Beras: Tanaman Yang Wajib Zakat
Menunaikan zakat merupakan satu kewajipan dan ia juga merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Orang-orang yang berkewajipan menunaikan zakat, tetapi tidak melaksanakan tuntutan ini akan mendapat azab yang sangat dahsyat daripada Allah ‘Azza Wajalla.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memperingatkan tentang balasan bagi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Barang siapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun dia tidak melaksanakan zakat (hartanya), diserupakan hartanya pada Hari Kiamat sebagai ular gondol yang mempunyai dua taring yang akan mengalunginya (orang yang tidak mengeluarkan zakat itu). Kemudian ular tersebut akan mengambilnya (orang yang tidak mengeluarkan zakat itu) dengan dua tulang rahangnya lantas berkata: “Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu.” Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membaca ayat ini, yang tafsirnya: “(Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahanNya) sehingga akhir ayat. (surah Âli- ‘Imran: 180).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Salah satu jenis zakat harta yang diwajibkan ialah zakat tanam-tanaman. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanam-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah daripada buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuai; dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlebih-lebihan (melampaui batas). (Surah al-An‘âm: 141)
Syarat Wajib Mengeluarkan Zakat Tanam-Tanaman
Orang yang diwajibkan mengeluarkan zakat tanam-tanaman itu hendaklah dia beragama Islam, merdeka dan dia adalah pemilik sempurna bagi tanam-tanaman itu.
Manakala syarat bagi tanam-tanaman yang wajib dikeluarkan zakat itu adalah seperti berikut:
1. Ia merupakan tanam-tanaman yang mengenyangkan.
2. Sesuatu jenis tanaman yang ditanam oleh manusia.
3. Terdiri daripada buah-buahan atau biji-bijian.
4. Tahan lama disimpan.
5. Cukup nishâb.
Beras Wajib Dikeluarkan Zakat
Beras merupakan makanan asasi bagi penduduk Negara Brunei Darussalam. Pada masa kini pihak Kerajaan giat melipat gandakan usaha ke arah pencapaian tahap sara diri pengeluaran beras negara dengan melancarkan penanaman padi secara besar-besaran.
Sebagaimana penjelasan mengenai syarat-syarat wajib zakat tanam-tanaman, beras adalah termasuk dalam kategori tanaman daripada jenis biji-bijian yang wajib dikeluarkan zakat.
Dengan melaksanakan tuntutan mengeluarkan zakat beras ini, semoga hasrat untuk mencapai tahap sara diri itu akan tercapai kerana dengan mengeluarkan zakat sesuatu harta itu pada hakikatnya akan bertambah dan subur dengan keberkatan zakat itu, walaupun nampak pada zahirnya ia mengurangkan kuantiti.
Nishâb Zakat Beras
Nishâb zakat ialah kadar tertentu sama ada dalam bentuk timbangan, sukatan atau sebagainya yang mana apabila suatu harta itu mencapai kadar tersebut, maka harta itu wajib dizakat.
Nishâb zakat tanam-tanaman itu ialah lima wasq, sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiada (zakat pada tanam-tanaman) yang kurang daripada lima wasq dan tiada (zakat pada unta) yang kurang daripada lima ekor unta dan tiada (zakat pada perak) yang kurang daripada lima uqiyah. (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, nishâb zakat beras dan biji-bijian yang lain ialah lima wasq iaitu bersamaan dengan 680.4 kilogram. Jika beras telah mencapai sukatan lima wasq atau mencapai berat timbangan 680.4 kilogram, maka wajib dikeluarkan zakat beras tersebut.
Perkiraan nishâb zakat beras sebanyak lima wasq atau 680.4 kilogram itu adalah selepas beras itu dibersihkan daripada jerami dan kulitnya.
Kulit beras adalah daripada jenis kulit yang menyimpan biji-bijian di dalamnya dan ia tidak dimakan bersama-sama kulit itu, maka kulit beras tersebut tidak dikira dalam nishâb zakat lima wasq atau 680.4 kilogram.
