Wabak: Hikmat Dan Bagaimana Menghadapinya
Pernah pada suatu ketika dunia digemparkan dengan beberapa jenis wabak penyakit yang sangat berbahaya dan menular sehingga membawa maut. Wabak ini telah melanda kawasan di beberapa buah negara antaranya wabak SARS atau dikenali sebagai Sindrom Pernafasan Akut Teruk. Ia merupakan penyakit pernafasan berjangkit (a typical pneumonia) yang tidak diketahui sebabnya.
Demikian juga, wabak selesema burung (Avian Influenza). Ia juga merupakan sejenis penyakit berjangkit di kalangan burung-burung seperti ayam, itik dan burung liar, yang disebabkan oleh virus (Influenza type A). Penyakit ini pertama kali dilaporkan menjangkiti manusia pada tahun 1997 di Hongkong, kemudian pada tahun 2003 berlaku di negara-negara seperti Vietnam, Thailand, Kemboja dan Indonesia.
Kini dunia dikejutkan pula oleh satu lagi wabak penyakit yang sangat dikhuatiri iaitu wabak selesema babi atau wabak influenza A (H1N1).
Selesema babi adalah sejenis penyakit yang menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya babi disebabkan oleh virus Influenza jenis A. Pada kebiasaannya wabak haiwan ini tidak menjangkiti manusia, tetapi satu jangkitan luar biasa melibatkan penyebaran penyakit ini daripada manusia kepada manusia telah disahkan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Selesema babi pada manusia boleh menjejaskan semua peringkat umur. Tanda-tanda penyakit ini adalah serupa dengan demam selesema biasa seperti demam panas, sakit tekak, batuk selesema dan sakit pernafasan. Penyakit selesema terbaharu ini dikatakan lebih mudharat berbanding selesema sebelumnya kerana ia menggabungkan virus burung, manusia dan babi dan setakat ini tidak terdapat vaksin bagi selesema ini.
Menurut laporan, setakat ini berpuluh buah negara yang terjejas dilanda wabak selesema babi ini antaranya Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas, New York (Amerika Syarikat), Sepanyol, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Israel.
Negara Brunei Darussalam sehingga kini Alhamdulillâh tidak dijangkiti oleh wabak-wabak tersebut, namun sentiasa berusaha menangani wabak ini daripada dijangkiti. Langkah-langkah pencegahan dan menghindarinya giat dijalankan oleh pihak-pihak berkenaan. Bukan sahaja dari sudut penjagaan kesihatan dan alam sekitar, bahkan juga dengan mengadakan sembahyang hajat di masjid-masjid dan membaca do‘a khusus bagi memohon perlindungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ supaya kita terhindar daripada dilanda wabak-wabak tersebut.
Persoalan yang ingin ditimbulkan dalam memperkatakan wabak yang melanda dunia kini ialah: Apakah pandangan Islam mengenai wabak dan bagaimanakah Islam mengajar umatnya cara menghadapi sesuatu wabak?
Pengertian Wabak
Wabak berasal daripada perkataan Arab iaitu waba’, yang bermaksud penyakit yang merebak (berjangkit).
Sebahagian ulama mengatakan bahawa wabak itu adalah penyakit taun.
Penyakit taun menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah kudis yang keluar dari jasad sama ada di siku, ketiak, tangan, jari atau seluruh badan. Ia disertai dengan bengkak-bengkak dan kesakitan yang amat sangat. Ia keluar disertai dengan radang dan sekelilingnya menghitam, menghijau atau memerah keungu-unguan dan menyebabkan jantung berdebar-debar dan muntah-muntah.
Menurut sebahagian ulama lagi bahawa setiap penyakit taun itu adalah wabak dan bukan setiap wabak itu penyakit taun.
Berdasarkan pendapat-pendapat ini, dapatlah diambil pengertian bahawa wabak itu terdiri daripda bermacam-macam jenis penyakit yang merebak mengikut peredaran waktu dan zaman. Apa jua jenis penyakit berbahaya dan menular ia diikategorikan sebagai wabak. Pendapat yang mengatakan bahawa wabak itu adalah penyakit taun, berkemungkinan wabak yang melanda mereka pada zaman atau ketika itu adalah penyakit taun.
Hikmat Ditimpakan Wabak
Wabak yang ditimpakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hamabaNya di muka bumi ini mempunyai hikmat dan tujuan di sebaliknya. Hikmat wabak taun yang melanda manusia adalah berupa azab dan hukuman dan pada saat yang sama ia juga merupakan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas mereka, bergantung ke atas siapa wabak itu diturunkan.
1. Wabak sebagai azab dan hukuman.
Disebutkan di dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa wabak taun yang telah diturunkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ merupakan azab atau hukuman ke atas orang-orang kafir dan orang-orang Islam yang melakukan maksiat sebagaimana yang berlaku kepada umat-umat terdahulu.
2. Wabak sebagai rahmat dan syahâdah.
Manakala bagi orang-orang yang beriman, wabak merupakan rahmat dan shahâdah (ganjaran mati syahîd) daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada mereka.
