Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأيمان والنذور

Kepada Siapa Dikenakan Kaffarah?

Setiap perkara atau perbuatan yang mendatangkan keburukan dan kerosakan pada diri sendiri atau orang lain amat ditegah dalam Islam. Dalam al-Qur’an dan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam disebutkan tentang perkara-perkara yang dilarang atau ditegah untuk dilakukan dan berdosa sekiranya ketetapan syara‘ itu dilanggar.

Setiap larangan atau tegahan akan diberikan balasan setimpal dengan apa yang dilakukan, sama ada balasan di dunia mahupun di akhirat. Namun begitu terdapat perbuatan yang dilarang atau yang ditegah oleh agama, yang jika dilakukan akan dikenakan kaffârah ke atas orang yang melakukannya.

Apa maksud kaffârah? Bilakah waktu perlaksanaannya? Apakah kesalahan-kesalahan yang menyebabkan seseorang itu dikenakan kaffârah dan apa pula jenis-jenis kaffârah itu?

Kaffârah Dan Tujuannya

Kaffârah ialah ibadat khusus yang diwajibkan syara‘ untuk menghapuskan dosa-dosa atau kesalahan-kesalahan tertentu.

Kaffârah adalah denda yang wajib dibayar kerana melanggar sesuatu ketentuan syara‘ (yang mengakibatkan dosa), dengan tujuan untuk menghapus atau menutup dosa tersebut sehingga tidak ada lagi pengaruhnya atau kesan dosa itu baik di dunia mahupun di akhirat. Adapun tujuan kaffârah diwajibkan ke atas seseorang yang melakukan dosa tertentu itu adalah sebagai hukuman atau denda kepadanya kerana melanggar ketetapan syara‘ dan menjadi peringatan untuk tidak akan mengulang kesalahan yang sama pada masa akan datang. Namun tidak semua dosa dapat dihapuskan dengan kaffârah.

Hukum kaffârah adalah wajib kepada orang yang melakukan kesalahan tertentu sahaja. Kaffârah berlaku sebaik-baik saja seseorang itu melakukan kesalahan tersebut.

Apabila berlaku kesalahan yang menyebabkan kaffârah dikenakan kepada si pelaku, maka kewajipan kaffârah itu akan terus berjalan sepanjang hayatnya jika tidak ditunaikan kaffârah tersebut. Contohnya dalam hal kaffârah zhihâr, suami tidak dapat menyetubuhi isterinya selagi kaffârah belum ditunaikannya.

Jika berlaku dua kesalahan yang menyebabkan kaffârah, seperti seseorang yang melakukan jimâ‘ dengan senghaja pada siang hari di bulan Ramadhan dan melanggar sumpah, maka baginya dua kaffârah. Maka hendaklah dia melakukan kaffârah mengikut setiap kesalahan yang dilakukannya dan tidak memadai baginya untuk mengumpul dua kesalahan yang dilakukannya itu dengan satu kaffârah sahaja.

Pelanggaran Hukum Yang Menyebabkan Kaffârah

Pelanggaran hukum menyebabkan kaffârah itu ialah:

1. Jimâ‘ pada siang hari di bulan Ramadhan. 2. Zhihâr. 3. Membunuh. 4. Melanggar sumpah. 5. Nazar. 6. Îlâ’.

Keterangannya adalah seperti berikut:

1. Jimâ‘ di bulan Ramadhan.

Wajib kaffârah dan qadha’ puasa bagi seseorang yang merosakkan puasanya kerana jimâ‘ (melakukan persetubuhan) pada siang hari di bulan Ramadhan secara senghaja tanpa dipaksa.

