Sembahyang Jumaat Bagi Perempuan: Wajibkah Lagi Melakukan Sembahyang Zuhur?
Sembahyang Jumaat ialah sembahyang dua rakaat dalam waktu Zuhur pada hari Jumaat dan didahulukan dengan dua khutbah. Sembahyang Jumaat adalah fardhu ‘ain ke atas orang lelaki yang mukallaf, berakal lagi merdeka, sihat dan tidak di dalam pelayaran.
Menurut kitab Tuhfah al-Muhtâj, Mughnî al-Muhtâj dan Hâsyiah Qalyubi sembahyang Jumaat difardhukan di Makkah al-Mukarramah sebelum Hijrah. Walau bagaimanapun, ia tidak dilaksanakan kerana agama Islam masih belum tersebar luas dan bilangan umat Islam pula tidak mencukupi dan sedikit. Orang yang pertama mendirikan sembahyang Jumaat di Madinah al-Munawwarah sebelum Hijrah ialah As‘ad bin Zararah iaitu dengan izin Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/329, Mughnî al-Muhtâj: 1/414, Hâsyiah Qalyubi: 1/310)
Sembahyang Jumaat pertama dalam Islam yang ditunaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah di Madinah al-Munawwarah. Peristiwa itu berlaku selepas Hijrah. (Fadhâ’il al-Jumu‘ah, Dr.Muhammad Zahir Asadullah, hlm: 73)
Dalil Pensyariatan Sembahyang Jumaat
Hukum sembahyang Jumaat ialah fardhu ‘ain apabila cukup syarat-syarat wajib dan syarat-syarat sah sembahyang Jumaat itu. Dalil yang menjelaskan kefardhuannya ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada ketika itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan tentang kewajipan sembahyang Jumaat ituِ dalam banyak hadis-hadis Baginda. Antaranya ialah:
Maksudnya: “Daripada Hafsah Radhiallahu ‘anha iaitu isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pergi (bersembahyang) Jumaat itu wajib ke atas setiap orang yang bermimpi (bâligh).” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Dalam hadis Baginda yang lain:
Maksudnya: “Daripada Thariq bin Syihab, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap orang Islam dengan cara berjemaah kecuali empat: Hamba yang dimiliki atau perempuan atau kanak-kanak atau orang sakit.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Kedudukan Perempuan Bersembahyang Jumaat
Berkata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dalam kitab al-Umm:
Ertinya: “Tidak (wajib) ke atas orang yang belum bâligh, orang perempuan dan hamba menunaikan sembahyang Jumaat.” (Al-Umm: 1/218)
Menurut kitab al-Minhâj karangan Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa syara‘ telah menentukan wajib fardhu ‘ain sembahyang Jumaat itu ke atas setiap orang Islam yang mukallaf, merdeka, lelaki, orang yang muqîm, yang tidak sakit dan seumpamanya. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/263) Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah ketika menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa tidak wajib Jumaat ke atas orang yang tidak mukallaf, perempuan, khuntsâ, orang musafir dan orang sakit sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Thariq bin Syihab, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap orang Islam dengan cara berjemaah kecuali empat: Hamba yang dimiliki atau perempuan atau kanak-kanak atau orang sakit.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Hadis di atas diriwayatkan juga oleh ad-Daraqutni dalam kitabnya as-Sunan, al- Baihaqi dalam kitabnya al-Kabîr dan al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak. Imam an-Nawawi Rahimahullah menshahîhkan hadis di atas dalam kitab al-Majmû‘ kerana bertepatan dengan syarat Imam al-Bukhari dan Muslim. Begitu juga al- Hafiz dalam kitab at-Talkhîsh menyatakan hadis di atas dishahîhkan oleh ramai orang. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/263 dalam nota kaki)
Wajibkah Bersembahyang Zuhur Setelah Menunaikan Jumaat?
