Isrâr Dan Jahar Dalam Sembahyang
الجواب
Bacaan dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu isrâr dan jahar. Jika membaca dengan bacaan isrâr ataupun jahar pada tempatnya kita akan mendapat pahala sunat dengan bacaan isrâr atau jahar tersebut selain daripada pahala bacaan-bacaan yang ditentukan di dalam sembahyang. Akan tetapi, mungkin ada yang tidak tahu tempat-tempat yang disunatkan membaca dengan isrâr ataupun jahar itu.
Pengertian Isrâr dan Jahar
Menurut kitab Mausû‘ah al-Fiqhiyyah, isrâr dalam istilah bermaksud antara lain ialah:
1. Suara perlahan yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang baik tanpa didengar oleh orang lain, dan sekurang-kurang isrâr ialah bunyi yang keluar daripada pergerakan lidah. Inilah maksud isrâr yang sering digunakan oleh ahli fuqahâ’ di dalam bacaan-bacaan sembahyang dan zikir.
2. Suara perlahan yang dapat didengar oleh orang yang berada di samping atau di sisinya seperti suara orang berbisik, dan tidak dapat didengar oleh orang lain selain orang yang di samping atau di sisinya itu.
Manakala jahar dalam istilah pula ialah suara nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain. Atau jahar juga membawa makna mengeraskan suara atau meninggikannya.
Batasan Isrâr dan Jahar
Sekurang-kurang isrâr ialah suara yang hanya dapat didengar oleh diri sendiri mengikut pendengaran yang biasa tanpa halangan untuk mendengar seperti tuli, dan sekurang-kurang jahar itu ialah suara yang hanya dapat didengar oleh orang yang bersamanya. Bacaan pertengahan di antara jahar dan isrâr itu pula ialah bacaan yang nyaring sedikit daripada bacaan yang hanya didengar olehnya sendiri dan tidak sampai suara bacaan itu kepada orang lain.
Sebab Disyariatkan Isrâr dan Jahar
Pada permulaan Islam, semasa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan ibadat di Makkah dengan cara bersembunyi-sembunyi, Baginda dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyaringkan bacaan sembahyangnya kerana mengelakkan gangguan kaum musyrikin. Baginda juga dilarang membaca dengan perlahan kerana yang demikian itu tidak dapat didengar oleh sahabat-sahabat Baginda yang turut sembahyang berjemaah. Lalu diperintahkan membaca dengan suara yang sederhana.
Dalam kitab Fath al-‘Allâm, diterangkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca al-Qur’an dengan jahar dalam semua sembahyang sedangkan pada masa itu orang-orang musyrikin menghina Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka Allah turunkanlah ayat ini:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan do‘a atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu. (Surah al-Isrâ’: 110)
Maksud ayat di atas ialah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya tidak menjaharkan semua bacaan dan tidak pula mengisrârkan semuanya, akan tetapi hendaklah ambil bacaan pertengahan iaitu jahar pada sebahagian dan isrâr pada sebahagian yang lain.
Selepas turun ayat di atas itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dengan isrâr dalam sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar untuk menghindar daripada gangguan pada waktu itu, dan membaca dengan jahar dalam sembahyang Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh kerana orang musyrikin sedang makan pada waktu itu dan seterusnya tidur, dan membaca dengan jahar dalam sembahyang Jumaat dan sunat dua Hari Raya kerana sembahyang itu didirikan di Madinah di mana orang musyrikin tidak ada kuasa atau kekuatan di tempat itu.
Hukum ini masih kekal dilaksanakan sehingga sekarang, walaupun sebab pensyariatan ini sudah lenyap atau penghinaan orang musyrikin terhadap orang Islam sudah tiada lagi kerana larangan mengapa ia disyariatkan tidak semestinya berterusan.
Bacaan jahar itu pula dikhususkan pada dua rakaat awal sembahyang Maghrib dan ‘Isya’ adalah supaya akan dapat menimbulkan semangat bagi orang yang bersembahyang dalam rakaat tersebut.
