Dahi: Salah Satu Anggota Sujud
الجواب
Sujud adalah salah satu rukun fi‘li (perbuatan) daripada rukun-rukun dalam sembahyang. Menurut sesetengah kitab seperti Mughni al-Muhtâj dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn, sujud merupakan rukun yang ketujuh dalam sembahyang.
Sujud dalam sembahyang merupakan fardhu berdasarkan al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘ ulama. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hajj:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, ruku‘lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang). (Surah al-Hajj: 77)
Manakala hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu hendak mendirikan sembahyang, maka bertakbîrlah, kemudian bacalah sesuatu yang mudah yang ada bersama kamu dari al-Qur’an. Kemudian ruku‘lah sehingga kamu thuma’ninah dalam ruku‘. Kemudian bangunlah (dari ruku‘) sampai kamu tegak berdiri (i‘tidâl). Kemudian sujudlah sehingga kamu thuma’ninah dalam sujud. Kemudian bangunlah (dari sujud) sampai kamu thuma’ninah dalam duduk. Dan lakukanlah demikian itu dalam setiap sembahyangmu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Yang dimaksudkan dengan thuma’ninah ketika sujud itu ialah hendaklah setiap satu daripada anggota sujud itu tetap seketika pada tempatnya. Jumhûr mengatakan adalah wajib thuma’ninah ketika sujud berdasarkan hadits di atas. Menurut sebilangan ulama, kadar masa thuma’ninah ketika sujud itu ialah kadar bacaan satu tasbîh sujud iaitu:
Berdasarkan dalil daripada al-Qur’an dan hadits, maka ulama sepakat mengatakan bahawa sujud itu adalah fardhu dalam sembahyang.
Makna Sujud
Sujud dari segi bahasa antaranya bermaksud merendahkan diri; menundukkan kepala; hina (merendahkan kedudukan); miring (condong) ke suatu tempat dan meletakkan dahi ke bumi. Perbuatan sujud seseorang itu ialah apabila dia menundukkan atau merendahkan kepalanya ke hadapan dan membongkokkan badannya ke bawah (tanah).
Sebagai tambahan, sujud yang bermaksud merendahkan diri dan menundukkan kepala ialah sebagaimana sujud yang diperintahkan ke atas para malaikat kepada Nabi Adam ‘Alaihissalam. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Baqarah:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri penghormatan) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (Surah al-Baqarah: 34)
Ulama telah sepakat bahawa sujud yang diperintahkan ke atas para malaikat kepada Nabi Adam itu bukanlah sujud ibadat. Ini kerana melakukan sujud selain kepada Allah Ta‘ala membawa kepada kufur.
Manakala makna sujud dari segi syara‘ ialah menyentuh sebahagian dahi seorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujud, sama ada tempat sujud itu tanah atau selainnya. Adapun bilangan sujud dalam sembahyang itu ialah sebanyak dua kali dalam setiap rakaat.
Anggota Sujud
Anggota sujud itu ada tujuh sepertimana yang telah disebutkan dalam hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang; pada dahi dan Baginda menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda, dua tangan, dua lutut dan jari-jari daripada dua telapak kaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Tertib Sujud
Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah, sunat melakukan sujud itu dengan meletakkan kedua-dua lutut terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan kedua-dua tangan, kemudian dahi dan hidung. Sekiranya dia meletakkan kedua-dua tangannya dahulu sebelum kedua-dua lututnya, maka itu adalah memadai cuma dia meninggalkan sunat hai’ah. Ini berdasarkan kepada hadits Wa’il bin Hujr dia berkata:
Maksudnya: Saya melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam jika Baginda sujud, Baginda meletakkan dua lutut Baginda sebelum dua tangan Baginda. Dan jika Baginda bangun (dari sujud), Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut at-Tirmidzi, al-Khathabi dan al-Qadhi Abu ath-Thayyib dalam kitab al- Majmû‘, tertib cara inilah yang disepakati oleh jumhûr ulama. Sementara itu Ibnu Mundzir juga berpendapat demikian.