Jimâ‘ yang dimaksudkan di sini ialah apabila dengan senghaja memasukkan hasyafah atau kadarnya pada faraj atau dubur, sama ada perempuan, binatang atau mayat. Jimâ‘ melalui dubur (liwat) juga termasuk dalam maksud jimâ‘ yang boleh menyebabkan kaffârah.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Ketika kami duduk bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, datang seorang lelaki kepada Baginda lalu berkata: “Binasalah aku!” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kenapa dengan engkau?” Lelaki itu menjawab: “Aku telah menyetubuhi isteriku sedang aku dalam keadaan berpuasa (Ramadhan)”. Lalu Nabi bersabda: “Adakah engkau mampu memerdekakan seorang hamba?” Lelaki itu menjawab: “Tidak”. Lalu Nabi bersabda: “Adakah engkau berdaya melakukan puasa dua bulan berturut-turut?” Lelaki itu menjawab: “Tidak”. Nabi bersabda: “Adakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Lelaki itu menjawab: “Tidak”. Abu Hurairah berkata: “Ketika kami duduk dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam didatangi oleh seseorang bersamanya keranjang yang berisi di dalamnya tamar. Baginda bertanya: “Mana si penyoal tadi?” Maka lelaki itu menjawab: “Saya”. Lalu Baginda bersabda: “Ambil (tamar) ini dan sedekahkan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits di atas, kaffârah kerana melakukan persetubuhan di siang hari di bulan Ramadhan ialah dengan memerdekakan seorang hamba sahaya. Jika tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya untuk berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.

Dalam masalah jimâ‘ di siang hari di bulan Ramadhan, siapakah yang wajib dikenakan kaffârah? Adakah si suami sahaja? Ataupun kedua-dua suami dan isteri? Menurut pendapat yang betul daripada para ulama mazhab asy-Syafi‘e, wajib kaffârah ke atas suami sahaja.

Jika seseorang itu berbuka puasa bukan kerana jimâ‘, contohnya berbuka puasa kerana makan atau minum, maka tidak dikenakan kaffârah ke atasnya. Jika seseorang itu makan pada siang hari di bulan Ramadhan kemudian melakukan jimâ‘, maka tiadalah kaffârah ke atasnya kerana puasanya batal disebabkan dia makan.

Dalam perkara mengeluarkan air mani sama ada dengan senghaja menggunakan tangan atau kerana melihat sesuatu yang boleh mendatangkan syahwat tanpa melakukan persetubuhan, puasanya adalah batal namun tiada kaffârah ke atasnya. Begitu juga tidak dikenakan kaffârah jika seseorang itu melakukan jimâ‘ pada bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan, seperti melakukan puasa sunat atau puasa nazar.

Jika berlaku jimâ‘ beberapa kali dalam sehari, dia hanya dikenakan kaffârah sekali sahaja. Tetapi jika melakukan jimâ‘ pada beberapa hari di bulan Ramadhan, maka bagi setiap hari berlakunya jimâ‘ dikenakan ke atasnya kaffârah.

2. Zhihâr.

Zhihâr adalah ucapan suami yang mengumpamakan atau menyerupakan isterinya atau bahagian daripada tubuh isterinya dengan mahramnya atau dengan bahagian yang diumpamakannya.

Perkataan zhihâr (اَلظيِهَار ) berasal daripada perkataan az-zhahr ( ُ اَلظَّهْر) yang bermaksud belakang. Dikhususkan perkataan ‘belakang’ kerana ia merupakan objek tunggangan, dan isteri merupakan tunggangan suami.

Pada zaman Jahiliah, zhihâr dianggap sebagai thalaq bagi orang-orang Arab. Apabila seseorang marah atau benci kepada isterinya, dia akan menggunakan lafaz zhihâr yang bermaksud dia menyerupakan isterinya dengan emaknya atau mahramnya yang lain, dengan tujuan supaya haram baginya menggauli isterinya.

Contoh lafaz zhihâr suami berkata kepada isterinya: “Engkau bagiku seperti belakang ibuku” ataupun “engkau seperti belakang ibuku”. Begitu juga dengan lafaz: “Jisimmu atau badanmu atau dirimu seperti badan ibuku atau jisimnya atau zatnya.”

