Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Cara Menyempurnakan Mayat Yang Tidak Diketahui Identitinya

Dalam media massa, sesekali terpapar berita mengenai penemuan mayat yang tidak dikenali dan tidak dapat dipastikan identitinya. Antara sebab mengapa timbul kesukaran untuk memastikan identitinya ialah kerana keadaannya yang sudah reput akibat mati lemas atau daripada kesan hangus terbakar, atau mayat hanya tinggal tengkorak dan tulang-belulang dan seumpamanya. Lebih-lebih lagi jika mayat tersebut dijumpai jauh dari tempat tinggal atau kediaman orang ramai seperti dalam belukar, di pinggir hutan, terdampar di pantai dan sebagainya.

Persoalan yang timbul ialah mayat yang tidak dapat dipastikan identitinya itu sudah tentu tidak diketahui agamanya. Maka menurut Islam, bagaimanakah pengurusan dan penyempurnaan mayat tersebut?

Kedudukan Dan Ketinggian Agama Islam

Sebelum membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut lagi, terlebih dahulu perkara yang perlu sama-sama difahami ialah tentang kedudukan agama Islam dalam negeri atau tempat mayat itu dijumpai, kerana perkara ini akan mempengaruhi hukum yang diambil.

Agama Islam itu tinggi dan mulia dan tidak ada agama yang mengatasinya. Sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dengan sebab kemuliaan dan ketinggian agama Islam, maka orang-orang Islam dan negara-negara Islam juga turut menjadi mulia dan mempunyai kehormatan, kerana mereka dibangsakan kepadanya. Kemuliaan dan kehormatan orang-orang Islam bukan sahaja semasa hidupnya tetapi juga selepas matinya. Hatta mayat yang tidak diketahui identitinya yang dijumpai atau didapati dalam negara Islam hendaklah diurus sebagaimana sepatutnya mayat seseorang Islam diuruskan.

Penentuan Agama Bagi Mayat Yang Tidak Diketahui Identitinya

Bagi tujuan pengurusan dan penyempurnaan mayat yang tidak diketahui identitinya, terlebih dahulu perkara utama yang diambil perhatian ialah menentukan sama ada mayat tersebut dihukumkan sebagai beragama Islam atau selainnya. Ulama telah memberikan penjelasan mengenai perkara ini, secara ringkasnya adalah seperti berikut:

1. Mayat Yang Dijumpai Dalam Negeri Islam

Menurut para ulama, mayat yang tidak diketahui identitinya yang dijumpai dalam negeri Islam, adalah dihukumkan sebagai beragama Islam.

Antara alasan atau ‘illah yang dikemukakan ulama mengenai perkara ini kerana orang Islam lebih ramai dan kerana kehormatan negeri Islam itu sendiri. Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh menyebutkan bahawa tidak ada perbezaan dalam perkara ini, sama ada pada mayat yang dijumpai itu terdapat tanda-tanda kufur seperti salib atau pun tidak, dan hukum seperti ini berlaku kerana kemuliaan dan kehormatan negeri orang-orang Islam itu.

Dalam sesetengah keadaan, apa yang dijumpai bukanlah mayat yang lengkap, tetapi cuma sebahagian anggota tubuh badan manusia sahaja. Jika tidak diketahui adakah anggota yang terpisah itu dimiliki oleh seorang yang beragama Islam atau bukan, sedangkan ia dijumpai dalam negeri Islam, maka hukumnya adalah serupa dengan hukum mayat yang tidak diketahui identitinya dijumpai dalam negeri Islam, iaitu hendaklah dimandikan dan disembahyangkan. Namun dalam hal ini, hendaklah diyakini, tanpa syak, bahawa anggota itu bukan terpisah daripada seseorang ketika dia masih hidup. Ini kerana jika anggota itu diyakini terpisah daripada pemiliknya semasa dia masih hidup atau diragui tentang kematiannya, maka ia hanya sunat ditanam kerana memuliakan tuannya. Sunat juga dibungkus anggota tersebut dengan kain tanpa disembahyangkan.