Apabila seorang perempuan bersembahyang Jumaat, sah sembahyangnya itu dan memadai sebagai ganti kepada sembahyang Zuhur. Perkara ini disebutkan oleh kebanyakan ulama Syafi‘iyyah seperti Imam an-Nawawi, Ibnu Hajar al-Haitami, Abu Ishaq asy-Syirazi, Syeikh al-Qalyubi dan Syeikh ‘Umairah Rahimahumullah ajma‘în dan lain-lain.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam al-Minhâj:
Ertinya: “orang yang sah menunaikan sembahyang Zuhur maka sah sembahyang Jumaatnya.” (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/264)
Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullah iaitu “orang yang sah menunaikan sembahyang Zuhur” bermaksud orang yang tidak wajib ke atasnya sembahyang Jumaat seperti perempuan, maka sah Jumaatnya jika dia menunaikan sembahyang Jumaat itu. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/330)
Menurut Syeikh ar-Ramli Rahimahullah yang masyhur dengan gelaran as-Syafi‘e ash-Shaghîr (Syafi‘e Kecil) yang meninggal pada tahun 1004 Hijrah ketika mengulas perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullah di atas iaitu perkataan “sah sembahyang Jumaatnya” bermaksud memadailah sembahyang Jumaat itu (sebagai ganti sembahyang Zuhur). (Nihâyah al-Muhtâj: 2/288)
Asy-Syeikh Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullah mengatakan:
Ertinya: “Dan orang yang tidak wajib Jumaat atasnya mempunyai pilihan antara melakukan sembahyang Zuhur dan sembahyang Jumaat. Maka jika dia telah melakukan sembahyang Jumaat memadailah apa yang dia lakukannya (sembahyang Jumaat) itu daripada sembahyang Zuhur.” (Al-Muhadzdzab: 1/360)
Imam an-Nawawi Rahimahullah pula menjelaskan perkataan asy-Syeikh Abu Ishaq asy-Syirazi Rahimahullah di atas bahawa orang-orang yang diberi kelonggaran (ma‘dzûr) seperti hamba, perempuan, orang yang musafir dan seumpamanya adalah wajib ke atas mereka menunaikan sembahyang Zuhur. Jika ditunaikan sembahyang Zuhur tersebut adalah dihukumkan sah. Manakala jika ditinggalkan sembahyang Zuhur itu dan mereka menunaikan sembahyang Jumaat memadailah bagi mereka menurut ijmâ‘ ulama. (Al-Majmû‘: 4/415)
Menurut Syeikh Qalyubi Rahimahullah pula, orang yang tidak wajib ke atasnya sembahyang Jumaat ialah kanak-kanak, hamba, perempuan dan orang yang musafir. Adalah sah sembahyang Jumaat itu jika dilakukannya dan memadailah sembahyang Jumaat itu sebagai ganti sembahyang Zuhur. (Hâsyiatan: Qalyubi wa ‘Umairah: 1/310-311)
Mufti Hadhramaut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn berkata: “Harus bagi sesiapa yang tidak wajib mengerjakan Jumaat seperti hamba, orang yang musafir dan perempuan sembahyang fardhu Jumaat ganti sembahyang fardhu Zuhur dan Jumaat itu memadailah sebagai ganti fardhu Zuhur… Begitulah sebagaimana fatwa daripada Ibnu Hajar….” (Bughyah al-Mustarsyidîn: 78-79)
Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Awang Haji Ismail bin Umar Abd Aziz ketika menjadi Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam telah memfatwakan mengenai kedudukan perempuan yang telah menunaikan sembahyang Jumaat, adakah perlu lagi bersembahyang Zuhur? Beliau menjawab: “Boleh dan harus bagi perempuan sembahyang Jumaat di masjid dan sah Jumaat perempuan itu dan memadailah Jumaatnya jadi ganti sembahyang Zuhurnya yakni tiada wajib dan tiada sah bagi perempuan sembahyang Zuhur setelah ia sembahyang Jumaat itu… bagaimana yang disebutkan oleh Mufti Hadhramaut di dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidîn.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 20/78)