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika Baginda ditanya oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ mengenai penyakit taun:
Maksudnya: Ia (penyakit taun) adalah azab yang diturunkan Allah ke atas sesiapa yang dikehendakiNya. Allah menjadikannya (penyakit taun) rahmat bagi orang-orang yang beriman. Tidak seorang pun daripada hamba yang berada di negeri sedang ada di dalamnya (penyakit taun) - dan dia tetap tinggal di negeri itu tanpa keluar darinya dalam keadaan sabar dan mengharap pahala daripada Allah dan dia tahu bahawa dia tidak akan menghidapinya (penyakit taun) kecuali apa yang Allah telah tulis baginya -melainkan baginya pahala seperti orang syahîd. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut kitab Fath al-Bâri, maksud hadits “ke atas sesiapa yang dikehendakiNya” ialah orang kafir atau orang yang berbuat maksiat. Apabila wabak taun itu melanda orang kafir, ia adalah azab dan hukuman yang disegerakan ke atas mereka di dunia sebelum di akhirat.
Adapun jika wabak taun itu melanda orang Islam yang berbuat maksiat, maka ia adalah sebagai hukuman ke atas mereka disebabkan maksiat dan perbuatan dosa-dosa besar yang mereka lakukan. Ini termasuklah juga mereka yang tidak melakukan maksiat itu, kerana mereka tidak mengingkari atau melarang orang yang berbuat maksiat. Inilah antara rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam iaitu menyegerakan hukuman di dunia.
Bagaimana Menghadapi Wabak Menurut Ajaran Islam?
Islam telah mengajar umatnya supaya melakukan beberapa perkara untuk diambil tindakan dan peringatan apabila mereka dilanda wabak. Perkara-perkara yang diajarkan oleh Islam sebagai garis panduan untuk kita orang-orang Islam dalam menghadapi wabak ialah:
1. Membaca qunut Nazilah.
Umat Islam disunatkan untuk membaca qunut Nazilah di dalam sembahyang lima waktu apabila berlaku perkara yang ditakuti dan memudharatkan umat Islam seperti kemarau, diserang belalang, hujan yang merosakkan bangunan atau tanaman, takut kepada musuh seperti orang alim atau pahlawan yang dipenjara oleh musuh, dizalimi oleh orang-orang kafir dan termasuklah juga membaca qunut Nazilah supaya dihindarkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada wabak.
2. Dilarang masuk ke negara yang dilanda wabak.
Umat Islam dilarang daripada memasuki atau mendatangi kawasan yang dilanda wabak penyakit itu. Dalam hal ini Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Maka sesiapa yang mengetahui berlakunya wabak di suatu tempat janganlah sekali-kali dia datang ke sana. (Hadits riwayat Muslim)
Hikmat Larangan
Hadits di atas melarang daripada masuk ke kawasan yang dilanda wabak taun, ini kerana jika seseorang itu masuk ke kawasan tersebut nescaya dia mencampakkan atau mendedahkan dirinya ke dalam kebinasaan, sedangkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang yang sedemikian itu. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu senghaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Hikmat larangan ini juga ialah supaya umat Islam mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi wabak daripada berlaku ke atas mereka terhadap perkara yang tidak diingini itu, sebagaimana yang diperintahkan dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh). (Surah an-Nisâ’: 71)
3. Dilarang keluar dari negara yang dilanda wabak.
Orang yang berada di kawasan atau di tempat menularnya wabak demikian hendaklah tidak meninggalkan tempat itu semata-mata untuk melarikan diri.
Larangan ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang berada di tempat berlakunya wabak taun itu, maka janganlah dia keluar untuk lari daripada wabak itu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh di dalam kitabnya az-Zawâjir menyatakan bahawa tindakan keluar dari negeri yang dilanda wabak taun semata-mata untuk melarikan diri daripada wabak taun tersebut agar tidak dijangkiti merupakan satu dosa besar.
Allah telah mengazab kaum Bani Israel kerana mereka melarikan diri supaya selamat daripada kematian akibat dijangkiti wabak taun.
Al-Imam al-Qurthubi Rahimahullâh menceritakan dalam kitab tafsirnya bahawa suatu kaum daripada Bani Israel dilanda wabak taun di sebuah kampung yang dikatakan terdiri daripada penduduk Dawardan.
Mereka yang dikatakan seramai 4,000 orang melarikan diri dari kampung itu lalu mereka berkata: “Kita datang ke tempat yang tidak ada kematian padanya.” Sehinggalah mereka sampai ke sebuah lembah, lalu Allah mematikan mereka sebelum sampai ajal mereka sebagai hukuman ke atas mereka.
Apabila seorang Nabi (dikatakan namanya Syam‘un) melintas di kawasan itu, lalu Baginda berdo‘a agar mereka dihidupkan semula, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menghidupkan mereka untuk menjadi tauladan dan pengajaran kepada mereka dan orang-orang sesudah mereka bahawa kematian itu di tangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bukannya di tangan sesiapa selainNya. Dikatakan mereka mati selama lapan hari dan dikatakan juga tujuh hari.
