Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Pelarangan Rokok Dan Merokok: Menolak Kemudharatan Sejagat

Islam memperakui bahawa kesihatan itu adalah nikmat yang mesti dipelihara. Menurut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kesihatan merupakan salah satu rukun asasi bagi kebahagiaan di dunia ini, sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Sesiapa di kalangan kamu memasuki waktu pagi dalam keadaan aman pada jiwanya, sihat tubuh badannya, mempunyai (cukup) makanan hariannya, maka seolah-olah dia memiliki dunia ini.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Oleh sebab itu, Islam menegah umatnya melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan.

Sebagai langkah untuk menghindari daripada berlakunya perkara yang tidak baik kepada kesihatan, Islam telah lebih awal menunjukkan apa yang perlu dibuat untuk memastikannya sentiasa dalam keadaan baik, iaitu dengan menghindari daripada melakukan apa-apa jua yang boleh memudharatkan akal dan tubuh badan. Antara amalan buruk yang melanda dunia hari ini ialah tabiat merokok. Bahaya dan mudharat yang disebabkan oleh rokok telah diakui oleh pakar-pakar kesihatan. Jika demikian, apakah pandangan Islam terhadap sesuatu yang memudharatkan seperti menghisap rokok ini? Inilah persoalan yang hendak kita huraikan dalam perbincangan ini.

Bahaya Rokok

Rokok tidak syak lagi mempunyai kaitan dengan soal kesihatan. Kegelisahan dan kekhuatiran warga dunia mengenai rokok dibangkitkan oleh ancamannya kepada kesihatan semua orang. Ancaman rokok itu bukan saja terbatas kepada perokok itu sendiri, iaitu perokok aktif, tetapi juga menular kepada orang yang tidak merokok yang terhidu asap rokok, atau lebih dikenali sebagai perokok pasif.

Seluruh kajian yang dijalankan oleh para pakar perubatan, sama ada pakar Islam atau bukan Islam mengenai rokok, menemui natijah yang sama iaitu rokok membahayakan kesihatan.

Menurut kajian, telah ditemui bahawa rokok mengandungi 4,000 unsur kimia, antaranya ialah racun yang boleh membunuh dan lain-lain yang boleh mendatangkan penyakit barah.

Menurut satu kenyataan seorang pakar lagi, bahawa bahan yang menyebabkan terjadinya kanser daripada rokok ialah hydrogen cyanide (racun yang digunakan dalam bilik gas), toluidine, ammonia (pembersih lantai), urethane, toluene (bahan pelarut), arsenic (racun anai-anai), nickel, phenol (pembersih kuman dan jangkitan), butane (cecair pemetik api), polonium 201, d.d.t. (racun serangga), acetone (pelekang cat), tar (minyak tar jalan), naphthalene (ubat gegat), cadmium (yang digunakan dalam bateri kereta), carbon manoxide (gas beracun dari ekzos kereta), benzopyrene dan vinye chloride (bahan untuk membuat pvc). Setiap hisapan yang dilakukan oleh perokok, sebenarnya dia bernafas dalam 4,000 bahan kimia yang dinyatakan seperti di atas. Semua kenyataan di atas sudah cukup untuk membuktikan akan bahaya rokok kepada kesihatan.

Bahaya Rokok Kepada Wanita

Khusus bagi wanita, jika kebiasaan merokok itu merupakan kebiasaan yang tidak baik di kalangan kaum lelaki, maka ia lebih tidak elok lagi jika menjadi kebiasaan kepada kaum wanita, kerana rokok boleh merosakkan kecantikan, mengubah warna gigi, menyebabkan bau mulut tidak sedap dan lain-lain. Padahal semua itu merupakan perkara penting bagi kaum wanita itu sendiri.

Bagi wanita hamil atau yang menyusukan anak, menurut kajian para doktor perubatan, ibu yang kuat merokok ketika mengandung boleh membawa bahaya kepada anak dalam kandungan. Merokok boleh menyebabkan kelahiran kanak-kanak kurang berat badan, kurang ketinggian dan kecerdikannya serta lebih mendedahkannya kepada penyakit dan kematian.

Selain itu, menurut statistik yang dibuat, peratus keguguran di kalangan wanita-wanita hamil yang merokok mencapai 22.5% berbanding 7.4% di kalangan yang tidak merokok. Peratus kematian kanak-kanak yang lahir daripada ibu-ibu yang merokok meningkat kepada 10% berbanding kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang tidak merokok.

Pandangan Para Ulama

Isu rokok tidak wujud di zaman Rasululllah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dengan itu tidak ditemui dalil khusus yang memperuntukkan masalah rokok. Apabila timbul isu rokok, para ulama telah membincangkan dan membuat penyelidikan untuk penetapan hukum syara‘ mengenainya. Disebabkan ketiadaan dalil khusus yang memperuntukkan dalam hukum merokok, para ulama mempunyai pandangan yang berbeza-beza. Sebahagian ulama menghukumkannya harus, sebahagian yang lain menghukumkannya makruh dan ada juga yang menghukumkannya haram.