Pengertian Jahriyyah dan Sirriyyah Dalam Sembahyang Fardhu
Sembahyang jahriyyah ialah sembahyang yang bacaannya jahar bagi imam pada sembahyang Subuh dan sembahyang Jumaat. Begitu juga pada dua rakaat awal dalam sembahyang Maghrib dan sembahyang ‘Isya’.
Sembahyang sirriyyah pula ialah sembahyang yang bacaannya isrâr bagi imam pada sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar, pada rakaat ketiga sembahyang Maghrib dan rakaat ketiga dan keempat sembahyang ‘Isya’.
Adapun bacaan jahar dan isrâr bagi munfarid (orang yang sembahyang sendiri) adalah sama dengan bacaan imam kerana bacaan munfarid adalah seperti bacaan imam menurut jumhûr ulama.
Manakala bagi makmum, sunat membaca dengan isrâr bahkan disuruh mendengar bacaan imam supaya tidak mengganggu dengan bacaan jaharnya itu akan bacaan imam, dan makruh bagi makmum itu membaca dengan jahar sama ada bacaan imam dapat didengarnya ataupun tidak. Perkara ini telah dijelaskan dalam hadits ‘Imran bin Husain Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang Zhuhur, kemudian ada seorang lelaki yang membaca “ ا علووى” (surah al-A‘lâ) di belakang Baginda. Ketika Baginda telah selesai bersembahyang, Baginda bertanya: “Siapakah di antara kamu yang membaca itu?” Seorang lelaki menjawab: “Saya”. Bagindapun bersabda: “Sudah kuduga, bahawa sebahagian daripada kamu menyaingi aku membacanya.” (Hadits riwayat Muslim)
Isrâr dan Jahar dalam Sembahyang Nawâfil
Tidak ada khilâf di antara ulama bahawa sunat menjaharkan bacaan pada sembahyang-sembahyang sunat Hari Raya, Istisqa’, Tarawih, gerhana bulan dan thawaf pada waktu malam atau subuh. Adapun sembahyang nawâfil mutlak di siang hari adalah sunat mengisrârkan bacaannya, manakala sembahyang nawâfil malam adalah sunat menjaharkan bacaan padanya.
Akan tetapi hendaklah dibaca dengan bacaan pertengahan di antara jahar dan isrâr pada sembahyang nawâfil di waktu malam jika tidak mengganggu orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur. Jika perbuatannya itu boleh mengganggu maka sunat membacanya dengan isrâr.
Dalam perkara ini telah berkata Qadhi Husain: “Hendaklah membaca dengan bacaan pertengahan di antara isrâr dan jahar.”
Begitu juga sembahyang sunat rawâtib sebelum dan selepas sembahyang fardhu adalah disunatkan membaca dengan isrâr mengikut kesepakatan ulama Syafi‘iyyah.
Isrâr dan Jahar dalam Sembahyang Masbûq
Adapun orang yang bersembahyang masbûq sunat menjaharkan bacaan pada rakaat kedua yang tertinggal setelah imam selesai mengucapkan salam sepertimana bacaan dalam sembahyang jahriyyah. Perkara ini telah dikatakan oleh Qadhi Abu Thayib dalam kitab al-Umm: “Selesaikanlah satu rakaat sembahyang itu oleh kamu sendiri dengan bacaan yang jahar, kerana hukum sembahyang jahar bagi munfarid adalah seperti hukum sembahyang jahar bagi imam dalam rakaat kedua dan tidak dibantah oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala.”
Begitu juga bagi orang yang sembahyang masbûq dalam sembahyang Jumaat sunat menjaharkan bacaan pada rakaat yang kedua.
Isrâr dan Jahar dalam Sembahyang Qadha
Tidak ada khilâf bahawa mengqadha sembahyang malam yang luput, pada waktu malam hendaklah dibaca dengan jahar, begitu juga sebaliknya mengqadha sembahyang siang yang luput, pada waktu siang hendaklah dibaca dengan isrâr.
Akan tetapi, jika sembahyang siang yang luput diqadha pada waktu malam ataupun sebaliknya, sembahyang malam yang luput diqadha pada waktu siang, maka mengikut pendapat yang ashah hendaklah mengikut waktu masa mengqadha itu sama ada dalam waktu isrâr (malam) ataupun di dalam waktu jahar (siang).
