Puasa Dan Pelayaran
الجواب
Salah satu sebab yang diiktiraf oleh syara‘ yang mengharuskan seseorang itu berbuka puasa ialah pelayaran. Bagi orang musafir diharuskan baginya berbuka puasa, kemudian mengqadhanya pada hari-hari yang lain, sesuai dengan firman Allah:
Tafsirnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah: 185) Syarat-syarat Berbuka
Keringanan berbuka puasa bagi orang yang dalam pelayaran itu mestilah memenuhi beberapa syarat:
i. Hendaklah jarak perjalanan atau pelayarannya itu (tidak termasuk jarak balik dari pelayaran) tidak kurang dari dua marhalah iaitu 89 kilometer atau 56 batu.
Jika perjalanan atau pelayaran itu kurang daripada 89 kilometer atau 56 batu, tidak ada keringanan untuk tidak berpuasa.
ii. Hendaklah pelayarannya itu bagi tujuan yang diharuskan oleh syara‘, bukan pelayaran yang melibatkan perkara maksiat.
iii. Hendaklah pelayarannya itu bermula dan melewati sempadan atau perbatasan kampung tempat tinggalnya sebelum terbit fajar shâdiq (sebelum masuk waktu subuh).
Jika dia melewati sempadan atau perbatasan kampung tempat tinggalnya itu selepas terbitnya fajar shâdiq maka dia tetap dikehendaki untuk mengerjakan puasa dan tidak ada keringanan untuknya berbuka puasa kecuali ada sesuatu kemudharatan jika dia meneruskan puasanya. Maka dalam hal ini, diharuskan baginya berbuka puasa kerana kemudharatan yang dihadapinya, bukannya kerana keharusan berbuka puasa disebabkan oleh pelayaran.
iv. Hendaklah berniat ketika berbuka bahawa dia berbuka kerana syara‘ mengharuskannya berbuka puasa.
Tempoh Yang Diharuskan Tidak Berpuasa Bagi Orang Musafir
Orang yang membuat pelayaran adalah diharuskan baginya untuk tidak berpuasa selama mana dia belum sampai ke destinasi yang ditujunya atau selama mana dia tidak singgah di suatu tempat melebihi tiga hari penuh, tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat belayar.
Apabila dia sampai ke tempat destinasinya, maka keringanan untuk tidak berpuasa tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:
i. Jika dia berniat tinggal di tempat destinasinya itu tidak melebihi tiga hari penuh (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat keluar belayar), maka dia masih diberi keringanan untuk tidak berpuasa selama tempoh tersebut.
ii. Jika dia berniat untuk tinggal di destinasinya itu melebihi tiga hari iaitu empat hari atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat keluar belayar), maka pelayarannya dikira tamat sebaik saja dia sampai ke tempat destinasinya itu. Dengan itu tidak diharuskan lagi baginya untuk tidak berpuasa setibanya di destinasinya itu, kerana dia tidak lagi dianggap dalam pelayaran.
iii. Jika dia berniat untuk meninggalkan tempat yang ditujunya itu sebaik saja selesai urusan dan tercapai hajat yang ditunggu-tunggunya pada setiap hari, tetapi urusannya itu masih tidak selesai, maka diharuskan baginya tidak berpuasa selama tempoh maksima lapan belas hari (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat keluar belayar).
Waktu Berbuka Puasa Ketika Berada Di Udara (Dalam Kapal Terbang)
Penetapan waktu berbuka bagi orang yang dalam pelayaran adalah mengikut tempat di mana dia sedang berada, sama ada di muka bumi atau di udara (dalam kapal terbang).
