Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Surah Al-Fâtihah: Persoalan Hukum Membacanya

Kesempurnaan membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang sangatlah dituntut kerana ia adalah salah satu daripada rukun yang wajib dalam sembahyang.

Surah ini sangat mulia sehingga dikatakan bahawa seluruh ilmu al-Qur’an, iaitu tauhid, ibadat, nasihat serta peringatan terkandung dalam surah yang pendek ini. Antara kemuliaannya lagi ialah Allah Subhanahu wa Ta‘ala membahagikan surah ini kepada dua bahagian; satu bahagian untukNya dan satu bahagian lagi untuk hambaNya, begitu juga ibadat sembahyang tidak akan diterima tanpanya.

Memandangkan surah al-Fâtihah ini mudah dihafal dan dibaca, adakalanya faktor inilah yang mengakibatkan sebilangan orang memandang ringan akan kesempurnaannya lalu membacanya tanpa berguru atau didengarkan kepada orang yang dapat memimpinnya ke arah bacaan yang betul.

Memandangkan pentingnya perkara ini, kita akan cuba mengupas mengenai pembacaan surah al-Fâtihah dalam sembahyang sebagai panduan untuk kita semua.

Hukum Membaca Surah Al-Fâtihah Dalam Sembahyang

Menurut pendapat yang paling shahîh ulama mazhab asy-Syafi‘e bahawa membaca surah al-Fâtihah pada setiap rakaat hukumnya adalah wajib ke atas orang yang bersembahyang sama ada imam, munfarid (orang yang sembahyang sendiri) mahupun makmum sama ada dalam sembahyang sirriyyah (yang bacaannya dibaca secara perlahan) mahupun sembahyang jahriyyah (yang bacaannya dibaca secara nyaring).

Adapun bagi orang yang masbûq pula, hukumnya tetap wajib membaca surah al- Fâtihah sekadar apa yang sempat dibacanya sebelum imam ruku‘. Akan tetapi jika imam sudah ruku‘, maka tidaklah perlu baginya untuk membaca surah al-Fâtihah lagi, kerana bacaan surah al-Fâtihah tersebut ditanggung oleh imam dan dikira baginya rakaat tersebut sebagai satu rakaat, dengan syarat makmum yang masbûq itu mestilah sempat thuma’ninah bersama imam ketika ruku‘.

Bacaan surah al-Fâtihah bagi makmum juga ditanggung oleh imam jika makmum itu tidak mempunyai kesempatan membacanya ataupun tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghabiskannya semasa qiyâm imam (sebelum imam ruku‘), sama ada kerana bacaan atau pergerakannya yang lambat, misalnya ketika bangun dari sujud, imam sudahpun ruku‘ kembali, ataupun terlupa bahawa dia sedang bersembahyang atau ragu-ragu adakah dia sudah membacanya ataupun belum sedangkan imam sudahpun ruku‘. Maka dalam keuzuran-keuzuran seperti ini, bacaan surah al-Fâtihah tersebut ditanggung oleh imam walaupun ia berlaku pada setiap rakaat dalam sembahyang.

Tuntutan wajib membaca surah al-Fâtihah itu dilaksanakan sama ada dengan cara hafalan ataupun ditalqînkan kepadanya (dibacakan kepadanya ketika dia bersembahyang, kemudian dia ikut membacanya) ataupun membacanya dengan cara melihat Mushhaf, jika dia pandai membaca. Dalam hal ini, mengadakan Mushhaf itu pula hukumnya adalah wajib, sama ada dengan cara membeli, menyewa ataupun meminjamnya, dan wajib pula mengadakan lampu, jika tempat dia bersembahyang itu gelap. Tujuannya adalah untuk membolehkannya membaca Mushhaf tersebut. Jika dia enggan melaksanakan perkara-perkara ini, sedangkan dia sebenarnya mampu, maka wajib ke atasnya mengulang semula semua sembahyang yang dikerjakannya sepanjang keengganannya melakukan perkara-perkara tersebut.

Tegasnya, surah al-Fâtihah tetap wajib dibaca dengan apa jua cara sekalipun, sedaya upaya yang termampu. Begitu juga usaha-usaha yang membolehkan ia dilaksanakan, seperti mempelajarinya, mendapatkan Mushhaf mahupun menyediakan lampu adalah wajib jika ada kemampuan untuk melakukannya.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Ubadah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Tidak sah sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca Fâtihah al- Kitâb (surah al-Fâtihah). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bacaan Surah Al-Fâtihah Yang Sempurna Secara umumnya, bacaan surah al-Fâtihah yang sempurna itu ialah dengan membacanya mengikut bacaan yang disepakati oleh ahli-ahli al-Qur’an, seperti wajib mad, idgham dan hukum-hukum tajwid yang lain. Imam al-Baijuri ada menyebutkan secara ringkas sebelas syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang: 1. Bacaan yang dapat didengar dengan jelas oleh telinganya sendiri (bagi yang sihat pendengaran). 2. Membaca dengan tertib (tersusun mengikut susunan ayat-ayatnya). 3. Membaca secara berterusan (muwâlah), iaitu bacaan yang tidak terputus-putus kecuali pada kadar untuk bernafas. 4. Menjaga segala hurufnya, termasuk sabdunya yang empat belas. Tiga

