Perbezaan Syarat Jama‘ Taqdîm Dengan Jama‘ Ta’khîr
Menjama‘ sembahyang adalah antara rukhshah iaitu keringanan yang diberikan kepada musafir bagi kemudahan mereka kerana pada kebiasaannya di dalam bermusafir akan menghadapi kesusahan dan keletihan di sepanjang pelayaran mereka.
Menjama‘ sembahyang boleh dilakukan dengan dua cara iaitu boleh dilakukan secara taqdîm atau ta’khîr. Walaupun secara umumnya kedua-dua cara jama‘ ini adalah serupa yang bertujuan untuk menghimpun sembahyang, namun terdapat beberapa perbezaan dalam syarat-syarat masing-masing.
Apa Jama‘ Taqdîm Dan Jama‘ Ta’khîr itu?
Jama‘ taqdîm ialah menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur atau sembahyang fardhu Jumaat dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dan dikerjakan di dalam waktu Zhuhur atau menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu Maghrib.
Jama‘ ta’khîr pula ialah menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang fardhu ‘Ashar dan dikerjakan di dalam waktu ‘Ashar atau menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan dikerjakan di dalam waktu ‘Isya’.
Syarat-Syarat Mengharuskan Melakukan Jama‘ Sembahyang
Seseorang yang dalam pelayaran yang ingin melakukan jama‘ sembahyang sama ada secara taqdîm atau ta’khîr, hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu, iaitu:
1. Jarak perjalanannya ke tempat yang akan ditujunya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 90 kilometer.
2. Tujuan pelayarannya pada perkara yang diharuskan oleh syara‘ seperti menunaikan fardhu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.
3. Mengetahui tempat yang hendak dituju.
Perbezaan Syarat-Syarat Jama‘ Taqdîm Dengan Jama‘ Ta’khîr
Seorang musafir yang ingin menjama’ atau menghimpunkan sembahyang-sembahyangnya sama ada secara taqdîm atau ta’khîr hendaklah mengetahui syarat-syarat menjama‘ sembahyang sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara‘:
1. Niat untuk menjama‘ sembahyang.
Disyaratkan niat untuk menjama‘ kedua-dua sembahyang (Zhuhur atau Jumaat dengan sembahyang ‘Ashar atau sembahyang Maghrib dengan sembahyang ‘Isya’) sama ada jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr kerana ia adalah syarat sah jama‘ menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e.
Berniat untuk menjama‘ kedua-dua sembahyang secara jama‘ taqdîm boleh dilakukan ketika takbîratul-ihrâm pada sembahyang yang pertama (Zhuhur, Jumaat atau Maghrib), dan boleh juga niat dilakukan pada pertengahan sembahyang yang pertama sebelum selesai sembahyang yang pertama iaitu sebelum memberi salam atau seiring dengan selesai sembahyang yang pertama iaitu ketika memberi salam. Akan tetapi waktu yang lebih afdhal ialah berniat jama‘ ketika takbîratul-ihrâm sembahyang yang pertama.
Untuk menjama‘ sembahyang secara jama‘ ta’khîr pula, wajib berniat jama‘ di dalam waktu sembahyang yang pertama. Umpamanya seorang musafir yang ingin menjama‘ ta’khîr sembahyang fardhu Zhuhur dengan sembahyang fardhu ‘Ashar, maka wajib dia berniat dalam waktu Zhuhur untuk menjama‘ ta’khîr kedua-dua sembahyang itu dan melakukan kedua-dua sembahyang tersebut dalam waktu ‘Ashar.
Contoh niat jama‘ ta’khîr yang dilakukan di dalam hati:
Ertinya: Sahaja aku berniat mengakhirkan sembahyang fardhu Zhuhur untuk aku mengerjakannya pada waktu ‘Ashar.
Berniat untuk menjama‘ kedua-dua sembahyang pada waktu yang kedua hendaklah dilakukan sebelum habis waktu sembahyang yang pertama iaitu sekurang-kurangnya pada kadar waktu yang mencukupi untuk melakukan sembahyang. Sekiranya dia tidak berniat atau dia berniat jama‘ sembahyang pada waktu yang pertama pada kadar waktu yang tidak mencukupi untuknya melakukan sembahyang (Zhuhur atau Maghrib), maka dia tidak boleh melakukan jama‘ ta’khîr. Oleh yang demikian wajib dia mengqadha’ sembahyang pertama (Zhuhur atau Maghrib) yang tidak dilakukan pada waktunya.