Sebagai contoh, jika sembahyang yang luput itu sembahyang jahriyyah seperti sembahyang Maghrib dan diqadha di waktu isrâr (siang) hendaklah dibaca dengan isrâr begitu juga sebaliknya jika sembahyang yang luput itu sembahyang sirriyyah seperti sembahyang ‘Ashar pada waktu jahar (malam) maka hendaklah dibaca dengan jahar kerana bacaan isrâr dan jahar dalam sembahyang qadha adalah mengikut waktu bila mengqadha sembahyang itu, bukannya mengikut bacaan sembahyang itu di dalam waktunya.
Untuk lebih jelas, jika dikerjakan di waktu jahar (malam) hendaklah bacaan sembahyang qadha itu dijaharkan begitu juga sebaliknya dikerjakan di waktu isrâr (siang) hendaklah diisrârkan bacaan sembahyang qadha itu.
Masa bacaan jahar ialah daripada terbenam matahari hingga terbit matahari, dan begitulah sebaliknya dibaca dengan isrâr dari terbit matahari hingga terbenam matahari. Dikecualikan Sembahyang Hari Raya kerana dibolehkan menjaharkan bacaan semasa mengqadha sembahyang itu sepertimana bacaan jahar di dalam waktunya.
Bacaan Jahar Pada Tempat Isrâr dan Sebaliknya
Mengikut Imam an-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmû‘, sekiranya berlaku bacaan jahar di tempat bacaan isrâr atau sebaliknya bacaan isrâr di tempat bacaan jahar dengan sebab terlupa ataupun tidak tahu, maka perbuatan tersebut tidak membatalkan sembahyang dan tidak pula diganti dengan sujud Sahwi. Akan tetapi perbuatan tersebut hukumnya makruh.
Begitu juga sembahyang Jumaat jika perlahan bacaan padanya maka hukumnya adalah makruh tanpa mengulang sembahyang itu dan tidak diganti dengan sujud Sahwi.
Isrâr Dan Jahar Bagi Perempuan Dan Khuntsâ (Pondan)
Mengikut pendapat kebanyakan ulama Syafi‘iyyah bahawa perempuan boleh menjaharkan bacaannya dalam sembahyang jahriyyah jika perempuan itu sembahyang berseorangan di tempat itu, ataupun dengan kehadiran perempuan lain atau lelaki mahramnya sama ada sembahyang berjemaah dengan perempuan lain ataupun bersendirian, akan tetapi jika ada lelaki asing (bukan mahramnya) di tempat sembahyang itu, maka hendaklah perempuan itu mengisrârkan bacaannya.
Manakala bacaan jahar bagi perempuan itu hendaklah perlahan sedikit daripada bacaan jahar bagi lelaki. Perkara itu telah dinyatakan oleh al-Bandaniji bahawa hendaklah bacaan jahar bagi perempuan itu lebih ringan atau perlahan daripada bacaan jahar bagi lelaki.
Walau bagaimanapun, tidaklah membatalkan sembahyang jika perempuan itu menjaharkan bacaannya dalam sembahyang jahriyyah dengan kehadiran lelaki asing di tempat itu, kerana mengikut pendapat yang ashah suara perempuan itu bukanlah aurat.
Adapun khuntsâ (pondan) hukumnya adalah sama seperti perempuan iaitu hendaklah mengisrârkan bacaan sembahyang dengan kehadiran perempuan bersama lelaki asing dan membaca dengan jahar jika sembahyang berseorangan atau bersama mahramnya.
