Qadha’: Adakah Satu Pilihan Untuk Meninggalkan Sembahyang?
Sembahyang fardhu merupakan satu kewajipan yang amat dituntut dalam Islam. Ia adalah amal perbuatan yang pertama sekali akan dihisab oleh Allah terhadap hambaNya di akhirat kelak, kemudian diikuti oleh perhitungan amal-amal yang lain. Ia bukan hanya merupakan satu perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala semata-mata tetapi ia adalah satu ibadat yang terkandung di dalamnya bermacam-macam hikmah dan kebaikan.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menetapkan sembahyang fardhu lima waktu dan setiap satu mempunyai waktu-waktunya tersendiri sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah an-Nisâ’: 103)
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Mu‘az bin Jabal ketika beliau diutus oleh Baginda ke Negeri Yaman:
Maksudnya: Khabarkan kepada mereka sesungguhnya Allah Ta‘ala telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada setiap siang dan malam. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sembahyang fardhu lima waktu wajib dikerjakan secara tunai kecuali jika ada keuzuran dari segi syara‘. Ia juga perlu dijaga dengan menyempurnakan segala perkara wajib dan sunat dalam sembahyang.
Namun masih terdapat di kalangan umat Islam yang kurang menjaga ketepatan waktu sembahyang fardhu sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘ kerana beralasan bahawa mereka akan dapat melakukannya kemudian. Golongan seumpama inilah yang menganggap bahawa qadha’ adalah pilihan dalam melakukan ibadat sembahyang.
Pengertian Qadha’ Dalam Konteks Ibadat
Menurut hukum syara‘, setiap sembahyang fardhu yang ditinggalkan wajib diqadha’ sama ada disebabkan lupa, tidur atau orang yang kembali semula kepada Islam setelah murtad.
Dari segi istilah fuqahâ’, qadha’ ialah sesuatu (ibadat) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qadha’ atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah, atau yang tertinggal atau senghaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.
Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal sembahyangnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan sembahyang yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:“Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku”. (Hadits riwayat Muslim)
Hukum harus mengqadha’ sembahyang itu bukanlah sebagai satu kelonggaran yang membolehkan seseorang itu meninggalkannya dengan senghaja sehingga luput waktunya walaupun berhasrat untuk mengqadha’nya pada waktu yang lain. Anggapan bahawa meninggalkan sembahyang dengan senghaja dan boleh menggantinya pada waktu yang lain asal saja kewajipan itu tidak terus ditinggalkan atau dilupakan adalah satu anggapan yang salah.
Meninggalkan Sembahyang Fardhu
Orang yang meninggalkan sembahyang tetapi tidak ingkar akan kewajipannya kadang-kadang adalah disebabkan oleh keuzuran yang diiktiraf syara‘. Kadang-kadang pula disebabkan oleh alasan yang bukan syar‘i dan inilah yang sering berlaku. Sebab-sebab meninggalkan sembahyang itu boleh dibahagikan kepada dua bentuk yang masing-masing ada kaitan dengan hukum, iaitu:
Pertama: Meninggalkan sembahyang kerana keuzuran. Orang seperti ini tidaklah berdosa kerana terluput waktu sembahyang bukan dengan kehendak atau kelalaiannya, akan tetapi wajib ke atasnya mengqadha’ sembahyang yang luput itu dan sunat disegerakan qadha’nya.
Kedua: Meninggalkan sembahyang tanpa keuzuran seperti malas atau melalai-lalaikan sehingga luput waktunya. Orang seperti ini dihukumkan berdosa tanpa diragukan lagi.
Contoh meninggalkan sembahyang kerana keuzuran atau tanpa disenghajakan itu ialah seperti tertidur, terlupa dan seumpamanya sehingga luput waktu. Namun apabila terbangun daripada tidur atau teringat daripada lupa, dia wajib melakukan sembahyang tersebut kerana kewajipan sembahyang masih lagi ditanggungnya.
Dalam sebuah hadits shahîh, Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu menceritakan mengenai dengan perjalanan mereka bersama Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam perjalanan itu mereka keletihan lantas tertidur. Apabila mereka terbangun daripada tidur waktu sembahyang sudah pun berlalu. Mereka bertanya sesama sendiri, apakah kaffârah yang mesti dibayar atas kelengahan mereka melakukan sembahyang. Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendengar bisikan mereka lantas bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya di dalam tidur tidak ada kelalaian. Sesungguhnya kelalaian itu ke atas seseorang yang tidak melakukan sembahyang sampai habis waktunya. Maka sesiapa yang melakukan demikian, segeralah dia sembahyang ketika dia ingat akannya. Maka pada hari esoknya hendaklah dia menunaikan sembahyang ketika waktunya. (Hadits riwayat Muslim)
Walaupun terdapat pengecualian dalam melaksanakan tanggungjawab sembahyang bagi orang yang sedang tidur, ini bukanlah bermakna seseorang itu boleh dengan senghaja tidur untuk mengelak atau mencari helah daripada melakukan sembahyang pada waktunya.
As-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah dalam kitabnya Fath al- ‘Allâm ketika bercakap mengenai tidur dan hubungannya dengan sembahyang, beliau menyatakan adalah harus tetapi tidak digalakkan tidur selepas masuk waktu sembahyang dan sebelum menunaikan sembahyang, jika mengikut sangkaannya bahawa dia akan bangun daripada tidurnya, sama ada bangun dengan sendirinya atau dikejutkan oleh orang lain, dan masih ada waktu untuk dia menunaikan sembahyang. Jika tidak, maka hukumnya adalah haram. Bahkan baginya dua dosa; dosa kerana meninggalkan sembahyang dan dosa kerana tidur. Maka jika dia bangun daripada tidur (sebelum tidur dia menyangka bahawa jika bangun daripada tidur tidak ada waktu baginya untuk menunaikan sembahyang) tetapi dia sempat mengerjakan sembahyang, maka terangkat dosa meninggalkan sembahyang. Manakala dosa yang wujud disebabkan dia tidur tidak akan terangkat kecuali dengan beristighfâr.