Mengikut prinsip syara‘, orang yang berpuasa tidak boleh berbuka melainkan setelah terbenam matahari dan datangnya malam. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib).” (Surah al-Baqarah: 187)
Di dalam satu riwayat, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika dalam pelayaran bersama-sama sahabat di bulan Ramadhan, apabila matahari terbenam Baginda meminta Bilal menyediakan makanan. Selesai Bilal menyediakannya, lalu Baginda minum. Kemudian Baginda bersabda sambil menunjuk dengan tangannya:
Maksudnya: “Apabila matahari telah terbenam di sana, dan malam telah datang di sini, maka orang berpuasa sudah boleh berbuka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apa yang diketahui, berdasarkan bulatan bumi, matahari akan hilang dari bumi terlebih dahulu sebelum hilangnya daripada penglihatan para penumpang kapal terbang di udara.
Maka orang musafir yang berpuasa ketika berada di udara (dalam kapal terbang) tidak boleh baginya berbuka puasa selagi matahari masih ternampak olehnya.
Oleh yang demikian, apa yang diambil kira bagi orang musafir yang sedang berpuasa ketika berada di udara ialah terbenamnya matahari daripada penglihatannya, dan bukan dikira dengan waktu tempatan yang dilaluinya atau waktu negerinya di mana dia bertolak. (Ahsan al-Kalâm fi al-Fatâwâ wa al- Ahkâm: 3/51)
Untuk lebih yakin matahari telah terbenam sewaktu dalam penerbangan, mintalah maklumat mengenainya daripada anak kapal.
Mana Yang Lebih Afdhal Bagi Orang Musafir, Berpuasa Atau Berbuka?
Menurut pandangan Imam asy-Syafi‘e dan sahabat-sahabatnya Rahimahumullahu Ta‘ala ajma‘în, bahawa orang musafir yang berpuasa boleh membuat pilihan sama ada berpuasa atau berbuka.
Persoalannya, mana yang lebih utama di antara berpuasa atau tidak berpuasa?
Dalam hal ini, seseorang itu boleh membuat penilaian sendiri dari aspek, adakah dengan berpuasa ketika dalam pelayaran memudharatkan dirinya atau tidak. Oleh itu, jika berpuasa boleh mendatangkan mudharat atau masyaqqah (kesusahan) ke atas dirinya, maka berbuka adalah lebih utama. Sebaliknya, jika berpuasa tidak mendatangkan mudharat atau kesusahan ke atas dirinya, maka berpuasa adalah lebih utama.
Perbezaan Permulaan Hari Puasa Dan Hari Raya Antara Sesebuah Negeri
Bagi orang yang melakukan pelayaran dari sebuah negeri ke sebuah negeri lain yang mempunyai perbezaan mathla‘ (tempat terbit anak bulan), apabila dia sampai di negeri yang ditujunya itu, beberapa perkara perlu diberi perhatian:
i. Jika penduduk negeri itu berpuasa, hendaklah dia mengikut berpuasa atau sekadar menahan diri.
ii. Jika penduduk negeri itu belum berpuasa (kerana anak bulan Ramadhan tidak sabit dilihat) hendaklah dia mengikut tidak berpuasa.
iii. Jika penduduk negeri itu berhari raya hendaklah dia mengikut sama berhari raya (tidak berpuasa).
Untuk lebih jelas, diterangkan contoh-contoh kedudukan permasalahan di atas, seperti berikut:
i. Sekiranya seseorang membuat pelayaran dari Brunei pada 30 Sya‘ban dalam keadaan tidak berpuasa (disebabkan anak bulan Ramadhan tidak sabit kelihatan di Brunei) menuju ke Singapura dan sampai pada hari yang sama, lalu dia dapati penduduknya sudah mulai berpuasa (disebabkan anak bulan Ramadhan sabit kelihatan), maka dalam hal ini wajib ke atasnya menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa pada hari itu.
Jika dia masih berada di situ (di Singapura) sehingga Hari Raya, maka hendaklah diqadha hari tersebut.