5. Tidak melakukan kesilapan dalam bacaan yang boleh menukar makna. 6. Tidak membacanya dengan bacaan yang ganjil (syadz) yang merubah makna. 7. Tidak menukar perkataan-perkataannya. 8. Membaca setiap ayatnya termasuk basmalahnya, kerana ia adalah sebahagian daripada surah al-Fâtihah. 9. Membacanya dalam bahasanya yang asal iaitu bahasa Arab dan tidak menterjemahkannya ke dalam bahasa lain, kerana jika diterjemahkan akan hilanglah mu‘jizat al-Qur’an itu. 10. Khusus bagi orang yang tidak mampu membaca surah al-Fâtihah, hendaklah membaca penggantinya daripada surah-surah lain juga dalam bahasa Arab. Lainlah halnya jika gantiannya itu terdiri daripada zikir ataupun do‘a, kerana ia boleh diterjemahkan jika tidak mampu membacanya dalam bahasa Arab.

11. Membacanya dalam keadaan qiyâm (berdiri). Jika tidak mampu berdiri, maka hendaklah dibaca dalam keadaan duduk, berbaring atau sebagainya.

Kaedah Bacaan Yang Disunatkan (Afdhal)

Ada beberapa kaedah bacaan yang disunatkan menurut ulama, iaitu:

1. Sunat waqaf pada setiap ayat, termasuk juga dalam hal ini pada ayat basmalah sebagaimana menurut pendapat mu‘tamad dalam kitab Fath al-Mu‘în.

Imam al-Bujairimi berkata: “Pendapat yang mu‘tamad ialah sunat waqaf pada basmalah kerana ia adalah satu ayat yang sempurna, dan setiap ayat yang sempurna itu disunatkan waqaf padanya.”

Ini berdasarkan hadits shahîh, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dengan cara waqaf ayat demi ayat.

Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan ketika menjelaskan cara bacaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam memutus-mutuskan (mewaqaf) bacaannya (surah al-Fâtihah) ayat demi ayat. (Hadits riwayat Ahmad)

2. Tidak waqaf pada ayat ( ْ ْعَمْت َ عَلَي ِ أَنه ًِ ْم ). Syeikh Ramli berkata dalam kitab an- Nihâyah: “Adalah sunat untuk menyambungnya dengan ayat selepasnya kerana ayat tersebut bukanlah tempat waqaf dan bukan pula penghujung ayat.

Bagaimanapun, tidaklah merosakkan sembahyang jika waqaf dilakukan, menurut Imam asy-Syubramalissi. Jika waqaf juga pada ayat ( ْ ْعَمْت َ عَلَيْهِم أَن), maka adalah lebih baik menyambungnya sahaja dengan ayat selepasnya.

3. Membaca secara tartîl dan tidak terburu-buru sehingga merosakkan bacaan. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Janganlah engkau (wahai Muhammad) – kerana hendakkan cepat menghafaz al-Qur‘an yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu oleh Jibril ‘Alaihissalam). (Surah al-Qiyâmah: 16)

Sebab turunnya ayat ini, menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma ialah kerana sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Malaikat Jibril menurunkan wahyu kepada Baginda, Baginda membacanya dengan cepat sehingga memberatkan diri Baginda sendiri.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: Dan al-Qur’an itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur. (Surah al-Isrâ’: 106)

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Syibl al-Anshari Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Bacalah oleh kamu al-Qur’an, dan janganlah berlebih-lebih padanya (membaca pantas). (Hadits riwayat Ahmad)

Membaca surah al-Fâtihah dengan tergopoh-gapah dan tidak membacanya ayat demi ayat atau membacanya tanpa berhenti langsung, khususnya semasa sembahyang Tarawih di bulan Ramadhan tidak memenuhi tuntutan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Membaca dengan tenang ayat demi ayat mengikut kaedah bacaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini pada hakikatnya, akan lebih mendatangkan kekhusyû‘an, di samping memudahkan kita untuk merenung, menghayati serta memahami maksud ayatnya satu persatu, ataupun sekurang-kurangnya, jika tidak memahami maksud ayatnya, sebagai adab dan tanda hormat kita terhadap Kalâmullah. Ini tidak syak lagi akan menimbulkan rasa kemanisan ibadat terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Imam Ghazali berkata: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya bacaan secara tartîl itu disunatkan bukanlah semata-mata untuk merenung maksud ayatnya sahaja, bahkan orang-orang bukan Arab yang tidak memahami makna ayat al-Qur’an pun disunatkan supaya membacanya secara tartîl dan tenang, kerana ini lebih menunjukkan rasa sopan dan hormat terhadap al-Qur’an, dan akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam di dalam jiwa daripada membacanya secara tergopoh-gapah dan tergesa-gesa.”