Menurut asy-Syeikh al-Baijuri, beginilah tertib sujud yang akmal (lebih sempurna). As-Sayyid al-Bakri pula mengatakan adalah makruh menyalahi tertib sujud yang telah disebutkan di atas.
Demikian secara ringkas dijelaskan mengenai hukum sujud dalam sembahyang, anggota sujud dan tertibnya. Adapun penjelasan selepas ini mengenai sujud hanya akan ditumpukan kepada salah satu daripada anggota sujud sahaja, iaitu dahi.
Hukum Sujud Pada Dahi
Hukum sujud pada dahi ketika sembahyang adalah wajib tanpa perselisihan ulama dan lebih awlâ (baik) jika seseorang itu sujud pada keseluruhan dahi tersebut. Ini kerana yang dituntut ketika sujud itu ialah menyentuh sebahagian dahi seseorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujudnya. Namun jika kurang daripada itu, maka itu adalah memadai dan hukumnya adalah makruh (karâhah tanzîh). Inilah perkataan Imam asy-Syafi‘e dalam kitab al-Umm dan juga pendapat para ulama Syafi‘e. Maksud karâhah tanzîh itu ialah perkara yang dituntut oleh syara‘ meninggalkannya, akan tetapi tuntutan itu tidak sampai ke tahap wajib. Jika dilakukan juga perkara tersebut, maka hukumnya tidak berdosa hanya khilâf al-awlâ (menyalahi yang utama).
Oleh kerana itu, jika dia sujud pada jabin, iaitu tepi dahi; atau pipi; atau pelipis, iaitu bahagian di antara mata dengan telinga; atau pada atas kepala; atau pada hidungnya sahaja dan dia tidak meletakkan sebahagian apa pun daripada dahinya pada tempat sujud, maka perbuatan sujudnya itu adalah tidak memadai. Beginilah juga yang dinashkan dalam kitab al-Umm.
Di samping itu, tidak memadai perbuatan sujud itu dengan hanya sekadar menyentuh atau meletakkan dahi ke atas tempat sujud. Bahkan wajib ditetapkan seketika dahi pada tempat sujud dan diberikan sedikit tekanan berat daripada kepala dan tengkuk pada dahi tersebut.
Sujud Pada Dahi Yang Tertutup
Berkata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dan para ulama asy-Syafi‘e: “Wajib dibuka (yakni tidak ditutup) kawasan dahi supaya dahi itu bersentuhan secara langsung dengan tempat sujud.”
Kewajiban membuka kawasan dahi ini berdasarkan hadits Khabab bin al-Art, beliau berkata:
Maksudnya: Kami mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai rasa yang sangat panas (yang kami rasai ketika sembahyang) pada dahi dan telapak tangan kami, namun aduan kami tidak dipedulikan. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Jika sekiranya dahi itu tidak wajib dibuka, pasti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengizinkan mereka menutupnya. Berdasarkan itu, beberapa keadaaan seperti contoh-contoh berikut boleh merosakkan sujud dan membatalkan sembahyang:
i. Sujud pada dahi yang tertutup oleh topi atau songkok, maka tidak sah sujud.
ii. Sujud pada rambut yang jatuh menutupi dahi, maka tidak sah sembahyang. Berlainan dengan rambut yang tumbuh pada dahi, maka itu tidak mengapa kerana rambut itu umpama kulit.
iii. Sujud dengan meletakkan dahi di atas tangan sendiri atau sujud pada gulungan hadapan serban juga tidak sah sembahyang tanpa percanggahan ulama.
Sujud Pada Dahi Yang Terhalang Oleh Hâ’il (Lapik)
Pada kebiasaannya, seseorang yang sembahyang itu akan sujud dengan meletakkan dahinya pada suatu tempat sujud seperti atas sejadah atau seumpamanya.
Namun apabila seseorang itu sujud pada hâ’il, iaitu sesuatu lapik yang menghalang dahi daripada menyentuh tempat sujud, maka perbuatan sujudnya itu tidaklah memadai.
