Menghadiri Upacara Kematian Orang Bukan Islam Di Dalam Gereja
Islam adalah agama kesejahteraan dan toleran dalam perkara sosial dan kemasyarakatan. Walau bagaimanapun ia sangat keras dan tegas dalam soal menjaga dan mempertahankan aqidah. Dalam hal muamalat umpamanya, orang Islam diperintahkan berbuat baik ketika bermuamalat dengan orang bukan Islam selama mana orang bukan Islam itu daripada kalangan orang-orang yang bukan memerangi Islam dan selama mana muamalat itu tidak merosakkan aqidah Islamiah dan tidak pula menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal.
Ini telah dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)
Perintah berbuat baik kepada sesama orang Islam meliputi segenap hal, termasuklah menghadiri kematiannya, menguruskan jenazahnya sehinggalah selesai dikebumikan. Namun terhadap orang-orang bukan Islam tidak pula begitu halnya. Syariat Islam telah menentukan batas dan had berbuat baik dengan orang bukan Islam. Antaranya membataskan hukum harusnya menghadiri upacara kematian orang bukan Islam dengan syarat-syarat tertentu, umpamanya menghadiri majlis pengebumian orang bukan Islam adalah diharuskan oleh syara‘ jika mereka mempunyai hubungan keluarga dengan si mati seperti bapa, ibu dan adik-beradik atau hubungan rapat dengannya iaitu jiran atau teman, dan hendaklah tidak mengikut mana-mana perbuatan atau perkara yang dilakukan oleh orang bukan Islam ketika majlis pengebumiannya.
Persoalan yang ditimbulkan ialah mengenai dengan menghadiri upacara kematian keluarga bukan Islam yang diadakan di dalam gereja. Apakah orang Islam boleh memasuki gereja? Dan apakah pula hukum menghadiri kematian keluarga bukan Islam di dalam gereja itu?
Hukum Memasuki Gereja
Pada kebiasaannya, para penganut Kristian mengadakan upacara-upacara khas keagamaan di dalam gereja seperti upacara perayaan Krismas, pembaptisan, perkahwinan, kematian dan yang seumpamanya.
Menurut para ulama asy-Syafi‘eyyah, hukum memasuki gereja itu harus (boleh) dengan syarat-syarat berikut:
1. Mendapat keizinan atau kebenaran untuk masuk daripada pihak gereja.
2. Tidak terdapat gambar-gambar yang dimuliakan oleh orang-orang Nashrani di dalam gereja tersebut, seperti gambar atau patung yang disangkakan sebagai gambar Nabi Isa ‘Alaihissalâm (yang dianggap oleh mereka sebagai anak Tuhan), Sayyidatina Maryam dan lain-lain.
Perkara ini disebut oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al- Muhtaj, tidak harus bagi seorang Muslim memasuki gereja kecuali dengan ada keizinan daripada pihak gereja dan di dalamnya tidak terdapat gambar-gambar yang dimuliakan oleh mereka kecuali gambar-gambar yang diukir pada batu-batu yang dihampar di lantai.
Disyaratkan juga perbuatan masuk ke dalam gereja itu tidak akan membawa kesan cenderung atau mengiktiraf ajaran gereja atau akan membawa dia mempersendakan Islam bersama-sama orang kafir sehingga boleh merosakkan aqidahnya.
Oleh yang demikian, jika syarat-syarat ini tidak dapat dipenuhi, maka tidak harus bahkan haram memasuki gereja.
Menghadiri Kematian Keluarga Di Dalam Gereja
Jika seseorang itu datang ke gereja untuk menghadiri upacara kematian seseorang bukan Islam yang terdiri daripada kaum keluarga kepada orang Islam tersebut seperti ibu, bapa, adik beradik atau ada hubungan rapat iaitu jiran atau teman, maka hukumnya adalah harus selama mana dia tidak menyertai upacara keagamaan yang khusus bagi orang bukan Islam, di samping menjaga syarat-syarat yang membolehkan masuk ke gereja sebagaimana yang disebutkan terdahulu.
Manakala menghadiri upacara kematian orang bukan Islam yang bukan terdiri daripada kaum keluarga atau tidak mempunyai hubungan rapat iaitu bukan jiran atau teman adalah haram, sama ada di dalam gereja, di rumah mahupun di tanah perkuburan.
Kesimpulannya, Islam amat tegas dalam soal menjaga aqidah. Di samping perintah berlemah-lembut dan toleransi terhadap orang-orang bukan Islam, orang Islam juga diperintahkan untuk terus menjaga aqidah agar tidak terpengaruh dengan kepercayaan-kepercayaan yang bertentangan dengan Islam. Orang Islam tidak dilarang menghadiri kematian orang bukan Islam yang terdiri daripada kaum keluarga, jiran atau teman sekalipun di gereja asalkan memenuhi syarat-syarat yang membolehkan memasuki gereja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7056