4. Mengindahkan dan memerdukan suara.

Diriwayatkan daripada al-Barra’ bin ‘Azib Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata: “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Hiasilah al-Qur’an dengan (kemerduan) suara-suara kamu.” (Hadits riwayat an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Permasalahan Tertib Dalam Bacaan Surah Al-Fâtihah

1. Wajib membaca surah al-Fâtihah itu secara tertib yakni tersusun mengikut susunan bacaan yang tsâbit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dengan tertib dan tersusun. Cara Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu wajib diikut berdasarkan sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sembahyanglah kamu sepertimana kamu melihat (cara) aku bersembahyang. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)

Jika dengan senghaja membaca dengan tidak mengikut tertib seperti mendahulukan ayat yang kemudian ataupun sebaliknya, maka batallah bacaan surah al-Fâtihahnya itu, kerana membaca ayat-ayatnya bukan pada tempatnya yang betul. Sembahyangnya tidak batal jika dia isti’nâf (membaca semula dari awal) surah al- Fâtihah itu.

Adapun jika ia tidak disenghajakan, sebagai misal jika mendahulukan membaca ( َِوْم ِ الد ًِِين مَالِك ِ ي) daripada ( ِ الر َّْحَْن ِ الرَّحِيم) maka cukup baginya sekadar menyambung ayat

membaca semula dari awal surah. Sementara ayat ( َِوْم ِ الد ًِِين مَالِك ِ ي) yang didahulukannya itu tadi tidak dikira. Bagaimanapun, jika sudah jauh jarak waktu kesalahan tersebut berlaku, maka diwajibkan isti’nâf.

Adapun jika bacaannya itu membawa kepada perubahan makna, maka batallah sembahyangnya jika dilakukannya secara senghaja dan dia mengetahui hukum larangan melakukannya. Jika tidak disenghajakan dan dia tidak tahu hukumnya, dalam hal ini bacaannya menjadi batal dan wajib isti’nâf, akan tetapi tidaklah membatalkan sembahyangnya.

2. Orang yang sudah membaca separuh daripada surah al-Fâtihah, lalu dia merasa syak adakah dia sudah membaca basmalah ataupun belum, lalu diteruskannya juga bacaannya itu tanpa mengulangi basmalah, kemudian dia teringat setelah selesai membaca surah al-Fâtihah itu bahawa dia sudahpun membaca basmalah. Dalam hal ini mengikut pendapat yang awjah (paling tepat) menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, wajib membaca semula surah al-Fâtihah dari mula hingga akhir, termasuklah basmalah.

3. Jika berlaku syak kemungkinan tertinggal suatu huruf ataupun lebih setelah habis membaca keseluruhan surah al-Fâtihah dan sebelum ruku‘, maka keraguan tersebut tidak dikira kerana dia dianggap sudah membacanya dengan sempurna dan ia dimaafkan. Berlainan halnya jika dia ragu-ragu bahawa adakah dia sudah membaca surah al-Fâtihah ataupun belum. Jika ini berlaku, wajib atasnya isti’nâf. 4. Jika berlaku syak tertinggal sebahagian ayat daripada surah al-Fâtihah setelah ia selesai dibaca, maka keraguan itu tidak dikira kerana sudah dikira telah membacanya dengan sempurna.

Adapun jika keraguan itu berlaku sebelum selesai membaca surah al-Fâtihah, wajib baginya isti’nâf jika keraguannya itu lama. Jika keraguannya itu tidak lama, maka cukuplah baginya sekadar membaca kembali ayat yang diragukannya itu tadi dan kemudian menyambung kembali bacaannya daripada ayat tersebut sehingga selesai.

Bagaimanapun, jika dia ragu-ragu kemungkinan ada tertinggal suatu ayat daripada surah al-Fâtihah, dan dia sendiri tidak pasti ayat yang mana satu yang berkemungkinan tertinggal itu, maka wajib ke atasnya isti’nâf.

5. Apabila orang yang membaca surah al-Fâtihah dalam keadaan khayal, lalai atau kurang tumpuan, misalnya membacanya sedangkan ketika itu dia sedang berangan ataupun memikirkan perkara yang lain, kemudian tersedar kembali apabila sampai pada ayat ( َ صِرَاط َ الَّذِين), lalu dia tidak yakin dalam waktu terdekat akan kesempurnaan bacaannya ketika lalai itu (keraguannya itu lama), maka wajib atasnya isti’nâf. Adapun jika dia masih yakin akan kesempurnaan bacaannya (ketika lalainya itu) dalam masa terdekat, maka bolehlah dia meneruskan sahaja bacaannya.

Permasalahan Muwâlah (Berturut-Turut) Dalam Bacaan Surah Al-Fâtihah

Wajib muwâlah dalam bacaan kerana mengikut bacaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, berdasarkan sabda Baginda:

Maksudnya: Sembahyanglah kamu sepertimana kamu melihat (cara) aku bersembahyang. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)

Maksud muwâlah ialah membaca secara berturut-turut antara satu kalimat dengan kalimat yang lain, dan tidak memisahkan antara keduanya kecuali dalam kadar mengambil nafas.