Adakah Sah Sujud Di Atas Hâ’il (Lapik)?
Hukum sah atau tidak perbuatan sujud di atas hâ’il itu berbeza mengikut keadaan hâ’il tersebut, sama ada hâ’il itu ditanggung, iaitu dengan cara malbûs (dijadikan pakaian) ataupun tidak ditanggung. Kemudian hâ’il yang dijadikan pakaian itu, adakah ia bergerak mengikut perbuatan mushalli (orang yang sembahyang) ataupun tidak. Penerangannya adalah seperti berikut:
1. Hâ’il Yang Dijadikan Pakaian Oleh Mushalli.
Contoh dan hukum sujud di atas suatu lapik yang malbûs, iaitu yang dijadikan pakaian, ada dua keadaan:
i. Pakaian yang turut bergerak dengan perbuatan mushalli.
Misalnya hujung baju atau hujung serban dan kedua-dua hujung baju dan serban tersebut bergerak dengan perbuatan mushalli semasa berdiri dan duduk atau selain daripada berdiri dan duduk. Maka jika dia sujud di atas hujung baju atau serban tersebut, ulama sepakat mengatakan tidak sah sembahyangnya. Begitu juga hujung selendang pada bahu.
ii. Pakaian yang tidak bergerak dengan perbuatan mushalli.
Misalnya hujung pakaian atau hujung serban yang terlalu panjang yang tidak bergerak mengikut perbuatan mushalli, maka itu tidak mengapa dan menurut qaul shahîh sembahyangnya adalah sah. Ini adalah kerana pakaian yang terlalu panjang tadi dihukumkan seperti sesuatu yang munfashil (tidak bersambung) dengan mushalli.
Menurut al-Khathib, jika seseorang itu sembahyang dalam keadaan duduk lalu dia sujud atas pakaian yang tidak bergerak dengan perbuatannya dalam hal keadaan dia sembahyang duduk, sedangkan jika dia sembahyang berdiri nescaya pakaian itu bergerak, maka itu tidak mengapa. Demikianlah juga menurut Ibnu Hajar al-Haitami: sah sembahyangnya.
Bagaimana pula perbuatan mushalli yang menyebabkan sesuatu pakaian yang dipakai itu bergerak? Mengikut Ibnu Hajar al-Haitami memadailah pakaian itu bergerak dengan perbuatan mushalli ketika sembahyang dan bukannya dengan kekuatan.
Jika dia sujud di atas hâ’il dengan senghaja dan mengetahui tentang haramnya, maka batal sembahyangnya. Adapun jika dia lupa atau lalai, maka tidak batal sembahyangnya akan tetapi wajib dia mengulangi sujudnya tadi.
2. Hâ’il Yang Munfashil Daripada Mushalli
Maksud munfashil di sini ialah sesuatu yang tidak bersambung dengan mushalli dan tidak ditanggung olehnya. Berikut diberikan contoh hâ’il yang munfashil dan hukum sujud di atasnya:
i. Sujud di atas tangan orang lain adalah sah kerana tangan tersebut bukan mahmûl (ditanggungnya).
ii. Sujud di atas hujung baju atau hujung serban orang lain adalah sah, begitu juga sembahyangnya sah, jika ada ciri perbuatan sujud.
iii. Begitu juga sujud di atas tongkat atau sapu tangan yang ada di tangannya. Akan tetapi tidak sah sujud jika sapu tangan itu ada pada serban atau pada leher kerana ia adalah malbûs (menjadi pakaian) bagi mushalli.
iv. Jika pada tempat sujudnya itu ada sehelai daun, kemudian dia sujud di atasnya. Ketika dia mengangkat dahi daripada sujud, daun itu masih terus melekat pada dahinya. Dalam keadaan ini, sujud yang pertama adalah sah. Namun daun tersebut wajib dibuang atau ditanggalkan pada sujud yang kedua. Jika tidak ditanggalkan, maka tidak sah sujudnya yang kedua itu.