Zhihâr termasuk antara dosa-dosa besar kerana ia bertujuan untuk menyakiti jiwa isteri dan menyusahkannya dengan zhihâr yang dilafazkan itu.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Orang-orang yang menzhihârkan isterinya daripada kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain melainkan perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. (Surah al-Mujâdalah: 2)

Hukum zhihâr adalah haram kerana dalam lafaz zhihâr itu mengharamkan yang halal - menyetubuhi isteri - dan kerana itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan bagi zhihâr itu kaffârah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang menzhihârkan isterinya, kemudian mereka berbalik daripada apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba abdi sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan kamu mendekati perkara-perkara mungkar itu). Dan (ingatlah) Allah amat mendalam pengetahuan akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. (Surah al-Mujâdalah: 3-4)

Berdasarkan ayat di atas, kaffârah bagi suami yang menzhihâr isterinya ialah memerdekakan seorang hamba sahaya dan jika dia tidak mampu hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Jika dia tidak berdaya untuk berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin dengan kadar secupak (mudd) bagi setiap seorang.

Suami yang menzhihâr isterinya, maka haram bagi suami menyetubuhi isterinya sehingga kaffârah tersebut ditunaikan.

3. Membunuh.

Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani membahagikan perbuatan membunuh kepada tiga bahagian:

i. Membunuh secara senghaja (قتل العمد).

Membunuh itu perbuatan yang zalim kerana si pelaku memang mempunyai niat untuk membunuh seseorang itu secara senghaja tanpa hak atau tanpa alasan syara‘ dengan menggunakan besi atau apa-apa saja alat yang kebiasaannya boleh membunuh.

Membunuh secara senghaja tanpa hak dianggap dalam syariat Islam sebagai salah satu daripada dosa-dosa besar sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang membunuh seseorang mu’min dengan senghaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar. (Surah an-Nisâ’: 93)

ii. Membunuh syibh al-‘amd (قتل شبه العمد)

Iaitu sesiapa dengan senghaja melakukan sesuatu perbuatan dengan niat hendak mencederakan tubuh badan, telah menyebabkan orang itu mati atau orang lain mati, sama ada perbuatan itu dilakukan dengan menggunakan senjata atau tidak, walaupun perbuatan itu pada kebiasaannya tidak mungkin menyebabkan kematian.

Sebagai contoh: A kerana hendak menyebabkan kecederaan, memukul B dengan tongkat yang pada kebiasaannya dengan pukulan itu tidak mungkin menyebabkan kematian. Namun akibat daripada kecederaan tersebut, B telah meninggal dunia.

iii. Membunuh dengan tidak senghaja ( قتل اخلطأ)

Iaitu sesiapa dengan tiada niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan telah menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan suatu perbuatan yang tidak disangka boleh menyebabkan orang itu atau orang lain mati, atau dengan melakukan suatu perbuatan salah yang kemudiannya telah menjadi sebab kepada kematian orang itu.

Sebagai contoh: A menembak seekor rusa, tetapi tidak mengenai sasarannya lalu terbunuh B yang berdiri berdekatan dengan rusa itu atau A menembak satu objek yang disangkanya rusa tetapi ternyata ianya manusia. Dalam dua keadaan ini, A telah melakukan pembunuhan dengan tidak senghaja.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan tidak harus sama sekali bagi seorang mu’min membunuh seorang mu’min yang lain, kecuali dengan tidak senghaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mu’min dengan tidak senghaja, maka (wajiblah dia membayar kaffârah) dengan memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar ‘diyah’(denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika dia (yang terbunuh dengan tidak senghaja) daripada kaum yang memusuhi kamu, sedang dia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffârah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman. Dan jika dia (orang yang terbunuh dengan tidak senghaja itu) daripada kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia, di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar ‘diyah’ (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba sahaya yang akan dimerdekakan), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya daripada Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri) kamu. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui lagi Amat Bijaksana. (Surah an-Nisâ’: 92)

Ayat di atas menunjukkan bahawa seorang mu’min yang membunuh seorang mu’min yang lain secara tidak senghaja, wajib menunaikan kaffârah sebagai penebus dosanya dan membayar diyah kepada keluarga mangsa.