Adapun beras yang tidak dibuang kulitnya (yang masih bergelar padi), maka nishâb zakatnya ialah sepuluh wasq atau 1360.8 kilogram. Ia berbeza dengan nishâb zakat beras yang telah dibuang kulitnya iaitu lima wasq atau 680.4 kilogram.
Bolehkah Pelbagai Jenis Beras Dicampur Bagi Mencukupkan Nishâb?
Jika tanaman beras itu ada bermacam-macam jenis seperti beras wangi dan beras pulut, maka jika sukatan hasil daripada tanaman satu jenis beras itu tidak mencapai nishâb kecuali setelah dicampur sukatannya dengan hasil daripada jenis beras yang lain, maka dicampur sukatan beras-beras yang berlainan jenis itu, kemudian dikeluarkan zakat daripada setiap jenis beras tersebut dengan mengikut kadar banyaknya, itupun jika ia mudah dilakukan.
Sebagai contoh, jika seorang itu mempunyai hasil lima jenis beras yang dituai, masing-masing sukatannya 200 kilogram. Dicampur sukatan kesemuanya bagi mencukupkan nishâb. Selepas dicampur, sukatan kelima-lima jenis beras tersebut berjumlah 1000 kilogram keseluruhannya. Kemudian zakat yang wajib dikeluarkan, umpamanya sebanyak 100 kilogram, maka diambil daripada setiap lima jenis beras itu sebanyak 20 kilogram.
Jika ia sukar untuk dilakukan, kerana terlalu banyak jenis beras dengan kadarnya yang sedikit-sedikit, maka dikeluarkan zakat dari jenis beras yang peringkat pertengahan iaitu antara jenis beras yang tidak terlalu tinggi mutunya dan yang tidak terlalu rendah mutunya. Namun adalah lebih afdhal jika dikeluarkan zakat daripada setiap jenis beras tersebut mengikut kadar banyaknya.
Sementara itu pula, jika tanaman itu berlainan jenis, maka salah satu jenis tanaman itu tidak boleh dicampur sukatannya untuk mencukupkan nishâb dengan satu jenis tanaman yang lain. Sebagai contoh, beras dan gandum tidak boleh dicampur sukatan kedua-duanya kerana berlainan jenis tanaman.
Bolehkah Hasil Tanaman Beras Tahun Pertama Dicampur Dengan Hasil Beras Tahun Kedua?
Tidak harus dicampur sukatan hasil beras yang dituai pada tahun pertama dengan hasil beras tahun kedua bagi mencukupkan nishâb. Akan tetapi harus dicampur sukatan beras yang dituai dalam tahun yang sama walaupun berbeza waktu penanamannya. Apa yang dimaksudkan dengan tuaian dalam tahun yang sama itu, hendaklah jarak masa antara tuaian tanaman pertama dengan tuaian tanaman kedua tidak melebihi daripada dua belas bulan Islam.
Tiada Haul Bagi Zakat Beras
Zakat beras tidak disyaratkan haul sebagaimana ia disyaratkan pada harta zakat yang lain seperti zakat emas atau zakat wang, apabila sampai haul (setahun hijrah) dan cukup nishâb emas atau wang itu maka baharulah wajib dikeluarkan zakat.
Akan tetapi zakat beras atau padi, bermula waktu kewajipan mengeluarkannya ialah apabila biji beras itu menjadi keras (sudah matang) dan selepas menuainya serta bersih daripada jeraminya.
Kadar Zakat Beras
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tanaman yang disirami oleh (aliran) sungai-sungai dan awan (hujan), dibayar zakat satu persepuluh (10%) dan tanaman yang disirami dengan penyiraman (usaha sendiri), dibayar zakat satu perdua puluh (5%). (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa kadar zakat yang wajib dikeluarkan bagi tanam-tanaman yang telah mencapai nishâb itu, adalah berbeza kadar peratusnya menurut bagaimana pengairannya:
1. 1/10 (10%):
Tanam-tanaman yang disirami air tanpa diusahakan oleh petani itu sendiri, seperti ia disirami oleh air hujan yang turun, aliran air sungai, aliran air daripada bukit atau mata air atau tanaman itu dengan sendiri menyerap air melalui akar-akarnya, kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 1/10.