Isrâr Dan Jahar Dalam Bacaan Sembahyang
1. Takbîratul-ihrâm
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala berkata di dalam kitabnya al-Umm: “Aku suka imam menjaharkan bacaan takbîratul-ihrâm dengan bacaan takbîr yang jelas dan tidak memanjangkan bacaan takbîrnya, begitu juga makmum menjaharkan takbîrnya dengan bacaan jahar yang dapat didengar olehnya dan orang yang di sebelahnya dan jika kedua-dua mereka tidak mendengar akan bacaan takbîr maka tidaklah memadai. Begitulah juga kepada perempuan adalah sama seperti lelaki, akan tetapi perempuan tidak boleh melebihi bacaan yang didengar oleh dirinya. Walau bagaimanapun jika salah seorang daripada mereka menjadi imam bolehlah menjaharkan bacaan takbîr untuk diperdengarkan kepada jemaah perempuan yang lain dan hendaklah jemaah perempuan membaca takbîr dengan bacaan isrâr di belakang imam.
Sunat juga bagi imam menjaharkan takbîratu-ihrâm dan takbîr-takbîr intiqâlât (perpindahan) sehingga dapat didengar oleh makmum supaya mereka dapat tahu akan keshahîhan sembahyang imam dan disyaratkan hendaklah dengan niat zikir.
Adapun bagi makmum dan munfarid adalah sunat mengangkat takbîr dengan bacaan isrâr dan sekurang-kurang bacaan isrâr itu dapat didengar oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang baik dan tidak ada halangan untuk mendengar seperti bising.
Sekiranya masjid itu besar dan tidak sampai suara takbîr imam kepada semua jemaah, ataupun kerana suara imam terlalu perlahan kerana sakit atau kerana keaslian suaranya, maka hendaklah mu’adzdzin (orang yang melaungkan azan) atau bilal dan makmum yang lain menjaharkan takbîr mengikut bacaan jahar yang dikehendaki untuk diperdengarkan kepada makmum atau jemaah yang lain.
Perkara ini telah disebut dalam riwayat oleh Abu Zubair Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang bersama kami sedang Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu berada di belakang Baginda, apabila Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertakbîr, Abu Bakar pun bertakbîr untuk memperdengarkan kepada kami. (Hadits riwayat Muslim)
Begitu juga sunat mengangkat dan menjaharkan bacaan takbîr-takbîr sunat di dalam sembahyang sunat ‘Idul fitri dan ‘Idul Adha untuk menjadi ikutan kepada makmum, seperti takbîr-takbîr intiqâlât dalam sembahyang.
Manakala dalam sembahyang jenazah para fuqahâ’ telah sepakat bahawa sunat menjaharkan bacaan takbîr dan salam bagi imam dan muballigh (bilal).
2. Do‘a Iftitâh
Sunat selepas takbîratul-ihrâm membaca do‘a iftitâh dalam sembahyang fardhu dan nawâfil bagi imam, makmum dan munfarid jika ada masa untuk membacanya, dan yakin bahawa dengan membacanya sempat membaca surah al-Fâtihah, dan sunat membacanya dengan isrâr sama ada dalam sembahyang jahriyyah ataupun sirriyyah seperti bacaan zikir-zikir sunat yang lain, dan sunat bagi makmum menpercepatkan bacaan do‘a iftitâh jika mendengar imam memulakan bacaan surah al-Fâtihah.
3. Ta‘awwudz
Adapun ta‘awwudz mengikut Imam an-Nawawi adalah tidak disunatkan membacanya dengan jahar dalam sembahyang secara mutlak walaupun dalam sembahyang jahriyyah sama ada bagi imam, makmum atau munfarid.
Akan tetapi sunat membacanya dengan isrâr dalam setiap rakaat sebelum membaca surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya sama ada dalam sembahyang jahriyyah ataupun sirriyyah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Oleh itu, apabila engkau membaca al-Qur’an, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam. (Surah an-Nahl: 98)
4. Basmalah
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya al-Umm berkata: “Hendaklah dijaharkan bacaan basmalah ( بسووم هللاالورنن الورميم ) semasa sembahyang sebelum membaca Umm al-Qur’ân (al-Fâtihah) dan sebelum membaca surah selepas al-Fâtihah”.