Walau bagaimanapun, para ulama pada masa ini lebih cenderung untuk mengharamkan rokok. Alasan yang mereka kemukakan untuk menjadi sandaran pengharaman merokok, di samping dalil-dalil syara‘ yang bersifat umum, ialah penemuan-penemuan terbaru hasil kajian yang dibuat para pakar perubatan yang mungkin sebelum ini tidak ditemui atau tidak diketahui, di mana rokok tidak syak lagi mendatangkan kemudharatan kepada perokok, sama ada yang aktif atau yang pasif, sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Dalil-Dalil Syara‘ Tentang Pengharaman Rokok

Terdapat beberapa jumlah dalil syara‘ yang dikemukakan untuk menyokong ketetapan hukum pengharaman merokok, antaranya:

1. Diharamkan Segala Benda Yang Menjijikkan

Dari segi kaedah pemakanan, al-Qur’an telah menyediakan dasar sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk).” (Surah al-A‘râf: 157)

Menurut ulama tafsir, perkataan al-khabâ’its (benda yang jijik, keji dan buruk) yang tersebut di dalam ayat di atas ialah apa jua perkara yang menjijikkan dan tidak disukai oleh tabiat suci atau pembawaan normal manusia, seperti bangkai dan darah yang mengalir, ataupun sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan, seperti babi yang boleh memberi kesan buruk kepada orang yang memakannya atau daripada sumber-sumber yang memudharatkan. (Tafsîr al-Munîr: 9/117)

Menurut al-Imam ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala, setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat semula jadi dan dianggap kotor oleh jiwa, memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu pula adalah haram. Oleh yang demikian, asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan. (Tafsîr al-Kabîr: 15/21-22)

Jika setiap yang memudharatkan kerana memakannya itu haram, maka tidak diragukan lagi merokok juga tentulah haram, kerana ia telah terbukti memudharatkan.

2. Haram Memakan Atau Meminum Setiap Yang Memudharatkan

Terdapat satu kaedah yang menyeluruh dan telah diakui dalam syariat Islam, iaitu setiap Muslim tidak dibolehkan memakan atau meminum sesuatu yang boleh membunuh, sama ada lambat atau cepat, misalnya segala jenis racun, atau sesuatu yang membahayakan termasuk juga makan dan minum yang terlalu banyak yang menyebabkan sakit. Sebab seorang Muslim itu bukanlah milik dirinya sendiri, tetapi adalah milik Allah. Hidupnya, kesihatannya, hartanya dan seluruh nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya adalah sebagai amanah. Oleh kerana itu dia tidak boleh mengabaikan amanah itu.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang dengan tegas dan sekeras-kerasnya daripada menghampiri apa-apa yang memudharatkan, bahkan menyuruh membanterasnya, apatah lagi yang menjadi pemusnah kepada jiwa. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (Surah an-Nisâ’: 29)

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Janganlah kamu mencampakkan diri-diri kamu kepada kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tidak boleh mencipta bahaya dan membalas dengan bahaya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Berdasarkan kaedah ini, selama rokok itu membahayakan, maka menghisapnya adalah terlarang.

3. Larangan Membelanjakan Harta Kepada Perkara Yang Tidak Bermanfaat

Islam cukup mengambil berat tentang penjagaan harta. Membuang harta pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat adalah dilarang dan dianggap suatu pembaziran yang sangat ditegah oleh syara‘. Apakah membelanjakan harta untuk membeli rokok itu tidak termasuk dalam kategori seperti ini?

Merokok memang mengundang bahaya pembuangan harta tanpa faedah. Orang yang sudah ketagihan rokok biasanya tidak dapat membendung keinginannya untuk mendapatkan rokok, walaupun harga rokok itu mahal dan perbelanjaan membeli rokok itu sama harganya dengan jumlah wang yang diperlukan oleh seisi keluarganya.

Imam Ibnu Hazm Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitabnya al-Muhalla menjelaskan maksud pemborosan, antaranya:

i. Membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan.

iii. Membuang-buang wang, walaupun kecil jumlahnya, kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.

Larangan pembaziran itu jelas diperuntukkan dalam al-Qur’an, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. ” (Surah al-Isrâ’: 26-27) Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.” (Surah al-An‘âm: 141)

Apabila rokok disifatkan sebagai bahan yang mendatangkan mudharat, maka ia boleh dianggap sebagai bahan yang tidak bermanfaat. Oleh itu, tidak syak lagi membelanjakan harta untuk membeli rokok adalah termasuk sebagai perlakuan membuang-buang harta atau pembaziran yang ditegah oleh syara‘.

