teliti. Sementara sebaliknya pula adalah kadar sedikit najis.

Suci Daripada Najis

Masalah najis amat berkait rapat dengan sembahyang kerana salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan.

Suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis menjadi syarat sah sembahyang adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (Surah al-Muddatstsir: 4)

Ayat di atas menunjukkan perintah untuk menyucikan pakaian daripada najis dan ia menjadi dalil kepada perintah menyucikan tubuh badan daripada najis secara qiyâs.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) daripada dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hadits di atas dengan jelas memerintahkan untuk menghindari diri daripada najis ketika hendak mengerjakan sembahyang. Maka adalah wajib berkeadaan suci ketika di dalam sembahyang.

Hukum Sembahyang Dengan Menanggung Najis

Tidak sah sembahyang seseorang itu jika terdapat najis yang tidak dimaafkan pada tubuh badan, pakaian dan tempatnya sembahyang.

Berikut ialah beberapa permasalahan sembahyang dalam keadaan menanggung najis:

1. Orang yang tidak tahu ada padanya najis.

Jika seseorang itu ada padanya najis tetapi dia tidak mengetahuinya sehingga apabila dia selesai mengerjakan sembahyang barulah dia menyedari dan yakin bahawa ada padanya najis ketika dia mengerjakan sembahyang itu, maka tidak sah sembahyangnya. Wajib ke atasnya menyucikan dirinya daripada najis itu dan mengulang sembahyang tersebut.

2. Orang yang tahu ada padanya najis kemudian terlupa.

Seseorang yang mengetahui ada padanya najis sebelum dia mengerjakan sembahyang, kemudian dia terlupa bahawa pada dirinya ada najis, lalu dia pun mengerjakan sembahyang dengan keadaan bernajis itu. Setelah beberapa ketika dia pun teringat bahawa dia mengerjakan sembahyang dengan keadaannya menanggung najis. Dalam hal ini, tidak sah sembahyangnya itu dan wajib ke atasnya mengulang sembahyang tersebut apabila masih ada waktu sembahyang atau mengqadha’nya apabila sudah di luar waktu sembahyang.

3. Orang yang mendapati ada padanya najis setelah selesai sembahyang.

Jika seseorang itu mendapati atau ternampak najis pada dirinya setelah dia selesai mengerjakan sembahyang dan dia tidak yakin bila adanya najis tersebut, maka tidak wajib ke atasnya mengulang atau mengqadha’ sembahyangnya itu, kerana menurut kaedah asal bagi setiap kejadian itu terjadi pada waktu yang terdekat. Ini bererti dengan mengambil kira kaedah tersebut najis itu ada padanya atau baru mengenainya setelah dia mengerjakan sembahyang, bukan ketika dalam sembahyang. Walau bagaimanapun menurut Imam asy-Syafi‘e dan para ulama mazhab asy-Syafi‘e Rahimahumullâhu Ta‘âlâ, sunat ke atasnya mengulang sembahyang tersebut sebagai langkah berhati-hati.

Berlainan halnya jika seseorang itu yakin bahawa dia mengerjakan sembahyang dengan ada padanya najis. Maka wajib ke atasnya mengulang sembahyang tersebut.

Demikian juga halnya, wajib diulang sembahyang jika seseorang itu ada padanya najis tetapi dia tidak mengetahui yang demikian itu membatalkan sembahyang.

4. Orang yang baru mendapati najis ketika dalam sembahyang.

Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang dalam keadaan bernajis, tetapi dia baru mendapati atau ternampak najis pada dirinya ketika dalam sembahyang, maka batal sembahyangnya itu dan wajib ke atasnya memulakan semula sembahyangnya.

5. Orang yang tidak tahu ada padanya najis ketika dalam sembahyang kemudian dia meninggal dunia.

Jika seseorang itu meninggal dunia sebelum mengetahui yang dia telah mengerjakan sembahyang dalam keadaan bernajis ataupun dia sudah mengetahuinya tetapi belum sempat untuk mengqadha’nya lalu meninggal dunia, maka dalam hal ini semoga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengampunkannya disebabkan keuzurannya itu.

6. Terkena najis ketika dalam sembahyang.

Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang, kemudian terkena najis ketika dalam sembahyang dan dia tidak dapat menghilangkan najis itu dengan cara membuangnya dengan serta-merta melainkan dengan cara menyucinya, seperti pakaiannya terkena najis yang basah dan dia tidak dapat menanggalkan dan mencampakkan pakaian itu serta-merta, maka batal sembahyangnya.