Jumhûr ulama sepakat bahawa bagi setiap perbuatan membunuh dengan tidak senghaja akan dikenakan kaffârah sebagaimana ayat di atas. Walau bagaimanapun ulama mazhab Syafi‘e juga mewajibkan kaffârah bagi perbuatan membunuh dengan senghaja dan syibh al-‘amd.

Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani menjelaskan bahawa semua bentuk perbuatan membunuh diwajibkan kaffârah. Walau bagaimanapun kaffârah membunuh dengan tidak senghaja tidak disyaratkan untuk ditunaikan dengan segera. Manakala kaffârah membunuh secara senghaja dan syibh al-‘amd hendaklah ditunaikan dengan segera.

Kaffârah membunuh itu ialah memerdekakan seorang hamba sahaya. Jika dia tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut sebagai penebus dosanya.

4. Melanggar Sumpah.

Sumpah ialah mewujudkan suatu perkara yang tidak tetap (tsâbit) pada masa yang telah lalu atau yang akan datang sama ada boleh berlaku ataupun tidak.

Sumpah bukanlah lafaz yang dapat diucapkan sewenang-wenangnya, apatah lagi jika sumpah yang dilafazkan itu dilanggar. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya agar sentiasa menjaga sumpah-sumpah mereka sebagaimana dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu. (Surah al-Mâ’idah: 89)

Sumpah tidak sah kecuali dengan zat Allah atau sifat bagiNya atau semua nama yang khusus bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bersumpah dengan selain zat Allah, sifat-sifatNya dan nama khusus bagi Allah seperti bersumpah dengan nama nabi atau Ka‘bah atau Jibril atau Arasy atau Kursiy atau Lauh atau Qalam adalah tidak sah.

Pada kebiasaannya, sumpah itu dilafazkan dengan nama Allah seperti Billâhi (ِبِهلل ), Wallâhi (وهللا) dan Tallâhi (اتهلل) dengan huruf ha’ (ه) berbaris bawah, ِْيَ ِ الْعِالَميوَرَب huruf ba’ (ب) berbaris bawah, dan seumpamanya atau sebagai contoh seseorang berkata: “Saya bersumpah dengan nama Allah atau dengan Allah.”

Sah bersumpah di atas suatu perkara yang sudah berlaku seperti “Wallâhi, tidak saya membuat perkara itu” atau “Wallâhi, saya telah membuat perkara itu” dan sah bersumpah di atas perkara yang akan berlaku, tetapi sumpah sedemikian itu makruh kecuali hendak membuat perkara ketaatan seperti bersumpah pada perkara yang wajib atau sunat atau meninggalkan perkara yang haram atau yang makruh.

Jika dia bersumpah untuk meninggalkan perkara yang wajib seperti meninggalkan sembahyang Subuh atau bersumpah untuk melakukan perkara yang haram seperti mencuri, maka dia berdosa dan tidak wajib ke atasnya menunaikan sumpah tersebut dan baginya kaffârah.

Jika dia bersumpah untuk meninggalkan perkara yang sunat seperti tidak melakukan sembahyang sunat Dhuha atau bersumpah melakukan perkara yang makruh seperti memalingkan mukanya ketika sembahyang, maka sunat ke atasnya melanggar sumpahnya itu dan baginya kaffârah.

Jika dia bersumpah untuk meninggalkan perkara yang harus atau bersumpah untuk melakukannya seperti masuk ke dalam rumah atau memakan makanan atau memakai baju, maka baginya afdhal menunaikan sumpah tersebut.

Kaffârah bagi orang yang melanggar sumpah disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan firmanNya:

Tafsirnya: Kamu tidaklah dikira salah oleh Allah tentang sumpah kamu yang tidak disenghajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang senghaja kamu buat dengan sungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin, daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah-sumpah kamu apabila kamu bersumpah. (Surah al-Mâ’idah: 89)

Kaffârah sumpah adalah pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya atau memberi makan sepuluh orang miskin atau fakir atau memberi pakaian kepada mereka. Jika dia tidak mampu untuk melaksanakan salah satu daripada pilihan di atas, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffârahnya.