Adapun perkara-perkara yang boleh memutuskan muwâlah itu ialah:

1. Senghaja diam dalam satu kadar masa yang lama ketika membaca surah al- Fâtihah sehingga dapat dirasakan bahawa dia ingin memutuskan bacaannya, atau dapat dirasakan bahawa dia dengan rela hatinya enggan meneruskan bacaannya, maka putuslah muwâlah dan batallah bacaannya, dan wajib atasnya isti’nâf (mengulanginya).

Adapun jika dia berniat untuk memutuskan bacaannya, maka putuslah muwâlah walaupun dia hanya berhenti sekejap sahaja mengikut pendapat yang paling shahîh dan masyhûr dalam mazhab Imam asy-Syafi‘e.

Akan tetapi, jika dia berniat untuk memutuskan bacaannya sedangkan dia tidak melakukannya (tidak juga memutuskan bacaannya), maka tidak terputus muwâlah tersebut.

Berlainan halnya jika orang yang diam lama kerana keuzuran, misalnya tidak tahu hukum, terlalai, gagap, banyak bersin, batuk, menguap ataupun diam kerana mengingati ayat yang terlupa; perkara-perkara seumpama ini tidak memutuskan muwâlah.

2. Membaca tasbîh, tahlîl mahupun zikir-zikir yang lain atau membaca ayat-ayat daripada surah yang lain sama ada banyak mahupun sedikit ketika membaca surah al-Fâtihah. Perkara-perkara sedemikian tidak disuruh kerana boleh memutuskan muwâlah.

Umpamanya juga menyahut seruan azan ketika membaca surah al-Fâtihah, mengaminkan bacaan surah al-Fâtihah yang dibaca oleh bukan imamnya, ataupun mengucapkan “al-hamdulillâh” ketika bersin, kerana perkara ini walaupun sunat dilakukan di luar sembahyang, ia tidak sekali-kali diharuskan dalam sembahyang. Akan tetapi jika ia tidak disenghajakan, misalnya kerana terlupa ataupun terlalai maka tidak terputus muwâlah sebagaimana tersebut di dalam kitab Mughni al- Muhtâj.

Adapun perkara-perkara yang disuruh seperti mengaminkan bacaan imam, sujud tilâwah kerana bacaan imam, membetulkan bacaan imam yang terhenti bacaannya kerana terlupa, sama ada surah al-Fâtihah atau surah-surah yang lain, atau membaca do‘a memohon rahmat ketika imam membaca ayat-ayat rahmat atau membaca do‘a memohon perlindungan ketika dibacakan ayat-ayat azab (dalam bahasa Arab), maka menurut pendapat yang ashah (paling shahîh), tidaklah memutuskan muwâlah bacaan surah al-Fâtihah itu. Walau bagaimanapun, mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan isti’nâf sebagai mengambil kira pendapat sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘e yang mengatakan bahawa perkara-perkara tersebut termasuk juga dalam perkara-perkara yang memutuskan muwâlah. Yang demikian itu sebagai jalan keluar untuk mengelakkan daripada perselisihan pendapat.

3. Membetulkan bacaan imam yang terlupa ataupun salah bacaannya sedangkan imam tersebut belum lagi berhenti membaca, yakni masih lagi mengulang-ulang bacaannya untuk mengingati ayat tersebut.

Akan tetapi, mengikut Imam asy-Syarqawi, boleh membetulkan bacaan imam yang masih lagi mengulang-ulang bacaannya jika telah sempit waktu (waktu sembahyang hampir habis).

Perlu diingat juga di sini bahawa untuk membetulkan bacaan imam, selain disyaratkan supaya memastikan imam sudah berhenti membaca, disyaratkan juga ketika membetulkan itu supaya berniat qirâ’ah (membaca al-Qur’an) semata-mata, ataupun berniat qirâ’ah dan membetulkan bacaan imam. Jika diniatkan untuk membetulkan bacaan imam semata-mata tanpa niat qirâ’ah maka ia akan menyebabkan sembahyang makmum tersebut menjadi batal sepertimana pendapat mu‘tamad dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj.

Permasalahan Ta’mîn Selepas Bacaan Surah Al-Fâtihah

1. Ta’mîn ialah mengucapkan (آمني) setelah selesai membaca surah al-Fâtihah. Hukumnya adalah sunat ke atas setiap orang yang bersembahyang setelah selesai membaca surah al-Fâtihah sama ada imam, makmum, munfarid, lelaki, perempuan, kanak-kanak, orang yang bersembahyang dengan cara berdiri, orang yang bersembahyang dengan cara duduk, orang yang bersembahyang dengan cara berbaring, orang yang bersembahyang fardhu, orang yang bersembahyang sunat, dalam sembahyang jahriyyah mahupun dalam sembahyang sirriyyah tanpa perselisihan pendapat antara ulama mazhab asy-Syafi‘e. Ta’mîn juga sunat ke atas orang yang telah selesai membaca surah al-Fâtihah di luar sembahyang. Bagaimanapun, menurut Imam al-Wahidi, tuntutannya dalam sembahyang adalah lebih utama.

Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Apabila imam membaca ( َ “Âmîn”. Maka sesiapa yang bertepatan ta’mînnya dengan ta’mîn malaikat, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

2. Setelah selesai membaca surah al-Fâtihah, sunat diam sekejap (dalam kadar kira-kira membaca subhânallâh) sebelum berta’mîn. Tujuannya supaya membezakan surah al-Fâtihah dengan perkataan “Âmîn”, kerana ia bukanlah sebahagian daripada surah tersebut.

3. Jika sembahyang yang dikerjakan itu ialah sembahyang jahriyyah, maka bacaan ta’mîn pun dibaca secara jahar sebagaimana bacaan surah al-Fâtihahnya dibaca secara jahar. Begitu juga sebaliknya bagi sembahyang sirriyyah, bacaan ta’mîn akan dibaca secara sirr, sama ada bagi imam ataupun makmum.

4. Makmum sunat menta’mînkan bacaan surah al-Fâtihah imam dalam sembahyang jahriyyah sungguhpun imam itu sendiri tidak menta’mînkannya, sama ada dia senghaja meninggalkannya ataupun terlupa, supaya imam itu terdengar lalu turut menta’mînkannya.

5. Sunat ta’mîn makmum serentak dengan ta’mîn imam, supaya ta’mîn mereka itu bersamaan (satu masa yang sama) dan bertepatan dengan ta’mîn malaikat, kerana para malaikat ketika itu turut sama berta’mîn bersama imam.

Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Shahîhnya daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila imam berta’mîn, maka berta’mînlah kamu, kerana sesungguhnya para malaikat turut sama berta’mîn bersama ta’mîn imam itu. Maka sesiapa yang bertepatan (masa) ta’mînnya itu dengan ta’mîn para malaikat, nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

6. Jika makmum membaca surah al-Fâtihah bersama-sama imam, misalnya kerana makmum tersebut tahu bahawa imam tidak akan membaca surah selepas membaca surah al-Fâtihah, atau hanya akan membaca surah yang pendek dan khuatir tidak akan sempat menghabiskan surah al-Fâtihah, maka jika makmum tersebut lebih dahulu selesai membaca surah al-Fâtihah, mengikut pendapat yang terpilih dalam mazhab asy-Syafi‘e hendaklah dia menta’mînkan bacaan surah al- Fâtihahnya terlebih dahulu kemudian berta’mîn sekali lagi setelah imam selesai membaca surah al-Fâtihah.

Imam as-Sarkhasi di dalam kitab al-Amali menyebutkan: “Jika seorang makmum itu berta’mîn bersama imam, kemudian makmum itu membaca surah al-Fâtihah, maka hendaklah makmum tersebut menta’mînkan lagi bacaan surah al-Fâtihah nya sendiri. Jika makmum itu membaca surah al-Fâtihah bersama imam dan habis membaca bersama-samanya, maka adalah memadai baginya untuk berta’mîn sekali sahaja.”

7. Sunat bagi imam supaya diam sebentar (saktah lathîfah) setelah ta’mîn ketika sembahyang jahriyyah dalam kadar kira-kira memberi peluang kepada makmum untuk menghabiskan bacaan surah al-Fâtihah mereka. Diam di sini bukanlah bermaksud diam semata-mata, akan tetapi disunatkan bagi imam pada waktu tersebut untuk membaca zikir, do‘a ataupun membaca ayat-ayat al-Qur’an secara sirr. Tersebut di dalam kitab Mughni al-Muhtâj dan Fath al-Mu‘în adalah lebih awlâ (lebih utama) bagi imam ketika saktah lathîfah itu supaya membaca ayat-ayat al-Qur’an (secara sirr).

8. Untuk menta’mînkan bacaan imam dalam sembahyang jahriyyah, makmum disyaratkan supaya dapat mendengar bacaan surah al-Fâtihah imam dengan bunyi suara yang jelas, iaitu sekira-kira dapat makmum itu membezakan huruf-huruf yang dibacakan oleh imam, bukannya semata-mata mengikut ta’mîn imam. Memadai bagi makmum dalam hal ini untuk mendengar imam membaca ( َ وَال َ الضَّالِني) sahaja, tidak disyaratkan mendengar keseluruhan bacaan surah al-Fâtihah imam.

9. Ta’mîn akan dikira luput jika dengan senghaja diam melebihi daripada kadar yang disunatkan selepas ( َ وَال َ الضَّالِني), iaitu dalam kadar kira-kira dirasakan putus nisbah (hubungan )ta’mîn dengan surah al-Fâtihah.

