Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Bersetubuh Ketika Haidh: Penjelasan Syara‘ Mengenainya

Perkara yang diharamkan ke atas perempuan yang haidh antaranya ialah sembahyang, puasa, memegang Mushhaf dan membaca al-Qur’an, duduk dalam masjid, sujud Tilawah dan Syukur, i‘tikâf dan thawaf. Perkara-perkara tersebut juga diharamkan ke atas perempuan yang berjunub. Selain daripada perkara yang telah disebutkan, terdapat juga satu lagi perkara yang ditegah ke atas perempuan yang haidh itu bersetubuh.

Larangan Bersetubuh Ketika Haidh

Larangan bersetubuh dengan isteri ketika haidh telah disebutkan dalam al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘ ulama. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haidh. Katakanlah: “Darah haidh itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudharat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haidh itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)

Diceritakan dalam kitab Tafsîr al-Fakhr ar-Râzi bahawa orang-orang Yahudi dan Majusi pada masa dahulu berlebih-lebihan dalam menyisihkan dan menjauhkan diri daripada perempuan haidh di kalangan mereka. Manakala orang Nashrani tidak menghiraukan perkara ini, malah menyetubuhi perempuan mereka sekalipun dalam keadaan haidh. Orang jahiliyah pula tidak makan dan minum bersama perempuan haidh, sehinggakan mereka juga tidak duduk di atas alas yang sama dan tidak tinggal dalam satu tempat atau rumah dengan perempuan haidh sebagaimana juga amalan orang Yahudi dan Nashrani.

Apabila diwahyukan firman Allah Ta‘ala di atas, orang Islam pada ketika itu hanya mengambil zahir ayat tersebut dan mereka mengeluarkan perempuan-perempuan yang haidh dari rumah-rumah mereka. Lalu apabila perkara ini disampaikan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka Baginda pun mengatakan bahawa yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah larangan mengadakan persetubuhan dengan perempuan yang haidh dan bukannya mengeluarkan mereka dari rumah-rumah mereka.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas, bahawa salah seorang sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya tentang amalan orang Yahudi terhadap perempuan haidh. Lalu diturunkanlah ayat di atas dan Baginda pun bersabda:

Maksudnya: Lakukanlah segalanya kecuali nikah (bersetubuh). (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan larangan tersebut ulama sepakat mengatakan bahawa hukum bersetubuh dengan perempuan yang sedang haidh adalah haram. Kesepakatan ini bersandarkan dalil-dalil dari al-Qur’an dan hadits-hadits yang shahîh.

Hukum Bersetubuh Ketika Haidh

Menurut Imam asy-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtâj, hukum bersetubuh dengan perempuan yang haidh pada farajnya adalah haram sekalipun dengan hâ’il (lapik).

Al-Muhamili menukilkan dalam al-Majmû‘ bahawa Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah berkata: “Sesiapa yang melakukan demikian itu (bersetubuh dengan perempuan yang haidh), maka dia telah melakukan satu (dosa) besar.” Manakala ulama-ulama Syafi‘e dan yang lainnya berkata: “Sesiapa yang menghalalkan bersetubuh dengan perempuan yang haidh, maka dihukumkan dia dengan kufur.”

Dinukilkan petikan pengarang kitab Nihâyah az-Zain fi Irsyâd al-Mubtadi’în yang mengatakan: “Dan kufurlah orang yang menghalalkan jimâ‘ itu sebelum putus darah dan sebelum sampai sepuluh hari.”

Selanjutnya ulama-ulama Syafi‘e mengatakan bahawa sesiapa yang melakukan demikian itu kerana jahil akan kedatangan darah haidh, jahil akan hukum keharamannya, kerana lupa atau kerana dipaksa, maka tidaklah dia berdosa dan tiada kaffârah ke atasnya. Ini berdasarkan hadits riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menggugurkan (dosa) daripada umatku kerana kesilapan, lupa dan (perkara-perkara) yang mereka dipaksa melakukannya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Andainya keadaan sebaliknya berlaku, iaitu sekiranya dia bersetubuh dengan perempuan yang haidh, sedangkan dia mengetahui tentang kedatangan darah haidh itu dan tahu hukum keharamannya serta tiada paksaan (secara rela), maka berdosalah dia. Berdasarkan pendapat Imam asy-Syafi‘e (dalam qaul jadîd), tidak dikenakan kaffârah ke atasnya hanya disunatkan dia membayar kaffârah, bahkan hendaklah dia memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bertaubat.

Walau bagaimanapun Imam an-Nawawi menjelaskan ini tidak termasuk bagi orang yang bersetubuh ketika berihram dan pada siang hari di bulan Ramadhan. Ini kerana persetubuhan yang berlaku ketika berihram sebelum selesai umrah atau sebelum tahallul awal bagi ibadat haji, menyebabkan kedua-dua ibadat tersebut menjadi rosak. Maka wajib ke atasnya dam dan wajib diqadha’ ibadat haji atau umrah tersebut dengan segera mengikut pendapat yang ashah, sekalipun haji atau umrah yang dikerjakan adalah sunat.

Manakala persetubuhan yang berlaku pada siang hari di bulan Ramadhan pula selain membatalkan puasa, seseorang itu diwajibkan ke atasnya kaffârah, iaitu memerdekakan seorang hamba. Jika dia tidak mendapatkannya, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.

Tujuan kaffarah ini dikenakan adalah kerana larangan bersetubuh dengan perempuan yang haidh. Adapun bagi perempuan mutahayyirah (yang beristihâdhah), maka tidak dikenakan kaffârah sekalipun haram bersetubuh dengannya.

Selain daripada itu, menurut Imam asy-Syarbini, larangan ini juga termasuk bagi perempuan yang nifas.

