Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Qadha: Wajibkah Mendahulukannya Daripada Sembahyang Tunai?

Sembahyang fardhu yang ditinggalkan wajib diqadha sama ada disebabkan lupa, tidur, meninggalkannya dengan sengaja atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam.

Adapun kanak-kanak yang meninggalkan sembahyang fardhu ketika zaman kanak-kanaknya, tidak wajib dia mengqadha sembahyangnya itu apabila dia sudah bâligh, kerana tidak ada taklîf (tuntutan mematuhi hukum-hukum Islam) ke atasnya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tiga orang yang dosanya tidak dicatat (tidak ada taklîf): Orang yang tidur sehinggalah dia bangun, kanak-kanak sehinggalah dia besar (bâligh) dan orang gila sehinggalah dia berakal atau sedar.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)

Walau bagaimanapun sunat bagi kanak-kanak tersebut apabila sudah bâligh mengqadha sembahyang yang ditinggalkannya ketika zaman mumayyiznya, akan tetapi ketika sebelum zaman mumayyiznya tidaklah dikira jika diqadhanya.

Demikian juga halnya bagi orang gila, mabuk atau pitam yang bukan disengajakan, walaupun gila, mabuk atau pitamnya itu hanya seketika dan ia tidak terjadi ketika murtad. Apabila dia kembali normal seperti sedia kala (sembuh), maka tidak wajib diqadha sembahyangnya, tetapi sunat sahaja diqadha. Manakala jika gila, pitam atau mabuk yang disengajakan, atau ia terjadi ketika murtad walaupun gila, pitam atau mabuknya itu tidak disengajakan, maka wajib dia mengqadha sembahyangnya itu.

Sementara perempuan yang haidh atau nifas tidaklah diwajibkan dia mengqadha sembahyang yang ditinggalkan ketika haidh atau nifas itu. Menurut kitab Tuhfah al-Muhtâj (karangan al-Imam Ibnu Hajar ulama mazhab Syafi‘e), haram perempuan haidh atau nifas mengqadha sembahyang yang ditinggalkannya ketika haidh atau nifas itu.

Orang kafir yang baru memeluk agama Islam, tidak diwajibkan qadha sembahyang yang luput semasa kafirnya. Malahan tidak disunatkan baginya untuk mengqadha, bahkan juga tidak memadai sembahyang yang diqadhanya itu. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (daripada kekufuran mereka), nescaya akan diampunkan (dosa) mereka yang telah lalu.” (Surah al-Anfâl: 38)

Kewajipan mengqadha sembahyang fardhu ini, sunat disegerakan jika ia ditinggalkan kerana uzur seperti tidur yang bukan disengajakan atau lupa. Adapun jika sembahyang itu ditinggalkan dengan sengaja atau tanpa uzur, maka wajib disegerakan qadhanya itu.

Menjaga Tertib Sembahyang-Sembahyang Qadha

Sembahyang-sembahyang fardhu yang diqadha, sunat dikerjakan dengan mengikut tertib sembahyang, umpamanya mengqadha Subuh sebelum qadha Zuhur, kemudian mengqadha Zuhur sebelum qadha Asar dan begitulah seterusnya.

Jika sembahyang-sembahyang qadha itu sebahagiannya ditinggalkan kerana suatu keuzuran dan sebahagiannya lagi bukan disebabkan suatu keuzuran, maka wajib didahulukan qadha sembahyang yang ditinggalkan bukan disebabkan suatu keuzuran itu, walaupun menyalahi tertib sembahyang. Ini kerana mengikut tertib sembahyang itu adalah sunat, sedangkan menyegerakan sembahyang qadha yang ditinggalkan dengan sengaja atau tanpa keuzuran itu adalah wajib. Ini disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: “Wajib mendahulukan sembahyang yang luput tanpa keuzuran daripada sembahyang yang luput disebabkan suatu keuzuran walaupun tidak mengikut tertib, kerana (tertib) itu sunat dan menyegerakan (qadha sembahyang yang ditinggalkan tanpa keuzuran) itu adalah wajib.”

Umpamanya seseorang meninggalkan sembahyang Zuhur dan Asar kerana suatu keuzuran dan dia meninggalkan juga sembahyang Maghrib dan Isya’ bukan disebabkan suatu keuzuran, maka wajib didahulukan sembahyang qadha Maghrib dan Isya’ daripada sembahyang qadha Zuhur dan Asar.

Mendahulukan Sembahyang Qadha Daripada Sembahyang Hâdhir

Sunat mendahului sembahyang qadha yang ditinggalkan kerana suatu keuzuran daripada sembahyang hâdhir (sembahyang tunai yang akan dikerjakan) jika tidak ditakuti akan luput waktunya. Sekalipun takut luput sembahyang berjemaah, sunat juga didahulukan sembahyang qadha yang ditinggalkan dengan sebab keuzuran daripada sembahyang hâdhir. Ini kerana menolak perselisihan pendapat yang mengatakan wajib tertib dan juga kerana mengikut sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (ittibâ‘), yang mana Baginda ketika perang Khandaq pernah luput sembahyang Asar, lalu Baginda menunaikannya selepas terbenam matahari kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib.

Adapun jika ditakuti luput waktu sembahyang hâdhir (sembahyang tunai yang akan dikerjakan) itu, seperti melakukan sebahagian perbuatan sembahyang di dalam waktunya dan sebahagiannya lagi ataupun kurang daripada sebahagian perbuatan sembahyang di luar waktunya, maka wajib didahulukan sembahyang hâdhir tersebut.

Sebagai contoh, seseorang yang hendak mengerjakan qadha sembahyang Zuhur di dalam waktu Asar. Namun waktu Asar ketika itu hanya tinggal sedikit dan dia menjangkakan jika dikerjakannya sembahyang Asar, hanya sebahagian rakaat sembahyang Asar sahaja di dalam waktunya dan sebahagiannya atau kurang daripadanya lagi di luar waktu Asar. Oleh itu wajiblah didahulukannya sembahyang Asar tersebut. Ini kerana haram mengeluarkan (melakukan) sebahagian perbuatan sembahyang daripada waktunya, sedangkan mampu ditunaikan keseluruhan perbuatan sembahyang dalam waktunya itu.

Sementara sembahyang qadha yang ditinggalkan bukan kerana keuzuran, adalah wajib didahulukan daripada sembahyang hâdhir (sembahyang tunai yang akan dikerjakan) jika waktunya masih luas.

Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang hâdhir, kemudian dia teringat ada sembahyang qadha yang belum dikerjakan, maka jangan dihentikan sembahyang hâdhirnya itu. Adapun jika dia sedang mengerjakan sembahyang qadha dalam waktu sembahyang hâdhir yang disangkakannya masih panjang waktu sembahyang hâdhir tersebut, padahal sebenarnya tidak luas waktunya, maka wajiblah dihentikannya sembahyang qadha itu bagi menunaikan sembahyang hâdhir.

Kesimpulan

Sembahyang fardhu lima waktu tetap wajib ditunaikan dan tidak ada satu alasan pun yang boleh mengharuskan untuk meninggalkannya, melainkan bagi orang-orang yang dikecualikan oleh syara‘, seperti perempuan yang haidh dan nifas.

Meninggalkan sembahyang fardhu adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Ancaman dan balasan bagi orang-orang yang meninggalkan sembahyang amatlah dahsyat sekali. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “(Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”

(Surah al-Mâ‘ûn: 4-5) FirmanNya lagi:

Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7214