Mengikut Imam an-Nawawi adalah wajib mendahulukan surah al-Fâtihah dengan basmalah, kerana basmalah itu adalah satu ayat daripada al-Qur’an dan dibaca selepas membaca ta‘awwudz dan sunat menjaharkan bacaan basmalah sepertimana bacaan surah al-Fâtihah, sebagaimana riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memulakan sembahyang Baginda dengan membaca basmalah ( (Sunan at-Tirmidzi)
Riwayat daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha pula:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dalam sembahyang بسوم هللا الورنن الورميم dan Baginda mengirakannya (bismillah itu) satu ayat, dan mengira ال وو dua ayat (ayat kedua), dan ْي kumpulkan sebagai ayat kelima daripada jari-jarinya (sambungannya). (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Membaca basmalah dengan jahar semasa sembahyang jahriyyah adalah perkataan kebanyakan ulama daripada sahabat dan tâbi‘în dan generasi selepas mereka daripada ahli fuqahâ’ dan ahli qurrâ’. Di antara sahabat-sahabat yang berkata demikian ialah Abu Bakar ash-Shiddiq, ‘Umar al-Khaththab, Utsman bin ‘Affan, ‘Ali bin Abu Thalib, ‘Amar bin Yasir, Ubai bin Ka‘ab, Ibnu ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum.
Oleh yang demikian, sunat menjaharkan bacaan basmalah dalam sembahyang jahriyyah sepertimana membaca surah al-Fâtihah dan surah-surah yang lain selepasnya.
5. Surah Al-Fatihah Dan Surah Selepasnya
Sunat bagi imam membaca dengan jahar surah al-Fâtihah dan surah selepasnya pada dua rakaat awal sembahyang Maghrib, ‘Isya’, Subuh, Jumaat, sembahyang sunat Dua Hari Raya, sunat Tarawih, sunat Witir di bulan Ramadhan, sunat Gerhana Bulan, sunat Minta Hujan malam atau siang, dua rakaat Thawaf di waktu malam atau subuh.
Sunat juga membaca dengan isrâr pada sembahyang Zhuhur, ‘Ashar, rakaat akhir sembahyang Maghrib, dua rakaat akhir sembahyang ‘Isya’, sembahyang sunat Gerhana Matahari, sunat rawâtib, nawâfil siang mutlak dan sembahyang sunat Witir selain di bulan Ramadhan.
Hendaklah membaca dengan pertengahan di antara jahar dan isrâr pada sembahyang nawâfil malam mutlak jika tidak menggangu orang yang sedang tidur atau orang yang bersembahyang, jika tidak, hukumnya adalah makruh.
Adapun bagi makmum sunat mengisrârkan bacaan surah al-Fâtihah dengan bacaan yang dapat didengar olehnya dan makruh menjaharkannya dan tidak disunatkan membaca surah selepas al-Fâtihah bahkan hendaklah makmum mendengar bacaan surah-surah yang dibaca oleh imam selepas surah al-Fâtihah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apabila al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-A‘râf: 204)
Dalam sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Maka janganlah kamu membaca suatu surah daripada al-Qur’an apabila aku membaca dengan jahar (ketika sembahyang) kecuali dengan Umm al- Qur’ân (surah al-Fâtihah).” (Hadits riwayat Abu Daud)
Akan tetapi, jika suara imam tidak dapat didengar disebabkan tuli dan seumpamanya atau mendengar bacaan yang tidak dapat difahami maka adalah lebih baik makmum membaca surah yang lain selepas membaca surah al-Fâtihah.
Adapun bacaan surah al-Fâtihah dan surah selepasnya bagi imam, makmum dan munfarid dalam sembahyang nawâfil adalah sama dengan sembahyang fardhu.
Sembahyang nawâfil seperti sembahyang sunat Hari Raya, Minta Hujan, Tarawih dan Gerhana Bulan, disunatkan bagi imam menjaharkan bacaan surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya, dan disunatkan bagi makmum membaca surah al- Fâtihah dengan bacaan isrâr dan mendengar surah-surah selepas al-Fâtihah yang dibaca oleh imam.
Begitu juga sembahyang nawâfil di waktu malam adalah disunatkan menjaharkan bacaan surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya bagi imam dan hendaklah makmum membaca surah al-Fâtihah dengan isrâr dan mendengar bacaan surah selepas al-Fâtihah sepertimana di dalam sembahyang fardhu. Adapun sembahyang nawâfil yang dikerjakan di siang hari disunatkan membaca surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya dengan bacaan isrâr tanpa ada khilâf sama ada bagi imam, makmum atau munfarid.