Ta’mîn juga luput sekiranya orang yang bersembahyang itu ruku‘, atau membaca sesuatu yang lain selepas ‘ َ وَال َ الضَّالِني’ walaupun secara tidak senghaja dan sedikit.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengecualikan dalam hal ini jika orang itu membaca ‘ ْ ِرَب ِ اغْفِرْ لًِي ’ selepas ‘ َ وَال َ الضَّالِني’ sebelum ta’mîn, kerana pernah dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ‘ ْ ِرَب ِ اغْفِرل ’ setelah ‘ َ وَال َ الضَّالِني ’ dan sebelum ta’mîn.

Kesalahan-Kesalahan Pada Huruf Dan Baris Surah Al-Fâtihah

Imam as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani, iaitu pengarang kitab Fath al- ‘Allâm ada menyebutkan permasalahan ini dalam kitabnya, beliau berkata:

“Jika menggugurkan satu huruf daripada surah al-Fâtihah, misalnya membaca ‘ َ إ َِّيَّك َعْبُد ُ إ َِّيَّك َ نَسْتَعِني ن’ dengan menggugurkan huruf wau (و), atau menghilangkan sabdu, misalnya membaca ‘ َ إ َِّيَك’, atau menukarkan dengan huruf yang lain, misalnya

batallah sembahyangnya jika orang tersebut senghaja dan mengetahui akan hukumnya.”

Adapun jika ianya tidak disenghajakan, maka batallah bacaannya pada kalimat tersebut, dan wajiblah ke atasnya sebelum ruku‘ untuk membetulkan bacaannya itu tadi, kemudian menyempurnakannnya jika belum lama waktu kesalahan itu berlaku. Jika sudah lama, maka wajib atasnya isti’nâf (mengulangi semula bacaannya dari awal surah al-Fâtihah).

Jika dia senghaja ruku‘ sedangkan dia tahu hukumnya bahawa dia wajib memperbetulkan bacaannya sebelum ruku‘, maka batallah sembahyangnya. Adapun jika dia tidak senghaja ruku‘ misalnya kerana terlupa ataupun tidak tahu hukumnya, maka rakaatnya itu tadi tidak dikira. Jika menukar baris sehingga tertukar makna kalimat tersebut, misalnya membaca ‘ ِ إ َِّيَّك’ atau ‘ ُ ْعَمْت أَن’ atau ‘ ِ ْعَمْت أَن’ maka batallah sembahyangnya jika disenghajakan dan tahu akan hukumnya.

Adapun jika tidak disenghajakan, maka batallah bacaannya pada kalimat tersebut, maka wajib atasnya mengulangi bacaan tersebut sebelum ruku‘ selama mana jarak masanya masih lagi hampir. Jika jaraknya sudah jauh, maka wajib atasnya isti’nâf.

Jika senghaja tidak mahu memperbetulkannya sebelum ruku‘ sedangkan dia tahu hukum memperbetulkan bacaannya itu wajib sebelum ruku‘, maka batallah sembahyangnya sepertimana permasalahan di atas.

Dalam masalah melakukan kesalahan dalam bacaan yang membawa kepada perubahan makna ini, menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan sujud Sahwi jika ia tidak disenghajakan. Ini kerana setiap kesalahan yang jika disenghajakan boleh membatalkan sembahyang, tetapi dilakukan secara tidak senghaja, maka adalah disunatkan untuk melakukan sujud Sahwi.

Manakala jika perubahan baris itu tidak membawa kepada perubahan makna, misalnya membaca ‘ َُِّلِل ’ atau ‘ ُ َعْبِد ن’ maka tidaklah sekali-kali ia membatalkan sembahyang, akan tetapi haram hukumnya jika disenghajakan dan tahu akan hukumnya.

Semua permasalahan ini adalah bagi mereka yang pada asalnya mampu membaca dengan betul.

Adapun bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk membacanya dengan betul dan tidak pula mampu mempelajarinya, maka sembahyang mereka tetap sah dan tidak menjadi haram bagi mereka membaca sedemikian rupa.

Hukum Jika Tidak Pandai Membaca Surah Al-Fâtihah

Telahpun disentuh di awal-awal lagi bahawa surah al-Fâtihah wajib dibaca sama ada melalui hafalan mahupun ditalqînkan kepadanya ataupun dengan cara melihat Mushhaf. Wajib pula mengadakan Mushhaf itu sama ada dengan cara membeli, menyewa ataupun meminjamnya, dan wajib menyediakan lampu jika tempat dia bersembahyang itu gelap bagi membolehkannya membaca Mushhaf tersebut.

