Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Pakaian Perempuan Dalam Sembahyang

Pakaian adalah di antara perkara terpenting yang perlu dimiliki oleh setiap orang dalam hidupnya. Ia juga merupakan keperluan asasi dan menjadi ukuran keagamaan serta simbol keperibadian seseorang.

Al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan ke atas setiap Muslim supaya menutup aurat. Bahkan ketiadaan pakaian yang layak dan sesuai bagi seseorang boleh menjatuhkan maruahnya dan boleh menggugurkan orang itu daripada tuntutan hadir sembahyang berjemaah, sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang kitab Fath al-Mu‘în bahawa, di antara perkara-perkara uzur berjemaah dan uzur sembahyang Jumaat ialah tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak kepada seseorang, sekalipun telah mempunyai penutup auratnya.

As-Sayyid al-Bakri pula menambah bahawa keuzuran disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak itu boleh menjatuhkan maruah seseorang jika dibandingkan dengan lain-lain keuzuran.

Pendeknya pakaian bukan hanya setakat ada hubungan dengan maruah, budi pekerti dan adat, tetapi juga menjadi tuntutan agama sama ada di luar mahupun di dalam sembahyang. Khusus mengenai pakaian perempuan, ia tidak boleh dipandang ringan, dilanggar hukumnya dengan senghaja kerana akibatnya ialah laknat sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku melihatnya, iaitu kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi mereka bertelanjang (pakaian tidak menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh). (Hadits riwayat Muslim)

Dalil Menutup Aurat

Aurat ialah sesuatu bahagian daripada anggota badan, sama ada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya.

Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadits. Antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan. Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. (Surah al-A‘râf: 26)

Firman Allah Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang ‘aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah an-Nûr: 31)

Sementara itu dalil daripada hadits yang menyentuh tentang kewajipan menutup aurat itu ialah yang diriwayatkan oleh Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: Dia berkata: “Saya bertanya: “Wahai Rasulullah! (Kepada siapakah) daripada aurat kami boleh kami perlihatkan dan (kepada siapa) kami hindarkan?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Peliharalah ‘aurat kamu melainkan daripada isteri kamu atau hamba sahaya perempuan kamu.” Dia berkata: “Saya bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pula jika ada orang-orang berhimpun sebahagiannya dengan sebahagian yang lain?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika kamu berupaya (membuat) seseorang tidak akan melihat ‘aurat kamu, maka janganlah orang itu melihatnya.” Dia berkata: “Saya bertanya: “Bagaimana pula jika seseorang itu bersendirian?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah itu lebih berhak dimalui daripada manusia.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan tentang kewajipan menutup aurat, bahkan juga dalam keadaan bersendirian walaupun di tempat yang tertutup.

Batas Aurat Lelaki Dan Perempuan

Menurut Khathib asy-Syarbini aurat bagi lelaki sama ada hamba, orang kafir dan kanak-kanak sekalipun yang belum mumayyiz ialah di antara pusat dan lutut. Perkara ini telah dinyatakan di dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Jika salah seorang kamu mengahwinkan hamba lelakinya kepada hamba perempuannya atau kepada pekerjanya, maka janganlah hamba perempuan itu memandang kepada sesuatu dari auratnya (aurat tuannya). Maka sesungguhnya apa yang di bawah pusat sehingga lututnya adalah aurat. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Manakala aurat perempuan pula ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan tapak tangan sebagaimana perintah Allah Ta‘ala dalam al-Qur’an:

Tafsirnya: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. (Surah an-Nûr: 31)

Menurut Ibnu ‘Abbas dan ‘Aisyah Radiallahu ‘anhum yang dimaksudkan dengan “zahir” ialah muka dan dua tapak tangan.

Perintah Menutup Aurat Dalam Sembahyang

Menutup aurat itu adalah menjadi perkara penting dan syarat sah sembahyang. Sebagai contoh, dinukilkan daripada Imam an-Nawawi bahawa apabila aurat terdedah dengan senghaja, sama ada sedikit atau banyak, maka hukum sembahyangnya batal yakni tidak sah. Untuk jelasnya, jika dia senghaja tidak menutup aurat, padahal dia mampu berbuat demikian, maka batal sembahyangnya.

Dengan itu menutup aurat dalam sembahyang adalah wajib, iaitu difahami daripada Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang). (Surah al-A‘râf: 31)

Menurut Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma dalam kitab Tafsîr al-Fakhr ar-Razi, sudah menjadi adat kebiasaan orang-orang Arab jahiliah apabila mereka mengelilingi Ka‘bah, mereka menanggalkan kesemua pakaian mereka. Maka dengan turunnya ayat di atas, umat Islam ditegah daripada melakukan perkara yang serupa. Dengan itu diperintahkan juga supaya memakai pakaian yang elok dan indah apabila pergi ke tempat ibadat atau thawaf di keliling Ka‘bah, termasuk juga ketika mengerjakan sembahyang.

Persoalannya apakah pakaian yang dikatakan indah itu, khususnya bagi wanita? Menurut ijmâ‘ ulama tafsir maksud “pakailah pakaian kamu yang indah berhias”

dalam ayat di atas ialah pakaian yang sempurna menutup aurat sama ada bagi lelaki mahupun perempuan.