Jelasnya, hâ’il itu jika tidak ditanggung oleh mushalli, sekalipun ia bergerak mengikut pergerakan mushalli, maka ia tidak memberi kesan ke atas sahnya perbuatan sujud. Sebagai contoh, seseorang sujud di atas katil yang bergerak ketika dia sembahyang, maka ini tidak mengapa kerana katil itu bukan ditanggungnya. Yang memberi kesan pada sah atau tidak perbuatan sujud itu ialah kembali kepada hâ’il yang ditanggungnya.
Mengangkat Dahi Ketika Sujud
Jika seseorang sujud di atas sesuatu (benda atau permukaan) yang kasar yang menyakiti dahinya, lalu dia menjauhkan, memindahkan atau menggerakkan dahinya daripada tempat sujud tadi tanpa mengangkat dahi tersebut, maka perbuatan ini tidak mengapa.
Walau bagaimanapun hukum berulangkali mengangkat dan meletakkan dahi ketika sujud kerana sesuatu sebab atau keuzuran, misalnya sujud pada permukaan kasar yang menyakiti dahi, dilihat dari dua keadaan, iaitu:
i. Mengangkat dahi sebelum adanya thuma’ninah.
Jika dia terus mengangkat dahinya itu dari tempat sujud yang disebutkan di atas sebelum ada thuma’ninah, maka perbuatannya itu tidak mengapa.
ii. Mengangkat dahi setelah adanya thuma’ninah.
Adapun jika keadaan sebaliknya, yakni sesudah thuma’ninah, maka perbuatan mengangkat dahi dan meletakkannya berulang kali boleh membatalkan sembahyang kerana melebih-lebihkan bilangan sujud.
Maka dapat difahami bahawa perbuatan mengangkat dahi dan mengembalikannya semula ke tempat sujud tanpa sebarang keuzuran atau sebab boleh membatalkan sembahyang secara mutlak.
Meletakkan Hidung Ke Tempat Sujud
Hukum meletakkan hidung bersama-sama dengan dahi ketika sujud hanyalah sunat. Sunat juga meletakkan dahi dan hidung secara serentak tanpa mana-mana anggota yang dua ini mendahului ke atas satu yang lain.
Sebaliknya jika dia sujud dengan hanya meletakkan hidung sahaja, tanpa sedikit pun menyentuh mana-mana bahagian daripada dahi, maka tidaklah memadai sepertimana yang telah diterangkan terdahulu.
Sebagai kesimpulan, sujud merupakan rukun fi‘li (perbuatan) dan fardhu dalam sembahyang. Ulama sepakat bahawa hukum sujud pada dahi yang terbuka, yakni tidak tertutup, adalah wajib. Maka sujud pada dahi yang tertutup oleh hâ’il (halangan atau lapik) adalah tidak sah. Contohnya tidak sah sujud di atas songkok yang menutupi dahi dan yang seumpamanya seperti serban atau rambut. Begitu juga tidak sah sujud dengan meletakkan dahi di atas tangan sendiri.
Hukum sujud pada dahi yang terhalang oleh lapik yang ditanggung, iaitu yang dijadikan pakaian, tergantung sama ada pakaian itu bergerak dengan perbuatan mushalli dalam sembahyang ataupun tidak. Secara ringkas, sujud di atas pakaian yang bergerak dengan perbuatan mushalli adalah tidak sah. Sujud di atas pakaian yang disebutkan tadi, jika dilakukan tanpa senghaja atau kerana lalai dan lupa, maka wajib diulangi sujud itu sahaja tanpa membatalkan sembahyang. Sebaliknya jika dilakukan dengan senghaja dan mengetahui tentang ketidakharusannya, maka batal sembahyangnya.
Manakala sujud di atas pakaian yang terlalu panjang yang tidak bergerak dengan perbuatan mushalli adalah sah. Begitu juga dengan hâ’il yang munfashil, iaitu yang tidak ditanggung atau tidak dijadikan pakaian, maka sah sujud di atasnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7294
دليل الألوان