Adapun meninggalkan sembahyang tanpa uzur syar‘i atau meninggalkannya dengan senghaja seperti melalaikannya sehingga masuk waktu yang lain adalah berdosa dan wajib baginya mengqadha’ dengan segera sembahyang yang luput itu.
Sibuk dengan apa urusan sekalipun bukanlah alasan untuk meninggalkan sembahyang sehingga luput waktu, begitu juga dengan alasan tidak dapat melakukan sembahyang kerana tidak mampu untuk berdiri, ruku‘ atau lain-lain alasan kerana sakit.
Sakit tidaklah termasuk antara sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu tidak menunaikan sembahyang sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku menghidap buasir, maka aku bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sembahyang. Maka Baginda bersabda: “Sembahyanglah berdiri, dan jika engkau tidak mampu, maka duduklah, dan jika engkau tidak mampu, maka sembahyanglah dengan mengiring.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Akibat Orang Yang Meninggalkan Sembahyang
Perbuatan senghaja meninggalkan sembahyang itu, menurut sesetengah ulama boleh menjadikan seseorang itu dihukumkan kafir, berdasarkan zahir sabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Buraidah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya perjanjian di antara kami dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang, maka sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya dia kafir. (Hadits riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmidzi)
Qatadah Radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Maksudnya: Aku telah memfardhukan ke atas umatmu (wahai Muhammad) sembahyang lima waktu, seraya Aku berjanji pada diriKu suatu perjanjian, bahawasanya sesiapa yang memeliharanya tepat pada waktunya, akan Aku masukkannya ke dalam syurga. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiadalah perjanjian apa-apa daripada Aku baginya.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Namun akibat yang sudah pasti meninggalkan sembahyang itu adalah suatu dosa besar. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: (Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Surah al-Mâ‘ûn: 4-5)
Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan tentang balasan neraka bagi orang-orang yang senghaja tidak mengerjakan sembahyang sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
Daripada sahabat, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan sembahyang, dia akan menemui Allah dalam keadaan dia dimurkai (oleh Allah). (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Masih banyak lagi nash-nash al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berupa perintah untuk mendirikan sembahyang dan peringatan-peringatan terhadap mereka yang melalaikannya sehingga berlalu waktu sembahyang.
Sembahyang Di Awal Waktu
Sebagai langkah menghindar diri daripada terlepas menunaikan kewajipan sembahyang, maka tunaikanlah sembahyang itu di awal waktunya. Menunaikan sembahyang di awal waktunya itu adalah kerja yang afdhal (lebih utama).
Ummu Farwah Radiallahu ‘anha ada meriwayatkan:
Maksudnya: Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanyakan: “Apakah perbuatan-perbuatan yang lebih utama?” Baginda bersabda: “Sembahyang pada awal waktunya”. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadits di atas, sembahyang pada awal waktunya adalah satu anjuran daripada Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tujuan untuk memperolehi fadhilatnya di samping mengelak daripada kelalaian sehingga berlalunya waktu sembahyang. Walau bagaimanapun jika seseorang itu mengakhirkan sembahyang kerana sesuatu sebab, maka hendaklah dia sentiasa berniat serta berazam akan menunaikannya dalam waktunya.
Dalam hal ini, as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah menjelaskan bahawa sebaik sahaja masuk waktu sembahyang fardhu hendaklah dilakukan salah satu daripada dua perkara, sama ada dengan melakukannya terus (sembahyang) atau berazam melakukannya dalam waktunya. Maka jika dia tidak terus melakukannya dan juga tidak berazam untuk melakukannya (dalam waktunya), maka dia berdosa.
Ditegaskan sekali lagi, bahawa menjaga sembahyang fardhu lima waktu adalah perkara yang sangat dituntut oleh agama sementara mencuaikannya akan membawa kepada balasan serta azab yang amat besar daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bagi mereka yang mencuaikan atau melalai-lalaikan sembahyang hingga luput waktunya adalah wajib mengqadha’ setiap sembahyang yang ditinggalkannya. Tidak cukup dengan itu sahaja, malahan dia wajib bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana perbuatannya meninggalkan sembahyang fardhu dengan senghaja itu.
Para ulama berkata: “Taubat dari segala dosa itu wajib. Jika dosa dan maksiat itu berlaku di antara hamba dengan Allah dan tidak berhubung dengan hak manusia, maka baginya tiga syarat:
1. Hendaklah dia keluar (berhenti) daripada dosa itu. 2. Hendaklah dia menyesal di atas perbuatannya. 3. Berazam tidak akan kembali mengerjakan dosa itu selama-lamanya. Jika tidak ada satu daripada tiga syarat itu, maka tidaklah sah taubatnya itu.
Mengqadha’ sembahyang bukanlah satu pilihan untuk seseorang itu meninggalkannya dengan senghaja atau dengan apa jua alasan sekalipun atau berniat akan melakukannya kemudian pada waktu yang terdekat, umpamanya sembahyang Maghrib akan dilakukannya pada waktu ‘Isya’ atau waktu Zhuhur akan dilakukan pula pada waktu ‘Ashar. Dalam keadaan seumpama ini tetaplah dia berdosa dan yang paling menakutkan, ada ulama yang mengkafirkannya kerana adanya hadits yang menunjukkan sedemikian.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7286