Hadits daripada ‘Aisyah Radiallahu ‘anha menjelaskan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bahawa tidak akan diterima sembahyang seorang perempuan itu kecuali dengan menutup kepala. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Allah tidak menerima sembahyang seorang yang telah haidh (bâligh) kecuali dengan memakai tutup kepala. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Perintah menutup aurat dalam sembahyang adalah berdasarkan riwayat daripada Muhammad bin Zaid bin Qunfudz daripada ibunya, bahawa ibunya pernah bertanya kepada Ummu Salamah Radiallahu ‘anha tentang pakaian perempuan ketika sembahyang.

Maksudnya: Maka Ummu Salamah menjawab: “Seorang perempuan bersembahyang dengan memakai kain tutup kepala dan pakaian panjang yang dapat menutup kedua telapak kakinya.”

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, ulama sepakat mengatakan adalah wajib bagi perempuan menutup aurat sama ada di dalam atau di luar sembahyang.

Batas Aurat Perempuan Dalam Sembahyang

Dalam mazhab Syafi‘e aurat perempuan yang merdeka ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tapak tangan. Begitu jugalah aurat perempuan dalam sembahyang. Yang dimaksudkan dengan dua tapak tangan itu termasuklah hujung jari, tapak tangan bahagian luar dan dalamnya sehingga ke pergelangan tangan.

Manakala yang dimaksudkan dengan muka pula adalah kawasan di antara tempat tumbuh rambut di kepala sehingga bahagian akhir dagu (dua tulang rahang sepanjang tempat tumbuh gigi bawah) dan kawasan muka di antara dua anak telinga.

Begitu juga batas aurat kanak-kanak perempuan yang mumayyiz dan yang belum mumayyiz dalam sembahyang, iaitu seluruh badannya kecuali muka dan dua tapak tangan.

Menutup Muka dan Dua Tapak Tangan Dalam Sembahyang

Muka dan dua tapak tangan bukanlah aurat. Maka makruh hukumnya bagi perempuan yang hendak sembahyang memakai niqab (tutup muka) iaitu kain atau yang seumpamanya yang digunakan untuk menutup muka, kerana muka tidak termasuk anggota aurat.

Larangan menutup muka ini hanyalah sebagai karâhah tanzîh, jika ia dilakukan tidak pula membatalkan sembahyang. Maksud karâhah tanzîh itu ialah perkara yang dituntut oleh syara‘ meninggalkannya akan tetapi tuntutan itu tidak sampai ke tahap wajib. Jika dilakukan juga perkara tersebut, maka hukumnya adalah tidak berdosa hanya khilâf al-awlâ (menyalahi yang utama).

Pakaian Perempuan Ketika Sembahyang

Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah dalam kitab al-Muhazzab, adalah disunatkan bagi perempuan yang merdeka dan khuntsâ bersembahyang dengan memakai pakaian yang terdiri daripada baju yang labuh, panjang dan menutupi seluruh badan hingga kedua kaki, memakai penutup kepala dan leher daripada kain yang tebal dan menggunakan telekung (satu kain tebal yang lain yang menyelimuti pakaian tadi).

Disunatkan juga telekung atau pakaian yang di sebelah luar sekali itu tebal, agar tidak membayangkan anggotanya. Juga telekung atau pakaian yang di sebelah luar tadi dijauhkan atau direnggangkan dari badan seseorang perempuan itu apabila dia ruku‘ atau sujud, supaya tidak membayangkan pakaiannya yang di sebelah dalam.

Khathib asy-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtâj mensyaratkan pakaian (sâtir) yang digunakan untuk menutup aurat sama ada dalam sembahyang atau luar sembahyang ialah tebal yang boleh menutup anggota aurat. Bahkan ia hendaklah melindungi atau menutup warna kulit daripada dilihat dengan pandangan biasa. Dengan perkataan lain tidak menampakkan atau membayangkan bentuk badan.

Kebanyakan ulama Syafi‘e mensyaratkan hendaklah pakaian itu menutup dan menyelubungi seluruh anggota aurat.

Berdasarkan syarat-syarat yang dijelaskan, maka berikut adalah beberapa contoh pakaian yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas:

1. Baju atau pakaian yang berlubang-lubang.

Aurat yang boleh dilihat melalui pakaian yang berlubang-lubang, contohnya pakaian yang ditenun dengan jarang, walaupun tebal, masih tidak memenuhi syarat sâtir, iaitu menyelubungi dan menutup keseluruhan aurat.

2. Pakaian yang jarang atau nipis.

Adapun maksud daripada pakaian yang nipis atau jarang itu ialah pakaian yang boleh menampakkan warna kulit apabila memakainya. Untuk jelasnya adalah tidak tercapai maksud as-sâtir dengan memakai pakaian berikut dalam sembahyang:

i. Sekiranya di dalam sembahyang dia memakai pakaian yang nipis atau jarang untuk menutup keseluruhan auratnya tanpa dilapis dengan pakaian lain seperti telekung dan seumpamanya, maka pakaian seperti ini tidak memenuhi syarat sâtir kerana tidak tercapai maksud dan pengertian tebal dan tidak pula menyembunyikan warna kulit. Ini disandarkan kepada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha sesungguhnya Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dia memakai pakaian yang nipis. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila meningkat umur haidh (umur bâligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini.. dan ini.. sambil Baginda menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits di atas dengan jelas melarang memakai pakaian yang jarang atau nipis di luar sembahyang, demikian juga dalam sembahyang.

