Berhati-Hatilah! Pinggan Mangkuk Daripada Tulang
Di zaman ini, tidak dinafikan bahawa sebahagian pengguna amat mementingkan kualiti dalam memilih barang-barang keperluan harian. Mereka sanggup berbelanja lebih pada barang yang berkualiti dengan menilai bahawa barang-barang berjenama adalah barang-barang yang baik dan berkualiti tinggi. Pemilihan barang-barang berjenama, bukan sahaja dari segi pakaian malahan juga dari segi perhiasan rumah mahupun peralatan yang digunakan seharian, termasuklah peralatan dapur seperti pinggan mangkuk.
Apa yang menjadi persoalan dengan jenama pinggan mangkuk berkualiti dan mahal yang berada di pasaran pada masa kini ialah ada di antaranya yang diperbuat daripada abu tulang. Dikatakan bahawa eleman yang terpenting di dalam pembuatan pinggan mangkuk itu ialah 50% daripadanya adalah abu tulang binatang di samping campuran bahan yang lain seperti 25% daripada tanah liat dan 25% daripada batu.
Memandangkan abu tulang binatang adalah antara bahan asas dalam pembuatan pinggan mangkuk, maka perkara yang perlu diambil perhatian ialah memastikan bahawa tulang tersebut adalah suci. Bagaimanakah cara memastikan bahawa tulang yang digunakan dalam menghasilkan sesuatu benda seperti pinggan mangkuk itu suci? Ada dua cara dalam Islam untuk memastikan bahawa tulang itu suci, iaitu memastikan daripada jenis binatang apakah tulang itu diambil, dan hendaklah binatang yang diambil tulangnya itu disembelih mengikut hukum syara‘. Ini bermakna tulang yang suci itu akan membawa kepada benda yang suci yang terhasil daripadanya. Jika sebaliknya, bahawa tulang itu tidak suci, umpamanya tulang itu daripada binatang yang tidak halal dimakan atau daripada binatang yang penyembelihannya tidak mengikut hukum syara‘, maka tulang itu tidaklah dikira suci dan begitu juga benda yang terhasil daripadanya.
Dalam perkara ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata di dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan adapun bejana daripada tulang, maka jika ia suci, menggunakannya adalah harus, dan jika ia tidak suci, maka tidak harus (menggunakannya). Dan kesucian bejana tersebut tidak akan diperolehi kecuali dengan penyembelihan pada binatang yang boleh dimakan dagingnya.
Mengenal suci atau najis sesuatu bejana yang diperbuat daripada tulang adalah tertakluk kepada bagaimana keadaan binatang yang diambil tulangnya itu.
1. Jika abu tulang tersebut berasal daripada babi atau anjing, maka haram menggunakannya kerana babi dan anjing itu adalah binatang yang jelas najis dan haram dalam Islam. Oleh itu, semua barangan yang berasal daripada babi dan anjing itu juga adalah haram secara mutlak.
2. Begitu juga abu tulang yang diambil daripada binatang yang boleh dimakan dagingnya, tetapi ia mati tanpa disembelih secara syara‘ atau daripada binatang yang tidak dapat dimakan dagingnya sama ada ia disembelih mengikut syara‘ ataupun sebaliknya, maka hukum binatang berkenaan adalah bangkai dan hukum tulangnya juga adalah najis. Dalam keadaan sedemikian, semua bahagian anggota badannya dihukumkan najis kecuali kulitnya yang telah disamak.
3. Jika abu tulang tersebut diambil daripada binatang yang boleh dimakan dagingnya dan ia telah disembelih mengikut syara‘, maka hukumnya adalah suci dan semua bahagian daripada binatang tersebut juga adalah suci. Bahagian-bahagian tersebut boleh digunakan dan dimanfaatkan tanpa keraguan.
Berdasarkan keterangan tadi, dapat difahami bahawa abu tulang yang dikatakan suci itu ialah abu tulang yang diambil dari binatang yang boleh dimakan dagingnya dan disembelih mengikut hukum syara‘.
Walau bagaimanapun, untuk memastikan bahawa tulang tersebut adalah diambil daripada binatang yang boleh dimakan dan disembelih mengikut syara‘, adalah suatu perkara yang sukar kerana pinggan mangkuk yang diperbuat daripada abu tulang ini telah dihasilkan oleh berbagai negara dengan jenama yang berlainan.
Dalam hal ini, jika kita yakin dan dapat memastikan bahawa abu tulang tersebut adalah suci, maka harus hukumnya menggunakannya dan jika sebaliknya, maka tidak harus menggunakannya.
Namun, jika wujud keraguan atau kesamaran pada abu tulang binatang berkenaan sehingga menimbulkan was-was, maka pemakaian pinggan mangkuk tersebut hendaklah dielakkan, kerana penggunaan pinggan mangkuk itu adalah syubhah. Hukum menjauhi perkara syubhah itu merupakan suatu kewajipan demi memelihara agama dan diri daripada termasuk ke dalam perkara-perkara yang ditegah dan memudharatkan. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang meragukan (samar), ia tidak diketahui (hukumnya) oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa yang memelihara (dirinya daripada) segala kesamaran itu, sesungguhnya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang melakukan atau membuat perkara yang meragukan (kesamaran), jatuhlah dia ke dalam yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya… (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sementara dalam hadits yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda daripada Abu Haura as-Sa‘diyyi berkata:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu kerana sesungguhnya kebenaran adalah ketenangan dan sesungguhnya dusta itu keraguan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Maka jelaslah, pinggan mangkuk yang harus penggunaannya itu hanyalah pinggan mangkuk yang diperbuat daripada abu tulang yang suci yang diambil daripada binatang yang boleh dimakan dagingnya dan disembelih mengikut hukum syara‘, dan tiada keraguan atau kesamaran pada abu tulang binatang berkenaan. Oleh itu, berhati-hatilah jika menggunakan pinggan mangkuk.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7128