Kaffârah Bagi Orang Yang Melakukan Persetubuhan Ketika Haidh

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya bagaimana dengan keadaan seseorang yang mendatangi (menjimâ‘ atau menyetubuhi) isterinya pada ketika haidh. Baginda lalu bersabda:

Maksudnya: Dia bersedekah dengan satu dinar atau setengah dinar. (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits ini juga diriwayatkan oleh al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Majah, ad- Daraquthni, ad-Darimi dan an-Nasa’i. Menurut Abu Daud dan al-Hakim, ini adalah hadits shahîh. Manakala yang lainnya mengkategorikan hadits ini bertaraf marfû‘ dan mauqûf.

Manakala hadits mauqûf kepada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jika (dia) menyetubuhinya (isterinya) pada waktu permulaan darah (haidh), maka (dia membayar) satu dinar. Dan jika (dia) menyetubuhinya (isterinya) pada waktu darah berhenti (kering), maka (dia) membayar setengah dinar. (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kedua-dua hadits di atas, kaffârah yang dimaksudkan itu ialah 1 (satu) dinar jika berlaku persetubuhan pada permulaan haidh, iaitu ketika darah haidh masih kuat warnanya.

Manakala ½ (setengah) dinar jika berlaku persetubuhan pada penghujung atau akhir haidh, iaitu ketika darah haidh beransur lemah warnanya dan hampir-hampir kering atau sudah berhenti.

Adapun maksud dinar di atas adalah dinar mengikut timbangan Islam daripada emas tulin. Satu dinar bersamaan dengan satu misqal daripada emas, iaitu 4.25 gram emas (mengikut timbangan pada zaman sekarang).

Sebagai irsyâd, harga minima bagi satu gram emas 21 karat (setakat Irsyad Hukum ini ditulis) ialah $29.70. Maka nilai satu dinar mengikut nilaian mata wang ringgit ialah 4.25 gram x $29.70 = $126.225. Manakala setengah dinar pula bernilai $63.1125.

Kaffârah yang disebutkan itu hanya dikenakan ke atas suami sahaja dan disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin. Manakala menurut Imam ar- Rafi‘e Rahimahullah, memadai kaffârah tersebut diberikan kepada seorang fakir sahaja.

Bersetubuh Setelah Kering Darah Haidh Tetapi Belum Mandi

Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmû‘ bahawa ulama-ulama asy- Syafi‘e mengatakan apabila perempuan yang haidh itu sudah kering darahnya, maka terangkatlah beberapa perkara yang diharamkan ke atasnya seperti puasa, thalaq dan zhihâr.

Adapun larangan kerana disebabkan hadas seperti sembahyang, thawaf, sujud Tilawah dan Syukur, i‘tikâf, memegang dan membaca al-Qur’an dan tinggal atau duduk dalam masjid, masih dilarang dan masih berjalan hukumnya sehinggalah dia mandi mengangkat hadas besar. Begitu juga larangan bersetubuh dan mubâsyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut.

As-Sayyid al-Bakri menukilkan kata-kata Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari dalam Syarh ar-Raudh, sebagaimana diharamkan bersetubuh pada akhir waktu haidh, diharamkan juga bersetubuh setelah darah haidh berhenti atau kering sebelum mandi mengangkat hadas besar.

Menurut jumhûr ulama, hukum bersetubuh dengan perempuan yang haidh sebelum dia mengangkat hadas sekalipun darahnya sudah kering, berhenti atau bersih adalah haram sehinggalah dia terlebih dahulu mandi mengangkat hadas ataupun bertayammum (pada keadaan sah tayammumnya itu).

Begitu juga dengan mubâsyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut sehinggalah perempuan tadi mengangkat hadas besar. Jika dia tidak mendapati air, maka hendaklah dia bertayammum kerana tayammum itu bersamaan dengan mandi dalam mengangkat hadas.

Di samping itu jumhûr mengatakan jika seseorang bersetubuh dengan perempuan yang sudah berhenti atau kering darah haidh dan sebelum mandi, maka (sunat) ke atasnya kaffârah, iaitu bersedekah kepada orang fakir miskin dengan ½ (setengah) dinar.

Perintah Untuk Mandi Setelah Kering Darah Haidh

Ulama bersepakat bahawa mandi hadas disebabkan haidh dan nifas adalah wajib, iaitu apabila telah berhenti atau kering darah tersebut.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits riwayat ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ketika Fatimah binti Abu Hubaisy menemui Baginda mengenai masalah haidh dan istihâdhah.

Maksudnya: Jika datang haidhmu, maka kamu tinggalkanlah sembahyang, dan jika (kadar masa kebiasaan haidh) telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah daripada dirimu darah haidh (mandilah) kemudian sembahyanglah. (Hadits riwayat al-Bukhari) Secara dasarnya darah haidh itu bukan sahaja menjijikkan kepada orang lain, malah bagi perempuan yang mengalami haidh itu sendiri. Oleh itu, tegahan melakukan persetubuhan ketika haidh walaupun menggunakan kondom adalah sangat wajar, di samping ia mendatangkan mudharat. Manakala dari sudut pandangan agama, hukumnya adalah haram dan melakukannya dengan senghaja merupakan dosa besar dan pelakunya disunatkan membayar kaffârah.

Menurut Imam al-Ghazali, melakukan persetubuhan sebelum mandi akan mewarisi judzâm (penyakit kusta) kepada anak.

Oleh kerana itu hubungan suami isteri akan terbatas selama mana isteri belum mandi mengangkat hadas, sekalipun darah haidh sudah kering atau berhenti.

Jesteru, apabila darah haidh telah kering, wajiblah menyegerakan mandi untuk mengangkat hadas supaya tidak tertinggal melaksanakan ibadat yang dituntut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7278