As-Sayyid al-Bakri kemudian menyebutkan, sesuatu kain atau pakaian meskipun berwarna atau yang dicelup jika ia jarang dan nipis juga tidak memenuhi syarat as-sâtir.

ii. Begitu juga sekiranya dalam sembahyang dia memakai pakaian yang jarang atau nipis untuk menutup keseluruhan auratnya kemudian dia menutup atau melapis lagi pakaian tadi dengan telekung atau yang seumpamanya dan warna kulit masih kelihatan, maka samalah juga hukumnya seperti (i) di atas.

Selain daripada jenis-jenis pakaian yang telah disebutkan, harus bagi golongan wanita bersembahyang dengan memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas (lapik sembahyang) ketika sembahyang. Manakala memakai pakaian yang mempunyai gambar atau menjadikannya alas (sembahyang di atasnya) atau menghadap ke arahnya, hukumnya makruh.

Sembahyang di Dalam Gelap

Terdapat andaian apakah kegelapan atau ketiadaan cahaya boleh diistilahkan sebagai sâtir kerana ia menutupi dan melindungi warna kulit dan aurat daripada pandangan mata? Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, kegelapan tidak boleh diertikan sebagai sâtir.

Oleh yang demikian, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang tidak menutup aurat sekalipun dalam gelap.

Ternampak Aurat Sendiri Semasa Sembahyang

Ketika hendak mengerjakan sembahyang pakaian hendaklah diberi perhatian, iaitu menutup seluruh anggota aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh syara‘. Ini kerana apabila dia melihat aurat sendiri atau dilihat oleh orang lain semasa sedang bersembahyang kerana kecuaian menutupnya, maka hukum sembahyangnya tidak sah. Sebagai contoh jika seseorang perempuan yang bersembahyang, sekalipun dengan memakai telekung, sedangkan di bahagian leher terbuka luas atau besar sehingga dia boleh nampak auratnya sendiri atau dilihat oleh orang lain ketika dia ruku‘ atau sujud, maka batal sembahyangnya. Oleh itu hendaklah dirapikan, dikancing atau diikat terlebih dahulu dengan sempurna bahagian leher yang terbuka tadi, kemudian barulah mengerjakan sembahyang.

Sekiranya dia mendapati pada pakaian yang digunakannya untuk bersembahyang berlubang atau koyak yang menampakkan auratnya, maka wajib dia mengulangi sembahyangnya tadi, sama ada dia mengetahui tentang koyak tersebut kemudian dia terlupa mengenainya, ataupun dia langsung tidak mengetahuinya. Akan tetapi jika dia menyangka bahawa koyak itu terjadi selepas memberi salam, maka tidak perlu dia mengulangi sembahyang tadi tanpa khilâf.

Terbuka Aurat Dengan Tiba-Tiba

Berbeza hukumnya dengan aurat yang terbuka secara tiba-tiba dan tidak senghaja, maka sembahyang tetap sah dengan syarat hendaklah ditutup dengan segera. Yang dimaksudkan dengan tidak senghaja, seperti ditiup angin atau terbuka oleh haiwan atau kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana dia tidak mempunyai niat atau maksud di sebalik perbuatannya itu. Sebaliknya jika aurat itu terbuka oleh kanak-kanak yang sudah mumayyiz, maka batal sembahyangnya.

Kesimpulan

Adalah menjadi kebiasaan memakai telekung putih ketika sembahyang dan ini menepati ciri-ciri yang digambarkan sebagai pakaian yang sempurna dan digalakkan di dalam Islam. Hendaklah dipastikan bahawa telekung yang dipakai janganlah nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau anggota aurat. Di samping menggunakan telekung, hendaklah juga memakai pakaian yang sempurna menutup aurat di bahagian sebelah dalam sebagai langkah berjaga-jaga.

Daripada penjelasan di atas, nyatalah bahawa rambut, leher, lengan, dua kaki dan tapak kaki adalah aurat bagi perempuan ketika bersembahyang. Oleh itu wajiblah kesemua anggota ini ditutup dan dijaga semasa sembahyang kerana rambut yang terjuntai, lengan yang tidak berlapik, kaki yang terdedah dengan senghaja boleh membatalkan sembahyang.

Di samping menutup aurat, menjaga kebersihan pakaian yang dipakai dan tempat bersembahyang daripada najis merupakan di antara syarat sah sembahyang. Maka hendaklah kita mengambil perhatian yang sewajarnya dan meneliti dengan sempurna perkara-perkara yang bersangkutan dengan syarat sah sembahyang agar ibadat yang dilaksanakan akan diterima dan mendapat ganjaran sebagaimana yang dijanjikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala hendaknya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7274