Jawatankuasa Tetap Penyelidikan Ilmiyah dan Fatwa yang berpusat di Riyadh yang diketuai oleh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz memfatwakan kedudukan seorang perempuan yang mendirikan sembahyang Jumaat, adakah gugur tuntutan sembahyang Zuhur ke atasnya? Jawatankuasa itu menjawab: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang Jumaat dengan berjemaah Jumaat, memadailah Jumaat itu daripada sembahyang Zuhur dan tidak harus baginya bersembahyang Zuhur lagi pada hari itu.” (Fatâwâ al-Lujnah ad-Dâ’imah li al- Buhûts al-Ilmiyyah wa al-Fatwâ: 7/337)
Berdasarkan perkataan ulama-ulama asy-Syafi‘iyyah dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan di atas, maka bagi perempuan yang menunaikan sembahyang Jumaat itu tidak wajib ke atasnya menunaikan sembahyang Zuhur kerana gugurnya tuntutan Jumaat ke atas mereka itu adalah sebagai takhfîf (keringanan). Memadailah sembahyang Jumaat itu sebagai ganti daripada sembahyang Zuhur. Bahkan tidak sah mengerjakan sembahyang Zuhur setelah dia menunaikan sembahyang Jumaat.
Adakah Dituntut Perempuan Bersembahyang Jumaat?
Sembahyang Jumaat tidak wajib ke atas perempuan berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walau bagaimanapun perempuan tidak dilarang untuk menunaikan sembahyang tersebut. Menurut kebanyakan ulama, apabila seorang perempuan menunaikan sembahyang Jumaat maka dia tidak wajib melakukan sembahyang Zuhur pada hari tersebut. Persoalannya adakah afdhal dan dituntut seorang perempuan itu keluar ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat atau dia duduk di rumah mengerjakan sembahyang Zuhur?
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah (Tuhfah al-Muhtâj: 1/275) bahawa perempuan lebih afdhal berjemaah di rumah sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Janganlah kamu tegah perempuan-perempuan kamu pergi ke masjid sedangkan di rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam perkara perempuan keluar ke masjid menunaikan sembahyang Jumaat menurut kitab al-Majmû‘, perempuan-perempuan sama ada muda atau tua yang boleh merangsang nafsu adalah makruh pergi ke masjid kecuali sebaliknya. (Al- Majmû‘: 4/415). Dengan perkataan yang lain menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah adalah makruh bagi perempuan berjemaah ke masjid jika perempuan itu boleh merangsang nafsu sekalipun dengan hanya mamakai pakaian harian (pakaian yang tidak cantik) atau perempuan itu tidak merangsang nafsu tetapi dia berhias-hias atau berharum-harum. Lebih-lebih lagi haram hukumnya jika ditakuti akan berlaku fitnah ke atasnya. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/275)
Manakala menurut al-Bandaniji pula adalah dituntut (mustahabb) bagi perempuan tua pergi ke masjid menunaikan sembahyang Jumaat sebagaimana katanya:
Ertinya: “Adalah disunatkan (mustahabb) bagi perempaun tua hadir menunaikan sembahyang Jumaat (ke masjid) dan makruh bagi perempuan muda hadir pada semua sembahyang yang berhimpun (bercampur) dengan lelaki kecuali pada sembahyang Hari Raya.” (Al-Majmû‘: 4/405)
Kesimpulan
Perempuan adalah termasuk di dalam orang-orang yang diberikan takhfîf (keringanan) untuk tidak menunaikan sembahyang Jumaat berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan penjelasan para ulama mengenainya. Walau bagaimanapun, perempuan tidak dihalang untuk menunaikannya dan bagi perempuan yang menunaikan sembahyang Jumaat maka tidaklah wajib atasnya menunaikan sembahyang fardhu Zuhur pada hari tersebut dan memadailah sembahyang Jumaat itu sebagai ganti sembahyang Zuhur.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7202