Walau bagaimanapun jika seseorang itu bersumpah pada satu perkara yang baik, namun kemudiannya dia melihat adanya perkara lain yang lebih baik daripada sumpah yang dilafazkannya itu lalu dia melakukan perkara yang lebih baik itu, maka itu adalah lebih baik baginya. Walau bagaimanapun hendaklah dia membayar kaffârah kerana melanggar sumpah yang sebelumnya (sumpah yang kurang baik itu).

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Ada seorang lelaki di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia balik ke (rumah) isterinya, lalu dia mendapati anak-anaknya sedang tidur. Maka datang isterinya dengan membawa makanan. Lelaki itu bersumpah untuk tidak memakannya demi anak-anaknya namun kemudian dia memakannya. Lalu dia mendatangi Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan memberitahu Baginda tentang perkara itu. Maka Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dan kemudian dia melihat sesuatu perkara yang lebih baik daripada sumpahnya itu, maka hendaklah dia mendatangkan yang lebih baik daripada sumpahnya (yang terdahulu) itu dan hendaklah dia membayar denda dengan sumpahnya itu.” (Hadits riwayat Muslim)

5. Nazar.

Nazar ialah apabila seseorang mewajibkan sesuatu yang tidak wajib atas dirinya ketika terjadi suatu peristiwa yang diinginkannya atau menjadikan suatu ibadat yang pada mulanya tidak wajib sebagai kewajipan bagi dirinya.

Contohnya, seseorang itu berkata: “Jika aku lulus dalam peperiksaan, maka wajib bagiku menunaikan haji ke Makkah” atau “Jika aku mendapat anak lelaki, maka wajib bagiku menyedekahkan sepertiga hartaku kepada fakir miskin.”

Dalam keadaan ini, jika dia lulus dalam peperiksaan atau dia memperolehi seorang anak lelaki, maka hendaklah dia melaksanakan apa yang dinazarkannya. Jika dia tidak dapat melaksanakannya, maka wajib dia membayar kaffârah nazar.

Kaffârah nazar adalah sama dengan kaffârah sumpah iaitu pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya, memberi makan sepuluh orang fakir atau miskin ataupun memberi pakaian kepada mereka dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffârahnya.

Ini diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallahu ‘anhu daripada Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Kaffârah (denda) nazar sama dengan kaffârah (denda) sumpah. (Hadits riwayat Muslim)

6. Îlâ’.

Îlâ’ ialah lafaz sumpah suami yang ditujukan kepada isterinya bahawa dia tidak akan meniduri (menyetubuhi) isterinya itu selama waktu tertentu.

Ulama mazhab asy-Syafi‘e mendefinisikannya sebagai sumpah suami yang sah thalaqnya untuk tidak menggauli (menyetubuhi) isterinya secara mutlak atau dalam masa empat bulan, sama ada dia bersumpah dengan nama Allah Ta‘ala atau sifat-sifatNya.

Ulama bersepakat bahawa hukum îlâ’ adalah haram dan berdosa kepada suami yang melakukannya. Ini kerana perbuatannya mendatangkan kemudharatan kepada isterinya dan sumpah yang dilakukannya juga menyebabkan dia tidak boleh menyetubuhi isterinya.

Contohnya, suami berkata pada isterinya: “Demi Allah, saya tidak akan menggauli engkau” atau “Demi ar-Rahim, saya tidak akan menyetubuhi engkau selama empat bulan.”

Jika suami melafazkan îlâ’ kepada isterinya, maka akan bermula tempoh îlâ’ itu sebaik-baik saja lafaz sumpah berlaku. Dalam keadaan ini, bagi suami dua keadaan:

i. Jika sudah berlalu empat bulan, dan suami tidak melakukan apa-apa sama ada ingin rujuk kembali atau menyetubuhi isterinya sepanjang tempoh tersebut, maka isteri akan meminta kepastian daripada suami sama ada:

• Ingin kembali kepadanya sama ada dengan lafaz rujuk atau dengan perbuatan iaitu menyetubuhinya, ataupun