Kaum Bani Israel inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Tidakkah engkau mengetahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halaman mereka kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu.” Kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. (Surah al-Baqarah: 243)
Kematian yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ timpakan kepada mereka itu adalah kematian dalam bentuk ‘uqûbah (hukuman) dan kematian dalam bentuk hukuman ini disusuli dengan kehidupan selepasnya. Ia berbeza dengan kematian disebabkan datangnya ajal, ia tidak disusuli dengan kehidupan selepasnya.
Kematian tersebut adalah untuk meperlihatkan dan memberi pengajaran kepada mereka dan umat selepas mereka bahawa kuasa mematikan itu adalah kuasa mutlak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bukan pada kuasa selainnya.
Hikmat Larangan
Hikmat larangan ini adalah kerana jika seseorang itu melarikan diri daripada wabak taun itu nescaya dia melarikan diri daripada qadha dan qadar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia juga serupa dengan orang yang melarikan diri daripada peperangan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Orang yang lari daripada (wabak) taun seperti orang yang lari daripada peperangan dan orang yang sabar padanya (taun) seperti orang yang sabar dalam peperangan. (Hadits riwayat Ahmad)
Larangan ini juga bertujuan adalah untuk mengukuhkan sifat tawakkal dan penyerahan diri kepada kekuasaan Allah dalam mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada manusia kerana suatu penyakit itu tidak akan berjangkit kecuali dengan izin Allah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiada penyakit yang berjangkit (dengan sendirinya melainkan dengan izin Allah), tidak ada ramalan hal-hal buruk. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Tersebut dalam kitab Hâsyiah al-Bujairimi mengenai wabak taun bahawa haram masuk ke kawasan yang dilanda wabak taun dan haram keluar melarikan diri daripadanya tanpa sebarang hajat.
Oleh itu, adalah wajar dikuarantin orang-orang yang menghidap penyakit tersebut apabila mereka memasuki sesebuah negara yang tidak dilanda wabak itu. Ini untuk mengelakkan mereka daripada menjangkiti orang lain, sebagaimana langkah-langkah yang telah diusahakan oleh mana-mana Kementerian Kesihatan.
4. Boleh keluar untuk sesuatu urusan.
Adapun keluar bukan disebabkan melarikan diri ataupun keluar disebabkan hajat keperluan maka tidaklah dilarang.
5. Sabar dan tawakkal.
Apabila seseorang itu diserang wabak penyakit, hendaklah dia bersabar iaitu tidak merasa cemas dan gelisah bahkan hendaklah dia berserah kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta redha dengan qadhaNya.
Bagi orang yang terkena wabak kemudian dia redha dan sabar dengan apa yang timpakan kepadanya lalu meninggal dunia, dia akan mendapat ganjaran syahîd.
Dalam hadits ada menyatakan bahawa orang yang mati disebabkan penyakit taun adalah mati syahîd, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ketika seorang lelaki berjalan di sebatang jalan lalu dia mendapati di jalan itu dahan kayu yang berduri maka dijauhkannya (dahan itu dari jalan), lalu Allah bersyukur kepadanya dan mengampunkan lelaki itu”, dan Baginda bersabda: “Syahîd itu ada lima: “Orang yang mati kerana menghidap penyakit taun, orang yang mati kerana menghidap penyakit perut, orang yang mati lemas, orang yang mati keruntuhan dan syahîd di jalan Allah ‘Azza wa Jalla.” (Hadits riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: Taun itu adalah syahâdah (syahîd) bagi setiap Muslim. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menjelaskan bahawa setiap orang Islam yang mati disebabkan taun adalah mati syahîd. Ini termasuklah juga orang Islam yang melakukan maksiat akan tetapi tahap syahîdnya tidaklah sempurna atau tidak sama dengan tahap syahîd orang yang beriman.
6. Tutup segala bejana dan tempat minum.
Sunat menutup bejana atau tempat menyimpan air, sebagaimana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruh supaya menutup bejana atau tempat menyimpan air supaya tidak dicemari oleh wabak. Diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kamu tutuplah bejana dan kamu ikatlah tempat air minum, kerana sesungguhnya dalam setahun ada suatu malam turunnya wabak. Tidak melewati (wabak itu) bejana yang tidak ada penutup atau tempat air yang tidak ada pengikat melainkan hinggap padanya wabak itu. (Hadits riwayat Muslim)
Apa yang diajarkan Islam dalam menghadapi wabak taun hendaklah dijadikan i‘tibâr dan pedoman kepada umat Islam hari ini. Kita hendaklah menghadapi apa jua jenis wabak penyakit yang melanda kita, seperti wabak influenza babi yang berlaku mutakhir ini, dengan mengambil kira aspek aqidah yang lurus sebagai garis sempadan kita bertindak. Apa jua tindakan yang kita ambil, janganlah lari daripada keyakinan kepada qadha dan qadar Allah yang menuntut kita bertawakkal di samping berusaha menghindarkan diri daripada dijangkiti oleh wabak itu
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7136
