Ketahuilah Amalan Yang Disunatkan Pada 10 Muharram
Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Ia termasuk antara bulan-bulan yang dihormati sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Surah at-Taubah: 36)
Empat bulan dihormati yang tersebut dalam ayat di atas ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
Manakala diriwayatkan oleh Abu Bakrah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana bentuknya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Setahun ada dua belas bulan. Antaranya terdapat empat bulan yang dihormati, tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan Sya‘ban. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam bulan Muharram ini terdapat satu tarikh yang dianggap istimewa iaitu tarikh 10 Muharram yang juga dikenali sebagai hari ‘Âsyûrâ’. Pada tarikh ini banyak berlaku peristiwa penting, antaranya Nabi Adam ‘Alaihissalâm bertaubat kepada Allah sehingga dia kembali suci, Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa ‘Alaihissalâm dan lain-lain peristiwa yang dapat dijadikan i‘tibâr bagi umat Islam.
Di samping keistimewaan hari ‘Âsyûrâ’ yang berlaku di dalamnya peristiwa-peristiwa penting, hari ‘Âsyûrâ’ juga merupakan peluang untuk meraih ganjaran daripada amalan-amalan sunat yang dilakukan pada hari tersebut.
Amalan Yang Disunatkan Pada Hari ‘Âsyûrâ’
Dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada disebutkan mengenai amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari ‘Âsyûrâ’ serta fadhilat yang diperolehi oleh sesiapa yang melaksanakan amalan-amalan tersebut. Amalan yang dimaksudkan itu ialah melakukan ibadat puasa dan menyenangkan hati kaum keluarga.
1. Puasa Pada Hari ‘Âsyûrâ’
Hukum berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Baginda bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ menceritakan:
Maksudnya: Aku tidak melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Âsyûrâ’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas peluang melaksanakan tuntutan sunat ini. Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhum, katanya:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’. Kemudian Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, ini adalah hari Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa”. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Âsyûrâ’ dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam hadits lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin ‘Abdul Rahman, dia mendengar Mu‘awiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari ‘Âsyûrâ’:
Maksudnya: Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Âsyûrâ’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barang siapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barang siapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits-hadits di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari ‘Âsyûrâ’. Setentunyalah dengan galakan daripada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri, peluang seumpama ini tidak dilepaskan oleh umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari ‘Âsyûrâ’.
Fadhilat berpuasa hari ‘Âsyûrâ’ disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut). (Hadits riwayat Muslim)
Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:
i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Âsyûrâ’.
ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Âsyûrâ’ (iaitu bermula dari hari ‘Âsyûrâ’ sebelumnya).
• Didahului dengan puasa Tâsû‘a’ (9 Muharram).
Bagi orang yang hendak berpuasa sunat pada hari ‘Âsyûrâ’ sunat mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ iaitu pada 9 Muharram.
Hikmat di sebalik mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ ialah:
i. Sebagai langkah berhati-hati pada pengiraan awal bulan Muharram. Ini kerana ditakuti jika berlaku sedemikian, maka kemungkinan sahaja hari yang dikira sebagai Tasu‘a’ adalah sebetulnya hari ‘Âsyûrâ’.
ii. Agar umat Islam tidak menyerupai orang Yahudi yang berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ sahaja.
iii. Menyambung puasa hari ‘Âsyûrâ’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari ‘Âsyûrâ’.
• Meneruskan puasa hingga 11 Muharram.
Apabila seseorang melaksanakan puasa hari ‘Âsyûrâ’, sunat juga menggandingkannya dengan berpuasa pada 11 Muharram, walaupun dia tidak melakukan puasa hari Tasu‘a’. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Puasalah kamu pada hari ‘Âsyûrâ’ dan janganlah kamu menyerupai padanya dengan orang Yahudi. Puasalah kamu (dengan puasa ‘Âsyûrâ’) sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Berdasarkan penjelasan di atas, terdapat beberapa cara melakukan puasa hari ‘Âsyûrâ’ iaitu:
i. Berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ sahaja.
ii. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram) dan pada hari ‘Âsyûrâ’.
iii. Berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ dan pada 11 Muharram.
iv. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram), hari ‘Âsyûrâ’ dan 11 Muharram. Gandingan berpuasa tiga hari ini (9, 10 dan11 Muharram) adalah digemari sebagaimana yang disebutkan oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh.
2. Menyenangkan Hati Kaum Keluarga
Selain daripada melakukan puasa pada hari ‘Âsyûrâ’, orang Islam juga disunatkan menyenangkan dan menggembirakan hati kaum keluarga.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang melapangkan (menyenangkan) keluarganya pada hari ‘Âsyûrâ’, Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Apa yang dimaksudkan dengan ‘melapangkan’ atau ‘menyenangkan’ di dalam hadits di atas adalah berbelanja pada makanan dan minuman lebih daripada hari biasa serta menggembirakan anak-anak contohnya dengan menghulur belanja lebih dan yang seumpamanya.
Selain daripada ahli keluarga, maksud menyenangkan di dalam hadits di atas termasuk juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin dengan syarat apa yang dilakukannya itu tidak membebankan dirinya.
Adapun apa yang selain daripada dua perkara di atas seperti sembahyang malam ‘Âsyûrâ’, mandi hari ‘Âsyûrâ’, bercelak mata dan yang lainnya tidaklah ada disebut melainkan pada hadits-hadits dha‘îf, munkar dan maudhû‘.
Marilah kita bertekad untuk mengisi hari ‘Âsyûrâ’ yang datang sekali setahun di bulan Muharram ini dengan mengambil i‘tibâr peristiwa yang berlaku pada tarikh tersebut dan melaksanakan apa yang dianjurkan oleh syara‘. Berpuasa serta menyenangkan hati keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin pada hari ‘Âsyûrâ’ ini adalah amalan yang tidak boleh dilepaskan fadhilatnya begitu sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7140