• Menjatuhkan thalaq jika dia berazam untuk menceraikannya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Kepada orang-orang yang bersumpah tidak mencampuri isteri-isteri mereka, maka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurkannya), maka sesungguhnya Allah amat Pengampun lagi amat Mengasihi. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan thalaq (menceraikan isterinya), maka sesungguhnya Allah amat Mendengar, lagi amat Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 226-227)

ii. Jika suami melanggar sumpahnya, iaitu dengan kembali kepada isterinya atau menyetubuhinya sebelum selesai tempoh empat bulan, terlepas hukum îlâ’ daripadanya dan baginya kaffârah iaitu kaffârah kerana melanggar sumpah.

Oleh itu baginya pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya atau memberi makan sepuluh orang fakir atau miskin atau memberi pakaian kepada mereka dan jika dia tidak mampu untuk melaksanakan salah satu daripada pilihan di atas, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari.

Jenis-Jenis Kaffârah

Al-Qur’an telah menyebutkan jenis-jenis kaffârah yang wajib ditunaikan. Jenis-jenis kaffârah itu adalah seperti berikut:

1. Memerdekakan seorang hamba sahaya yang dimilikinya.

Ini adalah jenis kaffârah bagi perbuatan jimâ‘ dengan senghaja pada siang hari di bulan Ramadhan, suami yang menzhihâr isteri, seseorang yang melanggar sumpah dan juga dosa kerana membunuh.

Dalam al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Maka (wajiblah dia membayar kaffârah) dengan memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman. (Surah an-Nisâ’: 92)

Berdasarkan ayat di atas, kaffârah wajib dilunaskan dengan memerdekakan seorang hamba dan disyaratkan hamba yang hendak dimerdekakan itu beragama Islam.

Hamba sahaya itu juga tidak cacat pada bentuk fizikalnya sehingga menghalangnya untuk melakukan kerja atau usaha lain. Imam Malibari Rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya, adalah disyaratkan hamba sahaya itu selamat daripada segala kecacatan yang memudharatkannya untuk bekerja atau berusaha, seperti buta, putus tangan atau kaki atau lumpuh.

Adalah memadai dengan memerdekakan seorang hamba yang masih kecil dengan syarat dia seorang Islam dan tiada kecacatan pada tubuh badannya yang menghalangnya untuk berusaha, kerana dia mempunyai harapan ketika dia dewasa kelak. Begitu juga halnya dengan memerdekakan seorang hamba yang sakit, kerana dia juga mempunyai harapan untuk bekerja apabila dia sembuh kelak.

2. Puasa dua bulan berturut-turut.

Puasa dua bulan berturut-turut adalah antara jenis kaffârah bagi perbuatan jimâ‘ dengan senghaja pada siang hari di bulan Ramadhan, suami yang menzhihâr isterinya dan juga perbuatan membunuh, jika tidak mampu untuk memerdekakan seorang hamba.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba sahaya yang akan dimerdekakan), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut. (Surah an-Nisâ’: 92)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, kaffârah orang yang tidak mempunyai hamba sahaya dan dia berupaya untuk berpuasa, maka diwajibkan ke atasnya berpuasa selama dua bulan berturut-turut.

Maksud dua bulan berturut-turut dalam konteks puasa kaffârah ialah melakukan puasa selama dua bulan berterusan tanpa berselang-selang iaitu tidak boleh dia berbuka walaupun sehari, sekalipun pada hari yang terakhir. Ini tidak terkecuali bagi orang yang berbuka disebabkan sakit, kerana sakit tidak menafikan kewajipan puasa. Maka jika ini berlaku, wajiblah dia mengulangi lagi puasa kaffârahnya dari mula kerana puasa yang dilakukannya sebelum itu sudah tidak dikira lagi.

Berlainan pula halnya jika perempuan yang didatangi haidh ketika menunaikan puasa kaffârah dua bulan berturut-turut kerana membunuh. Imam al-Khathib asy- Syarbini menjelaskan bahawa puasanya yang berturut-turut tidak perlu diulanginya jika dia didatangi haidh kerana haidh menggugurkan kewajipan berpuasa dan memadai baginya untuk meneruskan puasanya apabila darah haidhnya sudah kering.

