Bersederhana Dalam Berbelanja Ketika Menyambut Hari Raya
Sikap bersederhana di dalam semua perkara dan tindakan seperti ketika berbelanja adalah dituntut di dalam Islam, kerana menurut pandangan Islam, perkara yang berada di luar kesederhanaan dikatakan sebagai, sama ada melampaui batas yakni berlebih-lebihan, ataupun mengurangi batas yang sepatutnya yakni bakhil atau kikir.
Perkara ini dapat diambil petunjuk daripada firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan mereka (yang diredai oleh Allah itu ialah) mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak melampaui batas dan tidak bakhil kedekut; dan perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil itu).” (Surah al-Furqân: 67)
Dari aspek membelanjakan harta, ukuran sederhana mengikut pandangan syara‘, hendaklah perbelanjaan itu berada di antara dua batas, iaitu tidak melampaui batas atau tidak boros dan tidak pula kurang daripada batas yang sepatutnya atau tidak bakhil.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, sikap bersederhana dalam berbelanja tidak terkecuali daripada menjadi tuntutan agama. Walaupun pada Hari Raya disunatkan memakai pakaian yang sebagus-bagusnya kerana ia merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok, akan tetapi ini tidak bermakna dibolehkan berlaku perkara yang berlebih-lebihan yang melewati batasan yang dibenarkan syara‘.
Oleh itu, bersederhana di dalam menyambut Hari Raya itu tentulah bermaksud tidak berlaku pembaziran di dalamnya dan tidak pula berlaku kekurangan daripada yang sepatutnya (bakhil atau kedekut), bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan masing-masing, sama ada dari aspek keperluan makan minum, pakaian, hiasan dan sebagainya.
Hukum Membazir Atau Boros
Menurut pengertian dari segi istilah syara‘, membazir itu bermaksud melampaui had atau batas yang digariskan oleh syara‘.
Menurut sesetengah ulama pula, melampaui batas itu ialah melakukan sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan atau melakukan sesuatu perkara yang melebihi daripada apa yang sepatutnya dilakukan.
Perbuatan membazir adalah jelas dilarang, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan makanlah dan minumlah kamu dan janganlah kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A‘râf: 31)
Oleh itu, dalam menyambut Hari Raya, apa sahaja perkara yang tidak sepatutnya dilakukan atau apa sahaja perkara yang dilakukan melebihi daripada apa yang sepatutnya, maka itulah yang dikatakan perbuatan melampaui batas dan membazir yang dilarang oleh syara‘.
Hubungan Perbuatan Membazir Atau Berlebih-lebihan Dengan Sifat Bermegah-megah
Sama ada disedari atau tidak, perbuatan membazir atau berlebih-lebihan berkait rapat dengan sifat bermegah-megah. Membazir atau berlebih-lebihan boleh membuka pintu kepada sifat bermegah-megah. Manakala sifat bermegah-megah pula akan membuka pintu sifat-sifat yang dikeji dalam Islam, seperti riak, sombong dan sebagainya.
Dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Makanlah kamu, minumlah kamu, bersedekahlah kamu dan pakailah (pakaian) kamu, asalkan tanpa bermegah-megah dan tanpa melampau-lampau (membazir). Sesungguhnya Allah suka diperlihatkan nikmat-nikmatNya ke atas hambaNya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, an-Nasa’i dan Ahmad)
Melalui hadis ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggandingkan perbuatan bermegah-megah dengan perbuatan berlebih-lebihan (membazir). Ini memberi isyarat bahawa bermegah-megah dan berlebih-lebihan itu mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain.
Hukum Bakhil Atau Kedekut
Jika sikap berlebih-lebihan atau membazir adalah dilarang, maka sikap bakhil atau kedekut juga adalah dilarang di dalam Islam. Ini kerana sikap bakhil itu terkeluar daripada konsep bersederhana sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu.
Allah Subahanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahanNya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak.” (Surah Âli ‘Imrân: 180)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7238