Adapun jika dia dapat membuang atau menghilangkan najis itu dengan serta-merta, maka tidak batal sembahyangnya. Seperti najis yang kering jatuh pada pakaiannya, lalu dikibasnya sehingga jatuh, ataupun najis yang basah jatuh pada pakaiannya, lalu dibersihkannya dengan air yang ada berhampiran dengannya (sekira-kira perbuatan yang tidak membatalkan sembahyang), ataupun ditanggalkannya pakaian yang terkena najis yang basah itu kemudian dicampakkannya tanpa menyentuh najis tersebut dengan tangan atau lengan baju ataupun dengan potongan kayu. Jika disentuhnya najis itu dengan tangan atau lengan bajunya atau dengan potongan kayu, maka batal sembahyangnya.

Dalam perkara ini perlu juga diingat, jika seseorang itu terkena najis yang basah pada pakaiannya ketika dalam sembahyang sedang dia mengerjakannya di dalam masjid, dan waktu sembahyang juga masih panjang, maka haram ke atasnya membuang atau mencampakkan pakaiannya itu di dalam masjid kerana pakaiannya yang dilumuri najis yang basah itu akan menjadikan kawasan dalam masjid dicemari oleh najis. Dalam hal ini, hendaklah dia memberhentikan sembahyangnya yang terbatal disebabkan najis yang ada pada pakaiannya, lalu membersihkan pakaiannya dan mengulang semula sembahyangnya itu.

Berlainan halnya jika najis itu kering, maka boleh dibuangnya najis itu di dalam masjid dan segera dibersihkannya najis tersebut selepas dia mengerjakan sembahyang.

7. Ternampak najis pada pakaian orang yang hendak sembahyang.

Jika seseorang yang mukallaf ternampak najis pada pakaian orang yang hendak mengerjakan sembahyang, maka wajib dimaklumkan kepadanya. Ini kerana bagi menyuruh kepada perkara yang berkebajikan iaitu menghilangkan perkara yang merosakkan walaupun ia bukan merupakan suatu maksiat.

Demikian juga halnya, jika ternampak najis pada pakaian orang yang sedang mengerjakan sembahyang, maka wajib dimaklumkan kepadanya. Itu pun jika diketahui bahawa najis yang ada padanya itu membatalkan sembahyang pada pandangan mazhab orang yang bersembahyang itu.

Sementara orang yang mengerjakan sembahyang itu, wajib menerima perkhabaran atau teguran daripada orang yang ‘âdil mengenai adanya najis pada dirinya itu. Kemudian hendaklah dia menyucikan dirinya daripada najis tersebut dan mengulang sembahyangnya.

8. Mmemegang atau berpaut dengan sesuatu yang bersambung dengan najis.

Seseorang yang memegang atau mengikat sesuatu pada dirinya seperti tali yang di bahagian tali itu mengandungi najis adalah membatalkan sembahyang. Sembahyang tetap tidak sah sama ada tali itu bergerak apabila dia bergerak ataupun tidak bergerak.

Sebagai contoh, imam menyangkutkan pada dirinya pembesar suara yang mempunyai wayar yang panjang dan di bahagian wayar itu ada najis, maka tidak sah sembahyangnya kerana dia dikira menanggung najis.

Demikian juga, jika seseorang itu memegang atau mengikat tali pada dirinya sedang tali itu berhubung dengan sesuatu yang menanggung najis dan bergerak apabila dia bergerak seperti tali itu diikat pada sampan kecil atau pada keldai yang membawa najis, maka tidak sah sembahyangnya kerana dikira dia menanggung najis.

Adapun jika tali itu diikat pada sesuatu yang tidak bergerak apabila dia bergerak seperti diikat pada kapal besar yang membawa najis, maka tidaklah batal sembahyangnya.

Berbeza halnya, jika tali itu diletakkan di bawah telapak kakinya, maka tidaklah batal sembahyangnya walaupun tali itu diikat pada sesuatu yang bergerak apabila dia bergerak kerana tidak dikira dia menanggung najis. Ini sama keadaannya apabila dia bersembahyang di atas hamparan yang besar sedang di hujung hamparan itu ada najis.

Demikian beberapa penjelasan hukum mengenai permasalahan sembahyang dalam keadaan seseorang itu terkena najis, sama ada pada tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyangnya. Perlulah diingat, kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan adalah salah satu syarat sah sembahyang. Jika syarat ini diabaikan atau tidak diambil berat, maka sembahyang tidak sah dan masih tertanggung ke atas orang yang mengabaikan itu untuk mengulang atau mengqadha’ sembahyangnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7016