Pengurusan Jenazah Anak Yang Gugur Dari Kandungan
Adalah menjadi kewajipan ke atas orang Islam untuk menguruskan jenazah saudara Islam mereka. Orang Islam yang mengetahui akan kematian seseorang sama ada dia terdiri daripada kerabat atau saudara mara si mati ataupun orang lain adalah wajib fardhu kifâyah melaksanakan pengurusan jenazahnya. Pengurusan jenazah itu juga menjadi tuntutan fardhu kifâyah ke atas orang yang tidak mengetahui akan kematian seseorang kerana kecuaiannya untuk mengambil tahu tentang kematian orang tersebut seperti dia tinggal berjiran dengan si mati.
Pengurusan jenazah yang dimaksudkan itu ialah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah. Namun begitu adakalanya terdapat beberapa pengurusan jenazah yang tidak dituntut untuk dilaksanakan ke atas mayat orang Islam umpamanya mayat orang yang mati syahîd, tidak wajib bahkan haram dimandikan dan disembahyangkan.
Bagi jenazah anak yang gugur dari kandungan ibunya, apakah yang wajib dilakukan ke atasnya? Adakah sama dengan apa yang wajib dilakukan ke atas jenazah orang dewasa ataupun terdapat pengecualian tertentu?
Definisi Anak Yang Gugur
Anak yang gugur atau dalam bahasa Arab disebut sebagai as-siqth bermaksud anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup bulan iaitu sekurang-kurang tempoh kehamilan enam bulan.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, anak yang keluar dari kandungan setelah cukup bulan tidak lagi dinamakan ia anak yang gugur.
Pengurusan Jenazah Anak Yang Gugur
Anak yang gugur dari kandungan atau anak yang lahir sebelum cukup bulan itu terbahagi kepada tiga keadaan. Pengurusan jenazahnya adalah tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:
1. Nyata hidupnya sebelum mati.
Anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan, jika nyata hidupnya seperti ia menjerit atau menangis sebelum matinya maka pengurusan jenazahnya adalah sama seperti jenazah orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan kerana dia diyakini mati selepas hidupnya.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika anak (waktu dia dilahirkan) menjerit maka hendaklah dia disembahyangkan dan diwarisi. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hadits di atas menunjukkan bahawa anak yang gugur dari kandungan apabila nyata hidupnya sebelum mati seperti menjerit maka dia disembahyangkan.
2. Tidak nyata hidupnya sebelum mati.
Anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan jika tidak nyata hidupnya sebelum dia mati akan tetapi ada tanda-tanda hidup seperti dia bergerak, maka wajib dimandikan, dikafankan dan dikebumikan. Demikian juga wajib disembahyangkan sebagaimana menurut pendapat yang azhhar. Ini kerana anak tersebut berkemungkinan hidup dengan wujudnya tanda yang menunjukkannya hidup dan ia juga dilakukan kerana mengambil langkah berhati-hati.
3. Tidak nyata hidupnya dan tidak ada tanda-tanda hidup sebelum mati.
Anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan yang tidak nyata hidupnya dan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dia hidup sebelum mati terbahagi kepada dua keadaan:
i. Nyata kejadiannya.
Jika anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan yang tidak nyata hidupnya dan tidak ada tanda-tanda hidup sebelum mati akan tetapi nyata kejadiannya sebagai manusia, maka wajib dimandikan, dikafankan dan kebumikan. Sementara itu tidak wajib disembahyangkan anak tersebut sebagaimana menurut pendapat yang azhhar kerana tidak nyata hidupnya.
ii. Tidak nyata kejadiannya.
Jika anak yang gugur dari kandungan sebelum cukup bulan yang tidak nyata hidupnya dan tidak ada tanda yang menunjukkan dia hidup sebelum mati serta tidak nyata kejadiannya sebagai manusia, maka tidak wajib dimandikan dan disembahyangkan kerana tidak ada tanda-tanda hidup. Walau bagaimanapun ia sunat dibungkus dengan kain dan dikebumikan.
Adapun pengurusan jenazah bagi anak yang lahir setelah cukup bulan sebagaimana menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, pengurusannya adalah sama seperti pengurusan jenazah orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan walaupun anak itu mati ketika dia dilahirkan dan tidak diketahui hidupnya sebelum itu.
Sebagai kesimpulan, anak yang gugur dari kandungan itu adakalanya diwajibkan keempat-empat perkara iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan dan adakalanya juga diwajibkan kesemuanya melainkan sembahyang bahkan ada juga tidak diwajibkan kesemuanya melainkan sunat dibungkus dan dikebumikan sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7044