Pendek kata surah al-Fâtihah tetap wajib dibaca dengan apa jua cara sekalipun, disertai juga dengan segala usaha yang membolehkannya membaca surah al- Fâtihah itu dengan seberapa mampu yang boleh. Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk melakukan perkara-perkara tersebut, Islam telah memberikan kelonggaran ke atas mereka ini untuk menggantikan surah al-Fâtihah itu dengan bacaan-bacaan lain.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185)

Dalam hal ini, para ulama telahpun menyebutkan beberapa permasalahan yang berkaitan dengannya seperti berikut:

1. Jika orang tersebut boleh membaca ayat-ayat al-Qur’an yang lain selain surah al-Fâtihah, maka bolehlah ia dijadikan sebagai pengganti surah al-Fâtihah, dengan syarat ia mestilah sekurang-kurangnya tujuh ayat ataupun lebih baik lapan ayat menurut Imam asy-Syafi‘e sepertimana yang telah dinukilkan daripada beliau oleh Imam al-Mawardi. Huruf-hurufnya pula mestilah tidak kurang daripada huruf-huruf surah al-Fâtihah, iaitu tidak kurang daripada 156 huruf.

Tidak disyaratkan setiap huruf pada ayatnya menyerupai jumlah setiap huruf pada ayat-ayat surah al-Fâtihah, bahkan adalah memadai sebagai syarat bahawa ia sekurang-kurangnya tujuh ayat dan huruf-hurufnya secara keseluruhannya tidak kurang daripada huruf-huruf surah al-Fâtihah dengan mengambil perhatian bahawa setiap huruf yang bersabdu dalam surah al-Fâtihah itu dikirakan sebagai dua huruf.

Ayat-ayat pengganti daripada al-Qur’an ini, menurut Imam an-Nawawi, boleh dibaca sama ada secara tersusun dalam satu surah, ataupun dibaca bercerai-cerai daripada satu ataupun beberapa buah surah yang berlainan, sama ada makna ayat-ayat tersebut ada kaitan antara satu dengan yang lain ataupun tidak, sungguhpun orang itu hafal secara tersusun dalam satu surah.

Walau bagaimanapun, Imam Ibnu Hajar al-Haitami berpendapat, jika ia dibaca secara bercerai-cerai dengan tidak tersusun makna, orang itu mestilah berniat dengan niat qirâ’ah (membaca al-Qur’an) ketika membaca ayat yang bercerai-cerai itu kerana bacaan yang seumpama itu tidak dinamakan al-Qur’an jika dilafazkan semata-mata tanpa niat qirâ’ah.

2. Jika langsung tidak boleh membaca mana-mana ayat daripada al-Qur’an, maka bolehlah orang itu menggantikannya dengan tujuh macam zikir sebagai ganti tujuh ayat surah al-Fâtihah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad:

Maksudnya: Telah datang seseorang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu beliau berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya aku tidak mampu mempelajari sesuatupun daripada al-Qur’an, maka ajarkanlah aku (bacaan) apa yang memadai bagiku (selain) daripada al- Qur’an”. Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab:

الْعَلِي ِ الْعَظِيم (Maha suci Allah, dan segala puji hanya bagi Allah, dan tiada tuhan

selain Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada daya serta tiada kekuatan kecuali dengan (keupayaan dan kekuatan) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar).” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Dalam hadits di atas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada orang tersebut lima macam zikir, dan ditambahkan lagi oleh ulama sebagai mencukupi syarat tujuh macam zikir itu dengan dua macam zikir lagi iaitu:

Ertinya: Segala apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku.

Ertinya: Dan segala apa yang tidak dikehendakiNya, tidak akan berlaku.

Walau bagaimanapun, menurut pendapat yang ashah (paling shahîh), tidaklah ditentukan mana-mana zikir untuk dibaca sebagai badal (ganti) surah al-Fâtihah itu. Adalah memadai sebagai syarat dengan memilih mana-mana tujuh macam zikir dan mengulanginya atau menambahnya dengan zikir-zikir lain sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf surah al-Fâtihah.

Selain zikir, boleh juga surah al-Fâtihah tersebut digantikan dengan do‘a. Imam an- Nawawi berpendapat bahawa do‘a tersebut mestilah (wajib) do‘a-do‘a ukhrawi (yang berkaitan dengan urusan akhirat), misalnya memohon syurga, keampunan, keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sebagainya dalam bahasa Arab sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf-huruf surah al-Fâtihah. Jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab, maka bolehlah diterjemahkan do‘a tersebut ke mana-mana bahasa yang dikuasainya.

Jika orang tersebut tidak juga pandai membaca terjemahan do‘a ukhrawi, maka bolehlah membaca do‘a-do‘a duniawi (yang berkaitan dengan urusan keduniaan), misalnya memohon keselamatan dan sebagainya dalam bahasa Arab. Jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab, maka bolehlah ianya dibaca dalam mana-mana bahasa yang dikuasainya sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf-huruf surah al-Fâtihah.

Selain dibolehkan memilih di antara zikir ataupun do‘a ini, dibolehkan juga untuk mencampurkan kedua-duanya sepertimana yang dinukilkan dalam kitab Tuhfah al- Habîb karangan Syeikh Sulaiman al-Bujairimi.