6. Membaca “Âmîn” Selepas Membaca Surah Al-Fâtihah
Tidak ada khilâf bahawa membaca “âmîn” selepas membaca surah al-Fâtihah adalah sunat kepada semua orang yang bersembahyang sama ada sembahyang fardhu ataupun nawâfil, dan sama ada sembahyang jahriyyah ataupun sirriyyah.
Jika dalam sembahyang sirriyyah disunatkan bagi imam dan makmum membaca “âmîn” dengan bacaan isrâr mengikut pembacaan dalam sembahyang sirriyyah, dan sunat bagi makmum membaca “âmîn” dengan jahar dalam sembahyang jahriyyah mengikut pembacaan imam tanpa ada khilâf dan disepakati oleh para sahabat.
Perkara ini telah dibuat oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana riwayat daripada Wail bin Hujr:
Maksudnya: Adalah (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) apabila membaca َ ِْيَ وَال الض َّ لف, Baginda membaca “âmîn” dan meninggikan bacaan suaranya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Sekiranya imam tidak membaca “âmîn” adalah disunatkan bagi makmum membaca “âmîn” dengan jahar, sama ada imam meninggalkannya dengan sengaja atau terlupa kerana tidak ada perbezaan sama ada imam terlupa ataupun sengaja meninggalkannya.
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa sesiapa yang serentak bacaan “âmîn”nya dengan bacaan malaikat diampunkan dosanya yang terdahulu. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila imam membaca “âmîn” maka kamu aminkanlah bersama, sesungguhnya siapa yang serentak bacaan aminnya dengan bacaan malaikat diampunkan baginya apa yang terdahulu daripada dosanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sunat bagi imam diam sekejap selepas membaca “âmîn” dengan kadar makmum selesai membaca surah al-Fâtihah.
7. Tasbîh Semasa Ruku‘ dan Sujud Serta Do‘a Semasa Duduk di Antara Dua Sujud
Sunat mengisrârkan bacaan tasbîh semasa ruku‘ dan sujud serta do‘a semasa duduk di antara dua sujud mengikut kesepakatan para ulama, sama ada sembahyang fardhu ataupun nawâfil. Akan tetapi hendaklah bacaan isrâr itu dapat didengar oleh dirinya dan sunat tidak melebihi daripada bacaan isrâr itu sama ada bagi imam, makmum dan munfarid.
Sunat bagi imam dan muballigh (bilal) menjaharkan bacaan tasmî‘ sebagai pemberitahuan kepada makmum pertukaran rukun sembahyangnya sepertimana bacaan takbîr intiqâlât dan mengisrârkan bacaan tahmîd, kerana bacaan tahmîd dilakukan semasa i‘tidâl. Maka hendaklah diisrârkan bacaan padanya seperti bacaan tasbîh semasa ruku‘ dan sujud.
Adapun bagi makmum hendaklah mengisrârkan kedua-dua bacaannya sepertimana bacaan isrâr pada takbîr intiqâlât. Sekiranya hendak memperdengarkan kepada makmum yang lain bolehlah imam menjaharkan bacaan tasmî‘ bukannya bacaan tahmîd kerana bacaan tasmî‘ itu disyariatkan ketika bangkit daripada ruku‘ dan bacaan tahmîd disyariatkan ketika i‘tidâl.
Walau bagaimanapun, sunat bagi mu’adzdzin (bilal) ataupun selainnya daripada makmum menjaharkankan bacaan tasmî‘ itu dengan bacaan jahar yang boleh didengar oleh para jemaah jika bacaan imam lemah ataupun kerana suaranya sakit.
9. Tasyahhud Awal dan Akhir Serta Do‘a Sebelum Salam
Ulama bersepakat bahawa sunat mengisrârkan bacaan tasyahhud awal dan akhir bahkan makruh menjaharkan kedua-duanya sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang nawâfil dengan bacaan isrâr yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri, dengan pendengaran yang baik tanpa halangan untuk mendengar, dan sunat tidak melebihi daripada bacaan isrâr itu dan begitu juga bacaan do‘a di akhir sembahyang sama ada bagi imam, makmum dan munfarid.