Hukum ini adalah berdasarkan penjelasan para ulama mengenainya, antaranya yang telah disebutkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, iaitu:

Ertinya: Dan jikalau dijumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau sebahagian anggotanya di negeri kita (Islam), maka ia disembahyangkan kerana yang berkuasa di negeri itu adalah orang-orang Islam.

Manakala matan kitab ar-Raudh yang disebutkan di dalam kitab Asnâ al- Mathâlib menyatakan:

Ertinya: Sesiapa menjumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau anggotanya di dalam negeri Islam, maka hendaklah dia menyembahyangkannya.

Maka dapat difahami daripada pendapat para ulama, apabila suatu mayat atau sebahagian anggota mayat yang dijumpai itu dikehendaki untuk disembahyangkan, ini bermakna mayat atau pemilik anggota tersebut dihukumkan sebagai beragama Islam. Ini kerana hukum menyembahyangkan mayat orang kafir adalah haram berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah at-Taubah:

Tafsirnya: Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati daripada orang-orang yang munafik itu selama-lamanya. (Surah at-Taubah: 84)

2. Mayat Yang Dijumpai Dalam Negeri Kafir

Menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh mayat yang tidak diketahui identitinya atau sebahagian anggotanya dijumpai dalam negeri kafir, hukumnya adalah seperti hukum kanak-kanak laqîth (pungut), iaitu:

i. Jika terdapat orang Islam di dalam negeri kafir itu, maka dia dihukumkan sebagai beragama Islam.

ii. Sebaliknya jika tiada orang Islam di dalam negeri kafir itu, maka dia dihukumkan kafir.

Inilah juga yang dijelaskan oleh Syeikh Ahmad Al-Maghribi Rahimahullâh, katanya:

Ertinya: Maka hukum mayat yang tidak dikenali (atau anggotanya), adalah sama dengan hukum laqîth, dan permasalahannya ialah: Apabila ia dijumpai dalam negeri orang kafir dan di situ ada orang Islam, sesungguhnya ia disembahyangkan.

Penyempurnaan Mayat Yang Dihukumkan Beragama Islam

Seperti yang telah dijelaskan terdahulu, apabila sesuatu mayat atau sebahagian anggota mayat yang tidak diketahui identitinya dan dihukumkan mayat tersebut sebagai beragama Islam, maka cara penyempurnaan jenazahnya adalah mengikut kaedah atau cara Islam.

Para ulama telah meletakkan asas-asas yang kukuh bagaimana menguruskan jenazahnya. Antara dasar-dasarnya itu ialah:

“Sekiranya dijumpai tengkorak, salah satu anggota mayat atau tubuh badan mayat yang lengkap dalam negeri Islam yang tidak mempunyai tanda pengenalan secara pasti adakah anggota atau mayat itu orang Islam atau bukan Islam, maka wajiblah mayat atau anggota yang dijumpai itu disempurnakan sebagaimana menyempurnakan mayat orang Islam, iaitu dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan di perkuburan orang Islam.”

Maka jelaslah daripada petikan di atas bahawa wajib disempurnakan mayat tersebut dengan melaksanakan empat perkara yang telah disebutkan.

Manakala niat sembahyang ketika menyembahyangkan sebahagian anggota mayat yang ditemui adalah diniatkan ke atas keseluruhan mayat, bukan setakat anggota itu sahaja.

Adapun mayat yang dikenal pasti sebagai bukan beragama Islam, maka tidak wajib ke atas orang Islam untuk memandikan, hanya harus hukumnya. Kemudian wajib dikafankan dan wajib dikuburkan, tetapi haram disembahyangkan sepertimana yang telah dijelaskan terdahulu.

Sebagai kesimpulan, Islam telah menggariskan bahawa mayat atau sebahagian anggota mayat yang dijumpai dalam negeri Islam atau dalam negeri kafir yang ada orang Islam tinggal di dalamnya, walaupun tidak diketahui identitinya, maka hendaklah diuruskan dan disempurnakan mengikut kaedah Islam, iaitu dengan melaksanakan empat perkara: dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikuburkan di perkuburan orang-orang Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7048