Sebagai contoh seorang petani menghasilkan beras sebanyak 1000 kilogram tanpa penyiraman sendiri iaitu dengan dituruni air hujan. Maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 1/10 atau 10% daripada 1000 kilogram iaitu 100 kilogram.
2. 1/20 (5%):
Tanam-tanaman yang disirami air melalui usaha yang dibuat oleh petani itu sendiri seperti mengambil air dari perigi untuk menyiram tanam-tanaman atau menyiramnya melalui paip air, kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 1/20.
Sebagai contoh seorang petani menghasilkan beras sebanyak 1000 kilogram dengan penyiraman sendiri melalui air paip. Ini bererti nishâb zakatnya sudah melebihi daripada lima wasq atau 680.4 kilogram. Maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 1/20 atau 5% daripada 1000 kilogram iaitu 50 kilogram.
3. 3/40 (7.5%):
Adapun tanam-tanaman yang disirami air melalui dua cara iaitu di samping penyiramannya diusahakan sendiri oleh pengusaha, penyiramannya juga adakalanya bergantung kepada pengairan semula jadi tanpa diusahakan oleh pengusahanya dengan kadar siraman yang sama atau tidak diketahui kadar banyak siramannya, maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 3/40 (7.5%).
Sebagai contoh, usia tanaman itu lapan bulan, empat bulan pertama ia disirami air sebanyak dua kali tanpa diusahakan oleh pengusaha seperti dituruni air hujan, kemudian empat bulan seterusnya ia disirami air sebanyak dua kali juga, akan tetapi dengan diusahakan sendiri seperti menyiramnya dengan air paip. Jika seorang petani itu menghasilkan beras sebanyak 1000 kilogram, maka kadar zakat yang wajib dikeluarkannya ialah 3/40 atau 7.5% daripada 1000 kilogram iaitu 75 kilogram.
4. Peratus Yang Berbeza-beza:
Jika tanam-tanaman itu disirami air melalui dua cara (usaha sendiri dan juga tanpa usaha sendiri) akan tetapi dengan kadar siraman yang berbeza-beza, maka menurut pendapat yang azhhar, kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah sekira-kira bahagiannya dengan mengambil kira masa penanaman dan penuaiannya.
Sebagai contoh, selama lapan bulan penanaman padi, 2/3 daripada tempoh itu disirami air hujan dan 1/3 disirami dengan air paip, maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 5/60. Iaitu kadar zakat bagi 2/3 yang disirami air hujan ialah 1/10 x 2/3 = 2/30 dan kadar zakat bagi 1/3 yang disirami dengan air paip ialah 1/20 x 1/3 = 1/60. Oleh itu, keseluruhan kadar zakatnya ialah 2/30 + 1/60 = 5/60. Untuk lebih jelas, pengiraannya adalah seperti berikut:-
2/3 x 1/10 (kadar tanpa usaha) = 2/30 1/3 x 1/20 (kadar dengan usaha) = + 1/60 Jumlah kadar zakat 5/60
Ini bererti kadar zakat beras yang wajib dikeluarkan itu ialah 1/10 atau 1/20 atau 3/40 atau kadar yang tertentu dengan mengambil kira bagaimana pengairannya semasa penanaman dan penuaiannya.
Sebagai kesimpulan, beras adalah termasuk jenis hasil tanaman yang wajib dizakat. Adalah menjadi kewajipan ke atas orang-orang Islam yang mempunyai dan mengusahakan tanaman beras atau padi untuk mengeluarkan zakat apabila sudah sampai nishâb zakatnya dengan mengikut kadar zakat yang tertentu sebaik sahaja ia matang dan dituai.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7060