10. Salam Untuk Menutup Sembahyang
Salam adalah di antara rukun sembahyang dan tidak sah sembahyang melainkan dengannya dan tidak ada yang menggantikan tempatnya. sekurang-kurang salam ialah dengan mengucapkan ‘السلم عليكم’ dan yang afdhal ialah ‘السلم عليكم ورن هللا’.
Sunat bagi imam meniatkan salam pertama kepada sekalian malaikat dan golongan jin serta manusia Islam di sebelah kanan begitu juga sebaliknya salam kedua ditujukan kepada sekalian malaikat dan golongan jin serta manusia Islam di sebelah kiri.
Oleh itu, wajib hukumnya mengucapkan salam yang pertama dan sunat hukumnya mengucapkan salam yang kedua. Sunat menjaharkan ucapan salam sebagai pemberitahuan untuk keluar daripada sembahyang.
Telah bersepakat para fuqahâ’ bahawa sunat bagi makmum mengucapkan salam setelah imam selesai mengucapkan salam pertama dan lebih afdhal selepas imam mengucapkan salam yang kedua.
Imam asy-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala berkata dalam kitabnya al-Umm: “Banyak hadits menerangkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengucapkan salam ke kanan dan selepas itu ke kiri, yang semua hadits ini menyuruh supaya mengucapkan salam dua kali, sama ada bagi imam, makmum ataupun munfarid. Sekiranya imam tidak mengucapkan salam dua kali hendaklah makmum mengucapkan salam dua kali.”
11. Do‘a Qunut
Mengikut mazhab asy-Syafi‘iyyah adalah sunat bagi imam menjaharkan bacaan do‘a qunut dalam sembahyang Subuh dan sunat Witir di pertengahan bulan Ramadhan. Akan tetapi hendaklah bacaan itu perlahan daripada bacaan-bacaan jahar pada yang lain seperti surah al-Fâtihah, sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Mawardi: “Hendaklah bacaan jahar pada do‘a qunut dalam sembahyang itu bukan seperti jaharnya pada bacaan (yang disunatkan membaca dengan jahar seperti surah al-Fâtihah).”
Maka sekiranya imam membaca qunut dengan isrâr, dia mendapat pahala sunat qunut itu, tetapi tidak mendapat pahala sunat jahar.
Adapun bagi munfarid bolehlah membaca dengan isrâr.
Manakala makmum pula bolehlah menjaharkan bacaan “âmîn” di belakang imam untuk memberkati do‘a qunut, ataupun mengisrârkan bacaan “âmîn” di dalam hati sahaja sambil mendengar bacaan do‘a qunut imam.
Jika bacaan do‘a qunut imam tidak dapat didengar kerana tuli atau kerana berada jauh dari imam atau imam tidak membaca dengan jahar do‘a qunut atau suara imam tidak jelas didengar maka sunat bagi makmum membaca qunut dengan bacaan isrâr.
Begitu juga bacaan di dalam qunut Nazilah yang dibaca semasa i‘tidâl pada rakaat yang terakhir sembahyang fardhu disebabkan sesuatu wabak seperti penyakit taun, adalah disunatkan menjaharkan bacaan qunut secara mutlak bagi imam dan munfarid walaupun dalam sembahyang sirriyyah.
Penutup
Walaupun bacaan isrâr dan jahar ini adalah di antara perkara sunat namun ia perlu diambil perhatian supaya dapat diamalkan oleh semua orang terutama sekali bagi orang yang tidak tahu di mana tempat-tempat yang disunatkan membaca dengan isrâr dan jahar dalam sembahyang itu. Semoga kita menjadi orang yang berilmu dan melakukan ibadat dengan sempurna. Di samping itu ia juga dapat menambahkan pahala ibadat wajib dengan pahala ibadat sunat yang dikerjakan pada tempat-tempat yang tertentu dalam sembahyang dengan bacaan isrâr dan jahar.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7270
دليل الألوان