Manakala jika dia balik ke Brunei sebelum Hari Raya dan dia berpuasa cukup bilangan sepertimana bilangan puasa penduduk di Brunei, maka tidaklah dikenakan qadha.
ii. Jika seorang membuat pelayaran dari Brunei pada 1hb Ramadhan di mana anak bulan Ramadhan telah kelihatan pada 29hb Sya‘ban, menuju ke Singapura dan sampai pada hari yang sama, lalu dia dapati penduduknya belum lagi berpuasa disebabkan anak bulan Ramadhan tidak kelihatan pada 29hb Sya‘ban, maka dalam hal ini ada dua pendapat yang boleh dipilih:
a. Imam ar-Ramli Rahimahullahu Ta‘ala mengatakan, hendaklah dia berbuka sebagaimana keadaan penduduk di mana dia berada, dan tidak dikenakan qadha satu hari yang dia berbuka itu, jika dia berpuasa bersama mereka sebanyak 29 hari.
b. Imam Ibnu Hajar Rahimahullahu Ta‘ala mengatakan, tidak boleh baginya berbuka, kerana puasanya itu berdasarkan penglihatan anak bulan dengan yakin, maka tidak harus dia menyalahinya hanya dengan semata-mata sampai ke suatu tempat lain yang mana anak bulan tidak kelihatan. Oleh itu dia hendaklah meneruskan puasanya itu.
iii. Seseorang membuat pelayaran dari Brunei menuju ke Singapura pada 30 Ramadhan, sampai di sana pada waktu malamnya dan mendapati penduduknya baru selesai berpuasa dua puluh sembilan hari dan akan berpuasa lagi keesokan harinya untuk menggenapkan bilangan tiga puluh hari (disebabkan anak bulan Syawal tidak sabit kelihatan). Dalam hal ini, menurut pendapat yang ashah (yang lebih shahîh) hendaklah dia juga ikut berpuasa bersama penduduk negeri itu, kerana dengan kedatangannya ke negeri tersebut menjadikan dia sebahagian daripada penduduk negeri itu.
iv. Sekiranya seseorang membuat pelayaran dari Brunei pada 1 Syawal (Hari Raya pertama) menuju ke Singapura dan apabila sampai di sana, dia dapati penduduknya masih berpuasa, maka dalam hal ini hendaklah dia menahan diri, kerana mengikut penduduk tempatan berpuasa, sungguhpun dia sudah berpuasa tiga puluh hari.
Perlu diingat, bahawa adalah wajib dia mengqadha hari tersebut sekalipun dia telah berpuasa di Brunei sebanyak 30 hari, kerana dengan berada di negeri tersebut dia telah menjadi salah seorang daripada penduduk negeri tersebut.
v. Sekiranya seseorang membuat pelayaran dari Brunei pada 29 atau 30 Ramadhan, menuju ke Singapura dan apabila sampai dia dapati penduduknya sudah mula berhari raya (1 Syawal), maka dalam hal ini hendaklah dia ikut sama berbuka dan berhari raya.
Dalam pada itu, sekiranya bilangan puasanya hanya 28 hari sahaja, maka wajiblah diqadha satu hari yang dia berbuka itu bagi mencukupkan bilangan 29 hari.
Sekiranya dia sudah berpuasa sebanyak 29 hari, maka tidaklah perlu diqadha satu hari yang dia berbuka itu.
vi. Jika seseorang belayar pada 29 atau 30 Ramadhan, dan dia dapati penduduk negeri yang ditujunya itu sudah berhari raya (1 Syawal), kemudian balik semula pada hari yang sama sebelum sempat berbuka dan berhari raya bersama penduduk negeri yang ditujunya itu, maka dalam hal ini sebagaimana menurut pendapat yang dicenderungi (al-muttajah), dia masih lagi dianggap berpuasa. (Fath al-‘Allâm 4/16-18)
Penutup
Keringanan berbuka puasa atau tidak berpuasa di bulan Ramadhan bagi orang yang membuat pelayaran adalah satu nikmat dan rahmat yang besar yang patut disyukuri. Ia juga merupakan salah satu tanda yang menunjukkan bahawa Islam itu adalah agama yang tidak membebankan penganutnya dan sentiasa menghindarkan kesukaran atau kesulitan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah al-Baqarah: 185)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7234
دليل الألوان
