Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Menyegerakan Sembahyang Jenazah

Islam telah menggariskan cara pengurusan dan penyempurnaan jenazah orang Islam dengan jelas dan terperinci. Secara ringkas, dalam penyempurnaan jenazah orang Islam wajib dilaksanakan empat perkara, iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di perkuburan orang Islam.

Pada kebiasaannya perkara memandikan, mengkafankan dan mengebumikan mayat itu dilakukan atau diuruskan oleh orang-orang tertentu sahaja, khususnya mereka yang mempunyai kemahiran dan pengalaman. Akan tetapi dalam perkara menyembahyangkan jenazah, boleh dikatakan sudah ramai orang yang boleh melakukannya, walaupun ada juga yang tidak melaksanakannya.

Antara perkara penting yang perlu diambil perhatian dalam pengurusan jenazah orang Islam ialah menyegerakan pengurusan tersebut termasuklah menyegerakan sembahyang jenazah kecuali dalam beberapa keadaan, harus diakhirkan atau dilambatkan. Perkara menyegerakan dan melambatkan pengurusan jenazah ini bukanlah sekadar adat kebiasaan sahaja akan tetapi mempunyai asas dan dalil yang kukuh dalam syara‘.

Pada dasarnya hukum menyegerakan sembahyang jenazah itu suatu tuntutan, namun ada keadaan-keadaan yang membenarkan untuk melambatkannya.

Menyegerakan Sembahyang Jenazah

Hukum sembahyang jenazah merupakan fardhu kifâyah. Ia boleh dikerjakan secara bersendirian ataupun secara berjemaah. Jenazah yang sudah dimandikan dan dikafankan, wajib disembahyangkan sebelum dikebumikan. Menurut ulama, adalah sunat disegerakan sembahyang ke atas jenazah tanpa melambat-lambatkannya melainkan kerana beberapa keadaan serta syarat-syarat tertentu. Dalil mengenai perkara ini diambil secara umum berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bersegeralah kamu dengan (pengurusan) jenazah. (Hadits riwayat Muslim)

Berikut adalah pendapat ulama mengenai perkara menyegerakan atau melambatkan sembahyang ke atas jenazah:

1. Tidak disunatkan untuk mengakhirkan atau melambatkan sembahyang ke atas jenazah kerana menunggu atau mengharap bertambahnya bilangan orang yang akan menyembahyangkan jenazah tersebut.

Perkara menyegerakan sembahyang jenazah adalah dituntut melainkan jika yang ditunggu itu adalah wali kepada jenazah untuk menyembahyangkan jenazah tersebut. Dalam hal ini, tidak mengapa diakhirkan sembahyang jenazah kerana menantikan kedatangan walinya. Ini kerana menurut pendapat ulama, wali kepada jenazah adalah orang yang berhak (mustahiq) untuk menjadi imam bagi sembahyang jenazah itu. Namun perkara yang penting ialah bukan menjadi suatu kewajipan untuk diakhirkan sembahyang ke atas jenazah hanya kerana menunggu kedatangan wali.

Tambahan daripada itu, ulama telah menggariskan beberapa syarat jika sembahyang jenazah hendak diakhirkan kerana menunggu walinya, iaitu:

i. Jika diharapkan kedatangan wali tersebut dari tempat yang dekat atau berhampiran, maka sunat mengakhirkan sembahyang ke atas jenazah.

ii. Hendaklah selamat daripada terjadinya perubahan terhadap mayat.

2. Sebahagian ulama mengatakan jika tidak ditakuti terjadi perubahan pada jenazah, sepatutnya ditunggu sehingga jemaah itu sempurna bilangannya seratus atau empat puluh orang yang diharapkan kehadiran mereka dari tempat yang dekat. Antara alasan yang dikemukakan ialah:

i. Perkara ini adalah wârid berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada satu mayat yang disembahyangkan ke atasnya oleh sekumpulan Muslimin yang mencapai bilangannya seratus orang, kesemuanya memohon syafaat baginya (mayat), melainkan diterima syafaat mereka itu pada mayat tersebut. (Hadits riwayat Muslim)

ii. Hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tiada seorang Muslim yang meninggal dunia lalu disembahyangkan ke atas jenazahnya oleh empat puluh orang lelaki yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, melainkan Allah menerima syafaat mereka itu pada mayat tersebut. (Hadits riwayat Muslim)

iii. Diriwayatkan bahawa Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ telah mengakhirkan sembahyang jenazah kerana menanti sempurnanya bilangan 40 orang.

iv. Dikatakan bahawa hikmahnya ialah tidak berkumpul 40 orang kecuali terdapat di antara mereka itu seorang wali. Adapun hikmah 100 orang adalah serupa dengan hikmah 40 orang.

v. Dalam ittibâ‘ (mengikut sunnah Nabi), apabila seseorang atau satu jemaah itu hadir setelah jenazah disembahyangkan dan mereka mahu menyembahyangkannya, maka sembahyang ke atas jenazah sunat dilakukan di atas kubur. Walau bagaimanapun, pada masa akhir-akhir ini, sudah menjadi suatu kebiasaan atau kelaziman bahawa sembahyang jenazah itu tidak dilakukan di atas kubur, yakni selepas jenazah dikebumikan.

Atas anggapan bahawa sembahyang jenazah itu tidak akan dilakukan setelah jenazah dikebumikan, maka sunat ditunggu sempurnanya bilangan yang disebutkan, di samping terdapatnya mashlahat untuk jenazah tersebut.

Sebagai kesimpulan, sembahyang jenazah merupakan fardhu kifâyah dan menyegerakan sembahyang jenazah itu adalah dituntut. Namun sunat ditangguhkan atau dilambatkan untuk menunggu kedatangan wali kepada jenazah dan dengan syarat tidak terjadi perubahan kepada jenazah. Manakala wârid daripada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, amalan sahabat dan pendapat sebahagian ulama jika tidak ditakuti terjadi perubahan kepada mayat, sepatutnya menunggu seketika bagi menyempurnakan bilangan seratus atau empat puluh orang untuk menyembahyangkan jenazah tersebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7036