3. Sungguhpun ada keringanan untuk membaca terjemahan badal daripada zikir dan do‘a dalam sembahyang jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab, perlu diingat di sini bahawa al-Qur’an tidak boleh sekali-kali diterjemahkan ke dalam bahasa lain dalam sembahyang. Ini kerana turunnya al-Qur’an itu dalam bahasa Arab serta keindahan lafaz ayat serta susunannya merupakan satu mu‘jizat. Maka menterjemahkannya ke dalam bahasa lain akan merosakkan keindahannya dan secara langsung akan mencacatkan, bahkan akan menghilangkan nilai kemu‘jizatannya itu.

Oleh kerana itulah terjemahan al-Qur’an itu menurut Imam Khathib asy-Syarbini, tidak lagi dinamakan al-Qur’an berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah Yusuf:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab. (Surah Yusuf: 2)

4. Tidak disyaratkan untuk berniat ketika membaca badal daripada zikir mahupun do‘a ini, akan tetapi jika ingin berniat juga maka tidak dibolehkan berniat selain daripada meniatkan bahawa badal tersebut adalah sebagai pengganti bacaan surah al-Fâtihah semata-mata.

5. Sekiranya orang tersebut mampu membaca sebahagian ayat surah al-Fâtihah, maka tidak memadai baginya mengulang-ulang ayat daripada surah al-Fâtihah yang dia tahu itu selagi mana dia tahu membaca badal lain, sama ada daripada al- Qur’an, zikir mahupun do‘a.

Akan tetapi, diberikan kepadanya keringanan untuk mengulangi ayat daripada surah al-Fâtihah yang diketahuinya itu sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar keseluruhan huruf-huruf surah al-Fâtihah sekiranya orang tersebut langsung tidak pandai membaca mana-mana badal daripada al-Qur’an, zikir dan do‘a.

6. Orang yang mampu membaca sebahagian surah al-Fâtihah dan mampu membaca badal daripada al-Qur’an, zikir ataupun do‘a, maka wajib baginya membaca ayat surah al-Fâtihah tersebut di tempatnya, yakni wajib membacanya secara tertib mengikut tertib susunan ayatnya.

Jika ayat surah al-Fâtihah yang diketahuinya itu adalah ayat keempat, maka wajib baginya membaca badal sebagai ganti separuh pertama (ayat satu hingga tiga) surah al-Fâtihah dahulu, kemudian barulah membaca ayat surah al-Fâtihah yang diketahuinya itu (ayat keempat) dan kemudian membaca pula badal bagi separuh terakhir surah al-Fâtihah tersebut (ayat lima hingga tujuh).

Begitu juga halnya jika surah al-Fâtihah yang mampu dibacanya itu bercerai-cerai. Wajib baginya membaca ayat-ayat surah al-Fâtihah yang diketahuinya itu mengikut tertib susunan ayatnya, dan wajib pula membaca badalnya tepat pada ayat surah al-Fâtihah yang dia tidak tahu membaca itu.

7. Jika langsung tidak pandai membaca surah al-Fâtihah, dan tidak tahu pula membaca mana-mana badal daripada al-Qur’an, zikir mahupun do‘a, dan tidak juga pandai membaca terjemahan zikir dan do‘a serta tidak berkemampuan untuk belajar, maka wajib atasnya qiyâm (berdiri) sahaja dalam kadar bacaan surah al- Fâtihah, iaitu kira-kira kadar bacaan yang sederhana.

Ini kerana bacaan surah al-Fâtihah dan berdiri ketika membacanya itu kedua-duanya wajib, maka jika tidak mampu mengerjakan satu daripada kedua-duanya (membaca surah al-Fâtihah) tidak akan menggugurkan kewajiban yang satu lagi iaitu berdiri.

Penutup

Kesungguhan dalam membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang itu adalah satu perkara yang sangat penting dan wajib dijaga kerana sebarang kesilapan yang berlaku tidak syak lagi akan menjejaskan kesempurnaan sembahyang.

Janganlah kerana surah ini lancar di mulut ia dibaca secara tidak berperaturan dengan tidak menyebutkan setiap hurufnya daripada makhrajnya yang betul, tidak memelihara tajwidnya, bahkan ada yang menghabiskannya hanya dengan satu nafas seolah-olah tiada penghayatan dan tiada rasa hormat terhadap al-Qur’an.

Wajiblah ke atas kita memelihara kemuliaan al-Qur’an ini, dengan membacanya sepertimana Nabi junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu ’alaihi wasallam membacanya. Iaitu dengan tartîl, penuh penghayatan, memelihara tajwid serta peraturan-peraturannya seperti muwâlah, tertib dan sebagainya, di samping berusaha belajar dan memperbaiki bacaan jika tidak mampu membacanya dengan baik dan sempurna.

Mudahan-mudahan dengan maklumat mengenai permasalahan membaca surah al- Fâtihah dalam sembahyang ini akan dapat menambahkan ilmu kita mengenai sembahyang dan sekaligus membantu kita untuk menyempurnakannya seperti yang dituntut oleh syara‘ dan meningkatkan lagi kualiti peribadatan kita terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7290