Wajib seseorang berniat dengan niat puasa kaffârah pada setiap malam sepanjang dua bulan dia melakukan puasa. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, tidak memadai bagi seseorang itu berpuasa kaffârah sehingga disertakan niat puasa kaffârah pada setiap malam sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Siapa yang tidak berniat puasa (wajib) waktu malam, maka tiada puasa baginya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Tidak disyaratkan seseorang yang melakukan puasa kaffârah itu untuk berniat dengan lafaz niat puasa kaffârah dua bulan berturut-turut, tetapi memadai baginya berniat puasa kaffârah sahaja.

3. Memberi makan enam puluh orang miskin.

Jenis kaffârah ini adalah bagi kaffârah jimâ‘ pada siang hari di bulan Ramadhan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Akhirnya siapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. (Surah al-Mujâdalah: 4)

Ayat di atas menjelaskan tentang kewajipan memberi makan enam puluh orang miskin. Jika seseorang itu tidak mempunyai hamba sahaya untuk dimerdekakan dan kemudiannya tidak berupaya untuk berpuasa kerana terlalu tua atau sakit yang tiada harapan sembuh, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin sebagai penebus kesalahannya.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, apabila seseorang tiada kemampuan untuk berpuasa kerana terlalu tua atau sakit, sebagaimana pendapat kebanyakan ulama, iaitu sakit yang tiada harapan sembuh atau jika dia berpuasa akan mendatangkan bebanan yang berat atau takut bertambah sakit, maka kaffârahnya ialah dengan memberi makan enam puluh orang miskin sebanyak enam puluh cupak (mudd) makanan asasi yang sah dijadikan zakat fitrah. Fakir juga termasuk dalam golongan miskin kerana mereka ini lebih memerlukan dan berhajat kepada makanan yang dihulurkan berbanding golongan miskin.

Maksud memberi makan dalam konteks kaffârah ialah memberi makan satu cupak kepada seorang fakir atau miskin daripada makanan asasi di tempat atau di negerinya. Dalam hal ini, perlu baginya untuk memberi makan setiap seorang fakir atau miskin dengan kadar yang sama dan tidak memadai jika diberi seorang dua cupak sementara yang lain satu ataupun setengah cupak sahaja. Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa bagi setiap orang fakir atau miskin diberikan kadar satu cupak daripada makanan asasi tersebut dan tidak dibolehkan mengurangkan daripada bilangan orang-orang fakir atau miskin (enam puluh orang) begitu juga mengurangkan bilangan enam puluh cupak.

4. Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Maka bayaran kaffârahnya (dendanya) ialah memberi makanan yang sederhana yang kamu biasa berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. (Surah al-Mâ’idah: 89)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, apabila seseorang membayar kaffârah dengan memberi pakaian, maka hendaklah dia memberi kepada setiap orang fakir atau miskin dengan apa yang dinamakan pakaian. Berkata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah: “Dan sekurang-kurangnya apa yang memadai dengan (lafaz) pakaian ialah setiap apa yang dinamakan pakaian seperti serban, seluar, kain sarung dan sebagainya bagi lelaki, wanita ataupun kanak-kanak.”

Perlu diambil perhatian bahawa setiap kaffârah yang ditunaikan perlu mengikut tertib (susunan) kecuali dalam kaffârah sumpah, contohnya dengan memerdekakan seorang hamba dalam kaffârah jimâ‘ dengan senghaja di bulan Ramadhan. Jika tidak mampu, barulah berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak berdaya, baginya kewajipan memberi makan enam puluh orang fakir atau miskin.

Daripada penjelasan di atas, kaffârah merupakan satu tanggungjawab yang wajib dilakukan oleh seseorang yang melakukan kesalahan yang menyebabkan dirinya dikenakan kaffârah. Kaffârah ini akan tetap ditanggungnya sehingga dia melaksanakan atau menunaikan kaffârah tersebut sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7309