2. Dua sembahyang yang dijama‘ dilakukan secara muwâlah.
Muwâlah adalah salah satu syarat sah jama‘ taqdîm. Muwâlah bermaksud berturut-turut iaitu tidak dipisahkan di antara dua sembahyang yang dijama‘ dengan jarak waktu yang panjang. Jika antara kedua-dua sembahyang itu diselangi dengan jarak masa yang panjang, maka ia tidak boleh lagi dijama‘ dan sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) wajib dikerjakan di dalam waktunya. Ini kerana ikatan jama‘ sembahyang kedua sudah hilang disebabkan oleh pemisahan jarak masa yang panjang antara kedua-duanya.
Manakala dalam jama‘ ta’khîr pula tidak diwajibkan muwâlah. Walau bagaimanapun hukumnya adalah sunat jika seseorang itu melakukan sembahyang jama‘ ta’khîrnya dengan muwâlah pada dua sembahyang yang dijama‘.
3. Mengikut tertib.
Di dalam sembahyang jama‘ taqdîm, hendaklah sembahyang yang dijama‘ dilakukan secara tertib iaitu dengan mendahulukan sembahyang fardhu Zhuhur kemudian sembahyang fardhu ‘Ashar dan mendahulukan sembahyang fardhu Maghrib kemudian sembahyang fardhu ‘Isya’.
Dalam jama‘ taqdîm, sembahyang yang pertama iaitu Zhuhur dan Maghrib dilakukan pada waktu-waktunya, sementara sembahyang yang kedua iaitu ‘Ashar dan ‘Isya’ hanya mengikuti sembahyang yang pertama. Sembahyang yang kedua tidak boleh didahulukan daripada yang pertama. Jika seseorang itu menjama‘ sembahyangnya secara taqdîm dengan mendahulukan sembahyang fardhu ‘Ashar daripada sembahyang fardhu Zhuhur atau mendahulukan sembahyang fardhu ‘Isya’ daripada sembahyang fardhu Maghrib, maka tidak sah sembahyang ‘Ashar dan ‘Isya’ yang dilakukannya itu.
Dalam jama‘ ta’khîr pula, menjama‘ sembahyang secara tertib tidak diwajibkan. Seseorang itu boleh mendahulukan sembahyang ‘Ashar kemudian baru sembahyang Zhuhur atau sebaliknya ataupun mendahulukan sembahyang ‘Isya’ kemudian baru sembahyang Maghrib atau sebaliknya. Akan tetapi melaksanakannya secara tertib adalah disunatkan.
4. Berkekalan pelayaran sebagai syarat untuk melakukan jama‘ sembahyang.
Untuk melakukan jama‘ taqdîm, disyaratkan pelayaran seseorang itu berkekalan sehingga dia selesai menyempurnakan takbîratul-ihrâm bagi sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’).
Jika seorang musafir itu ketika melakukan jama‘ taqdîm menjadi orang yang bermuqim sebelum melakukan sembahyang yang kedua disebabkan dia berniat untuk menetap atau tinggal di tempat tersebut (lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari datang dan balik) atau kapalnya sampai pada tempat dia hendak bermuqim, maka batal sembahyang jama‘nya dan wajib ke atasnya melakukan sembahyangnya yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) pada waktu yang kedua. Walau bagaimanapun sembahyang pertama yang dilakukannya (dengan niat jama‘) adalah sah kerana sembahyang tersebut telah dilakukan pada waktunya.
Jika dia menjadi orang yang bermuqim ketika dia sedang melakukan sembahyang yang kedua atau sesudah dia melakukan sembahyang yang kedua, maka sah jama‘ kedua-dua sembahyang tersebut.
Dalam jama‘ ta’khîr pula, hendaklah berkekalan pelayaran sehingga selesai sembahyang yang kedua. Oleh itu jika dia berniat untuk menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) atau dia sampai ke tempat dia hendak bermuqim sebelum dia selesai melakukan sembahyang yang kedua, maka batal jama‘ sembahyangnya.
Demikian beberapa panduan mengenai dengan syarat-syarat jama‘ taqdîm dan jama‘ ta’khîr dan perbezaan pada syarat-syarat kedua-duanya yang perlu diambil perhatian. Sebagai peringatan bahawa tidak boleh menjama‘ sembahyang sama ada jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr kecuali setelah melewati sempadan kampung halamannya dan juga hendaklah dia menetap di tempat tujuan tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) kerana jika lebih daripada itu maka dia sudah dikira bermuqim dan tidak harus lagi menjama‘ sembahyangnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7032