Fatwa-Fatwa Pengharaman Rokok

Terdapat beberapa jumlah fatwa telah dikeluarkan mengenai rokok, antaranya:

1. Tersebut di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn, tembakau (rokok) sudah dimaklumi sebagai benda halal yang paling buruk, di mana ia boleh mengkhayalkan dan menyebabkan berlakunya pembaziran harta, dan ia bukanlah menjadi pilihan makanan, hisapan atau sedutan oleh mereka yang bermaruah. Telah difatwakan mengenai pengharamannya oleh para ulama tasawwuf seperti al-Qutub Sayyidina Abdullah al-Haddad, al-‘Allamah Ahmad al-Hadwan, sebagaimana yang disebut oleh Ahmad bin Umar bin Sumaith tentang pendapat mereka berdua dan ulama lain yang sependapat dengan mereka. Bahkan al-Habib al-Imam al-Husain bin asy-Syeikh Abu Bakar bin Salim dengan panjang lebar membuat amaran keras mengenai tembakau. Beliau (al-Habib) mengatakan: “Aku khuatir orang yang tidak bertaubat daripada merokok sebelum matinya, dia akan mati dalam keadaan sû’ al-khâtimah (mati yang berkesudahan buruk).

2. As-Sayyid al-‘Allamah Umar al-Bashri Rahimahullahu Ta‘ala dalam fatwanya berkata: “Kaedah-kaedah yang dipakai oleh para ulama kita ketika menyatakan haramnya sesuatu makanan dalam bab al-Ath‘imah ialah makanan yang boleh membawa kepada mabuk atau memudharatkan akal atau tubuh badan, maka memakan benda yang memabukkan adalah haram, kerana ia memabukkan, dan memakan makanan yang memudharatkan akal juga haram, kerana mudharatnya itu. Begitu juga jikalau seseorang membuat pengakuan bahawa dia tidak menemui apa-apa manfaat dalam makanan itu dari semua segi, maka elok makanan berkenaan diharamkan ke atasnya, kerana yang demikian itu berlaku pembaziran harta. Pembaziran harta tidaklah ada bezanya di antara membuangnya ke laut atau membakarnya dan sebagainya yang dikira sebagai membuang-buang harta itu. Manakala yang lainnya adalah halal, kerana yang muktamad, bahawa asal sesuatu benda itu halal, apalagi bagi orang yang menjadikannya sebagai ubat.”

“Apa yang disebutkan di atas, begitulah juga hukum yang berlaku kepada tembakau (rokok). Salah satu sifatnya ialah baunya yang busuk. Maka pendapat yang râjih (kuat), hukumnya adalah haram kerana kotornya…”

3. Al-Imam al-Akbar Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar, Mesir menyebutkan di dalam fatwanya: “Walaupun menghisap tembakau itu tidak memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun ia mempunyai berbagai kesan yang membahayakan kepada kesihatan perokok itu sendiri dan juga kepada orang lain yang tidak merokok.”

“Para doktor telah menganalisa kandungan komponen-komponen tembakau dan mereka menemui adanya bahan racun di dalam kandungan tembakau itu, di mana racun ini boleh membunuh (melenyapkan) kebahagiaan dan kegembiraan seseorang walaupun secara perlahan.”

“Jika demikian halnya, tidak diragukan lagi bahawa menghisap tembakau adalah suatu yang menyakiti dan memudharatkan. Dalam pandangan Islam, sesuatu yang menyakiti dan memudharatkan itu adalah keji yang mesti dijauhi.”

“Di samping itu, apabila kita tinjau wang yang dibelanjakan untuk tembakau, kita mendapati bahawa perokok lebih memerlukan wang berkenaan, atau dia sepatutnya menggunakannya kepada perkara lain yang lebih baik dan berfaedah. Dalam pandangan Islam, menghabiskan wang dengan cara yang sedemikian itu adalah dilarang dan tidak harus.”

Nasihat Kepada Perokok

Setiap perokok perlulah mempunyai niat yang bulat dan tekad yang kuat untuk meninggalkan secara total tabiat buruk merokok. Kalau tidak berdaya meninggalkannya dengan segera, maka tindakan secara beransur-ansur atau setapak demi setapak sangatlah bermanfaat.

Orang yang kemahuannya lemah, hendaklah sedaya mungkin mengurangkan sikap merokok setiap hari. Jangan memuji-muji rokok, jangan membeli rokok dan jangan menggalakkan orang lain merokok dengan menghidang atau menawarkan rokok kepadanya. Di samping itu jangan sekali-kali lupa untuk mengadu dan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya diberi kekuatan dapat melepaskan diri daripada belenggu rokok. Rahmat Allah tetap berpihak kepada sesiapa yang ingin menuju kepada kebaikan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A‘râf: 56)

Oleh itu, di samping usaha secara fizikal yang datang daripada perokok itu sendiri, perlu juga diiringi dengan memohon pertolongan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Kesimpulan

Merokok telah dibuktikan mendatangkan bahaya yang besar dan melenyapkan harta tanpa apa-apa manfaat kepada manusia. Mengikut pandangan syara‘, sesuatu yang memudharatkan dan begitu juga perbuatan membazirkan harta untuk perkara yang tidak bermanfaat adalah berdosa dan dilarang.

Selain itu, budaya merokok bukanlah simbol kemegahan yang boleh menaikkan imej, sebaliknya ia merupakan budaya yang menjatuhkan martabat dan maruah

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7210